Sunday, June 29, 2008

Ilmu Hisab

Assalamualaikum wbt

Soalan 1:
Saya bercuti di Malaysia kali ini selama 65 hari (terpaksa belek kalender untuk kira berapa hari :p). Saya telah berada di rumah selama 6 hari dan pada hari yang keenam, saya telah gembira sebanyak 3 kali sehari. Jika sekiranya saya masih berbaki 59 hari lagi dan setiap hari saya akan gembira 3 kali, berapa kalikah saya akan gembira sepanjang cuti ini?

Penyelesaian:
= (59 hari + 1 hari) x 3 kali
= 180 kali

Kesimpulan:
Pulang bercuti kali ini adalah sangat berbaloi dan menggembirakan jika kira-kira ini sama dengan yang dikirakan atau lebih dari itu.

Soalan 2:
Apakah penaakulan mantik yang boleh dikeluarkan daripada soalan 1? Jawapan mestilah mempunyai julat kesalahan kurang daripada 0.05%.

Soalan 3:
Apakah model graf yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menerangkan jawapan soalan 1?

Saya seperti merapu saja. Tapi sungguh. Memang gembira. Ok. Nanti siang saya kemas kinikan blog. Sekarang mahu tidur dulu. Mahu bangun menonton EURO 2008 final jam 2.30 pagi nanti. Malam ini saya bertemakan hitam-kuning-putih. Selamat malam Malaya =)

Saturday, June 28, 2008

Nostalgia Kecil-kecil Dulu

Assalamualaikum wbt

Sejak malam semalam, selepas makan malam, saya menyelongkar album-album lama untuk melihat semula gambar-gambar sewaktu kecil. Gembiranya hati. Banyak khazanah lama yang saya jumpa. Tapi yang sedihnya, gambar saya sewakti bayi tersangatlah sedikit. Sebenarnya nak je saya kata tiada langsung tapi siang tadi saya meneruskan pencarian gambar-gambar itu, akhirnya saya terjumpalah sekeping dua gambar ketika bayi. Yang banyaknya ialah gambar Kaklong. Saya mengomel-ngomel pada Mak Tam. Banyaknya gambar Kaklong ye. Gambar umur baru berapa hari. Gambar baru pandai meniarap. Gambar baru pandai merangkak. Gambar baru mula menapak. Gambar dengan buah petola yang jauh lebih panjang darinya. Gambar dia pandu lori. Gambar dia menyapu sampah (sapuan yang pertama agaknya) dan bermaca-macam aksi lagilah. Teori yang ada dalam kepala saya ialah: Anak sulung. Rasa berkobar-kobar untuk melihat anak itu membesar semestinya lebih lagi berbanding anak yang seterusnya kan. Tapi memang Kaklong tersangat comel. Saya rasa, jika saya ini orang luar dan terlihatkan Kaklong ketika kecil, saya dengan jujurnya akan mengatakan budak itu comel. Geram saya tengok pipi dan mata Kaklong. Rasa nak cubit-cubit je. Tapi kasihan saya tau. Memang gambar saya sikit sangat sewaktu bayi. Saya jumpa 2 saja. Rasa nak nangis je tau. Huhu.

Pagi tadi emak ke sekolah. Ada mesyuarat agung PIBG. Malam semalam saya tidak tidur sepicing pun. Memang tak boleh lelap. Sudahnya, selepas emak bertolak, saya terus beroperasi mengemas rumah secara besar-besaran. Termasuklah beroperasi di laci album-album lama ini. Dan ini hasilnya yang saya dapat kutip! Bersungguh saya scan gambar-gambar ni semua setelah selesai mengemas =)

Ini gambar saya berumur 2-3 bulan. Cuba lihat pandangan mata Kaklong terhadap bayi kecil molek itu? Bagaikan hendak menerkam bayi tu je kan? Entah-entah, saya menangis dibuat dek Kaklong kot. Huhu~

Ini ketika saya berumur 2 tahun 1 hari :p Yang kecil itu adalah Nan. Cuba lihat apa yang saya sedang lakukan. Kenakalan saya mengacau budak-budak sudah terserlah sejak kecil lagi rupanya. Hakhak =)

Saya seakan masih ingat suasana ini. Sedangkan waktu itu saya baru berumur 2 tahun lebih. Emak siapkan saya dan Kaklong di awal pagi kerana hendak bertolak ke majlis konvo ayah. Terasa bertuah dapat lihat ayah sendiri konvo waktu masih kecil lagi. Hehe. Ada satu gambar yang lain, Kaklong memakai topi konvo ayah dan memegang scroll ijazah itu. Tadi petang, saya tanya emak. Kenapa gambar saya tiada? Kata emak, saya yang tidak mahu. Adui. Rugi betul. Kalau tak, mesti saya ada gambar yang sama macam Kaklong. *ada unsur-unsur cemburu di sini* :p

Ini gambar di pagi raya kedua. Saya masih ingat suasana pagi raya ketika kecil-kecil dulu. Biasanya hari pertama kami berbaju kurung dan hari kedua kami akan dipakaikan sepersalinan mexi atau t-shirt begini. Cuba tengok kasut kami. Ini kasut favourite kami waktu kecil dulu tau. Saya rasa sampai umur 6 tahun saya suka memakai model kasut yang begitu. Dan rambut saya pula. Hahaha. Rambut cendawan! (Farah Ramlee, ni lah yang Kak Ngah cerita mushroom head waktu kecik-kecik tu. Sama macam kamu jugak kan. Hehehe.)

Inilah Nan, Kaklong dan saya. Kami bertiga sempat membesar bersama untuk jangka yang lama sebelum Lan lahir. Jadi, kami bertiga sangat rapat sehingga kini. Biasanya inilah 'uniform' kami di pagi raya. Sedondon je 3 beradik. Tudung memang wajib. Muka Kaklong memang tak berubah sehingga kini. Saya pula, hanya mata yang kekal sama sehingga sekarang. Tengok mata pun boleh cam itu saya. Tapi muka saya jauh berubah. Mungkin kerana dulu saya pernah terbakar (1993). Nan pula sejak kecil mukanya macam anak Mat Saleh sesat. Dia terkena genetik itu kot. Tapi semakin membesar, semakin Melayu mukanya. Huhu. (Farah Ramlee, awak sangat untung tau. Nanti anak awak dapat la kot genetik mixed Nan tu. Mesti comel gabungan Ayuni dan Nan. Huhu) :p

Saya dan Kaklong selalu memakai Mexi sewaktu kecil dulu. Jubah yang bercoraklah kiranya. Tok yang jahitkan untuk kami. Seingat saya, saya tidak pernah ada skirt pendek kecuali sehelai yang Tok belikan untuk kesemua cucu perempuannya ketika itu sewaktu pulang dari Mekah. Lain-lain, biasanya saya gemar bermexi dan berseluar track. Ketika ini saya berumur 4 tahun. Lokasi saya dan Kaklong berdiri inilah tempat di mana tumbuhnya Pokok Semarak di depan rumah Tok dan di situlah adanya buai yang selalu saya naiki itu =)


Gambar yang akhir ini, masih ingat saya cerita waktu Hari Graduasi Tadika, saya membaca Al-Quran untuk majlis pembukaan dengan tersekat-sekat seperti radio rosak? Haa...! Inilah gambarnya. Cuba tengok orang kat meja di tepi tu. Jahatnya. Dia gelakkan saya! Nak nangis!!!
Huhu. Entri ini ada berbaur cemburu pada Kaklong kan :p Tidak sebenarnya. Saya tak cemburu langsung. Sebenarnya saya sangat tak sabar menunggu siang kerana hari ini Kaklong akan balik ke rumah! Saya dapat berjumpa dengan my other half ini!!!

Kesimpulan entri ini ialah, saya sangat bulat waktu kecil dulu (~~,)v

Friday, June 27, 2008

Loghat Temerloh

Assalamualaikum wbt

Malam ini saya berjaga lagi. Tak boleh lelap. Kebetulan tengah dengar playlist lama ni, semuanya lagu orang putus cinta. Sabar ajelah kan. Terus saya tukar mendengar nasyid. Jauh lebih tenang. Tapi ada pula lagu Rapuh dendangan Opick. Tersentuh kembali hati.

Petang tadi seperti biasa duduk-duduk di buaian. Kemudian melihat adik-adik bermain badminton. Sebelum Maghrib, singgah ke rumah Tok. Minum petang di sana. Kemudian Iman merengek mahu didukung keluar sedangkan baru saja masuk ke rumah setelah dibawa berjalan tadi. Mak Tam berkata: Eh, mana boleh dik. Ni dah nak Allah Babat dah ni.

Mendengarkan perkataan Allah Babat, terus dia menggayakan cara orang mengangkat takbir. Dia faham itu tandanya waktu solat. Lalu Tok yang sedang bersiap untuk mengambil wudhuk menyampuk:

"Moh le kite ke semejid. Semayang Maghareb. Lepaih tu makan semekut empat semegi. Minum air merah melenggang."

Tercengang saya mendengarnya. Masya Allah. Apa yang Tok saya cakapkan ini? Saya faham dua ayat pertama itu saja. Saya tanyakan Tok, apa makna ayat yang penyudah itu. Semekut empat semegi? Air merah melenggang? Saya yakin sepupu saya yang dua orang itu pun tidak faham. Kata Tok, inilah ayat Ayah Long suka sebut dulu-dulu. Maksudnya:

"Jomlah kita ke masjid. Sembahyang Maghrib. Lepas tu makan biskut empat segi (biskut tawar tu lah). Minum air sirap."

Ya Rabbi. Tak terjangkau dek akal saya. Saya teringat entri tentang Bahasa Pahang yang saya tulis dulu. Ada yang kata kalau beginilah pekatnya loghat Temerloh asli, perlu ada terjemahan jika keluar di TV. Ya. Saya setuju amat. Hehe. Tapi saya suka betul mendengar perbualan orang tua di kampung saya atau di Pekan Sari (Pekan Sehari - pasar hari Ahad). Pekat sungguh loghatnya. Unik tau! Rugi kalau tak faham.

