Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Friday, October 26, 2007

Tentang Cinta

Assalamualaikum wbt

Dua hari yang lepas saya ke bilik Farah, rakan sekumpulan di sini. Sudah lama kami tidak meluangkan masa bersama walaupun kami sekumpulan. Di luar dari kelas, kami masing-masing mempunyai hidup yang tersendiri. Sekali-sekala dapat berbual kosong, macam-macam yang kami kongsikan. Untuk pengetahuan semua, Farah merupakan satu-satunya rakan perempuan berbangsa Melayu dalam sekumpulan saya. Nama kami yang mirip selalu disalah panggil oleh cikgu-cikgu.

Kami bercerita tentang perkembangan terkini. Semasa dan peribadi. Seronok mendengar cerita-cerita Farah. Jauh lebih menarik jika hendak dibandingkan dengan kehidupan saya yang boleh saya katakan dalam kategori biasa saja.

Dalam kami bercerita, timbul isu 'jatuh cinta'. Farah mengemukakan pendapatnya. Katanya, orang yang sedang bercinta wajib tahu membezakan hatinya. Telah jatuh cinta kerana kerana benar-benar rasakan tarikan yang ada atau hanya sukakan idea yang dirinya bergandingan dengan pasangannya itu dan dilihat oleh orang lain sebagai sangat sepadan.

Walaupun pada masa itu saya hanya mendengar buah fikiran Farah tentang hal ini, tetapi apabila pulang ke rumah, saya berfikir tentangnya dan saya bersetuju dengan pendapatnya itu. Bagi mereka yang merasakan sedang berada dalam satu fasa peralihan dan perubahan hati, mereka perlu tahu di mana letak duduknya hati mereka. Apakah benar mereka rasakan tarikan terhadap pasangan mereka. Wujudkah rasa rindu. Timbulkah rasa prihatin dan ambil berat. Tenangkah rasa hati apabila berbual. Semakin hari semakin sayang atau sebaliknya. Ini antara persoalan yang boleh membantu untuk kita menilai di manakah diri dan hati kita dalam perasaan yang ada itu.

Bagi sesetengah orang pula, fasa perubahan hati ini mungkin berlaku kerana didorong oleh faktor sekeliling. Contohnya, dalam komuniti kehidupan di tempat mereka, si gadis terkenal dengan kecantikan. Makanya, si lelaki yang kacak ini telah berjaya merebut hatinya dan di situ bermulanya perhubungan mereka. Sungguhpun tarikan hati seperti yang diterangkan dalam persoalan-persoalan di atas tadi tidak timbul di antara mereka, mereka tetap kekal bersama kerana mereka sukakan idea apabila orang sekeliling melihat mereka kelihatan cocok bersama. Cintakah ini? Sejujurnya, saya tidak rasakan hubungan yang sebegini akan membawa faedah.

Cinta itu untuk kita kongsikan rasa yang ada. Bukan pada fizikalnya saja tapi yang datang tulus dari hati. Cinta itu bukan sesuatu yang dapat kita tafsir dalam sekelip mata. Kadang-kala ada yang sampai bertahun-tahun baru dapat rasakan kewujudan cinta yang sebenarnya hanya di depan mata. Ada juga cinta yang datang sekelip mata. Mungkin kejujuran yang tinggi saja dapat membantu terbentuknya cinta dalam masa yang singkat ini.

Bila menyebut tentang cinta, saya terfikirkan pengorbanan yang perlu dilakukan. Pengorbanan yang menuntut seseorang menjadi setia. Cinta juga kadang-kala menuntut pengorbanan wang. Tapi bak kata seorang kawan, berhabis duit untuk pelaburan masa hadapan, apalah salahnya kerana masa depan itu adalah masa depan bersama. Cinta juga menuntut seseorang menjadi diri sendiri. Percayalah. Kalau bercinta tetapi kita tidak menjadi diri sendiri, kita adalah pelakon dalam drama cinta kita itu. Dan yang dikatakan cinta itu, tidak jujur sebenarnya.

Cinta yang jujur adalah yang datang dari hati. Diucap payah, tapi sangat dimengerti. Diluah susah, tapi sangat dihargai. Siapa kata cinta senang datang dan pergi. Cinta itu menuntut pengertian dan tanggungjawab. Cinta itu akan lebih bermakna jika batas-batas insani dipelihara dengan sebaiknya. Supaya cinta yang dibaja itu benar-benar membawa makna untuk dua hati yang sedang punya rasa yang sama. Saya jarang menyuarakan pendapat saya tentang cinta. Tetapi inilah pendapat jujur saya dalam hal ini. Jangan pandang pada ideanya saja, tapi carilah tarikan yang mengikat dua jiwa.

Agama tidak melarang hati kita bercinta. Tapi ingat, cinta pada yang Hak adalah dengan meletakkan haknya di tempat yang utama.

Buat Farah: Semoga awak faham dengan perjalanan hati awak dan kepastian yang dicari-cari akan ditemui.

Nota: Kadang-kadang, cinta tak perlu diluah, tapi hati sudah dapat merasa. Kadang-kadang, cinta tak perlu berbalas, tapi hati sudah cukup bahagia. Kamu semua bagaimana? Sudah bertemu dengan yang dicintai? *senyum*

__________________________________________________________

Hari buat dia:

62) "Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat" - Hamka