Ayah Long - Abang emak saya. Ayah kepada Nisa, sepupu saya yang paling disayangi. Nisa, sayangnya awak 'gebar' pun tak faham dulu waktu kita pergi Cherating kan. Hihik. Awak kena menuntut dengan Abah awak nampaknya ni. Dia sangat pakar bab-bab bahasa ni =)

Ok. Mahu menidurkan diri dulu. Esok pagi perlu ikut ayah ke klinik. Erm... Tak sukanya... Tapi harapnya segalanya dipermudahkan. Dan saya terkilankan satu perkara sebenarnya. Kenapa jadi begitu ye. Hmm...

Menjadi Nakal

Assalamualaikum wbt

Kelmarin kan saya dikenakan dek Iman dengan memanggil saya Tok. Nak tahu bagaimana saya mengenakannya semula?

Rumah saya di atas bukit. Ada empat buah rumah saja di atas bukit ini. Rumah saya, Tok, Tok Cik dan sebuah rumah emak saudara. Bagi saya dan Kaklong, kami tidak perlu bertudung di atas kawasan rumah kami ini kerana semua lelaki yang ada adalah muhrim. Kebetulan adik saya semua lelaki dan Ayah Tam pula adalah adik emak saya. Kecualilah jika ada adik saudara yang sudah besar di rumah emak saudara di sebelah rumah Tok itu. Kimi namanya. Tapi kebiasaannya Kimi tiada di rumah. Lainlah kalau mahu duduk-duduk di buaian. Wajib bertudung. Dari buai itu, boleh dilihat oleh kenderaan yang lalu-lalang di bawah.

Kebetulan petang semalam saya ke rumah Tok hanya berbaju kurung, tidak bertudung. Apabila hendak balik untuk solat Asar untuk keluar dengan emak, saya lihat ada kereta di hadapan rumah emak saudara di sebelah itu. Rupanya Ayah Su saya ada balik. Sepupu emak. Jadi saya masuk semula ke dalam rumah Tok dan meminjam tudung Hidayah. Ketika itu, Iman sedang berdiri di penghadang pintu tempat saya hendak keluar. Memang menjadi kebiasaan dia akan didukung keluar setiap petang. Sebaik melihat saya bertudung, dia mendepangkan tangan minta didukung.

Saya pun apa lagi. Menghulurkan tangan untuk mendukungnya. Tapi acah saja. Apabila dia hendak mencapai tangan saya, saya menarik semula tangan saya. Dua kali saya buat begitu. Dia mencebik mahu menangis. Ha... Tu lah. Panggil lagi Kak Ngah awak ni Tok. Kan dah tak dapat dukung. Huhuhu.

Sekian dari saya yang nakal :p

Thursday, June 26, 2008

Dunia Wanita Dewasa

Assalamualaikum wbt

Dua orang sepupu saya yang menuntut di UiTM Shah Alam masih berada di rumah sekarang ini. Hidayah dan Linda. Sem baru belum bermula lagi. Semalam saya mengajak mereka berdua duduk-duduk di buaian di hadapan rumah Tok. Bercerita itu ini. Macam-macam yang hendak dikemaskinikan dengan mereka. Kami membesar bersama-sama sejak kecil. Mereka berdua ialah anak sulung dan kedua Mak Tam. Kakak-kakak kepada Iman.

Baru bercerita sedikit, Tok Cik saya datang menjengah. Tok Cik adalah kakak Tok saya. Sebaik dia datang, dia sajalah yang bercerita. Bermula dari cerita tentang budak mati lemas di sungai yang baru-baru ini terjadi di Temerloh dan diungkitnyalah satu persatu kes mati lemas di sungai sejak dari yang boleh diingatinya di zaman mudanya dulu. Ya ampun. Bertahanlah kami bertiga melayan Tok Cik bercerita. Hidayah pandai melayan Tok Cik. Ada jugalah dia menyampuk menambah itu ini bila perlu. Saya pula hanya tumpang angguk dan gelak sajalah. Menyampuk sikit-sikit saja. Sebelum azan Maghrib, kami beransur balik. Saya menceritakan pada emak dan ayah tentang Tok Cik tadi. Emak dan ayah pun tumpang ketawa sajalah kerana sudah kenal dengan perangai Tok Cik ini.

Siang tadi, seharian saya duduk di rumah tidak keluar-keluar. Bila emak balik dari sekolah, emak mengajak ke Pasar Tani selepas Asar nanti. Saya katakan, saya mahu ke kedai kasut sekali. Mahu membeli sandal. Saya tidak punya sandal untuk digunakan. Emak bersetuju. Selesai Zohor, saya ke rumah Tok bertemu Hidayah dan Linda. Saya katakan mahu membeli sandal sekejap lagi. Terus laju saja mereka berdua menyarankan saya membeli kasut yang bertumit tinggi. Katanya: Kak Ngah, awak kena jadi macam perempuan sikit. Jalan janganlah ganas-ganas laju-laju sangat. Bila pakai high heels ni, awak akan control sikit. Jalan pun sopan je. Mak Tam yang ada di situ pun bersetuju. Katanya: Alah. Umur dah 23 dah pun. Apalah salahnya bergaya sikit. Untuk diri sendiri. Bukan nak menunjuk-nunjuk ke apa. Bukannya tak tutup aurat kan. Awak kan pakai stokin.

Kemudian Linda menyampuk: Kalau awak tak mula sekarang, nanti awak kekok untuk jadi macam orang dewasa. Saya bertanya pada mereka: Aik. Sekarang ni Ngah tak cukup dewasa lagi ke? Hidayah dan Linda riuh memberikan pendapat tapi pendapat Mak Tam yang lebih saya utamakan: Dewasa tu dewasah dah. Tapi kurang pandai melawa je lagi. Bukannya nak melawa beria-ia. Cukup untuk nampakkan diri awak tu bukan macam budak-budak je. Nampak matang sikit. Nampaknya, ada macam-macam lagi rupanya yang saya perlu baiki tentang diri ini. Saya kena berguru dengan budak dua orang itulah gayanya.

Apabila tiba di kedai kasut, emak menurunkan saya terlebih dahulu kerana emak hendak mencari parking. Sebaik emak masuk, saya berbisik pada emak: Emak, nak beli heels la. Respon emak: Ha. Eloklah. Takdelah nampak rendah sangat. Hahaha. Terkena saya. Saya tunjukkan satu contoh yang menarik minat saya. Emak kata: Macam ni ok lah. Bukannya tinggi tak ingat dunia. Cantik pun cantik.

Hari ini, baru saya dapat melihat persepsi orang lain tentang kasut tumit tinggi. Bagi saya, saya kurang selesa bertumit tinggi. Memang tak reti. Memang cantik melihat orang lain pakai. Tapi saya sendiri tidak tahu apa pentingnya untuk saya pakai. Memang saya rendah saja. Tapi saya tidak rasa berkasut tumit tinggi adalah satu keperluan. Tapi setelah mendengar pendapat emak, emak saudara dan sepupu yang berdua itu, maka tadi saya dengan jayanya telah membeli kasut bertumit tinggi. Lebih tepat adalah sandal bertumit tinggi. Tapi tidaklah tinggi mana. Huhu. Tapi bolehlah buat saya memandang seorang kawan lama yang terserempak di kedai itu seperti gaya orang tinggi memandang orang yang rendah. Oh. Begini perasaannya! Hehehehe.

Apa kaitannya kisah tumit tinggi ini dengan Tok Cik yang di atas tadi? Sebenarnya, setelah membeli kasut itu, saya teringatkan Tok Cik. Tok saya selalu bercerita Tok Cik itu muda-muda dulu sangat cantik. Ramai yang hendak berkahwin dengannya. Sampaikan askar Jepun pun berminat. Dan pada petang semalam ketika mendengar Tok Cik bercerita, dia ada menyebut tentang dia dulu-dulu muda-muda pun pakai kasut bertumit tinggi dan bergincu bibir. Oh. Saya memang gelak besar mendengarkan hal tersebut. Tak sangka sungguh!

Macam manalah saya agaknya bila sudah tua nanti ye. Hehe.

Wednesday, June 25, 2008

Bercakap Bahasa Budak

Assalamualaikum wbt

Malam sebelum bertolak balik hari Selasa lepas, saya tidak tidur walau sepicing pun. Sepanjang malam saya mengemas barang, buku-buku di rak dan membasuh baju. Pukul 7 pagi, teksi datang menjemput untuk ke airport. Kami bertujuh pada waktu itu. Yang lucunya, kami semua memakai tema warna yang sama hitam, putih dan biru gelap. Disebabkan kemengantukan yang dahsyat, sebaik kapal terbang berlepas, saya terus lelap. Kebetulan di sebelah saya ialah Akmal, pelajar tahun 2 (junior KISAS). Tak sempat cerita banyak, terus saya terlelap. Begitu juga perjalanan dari Tashkent ke KL. 7 jam setengah rasanya seperti 2 jam lebih saja. Saya tidur saja sepanjang jalan.

Sebaik tiba di KLIA, emak dan ayah masih belum tiba. Saya memaklumkan pada mereka bahawa flight akan tiba sedikit lewat. Sebaliknya tiba tepat pada masanya. Sementara menunggu, sempat lagi saya terlelap. Kisah apa saya kan. Terlalu mengantuk. Saya lelap juga. Sebelum itu, saya sempat berjumpa dengan sahabat baik saya, Faaiqah yang juga baru tiba dari Cairo. Ibunya juga ada bersama datang menjemputnya. Sudah setahun tak bertemu. Berpelukanlah kami di sana. Seri wajah pengantin makin terserlah di wajahnya. Hihi.

Sebaik terjaga dari tidur, saya menegakkan kepala dan terlihat kereta ayah berhenti betul-betul di hadapan arrival hall. Emak yang keluar mencari saya. Saya sudah nampak dari jauh dan terus meluru memeluk emak. Kemudian memeluk ayah pula. Terlepas rindu pada kedua-duanya. Dalam perjalanan pulang, ayah bertanya, nak makan nasi atau mee? Laju saya menjawab: Nasi!

Sempat lagi saya tertidur sebelum berhenti makan nasi di Melawati. Menu saya tengahari itu ialah Nasi Beriyani! Kemudian kami terus menyambung perjalanan ke Temerloh. Dan sepanjang jalan itu saya tidur lagi di tempat duduk belakang. Siap boleh baring lagi tu. Sedar-sedar saja, kami sudah pun menghampiri kawasan rumah. Sebaik tiba di rumah, saya berjalan-jalan di dalam rumah dari ruang tamu ke dapur dan ke ruang tamu semula. Melihat-lihat rumahlah kononnya. Selepas meletakkan barang-barang di dalam bilik, saya membuka peti. Ada buah betik sejuk! Rezeki sungguh. Sebenarnya rumah saya memang tak putus bekalan betik. Ada pokok betik yang sentiasa berbuah. Tapi kena berebut dengan burung. Huhu. Buah yang di bahagian atas, burung yang punya. Buah yang di bahagian bawah, kami yang punya. Huhu. Ini namanya rezeki Allah dikongsi sama rata. Hehe.

Kemudian saya ke rumah Tok. Ingin berjumpa Tok dan yang lain. Tapi Tok masih belum pulang dari masjid. Yang ada Mak Tam dan keluarga. Dah setahun dah budak kecik tu. Seronok betul saya dapat main dengan Iman. Tahun lepas waktu saya balik bercuti, Iman baru saja lahir. Kini sudah setahun. Sudah berjalan jatuh bangun, sudah bising mulut dan sudah pandai menggigit orang. Hoho. Sakit.

Pagi tadi, sekitar jam 7.30am, rumah saya sudah kosong. Semua sudah ke sekolah dan kerja. Kebosananlah saya seorang diri di rumah. Tapi sekitar jam 9 pagi, saya terdengar bunyi tapak kaki Mak Tam datang ke rumah untuk mengambil baju untuk dijemur. Mak Tam membawa Iman sekali. Saya pun apa lagi. Bermain dengan Imanlah di laman rumah. Saya pangku dia di atas riba. Saya menyebut ayam dengan nada menyuruhnya mengulang sebut semula perkataan itu. A-yam. Dia balas: Yam. Saya menyebut pula: Po-kok. Dia membalas: Kok. Aishh. Ada-ada saja budak kecik ni ye. Saya sebut: Mo-tor (ada scooter arwah Chik saya yang meninggal Oktober lalu di garaj hadapan rumah). Dia membalas: Broom. Aik. Melebih pula dia ye. Bila bab motor je, tahu pula dia untuk membuat bunyi.

Bila saya dukung dia masuk ke rumah, kami menonton TV rancangan kartun. Ada itik. Saya menyebut: I-tik. Dia membalas: Tik. Dan selepas itu membuat ulangan: Tik-tik-tik. Haha. Saya tergelak sungguh waktu itu. Selepas itu saya menyebut Kak-Ngah. Nama sayalah tu. Dia diam dan tenung saja muka saya. Kemudian dia membalas: Tok.

Uwa......... Saya bukan Tok la. Saya Kak Ngah. Jauh benar iras muka Tok dengan muka saya yang muda remaja lagi comel dan ceria ini :p Uwaaaaaa.... Jagalah Adik Iman. Esok Kak Ngah kenakan awak semula tau :p

Nota Dari Eropah Timur (ii)

Assalamualaikum wbt


Menyambung kembali catatan percutian yang lalu. Pada hari keempat, kami sudahpun berada di Budapest. Sebaik sampai dari Prague, kami menginap di sebuah hostel yang dikendalikan oleh Viktor. Keramahannya sangat menyelesakan kami kecuali bilik hostel kami yang panas. Hehe. Kami memulakan pengembaraan hari keempat di Budapest dengan mencari tiket bas untuk ke Bratislava pada petangnya. Selesai urusan bas, kami terus menuju ke Castle Hill. Di sinilah letaknya Buda Castle yang gah tersergam di tepian sungai, di atas bukit. Kawasannya teramat luas. Ada dua istana di atas bukit tersebut. Pertama adalah Buda Castle dan yang keduanya ialah istana yang berfungsi sebagai gereja. Dahulu, Hungary mempunyai 2 agama utama iaitu Budha dan Kristian. Kini hanya agama Kristian yang masih kekal dan kebudayaan yang di bawa oleh agama Budha hapus sama sekali selepas perang dunia kedua. Mungkinah ada kaitannya dengan Perang Salib yang berjaya meletakkan agama Kristian sebagai yang teragung di sana? Saya juga kurang pasti tentang ini. Budapest membawa maksud Buda (Pemerintah) dan Pest (Rakyat/Sampah). Kawasan Buda adalah di atas bukit di seberang sungai. Kawasan Pest pula adalah di perlembahan sungai seberang sana. Kedua-dua kawasan ini dihubungkan oleh jambatan.

Cuaca di Budapest teramatlah panas. Saya sampai tidak boleh membuka mata ketika berjalan kerana hari teramatlah terik. Shades saya telah patah ketika di Prague. Jadi, terpaksalah harungi saja cuaca panas itu. Saya membeli sebotol besar air mineral dan dalam sekelip mata hampir habis saya minum. Kami menuruni bukit Buda Hill itu dengan berjalan kaki di bawah panas terik. Kemudian merentas jambatan utama di sana dan terus menuju ke bangunan Parlimennya. Kemudian kami menaiki trolley bus untuk berjalan-jalan di sekitar badan. Tak mampu lagi untuk berjalan kaki untuk ke destinasi yang seterusnya. Kota Budapest tidak banyak bezanya dengan Moscow City. Bangunannya hampir sama cuma bahasanya saja yang berbeza. Kemudian kami mengambil metro menuju ke Pusat Bandar di De'ak Ter dan kemudian menuju ke Feren Ter. Di sana letaknya beberapa lagi tempat yang hendak kami lawati dan kemudian hendak makan tengahari walaupun sudah petang hakikatnya pada waktu itu. Kami hanya ke McD saja. Fillet O Fish sajalah untuk hari itu. Selesai makan, kami ke jalan khas yang menjual cendera mata. Di sebuah kedai di sana, kami memborong sekali harung kerana harganya murah. Tambahan pula, anak makcik kedai itu sangatlah kacak ok. Oh. Dia ada mengajar saya sedikit bahasa tempatan. Tapi yang saya ingat hanya 'kasenum' (terima kasih). Huhu. Yang lain saya lupa kerana gabra ketika berbual dengannya. Hahahaha. (Jarang jumpa orang kacak yang berbudi bahasa dan pemalu. Rajin menolong emaknya pula tu. Huhu) :p

Sebelah petangnya, selesai solat Zohor dan Asar, kami menunggu bas untuk ke Bratislava, Slovakia. Dalam bas, kami semua tidur saja kerana kepenatan yang teramat sangat. Kulit juga hitam berkilat kerana lama berpanggang di bawah cahaya matahari. Sebaik sampai di Bratislava, kami ada masalah untuk mengeluarkan duit kerana di Malaysia sudahpun lebih dari jam 12 malam. Kami terpaksa menukar mana-mana duit baki yang sedikit yang kami ada dan kumpul-kumpulkan untuk membayar baki duit hotel yang perlu kami bayar sebentar lagi. Slovakia ini baru saja mendapat kebebasan daripada USSR sekitar tahun 1993. Namun pembangunannya sangat pesat. Saya sukakan bandar modennya. Dan bandar lamanya pula tipikal seperti di Prague. Kecil-kecil dan unik. Kami berjalan kaki menuju ke hotel. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah supermarket untuk membeli stok air. Ya Allah. Harga barangnya seperti di Malaysia saja. Murah! Hendak dibandingkan dengan harga di Moscow, jauhlah perbezaannya. Hehe. Saya borong jus. Semenjak memulakan perjalanan lagi, saya sangat sukakan jus Cappy. Semua jenis jusnya sangat pekat dan sedap. Huhu. Promosi sat :p

Malam itu, kami hanya berehat saja di hostel. Hotel kali ini juga sangat selesa. Harganya murah seperti hostel tapi tahapnya adalah hotel. Sungguh! Kami memang tidur mati sekali lagi malam itu. Keesokannya, kami bergerak agak lambat dari hotel setelah siap bersarapan. Ini kerana kami tahu Bratislava bukanlah bandar yang besar. Kami studi dahulu plan perjalanan kami hari ini sebelum keluar. Destinasi pertama kami ialah ke stesyen keretapi. Kami hendak membeli tiket ke Vienna pada petang itu. Jarak antara Bratislava dan Vienna hanyalah 64km. Perkhidmatan keretapi merentas 2 negara ini sangat kerap dalam sehari. Mencecah 12 kali sehari. Sistem tiketnya juga adalah open tiket, tiada nombor tempat duduk (free seating). Keretapi ekspres yang selesa. Selesai membeli tiket dan memilih untuk bertolak dari Bratislava pada pukul 5 petang, kami kemudiannya menuju ke Bratislavsky Hrad (Bratislavsky Castle). Malangnya, istana itu sedang dalam proses baik pulih sejak awal 2008. Kami hanya berpeluang melihat-lihat dari luar saja. Cukuplah begitu. Seterusnya kami menuju ke beberapa buah istana lain di bawah bukit pula. Kami berjalan kaki di Old Town. Hari sangat panas tapi nasib baik berangin (di Budapest sangat panas dan tak berangin, hangit kami di sana).

Setelah penat berjalan kaki, kami bercadang hendak berjalan-jalan melihat pemandangan dengan tram saja. Sampai di satu stesyen ini, kami turun untuk membuat pertukaran dan kemudian menuju ke Historical Square. Di sini letaknya beberapa monumen penting, bangunan bersejarah yang masih belum kami pergi dan tempat membeli cendera mata. Memandangkan harga barang di Bratislava murah dan ini merupakan destinasi terakhir kami, kami bercadang untuk makan tengahari di sebuah restora tempatan. Dengan hanya 3 Euro (RM15++), kami makan dengan kenyangnya di sebuah restoran tempatan yang menghadap ke Main Tower. Selesai makan, kami pergi membeli cendera mata. Kebetulan pada hari itu, ada ramai pasangan pengantin (orang kaya raya pastinya) yang membuat majlis mereka di Historical Square ini. Selesai membeli barang, kami berjalan-jalan lagi. Tiba-tiba saya terpegun. Ada seseorang yang melintas di sebelah Fatt kelihatan sangat familiar. Wah! Muka orang itu seperti prince charming saya yang telah putus kasih dengan saya itu! Siapa? Farid Kamil lah. Huhu. Sungguh. Memang gaya. Tapi prince charming saya itu lagi tinggilah, kan. Hehe. Selesai semuanya, kami menuju ke Stesyen Keretapi. Perlu solat Zohor dan Asar dulu sebelum keretapi bergerak. Kami hendak sampai awal sedikit di Vienna kerana Fatt dan Pena hendak membeli sesuatu di Stephanplatz.

Di dalam keretapi, semuanya tidur. Saya mengeluarkan buku sajak dan menulis. Pemandangan yang cantik di sepanjang jalan sangat memberikan inspirasi. Di sepanjang perjalanan dari Prague ke Budapest pun begitu juga. Dalam bas ketika itu, 4 buah sajak sekali gus yang saya sempat hasilkan. Sajak ngokngek-ngokngek je lah, kan. Setibanya di Vienna, saya terus menuju ke airport, Fatt dan Pena pula ke City Center. Setibanya di airport, saya terus mengurus diri sementara menunggu mereka tiba. Apabila mereka tiba, kami pergi ke McD untuk makan sedikit sebelum check-in. Malam itu ada perlawanan bola. Kami pastilah menyokong Rusia. Hehe. Kami berkampung di airport beramai-ramai dengan peminat bola yang lain menonton di TV di sebuah restauran yang ada di sana. Hanya apabila masa telah tiba, kami berangkat ke Passport Control.

Di awal pagi Ahad, kami berlepas pulang ke Moscow meninggalka segala kenangan manis sepanjang pengembaraan di Eropah Timur ini. Di dalam kapal terbang, kami semua tidur kepenatan. Kami selamat tiba ke rumah semula pada jam 7.30 pagi waktu Moscow. Berkemas ala kadar dan kemudian sambung tidur semula sehingga jam 11.30. Saya bergegas bangun di saat yang lain masih tidur untuk membasuh baju dan berkemas. Berkemas untuk pulang ke Malaysia pula.

Inilah antara catatan percutian kali ini. Sebenarnya, ada beberapa persamaan antara keempat-empat negara yang kami lawati ini. Kesemuanya mempunyai istana yang terletak di atas bukit di tepian sungai utama negara tersebut yang mana sungai ini memisahkan kawasan pemerintahan di raja dengan kawasan rakyat kebanyakan di seberang sungai yang sebelah satu lagi. Hal inilah yang menyebabkan rakyat menjadi tidak puas hati kerana rakyat tidak dibenarkan mendekati kawasan bukit tempat letaknya istana di raja. terutamanya di Prague. Revolusi yang terjadi pada tahun 1300-an adalah bukti kebencian rakyat terhadap sistem pemerintahan pada waktu itu. Yang lebih tepat, rakyat bencikan kuasa suara yang dipunyai oleh paderi-paderi yang mengetuai gereja-gereja di istana kerana pihak istana sangat mendengar pendapat mereka. Sedangkan pendapat mereka lebih berbentuk untuk menjaga kepentingan masing-masing. Begitu juga dari segi agama. Kenapa agama Islam kurang sampai ke tempat-tempat ini? Kerana adanya suara paderi yang menghalang kemasukan pedangang-pedagang Islam yang datang untuk bertemu pihak di raja pada waktu itu. Satu lagi persamaan nagara-negara di Eropah Timur ini ialah pertalian di raja antara mereka semua. Ini dimulai oleh Maria Theressa dan keturunan kerabatnya yang berkahwin dan dihantar menjadi wakil pemerintahan di hampir kesemua negara di Eropah Timur. Siapa Maria Theressa? Dialah Puteri Kerajaan Austria yang telah melahirkan 16 orang anak yang mana kesemuanya menjadi watak penting dalam revolusi dunia termasuk zaman gelap dan kebangkitan semula (Renaissance).

Sekian dulu Nota dari Eropah Timur kali ini =) Saya nak sambung main dengan baby!

Monday, June 23, 2008

Nota Dari Eropah Timur (i)

Assalamualaikum wbt


Akhirnya saya dapat kembali menulis di sini. Rindunya pada blog. Huhu. Macam rindu pada siapa aje. Alhamdulillah. Percutian saya bersama Fareena (Pena) dan Fatini (Fatt) berjalan lancar. Sepanjang berkelana, saya hanya sempat menggunakan internet selama setengah jam saja.

Kami bertolak dari rumah pada petang 16 Jun lalu dengan menaiki metro dan bas menuju ke airport. Tanpa disangka-sangka, dalam 1km menuju ke balai berlepas, jalan jam dengan teruk. Sebaik turun dari bas, kami berlari-lari menuju ke kaunter check-in. Kamilah orang terakhir yang berada di situ! Lega, Alhamdulillah. Kami tiba di Vienna, Austria pada jam 11.30 malam. Ada beberapa insiden lucu berlaku di sini tapi akan saya ceritakan dalam entri khas nanti. Sebenarnya, pada malam kami tiba di Vienna itu, kami bermalam di airport saja. Pertamanya kerana hotel dan hostel yang murah yang menepati bajet kami telah habis kerana EURO 2008 yang berlangsung di sana. Keduanya memang kami hendak berjimat. Jadi tidak kisahlah terpaksa melepak di airport pada malam itu. Balai ketibaan lengang pada tengah malam. Ada 24h McDonald's dan banyak kerusi kosong. Ada beberapa lagi pengembara muda (cewah) seperti kami yang bermalam di airport juga. Untuk sarapan pagi, saya dan Pena menyediakan sandwich tuna sebaik selesai solat Subuh pada jam 3 pagi. Selepas solat, baru saya terlelap. Sebelum bertolak ke pusat bandar menaiki aerotrain OBB, kami menikmati minuman panas di McD. Air sajalah. Makan tidak. Aiyo. Mahal oo. Cukuplah makan sandwich buatan sendiri, kan. Berjimat beb. Huhu.

Sebaik tiba di pusat bandar Vienna, kami terus menuju ke International Bus Terminal dengan menaiki subway. Kami bergerak 100% berpandukan peta dan maklumat daripada kaunter informasi pelancong. Vienna bandar yang cantik, sangat bersih dan tenang. Penduduknya sangat ramah dan sanggup menolong walaupun kita tidak meminta. Sebenarnya, ini kali kedua saya ke Vienna. Kali pertama adalah pada tahun 2005 seorang diri. Huhu. Di terminal bas, kami terus mendapatkan tiket petang ke Prague, Republik Czech dan kemudiannya menyimpan beg di tempat simpanan. Seterusnya, mengembaralah kami ke seluruh kota Vienna dengan dimulai ke Schonbrunn Palace. Sangat cantik! Oh ye. Kebetulan, dalam perjalanan ke sana, Pena yang bertopi (yang ada tulisan Rusia) telah ditegur oleh seorang gadis Jepun. Nasu Tomoko. Adakah Pena boleh berbahasa Rusia? (kerana tulisan di topi itu). Setelah bercerita sedikit sebanyak, rupa-rupanya dia juga menuntut di Moscow, lebih tepat di Pushkin Institute, dalam jurusan Linguistik dan Kesenian Rusia. Di situlah dulu saya tinggal ketika di tahun pertama dan kedua. Bermula dari situ, kami tidak lagi bertiga. Sebaliknya berempat. Tapi kemudiannya kami berpisah kerana kami bertiga mengejar masa untuk ke tempat-tempat lain. Kami berjaya menaiki Wein Ferris Wheel, ferris wheel tertua di Eropah! Gerabaknya juga sudah lama tapi masih sangat kukuh dan cantik. Dan juga unik! Di situlah juga letaknya stadium bola yang digunakan untuk EURO 2008.

Antara tempat-tempat lain yang telah kami pergi ialah Rathaus, University of Vienna, Parliament of Austria, Staatsoper Opera House, Cathedral St.-apa-entah (lupa nama, hihi), Stephansplatz dan City Center di mana cenderamata boleh didapati dengan banyaknya tapi dengan sangat mahal. Huhu. Kami ni kan kedekut. Beli mana yang berkenan dan perlu saja. Tak boleh melebih-lebih. Pokai nanti. Matawang di sini ialah Euro. 1 Euro bersamaan RM5.80. Jadi pandai-pandailah berpada, kan (Sebenarnya takut terlari bajet. Hikss). Dan pada petangnya kami menaiki Euroline Express Bus menuju ke Prague. Memang kami sangat penat setelah seharian berjalan. Dalam bas, memang kami tidur saja. Tapi, kawasan ladang gandum di sepanjang perjalanan ke Prague sangat cantik dan memukau. Pokok ros juga tumbuh merata di mana-mana saja. Yang boleh saya katakan, petani-petani di Republik Czech mempunyai taraf hidup yang jauh lebih baik berbanding di negara kita. Rumah mereka semuanya bagaikan kawasan perumahan 2 tingkat yang sangat selesa di Malaysia. Saya rasa mereka beruntung kerana polisi negara mereka yang tidak mengkesampingkan pembangunan para petani yang memberi sumbangan ekonomi yang tidak kurang besarnya pada republik tersebut.

Sebaik tibanya di Prague, persepsi pertama kami ialah 'Alamak, macam Rusia!'. Jahat betul mulut kami :p Terus kami ada rasa sedikit kurang senang kerana bandar tempat kami turun dari bas adalah tipikal seperti bandar kecil di Rusia. Bahasanya juga hampir sama cuma tidak menggunakan alfabet Rusia yang pelik-pelik itu. Kami terus menuju ke hotel. Ya Rabbi. Selesanya hotel kami walaupun harganya sangat murah. Sebaik sampai ke bilik, perkara pertama yang kami buat ialah mandi. Yahuu. Dan pada malamnya kami bertiga tidur mati kerana kepenatan. Kaki dan badan memang sangat lenguh. Bangun Subuh dan kemudian sambung tidur. Jam 6.30 pagi baru bangun untuk bersiap memulakan pengembaraan hari ini. Kami berada di Prague selama 2 hari. Pada hari pertama, kami menjelajah ke seluruh bandar Prague. Pada mulanya kami menaiki mtero dan tram menuju ke istananya yang terletak di atas bukit. Kawasannya sangat luas! Kami turun naik bukit dengan berjalan kaki. Penat sangat. Tapi kawasannya sangatlah segar, bersih dan cantik. Dan apa yang membezakan warga Prague dengan orang Rusia ialah keramahan mereka. Kami berkali-kali, tanpa meminta, telah dibantu oleh seorang pakcik orang tempatan dan menceritakan pelbagai sejarah republik tersebut kepada kami dan mencadangkan kami ke beberapa buah taman yang didakwanya adalah 'Taman Romantik'. Hehe. Tapi kami tidak pergi pun. Setelah menyeberangi Charles Bridge, kami berjalan dari Stary Mesta (Old Town) tanpa arah yang spesifik dan akhirnya sampai ke Novy Mesta (New Town). Jika mengikut peta, jaraknya adalah sangat jauh dan kami hanya berjalan kaki merentas dua tempat ini!

Di sebuah kedai, saya ditegur oleh seorang lelaki berbangsa Arab. Warga Tunisia. Selepas berbasi-basi lebih kurang dan dia menguji tahap Bahasa Arab saya, saya mengambil kesempatan bertanyakan tentang kedai makan halal. Terus diberikannya arah yang terperinci untuk ke situ. Dan pada petang itu, kami makan malam (merangkumi makan tengahari) di kedai itu. Sebelum tiba di kedai itu, di tengah-tengah alam yang entah mana punca, saya terdengar nama saya dipanggil. Kak Sarah Shukor. Dua kali. Mata melilau sekejap dan terpandangkan muka 2 orang perempuan bertudung. Orang Malaysia pastinya. Setelah dia menerangkan siapa dia dan kenapa dia mengenali saya, barulah saya dapat mengecam siapakah itu. Kecilnya dunia. Yang memanggil nama saya itu ialah Aina Mardhiah. Junior saya ketika di KISAS. Yang lebih saya terkejut, rupanya itu adalah adik angkat kepada Aizuddeen, kawan saya yang kini bekerja di London (Izu, kantoi dah! Kecil je dunia ni. Baru saya tahu awak kaki chatting ye zaman sekolah dulu. Huahua). Tak sangka sungguh Aina dapat mengecam saya setelah 6 tahun tidak bertemu.

Sebenarnya, kami bertiga merancang untuk menikmati keindahan malam di Prague. Kota muzik yang romantis. Lorong-lorong kecil yang bersimpang-siur di tengah bandarnya sangat cantik. Sistem pengangkutannya sangat bagus. Saya berikan 10 bintang untuk sistem pengankutan di Prague. Baik metronya, basnya mahupun tramnya yang sangat sistematik. Peta yang kami miliki juga menyenaraikan segala nombor bus mahupun tram yang melalui jalan-jalan yang ingin kami tujui. Jadi tiada istilah sesat di sini. Dan dari jam 12.30 malam sehingga jam 4.30 pagi, ada tram malam yang disediakan untuk menikmati keindahan malam kota Prague. Inilah yang kami rancang mahu nikmati. Sebaik sudah makan di kedai halal tersebut, jam hampir mencecah pukul 8 malam (masih cerah). Kami pulang dulu untuk solat jamak ta'khir Zohor dan Asar. Ikut perancangan, sebaik selesai Maghrib kami akan keluar semula. Yang lucunya, masing-masing tertidur kepenatan dan terbangun pada jam 11 malam untuk solat Maghrib dan Isyak lalu menyambung tidur. Tersangat penat! Seharian kami tertlalu banyak berjalan kaki. Lenguh-lenguh dan sakit-sakit badan tapi rasa sangat berbaloi. Lepas bangun Subuh pada pukul 3.30, kami sambung tidur dan hanya menyambung pengembaraan hari kedua di Prague pada pukul 7 pagi.

Hari kedua kami peruntukkan untuk mencari cendera mata. Terutamanya kristal. Republik Czech popular dengan kristalnya yang berjenama Bohemia (mesti ramai yang tahu, kan). Kristal Austria (Swarovsky) juga popular di sini. Maka pada hari kedua kami penat menjelajah sana sini mencari kedai yang menawarkan harga yang berpatutan. Memborong jugalah kami di sini. Matawang republik ini ialah Crown (Koruna). 1 Euro bersamaan 246 Crown. Pada jam 2 petang, kami menuju ke terminal bas. Bas kami untuk menuju ke Budapest, Hungary akan bergerak pada jam 4 petang. Sengaja kami datang awal. Untuk berehat-rehat di Cyber Cafe yang berdekatan. Huhu. Sangap kami tidak mendapat internet selama 3 hari. Huhu. Baru 3 hari kami mengembari, kami bertiga sudah hitam garing di bawah terik matahari musim panas. Saya seorang budak hitam. Haha. Oh ye. Ada seorang budak sepet tu telah mencalit tahi kambing kering pada saya dari jauh. Saya akan balas satu hari nanti. Jagalah ye :p

Gambar terakhir ini saya ambil ketika dalam perjalanan ke Budapest merentasi ladang gandum di kawasan luar bandar Republik Czech. Gambarnya agak kabur kerana bas sedang bergerak. Tapi gambar ini betul-betul membuatkan saya teringatkan blog saya, rakan-rakan blogger dan pembaca-pembaca My World. Langit biru, rumput hijau dan sebatang pokok =)

Cukup ini dahulu Nota dari Eropah Timur untuk kali ini. Saya akan sambung nanti. Sekarang jam menunjukkan pukul 2.55 pagi. Saya masih belum tidur. Menunggu Subuh dan mahu habiskan mengemas barang. Siang nanti saya akan terbang lagi.

Kali ini terbang menuju ke kampung halaman tercinta pula, Malaysia!!! Jaga diri ye semua. Insya Allah berblog dari Malaysia pula nanti =) Daa~ Salam.

Monday, June 16, 2008

Berakhirnya Tahun Lima

Assalamualaikum wbt

Yeay~ Alhamdulillah. Exam telahpun berakhir pagi ini. Alhamdulillah tahun ini Allah limpahkan rezeki yang tak terhingga buat saya. Saya mendapat Excellent Mark untuk kesemua 8 subjek. Alhamdulillah. Dengan berakhirnya exam sebentar tadi, maka rasmilah kini saya bergelar pelajar perubatan tahun akhir. Macam tak percaya. Perjuangan saya hampir menuju penyudah. Tapi saya takut sebenarnya untuk masuk ke alam pekerjaan nanti.

Nasihat buat junior terutamanya adik-adik rumah saya yang akan masuk ke tahun klinikal, jangan bertangguh. Sentiasa bersedia sebelum ke kelas dan sentiasa membuat persediaan exam dari awal. Tahun klinikal bukan seperti tahun 1, 2 atau 3. Letih, padat dan tertekan.

Terima kasih buat semua groupmates saya yang sememangnya best! Hidup saya lengkap di Moscow ini kerana ada kamu semua. Sama-sama kita tempuh setahun yang terakhir ini dengan jayanya ya. Buat Faisal, Wendy, Davina, Farah, Smoque, Meor, Fizy, Mus, Thines dan Azam, selamat bercuti. Jumpa di sem depan ok. Kekalkan ke-best-an group kita (^^,)v

Thanks Faisal for the pic

Hari tu saya ada katakan yang saya ada satu berita gembira, kan? Sebenarnya, petang ini, saya, Fareena dan Fatini akan bertolak ke Vienna. Yeay! Bercuti 6 hari. Destinasi kami:

Moscow-Vienna-Prague-Budapest-Bratislava-Vienna-Moscow

Pada mulanya kami merancang untuk ke Itali. Tapi tidak kena pula dengan jadual exam kami. Jadi kami menukar rancangan. So, Vienna, here we come! Jadi, jumpa lagi Ahad depan ya!

Daa~ Salam.

Sunday, June 15, 2008

Penyakit Keturunan

Assalamualaikum wbt

Semalam saya menelefon rumah seperti biasa. Bual dengan ayah. Bual dengan emak. Emak memberitahu serba sedikit keputusan peperiksaan pertengahan tahun adik-adik. Kata emak, adik-adik semuanya rendah-rendah saja Bahasa Melayunya. Pelik. Maka saya pun berbual dengan adik-adik yang di rumah kecuali Aiman. Sudah tidur awal kerana hendak bangun tengok bola katanya. Yang ada hanyalah Adam dan Azizi.

Selidik punya selidik, mereka semua ni sama saja. Adui. Apa nak jadi. Bahasa Inggeris semuanya tinggi tapi Bahasa Melayunya pula rendah. Selepas membebel pada Adam yang akan mengambil PMR pada tahun ini, saya megomel-ngomel pada emak pula. Kenapalah pelik sangat adik-adik ni. Nak dikata tidak cakap Melayu, hari-hari pun berbahasa Melayu. Emak jawab:

"Diorang ni semua kan kaki lagu. English je la hari-hari. Faham-faham je la, Ngah. Budak laki ni lain. Kena pantau, duduk sebelah dia, baru nak buat. " Adui la... Itukah alasannya. Gelak sajalah saya dan emak. Saya tanya emak, saya dulu-dulu macam mana ye. Kena dikerah semua ke baru hendak buat? Emak jawab:

"Awak bertiga dulu, sampai Nan, tak pun. Duduklah masing-masing memerap dalam bilik masing-masing, buat kerja masing-masing. Tak exam pun belajar jugak." Wah. Terus ketawa-ketawa kami semalam mengingatkan Kaklong, saya dan Adnan dulu-dulu. Kami bertiga yang di atas ni kiranya budak baiklah. Huhu. Tiba-tiba saya teringat waktu saya dalam tingkatan 2, ketika itu saya sudahpun berada dalam pasukan bahas sekolah. Satu hari cikgu bahas saya menegur saya. Kebetulan dia adalah guru kelas kepada Adnan. Katanya:

"Sarah, apa nak jadilah dengan adik kamu si Adnan tu. Bahasa Melayu dia rendah. Bahasa Inggeris je asyik A. Kakaknya pembahas, adiknya Bahasa Melayu pun C." Cikgu itu menegur bukan marah, tapi dalam keadaan ketawa-ketawa. Tapi nak buat macam mana. Bukannya saya boleh tukar Nan untuk jadi macam saya, kan. Dah kelebihan dia waktu itu adalah pada Bahasa Inggerisnya. Kebetulan, dia wakil syarahan Bahasa Inggeris ketika itu.

Dalam hati baru saya dapat kaitkan, ini penyakit keturunan ni. Abangnya yang teratas pun ada masalah dengan Bahasa Melayu dan 'mematsaleh-celupkan' diri, patutlah adik-adik pun sama. Haa... Inilah perangai anak lelaki. Liat sikit. Perlu disuruh, diteman, dipujuk suruh buat, barulah hendak buat. Tapi bab-bab makan dan 'mengusha', tak suruh pun tak apa. Ups...

Semalam kan, saya duduk studi dari jam 6 pagi sampai ke 5.30 petang. Rehat setakat gitu-gitu aje. Makanan pertama yang masuk ke perut pun ketika sudah pukul 7 petang. Sebelum makan dan sebelum menelefon rumah, saya berangan. Saya terbayang sedang berada di atas rumput belakang rumah dekat dengan ampaian belakang. Saya terbayang saya duduk melihat langit dengan Aiman. Kronik betul saya ni. Siap boleh terbayang berhindustanrama dengan adik di atas rumput pula!

Esok exam terakhir sebelum naik taraf bergelar pelajar tahun akhir. Tak sabar mahu balik rumah (^^,)v

Ayah, selamat hari ayah!

Saturday, June 14, 2008

Doni Donik

Assalamualaikum wbt


Pernah dengar nama Doni Donik? Lengkapnya ialah Doni Donik Guspadii. Kenal Bunga Cinta Lestari? Artis Indonesia itu? Yang cantik dan hendak berkahwin dengan Ashraf Sinclair katanya tu? Ha... Inilah adik kepadanya. Percaya ke? Saya acah aje. Hehe.

Donik Donik ialah nama bagi Dunkin Donuts dalam sebutan bahasa tempatan. Tema restaurannya sama saja. Cuma namanya ditukar mengikut bahasa sini. Menu utama tetap juga donut yang perbagai warna dan rasa itu. Sebenarna saya sudah hampir sebulan teringinkan donut di Doni Donik tapi cawangan terdekat tidak ada di shopping complex di Center yang dekat dengan rumah saya. Yang saya maklum memang ada ialah di Ramstore Belayeva. Nun di kawasan hostel lama saya dulu. Kelmarin berhajat nak ke sana tapi saya batalkan saja hajat. Sudahnya saya ke tempat lain.

Semalam, adik-adik rumah saya ini semua sudah selesai exam. Mereka sudah merdeka. Merdeka sekejaplah sebelum meneruskan perjuangan dalam tahun klinikal yang akan bermula bagi mereka pada semester depan. Saya takutkan mereka, klinikal ni penat dan susah. Jadi jangan dilupakan segala ilmu di tahun asas ini.

Sedang saya studi tengahari semalam, Fatt dan Dee hendak ke perpustakaan memulangkan buku. Saya berkira-kira, baiklah saya ikut sekali kerana saya tidak akan punya masa lain untuk ke sana. Perpustakaan agak jauh juga. Dahlah bukunya banyak. Hari panas. Turun naik metro. Memang teramat penat. Tapi kami pergi juga. Saya bersama 4 orang lagi pelajar tahun 3; Fatt, Dee, Balqis dan Yen.

Selesai di perpustakaan, saya katakan pada mereka saya mahu terus ke Ramstore Belayeva kerana sudah lama teringinkan Doni Donik. Dari perpustakaan untuk ke sana dekat saja. Selang 3 stesyen metro saja. Tiba-tiba 4 yang lain juga mahu ikut juga. Kerana di sana ada food court yang selesa. Maka berangkatlah kami.

Sebaik sampai di food court, alangkah kecewanya hati kerana Doni Donik sudah tiada lagi di sana. Rasa terkilan sekejap. Penat-penat datang tapi tiada pula. Kami duduk dulu dan sementara mereka yang lain mencari-cari menu yang mereka inginka daripada restauran-restauran yang ada, saya mengintai apa yang ada di Curry King. Tak sedap. Hati tetap inginkan donut. Saya menuju ke kedai yang menggantikan Doni Donik. Sebuah kafe. Kofein namanya. Saya ke kaunter, berdiri di sana membaca menu yang ada. Semuanya hanya nama-nama kopi. Baru selepas itu saya memandang makanannya.

Eh eh. Ada donut! Wah! Semuanya sama saja seperti yang di Doni Donik. Cuma kini ada restauran baru yang mengambil alih tempat itu tapi masih berkonsepkan seperti Doni Donik. Oh. Saya tidak tunggu lama. Saya teramat sukakan donut dengan karamel glazuria dan donut dengan krim Babarsky. Saya beli 4 biji dan secawan kopi latte. Orang lain minum ais kerana panas tapi saya masih minum yang panas kerana tekak saya masih batuk-batuk sikit. Duduk saja di meja kembali, teruslah makan sambil berborak dengan junior-junior itu. Mereka meminta pendapat dari saya tentang tahun klinikal dan bagaimana saya survive selama ini.

Kemudian kami balik. Saya ada membungkus 2 biji donut lagi. Sampai di rumah, semua sedang tidur. Tapi, atas meja saya ada secawan Mocha White Coffee dari Starbucks. Yeay. Fareena Belikan saya kopi lagi! Yang saya suka pula tu. Maka petang dan malam tadi, saya banyak studi di atas katil bertemankan Doni Donik dan kopi itu. Apa motif ye studi atas katil. Huhu.

Walaupun kalau diikutkan saya sudah terlebih kopi semalam, tapi malam tadi sebaik selepas minum secawan nescafe, saya tertidur macam tu saja. Tiada kesan menambah kesegaran langsung yang kopi boleh berikan pada saya. Tak kisahlah. Janji semalam hajat saya yang sejak sebulan dulu telah dipenuhi. Syukur Alhamdulillah.

Nota 1: Petang semalam kan, saya digoda. Digoda oleh si Fareena itu. You, I geli geleman la you. Euww... Hohoho. Rasakan Pena. Hari tu kamu kenakan KS kan =)

Nota 2: Doni Donik sudah naik harga :( Naik kira-kira 30 sen. Hmm... Beli sajalah. Dah teringin kan.

Friday, June 13, 2008

Cerita Cuti Nanti

Assalamualaikum wbt

2 hari yang lepas cukup memenatkan buat saya. Hari exam. Malamnya tidak boleh lelap mata. Sudahnya hanya tertidur barang sejam setengah saja. Selesai exam, saya dan Baiz ke Ismailovsky Park (rujuk entri ini untuk lihat suasana di sana). Mencari cenderamata untuk dibawa pulang nanti. Sudahlah tidak bersarapan, exam habis lewat, kami berdua sampai ketar lutut kerana kelaparan. Sudahnya selepas beberapa kali menawafi tempat tersebut, kami singgah makan di Teremok, restoran makanan segera tempatan yang menghidangkan Blinni (lempeng) sebagai menu utama. Baiz makan blinni pisang dan coklat. Saya pula blinni strawberry dan walnut. Lepas makan, Baiz pulang terus ke hostelnya. Saya pula ke Center. Sampai rumah, solat, telefon ayah dan emak, dan terus tidur.

Isnin ini saya ada exam yang terakhir. Tak sabarnya. Satu saja lagi. Lepas itu merdeka. Ops silap. Bukan merdeka. Saya akan bergelar pelajar tahun akhir! Waaa... Macam tak percaya. Sedikit saja lagi perjuangan saya di sini. Saya rasa saya tidak akan sempat untuk menulis tentang perancangan masa cuti saya nanti. Sementara masih ada masa untuk berehat, saya terasa nak cerita tentang apa yang saya rancangkan sepanjang cuti nanti.

Seawal cuti, saya akan ke Bangi. Sahabat baik saya dah nak kahwin. Huu... Gembiranya. Alhamdulillah sampai sudah jodoh mereka berdua. Juga hendak berjumpa dengan Kak Inah. Ada dating gitu. Kemudian, saya akan sibuk berulang-alik ke JHEOA di KL untuk menguruskan satu program. Kemudian saya kena ke Perak. Program yang dimaksudkan ialah Homestay di Perkampungan Orang Asli dan POS pilihan adalah di Sungai Siput. Tak sabar rasanya. Sebaik selepas program, saya akan terus ke Kelantan. Seorang lagi sahabat baik saya akan kahwin. Yang ini saya sengaja pergi awal sedikit. Nak memborong serunding di sana. Huhu. Lagi, saya mahu balik kampung di Penang. Ini wajib wajib wajib. Juga bertemu Bro Fisol dan Kak Mai di Jitra. Tak sabar rasanya. Di awal cuti sekolah Ogos nanti, seorang senior yang paling saya rapat akan berkahwin. Yang ini pun wajib saya hadiri. Hihi. Ini antara yang wajib dipenuhi. Lain-lain, mestilah saya hendak bermanja di rumah. Tak sabarnya dapat duduk-duduk rehatkan diri di rumah. Makan masakan emak, jogging dengan adik-adik, main dengan baby Mak Tam yang sudah tidak baby sangat, masak-masak, mencuba resepi baru dan kalau berkesempatan, saya nak tamatkan ilmu menjahit daripada Tok saya. Haa... Nanti bolehlah orang tempah telekung dengan saya =) Tok saya punya telekung jahit tangan cantik tau.

Manusia ini hanya merancang. Tapi segalanya Allah jua yang menentukan. Kalau ikutkan hati, ada beberapa lagi yang hendak saya senaraikan sebagai wajib, tapi saya takut untuk meletakkan harapan sebab tidak mahu nanti rasa terkilan. Yang penting, balik cuti kali ini saya tidak perlu buat praktikal (Sebenarnya malas sebab elektif saja. Cukuplah saya sudah terlalu penat dengan kepadatan masa di sini). Jadi saya ada lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga.

Tak sabarnya nak balik Malaysia. My Boleh-Land, nantikan kepulangan anak watanmu ini. Huhu~

Nota: Selamat Hari Lahir Kak Lina! Sempat ke kita jumpa nanti? Erm... Mahu itu Hafiy! Mahu tonyoh-tonyoh gomol-gomol dia :D

Thursday, June 12, 2008

Momenti Radosti

Assalamualaikum wbt

Sebenarnya hati saya bercampur-baur ketika menulis entri ini. Pertamanya, kerana jam di saat ini menunjukkan jam 2.03 pagi. Saya tahu saya sudah terlambat untuk satu detik yang bermakna tapi saya tidak sengaja terlepas akan detik itu kerana memberi peluang perkara lain yang saya rasa lebih utama berlaku dahulu. Hari ini 12 Jun. Tarikh penting buat seseorang yang telah lama saya kenal. Maka saya sengaja biarkan detik 12 malam tadi sepi dari sebarang khabar dan ucapan daripada saya kerana saya hendak memberi peluang dia bersama rakan-rakannya buat kali terakhirnya di Moscow ini.

Dialah Khairil Idham Ismail. Seorang senior yang telah saya kenali sejak di bangku sekolah ketika di Klang. Seorang yang saya anggap Abang terbaik yang pernah saya kenali. Seorang yang juga saya anggap sebagai sahabat terbaik yang saya punya di sini. Yang juga mejadi tempat rujukan saya dalam pelbagai masalah. Yang menjadi sifu saya dalam pelbagai bidang. Baik agama, penulisan dan juga fotografi.

Saya rasa sudah ramai daripada rakan-rakan pembaca mengenali Abang Khairil. Saya pernah menulis tentangnya dulu. Tahun ini tahun akhir Abang Khairil di sini. Dia akan bergaduasi pada bulan Julai ini. Akhirnya penantian 6 tahun di sini akan berakhir sudah untuk dirinya. Akan kembali ke tanah air bergelar seorang doktor muda.

Abang Khairil, kalau tahun-tahun sebelum ini saya menjadi orang pertama yang menghubungi Abang Khairil tepat jam 12, maafkan saya kerana kali ini saya tertinggal entah menjadi yang keberapa. Saya sebak sebenarnya. Abang Khairil sudahpun akan tamat di sini. Memang saya terlalu sebak. Jadi di sini, saya hendak kongsikan beberapa kenangan masa gembira yang pernah kita lalu sepanjang 5 tahun sempat bersama di sini.

2003/04
-Kita kembali bertegur sapa setelah hampir 2 tahun perang dingin disebabkan insiden ketika dalam pasukan bahas dulu. Sejak itu, saya sangat hormati Abang Khairil kerana saya silap dengan prasangka yang saya ada dulu-dulu. Ketika saya demam, Abang Khairil titipkan ubat pada Eza. Malu pula saya teringatkan dulu-dulu betapa saya pernah 'geram sangat' pada 'Abang Senget' ini. Banyak yang telah Abang Khairil tolong saya ketika di tahun pertama di sini. Tanggal 12 jun 2004, sebelum saya pulang bercuti ke Malaysia dan sempena kita selesai final exam dan juga hari lahir Abang Khairil pada hari itu, kita menjadi kanak-kanak riang di Gorky Park. Saya masih ingat setiap permainan yang kita cuba hari itu. Gembira sungguh! Dulu, kita masih 'kanak-kanak'. Sekarang bila teringat semula, lucu pun ada juga, kan. Tapi sayangnya, gambar kita di sana tiada dalam simpanan saya di sini. Saya kira, semuanya ada disimpan di rumah. Tidak dapat pula saya sorot kembali detik itu.

2004/05
-Tidak banyak yang berlaku di tahun itu. Abang Khairil sibuk sebagai pelajar tahun 3. Kita pun hanya banyak terserempak di Kedutaan apabila ada majlis-majlis rasmi di sana. Saya kira, memori kita untuk tahun itu agak terhad. Melainkan, kita pada tahun itu sama-sama punya masalah besar yang sama. Meraunglah kita dua beradik bersama. Hanya Abang Khairil yang memahami situasi saya pada waktu itu. Dan tanpa saya sedari sebenarnya Abang Khairil sendiri sudah mula berhadapan dengan situasi yang makin meruncing.

2005/06
-Saya tumpang sedih dengan setiap yang terjadi. Pada tahun ini, terlalu banyak yang terjadi baik pada saya mahupun Abang Khairil sendiri. Di saat saya ada masalah rumah, masalah itu ini dan macam-macam lagi, Abang Khairil lah tempat rujukan untuk berbincang. Abang Khairil lah yang faham segala-galanya. Dan saya sebenarnya masih rasa terhutang budi dengan segala pertolongan dan semangat yang Abang Khairil berikan. Tahun itu juga kita mula bergabung tenaga menggerakkan PPIM di universiti masing-masing. Banyak tunjuk-ajar yang saya dapat sepanjang bekerjasama bersama Abang Khairil dan mantan AJK PPIM yang lain. Gambar ini ketika kita sama-sama ber-ice skating bersama Faiz Khaleed, Faiz Pilot dan VJ. Saya 'roger' Abang Khairil pada hari itu kerana saya tahu Abang Khairil pasti gembira dapat turut serta. Memang hari itu dipenuhi kegembiraan hingga ke malam, kan.

2006/07
-Abang Khairil sudahpun di tahun 5 pengajian. Semakin sibuk. Saya pula baru mencecah ke tahun klinikal. Dua-dua sibuk. Tapi dalam pada sibuk itulah, 'kretiviti' kita menjadi-jadi. Abang Khairil dengan fotografinya. Saya dengan penulisannya. Ada-ada sajalah yang kita lakukan sepanjang tahun itu, kan. Dan jika dulu saya yang banyak menyusahkan Abang Khairil dengan masalah peribadi saya, pada tahun itu, saya simpati pula dengan setiap apa yang terjadi pada Abang Khairil. Kita masing-masing cuba mengalih arah kesedihan yang terjadi dengan menyibukkan diri dengan beraktiviti. PPIM semakin aktif pada tahun itu. Dan saya pula selalu saja mendapat khidmat nasihat dalam penulisan saya daripada Abang Khairil mahupun arwah ayah Abang Khairil yang selalu memberikan motivasi buat saya (Al-Fatihah buat arwah ISBIHA). Gambar ini kenangan kita sewaktu pulang dari Pulau Tioman selepas selesai SUNATON di Endau-Mersing-Tioman dulu. Oh ya. Saya masih ingat ya saya dipaksa rela mendeklamasikan sajak ketika di Mersing. Ada ubi ada batas, ada hari saya mesti akan balas =) Kalau dibangding-bezakan gambar ini dan yang sebelumnya, bagi saya, sangat ketara air muka 'kanak-kanak' dan 'kedewasaan' kita, kan. Dan terima kasih juga kerana sepanjang cuti tahun lepas, saya sentiasa ada kawan untuk berborak atau apa saja walaupun kita terpaksa membayar bil telefon yang tinggi. Siap menyusun atur untuk 'berjanji temu' dengan 'orang di Kuantan'. Huhu. Lucu pula saya kenangkan. Semuanya sudah jadi kenangan kini =)

2007/08
- Ini tahun akhir Abang Khairil di sini. Dan tahun ini juga kita sangat sibuk dengan hal masing-masing. Tapi bila ada kelapangan, kita pasti akan berhubung bertanya khabar. Sungguhpun bukan setiap hari berhubung terus, tapi saya sentiasa mengikuti perkembangan Abang Khairil di blog Abang Khairil. Ada satu masa, kita sepi seketika. Masing-masing bagaikan terkejar-kejar dengan kesibukan dunia masing-masing. Sehinggakan untuk online bersama bagi membincangkan mutu penulisan masing-masing pun, terpaksa menyusun satu janji temu yang khas. Itu kerja sayalah tu. Mengada sungguh. Tapi memang maaf sangat. Kebetulan tidak ada kredit pada hari tu, terpaksalah saya guna email saja. Mesti Abang Khairil gelak dengan apa saya repekkan waktu itu, kan. Terima kasih sebab sentiasa menjadi yang teramat mengambil berat tentang kesihatan saya. Kadang-kala, bila Abang Khairil ingatkan saya tentang itu ini pasal kesihatan, saya rasa macam saya ini budak kecil saja. Gambar ini adalah satu-satunya gambar raya yang kita pernah ada di sini. Sudah 5 tahun, barulah ada kenangan ya. Ini pun gambar paksa. Seorang 'muka clown' dan seorang lagi ' muka euphoria'. Terima kasih berkunjung ke rumah saya pada raya yang lepas. Saya kira, itulah satu-satunya raya yang sempat Abang Khairil berkunjung ke sini, kan.

Abang Khairil, saya memang tidak banyak gambar kenangan sepanjang 5 tahun kita di sini. Tapi setiap apa yang terjadi saya simpan kemas dalam susunan memori. Saya memang tiada sahabat terbaik lain melainkan Abang Khairil. Yang saya hormati lebih daripada itu. Di saat saya tiada orang lain di sisi, saya sentiasa mendapat sokongan daripada Abang Khairil. Manalah saya dapat balas jasa ini semua. Saya rasa hendak mengalirkan air mata di saat ini kerana teringat semula segala yang telah Abang Khairil bantu saya sepanjang di sini. Sungguhpun bantuan yang datang itu hanya dengan kata-kata semangat melalui panggilan telefon atau mesej. Yang paling saya ingat adalah di malam cuti Women's Day 3 tahun yang lalu. Ketika saya ditinggalkan keseorangan di rumah saya (bukan rumah sekarang) dalam keadaan demam, Abang Khairil lah satu-satunya yang mengambil berat akan saya pada waktu itu. Di saat teman serumah keluar berhibur. Saya sangat terharu dan sedih teringatkan kisah itu.

Dan pada hari ini, saya seakan sudah hilang kata-kata untuk menyusun kembali kenangan 5 tahun kita di sini, yang menjadikan total tempoh perkenalan kita telah menginjak ke 8 tahun. 8 tahun bukannya sekejap. Kita sudah kenal, lebih daripada kenal. Dan perkenalan kita bukan setakat kita. Kita ada keluarga bahas kita di sekolah dulu yang melengkapkan kita menjadi sebuah keluarga.

Abang Khairil, Selamat Hari Lahir yang ke-24. Semoga Allah permudahkan segalanya buat Abang Khairil. Pulang menjadi doktor muda yang hebat, dikurniakan rezeki yang berkat, dilengkapkan hidup dengan pelbagai nikmat, diberikan keluarga yang sihat, ditemukan jodoh yang menjaga syariat dan dihadiah anak-anak yang menjadi saham di akhirat. Amin. Maafkan saya andai sepanjang saya bergelar adik, saya tidak memberikan yang terbaik setelah menerima yang terbaik. Semoga Allah memelihara Abang Khairil dalam redha-Nya dan membalas segala jasa Abang Khairil selama ini.

Momenti radosti ialah saat-saat yang gembira. Dan bagi saya, saat yang gembira di sini ialah kerana saya mempunyai seorang abang yang sangat baik hati. Yang sentiasa ada walau tak selalu menemani. Yang dengannya saya boleh menjadi diri sendiri. Selamat Hari Lahir Abang Khairil!


Dekat tapi jauh,
Sarah,
16-205 Malaya Piragovskaya,
3.08 am

Tuesday, June 10, 2008

Sepetang Di Tepi Para

Assalamualaikum wbt

Semalam, hampir seharian saya sendirian di rumah. Ahli rumah yang lain ada exam dan pulang lewat. Paling awal yang pulang adalah Emy dan Diba. Itupun mereka terus tidur selepas pulang. Saya memang sangat bosan kerana rumah sangat sunyi. Saya mengambil kesempatan untuk membuat persiapan intensif untuk exam pada hari esok. Selesai solat Asar, saya menyarung tudung dan memegang sedikit nota di tangan. Gayanya seperti hendak keluar saja kan. Tapi destinasi saya dekat saja. Di tepi tingkap bilik cuma.

Saya menurunkan langsir dan duduk di atas para di tepi tingkap. Sehinggakan, Emy dan Diba tidak tahu ke mana saya menghilang kerana tiada di bilik. Sedangkan, saya tersembunyi di sebalik langsir yang diturunkan. Rumah saya di tingkat dua. Sengaja saya duduk di situ. Boleh membaca sambil mengambil udara petang dan melihat orang lalu-lalang. Ada dua insiden terjadi.

Pertamanya, saya melihat sepasang suami isteri berjalan. Dari jauh, saya rasakan yang sebelah kiri dan mengikat rambut itu adalah si isteri. Bila sudah dekat dan mereka berhenti berbual dengan kawan yang ditemui di tengah jalan, baru saya tersedar rupa-rupanya saya tertukar. Yang berambut maha pendek itu adalah isterinya dan yang berambut panjang dan mengikatnya itu adalah suaminya. Kebetulan, si isteri sedang merokok dan bentuk badannya kurus sekeping seperti lelaki, sekali imbas terus saya rasakan dialah lelaki. Saya tersenyum seorang melihatkan keadaan itu. Saya terfikir, kan Islam itu sempurna. Lelaki dan perempuan dapat dibezakan kerana batas auratnya. Kalau dia bertudung dan cara berpakaian yang berbeza, dari jauhpun sudah boleh tahu yang mana lelaki, yang mana perempuannya.

Keduanya, sedang saya membaca-membaca di atas para di tepi tingkap itu, saya terlihatkan 3 orang anak muda lalu di kawasan luar bangunan. Sumpah, ketiga-tiganya kacak dan bergaya! Saya toleh melihat mereka. Dalam pada saya seakan mengelamun itu, baru saya sedar salah seorang daripada mereka sedang melihat saya di atas itu. Alamak. Saya terperangkap pula. Saya cepat-cepat alih pandangan ke arah nota. Tapi saya sudah tersenyum waktu itu kerana saya sedar lelaki yang memandang itu juga sedang tersenyum. Aduh. Malunya. Mengelamun punya pasal, saya tidak sedar saya telah merenung orang agak lama, dan direnung semula pula. Alah. Saya tahu lelaki itu jauh lebih muda. Jangan tertipu dek rupa dan ketinggian. Kalau itu yang menjadi ukuran, budak 10 tahun pun boleh saya anggap lebih dewasa daripada saya kerana ketinggiannya. Saya rasa, lelaki semalam itu umurnya sekitar 19-20 tahun saja.

Semalam suhu panas. 24'C. Terik sangat. Itu sebabnya saya duduk di tingkap. Bila panas, mata tidak mengantuk bila dengan niat duduk di bawah teriknya. Tapi angin kuat. Dari dalam bilik, saya boleh mendengar angin menderu-deru. Putik kapas pun kelihatan kencang dipikul angin berterbangan di udara. Sepanjang duduk di tepi tingkap semalam, saya dapat dengar bunyi anjing menyalak bermain-main dengan tuannya di luar sana, bunyi angin menderu dan bunyi dedaun berdesir tak henti-henti. Alam ini tak pernahnya sunyi.

Mereka semua sedang berzikir. Berzikir tak henti-henti. Lagu-lagu alam ini indah kerana semuanya melodi zikir. Tapi saya? Selepas Asar tadi duduk di atas sejadah hanya membaca Ma'thurat ringkas dan zikirnya juga sekejap saja. Sungguh, saya rasa malu pada alam dan lagu-lagu zikir mereka...

Melihat jam, sudah pukul 8.45 pm. Hari masih terang-benderang. Saya turun dari para tingkap, menyangkut tudung dalam almari dan kembali ke meja. Saya ambil buku sajak saya. Saya melukis. Gambar laut yang luas terbentang.

Monday, June 09, 2008

Selamat Hari Lahir Emak

Assalamualaikum wbt

Dulu waktu kecil-kecil, saya selalu bergaduh dengan Kaklong. Maklum sajalah. Dua beradik saja perempuan. Yang lain semuanya lelaki. Dulu kami sebilik. Tapi semakin besar, kami dipisahkan duduk bilik berasingan. Dia di bilik berwarna kuning menghadap laman belakang rumah. Saya di bilik berwarna biru menghadap laman hadapan rumah. Siapa yang memisahkan, itu emak kami. Emak geram agaknya melihat kami asyik bergaduh.

Mentaliti budak kecil, saya selalu rasakan emak berpihak kepada Kaklong. Serba-serbilah. Semuanya saya rasakan emak memandang Kaklong yang betul. Kadang-kadang membawa dirilah saya merajuk dengan emak dan bercerita di buai depan rumah Tok dengan Mak Tam. Tapi apabila sudah semakin besar, di sekolah menengah saya kira pada waktu itu, saya mula nampak dan faham kenapa emak bertegas dengan saya dulu-dulu. Pada waktu itu, Kaklong sudahpun bersekolah di Kuantan dan tinggallah saya satu-satunya anak perempuan di rumah.

Kenapa emak tegas dengan saya kerana saya dulu seorang yang garang. Macam lelaki perangainya. Pemarah pun iya juga. Ganas pula tu. Kalau dengan budak lelaki, jangan harap saya nak kasi can mereka menang. Tapi Kaklong yang sebaliknya. Kaklong lembut. Pandai berjenaka. Sentiasa manis dengan senyuman. Memang 100% bertentangan kami berdua ini. Kaklong pandai mengambil hati orang tua. Kalau bersamanya mengikut Tok ke Pekan Sehari hari Ahad, Kaklong pandai melayan kerenah Tok dan kawan-kawannya.

Sejak itu saya mula faham kenapa emak mendidik saya begitu. Saya sayang emak saya sebab mendidik saya dengan sebaiknya untuk menjadi saya yang sekarang. Saya masih tidak seperti Kaklong tapi inilah saya seadanya. Yang paling berharga, hasil didikan emak, menjadikan saya seorang yang kental jiwa. Sangat kental. Hanya emak yang tahu kenapa saya katakan begini.

Hari ini hari istimewa buat emak saya. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-52 buat emak saya, Hajjah Noor Azimah Kamaruddin. Semoga emak dalam redha Allah sentiasa. Emak, emaklah katalis hidup Ngah. Emak, Ngah sayang emak. Sayang sangat-sangat. Uwaa... Mahu nangis... Rindu sama emak...

Emak (berbaju hijau) bersama Tok Maryam (Penang) dan adik-beradik ayah di rumah Makcik Liza di Alor Setar.


Nota: Selamat hari lahir buat ibu kepada Isa Azzaki juga. Isa, saya ingat lagi yang birthday mak kita sama :D

Saturday, June 07, 2008

Kedekut Demi Berjimat

Assalamualaikum wbt

(Ups... Ini entri panjang. Sila jangan terperangkap. Hikss)

Dalam entri lepas saya ada sebutkan yang saya di sini pun pernah merasai zaman ikat perut. Mungkin tidak seperti keadaan di Malaysia sekarang tapi apa yang saya lalui di sini benar-benar mengajar erti hidup.

Saya merupakan kumpulan kedua yang dihantar JPA ke sini. Kumpulan pertama hanya setahun senior daripada saya dan mereka adalah sebenar-benar pejuang dalam erti kata pengalaman hidup di sini. Setibanya saya di sini dulu, biasiswa sara hidup yang kami perolehi adalah 200USD sebulan. Pada waktu itu, hostel dan yuran pengajian dibayar sepenuhnya oleh JPA. Berbekalkan 200USD sebulan untuk kehidupan kami di Moscow ini adalah cukup makan sahaja. 200USD lebih kurang 6600 Rubles tukarannya dalam matawang tempatan.

Ketika saya sampai di sini, umur saya 18 tahun, masih budak-budak. Manalah pernah sebelum itu saya mengurus perbelanjaan rumah. Tapi bila tiba di sini, semuanya menjadi tanggung jawab yang wajib diuruskan sendiri. Saya dan teman sebilik waktu itu, Eza, hanya berbelanja barang dapur di pasar bandar Yugo Zapadnaya atau di Ashan sahaja (hypermarket yang besar dan murah tapi jauh dari hostel). Demi berjimat, kami tidak akan makan di luar. Kami bergilir memasak setiap hari. Untuk menelefon keluarga pula, Eza mempunyai kenalan warga negara India yang menjalankan servis panggilan jarak jauh. Saya pula lebih senang ke bilik seorang warga Vietnam yang juga menjalankan servis yang sama. Ketika itu, simkad yang saya gunakan ada masalah. Kadar panggilan ataupun SMS yang saya lakukan akan dicaj 2 kali gandi lebih daripada yang lain. Bayangkan saja, di pagi raya, untuk menghubungi keluarga dalam masa 20 minit cuma, saya telah menghabiskan 20USD. Sedangkan kawan-kawan yang lain dapat bercakap selama 50 minit dengan cuma 20USD itu. Maka saya menukar simkad baru dan kekal ke hari ini (Kadar rendahnya masih kekal sehingga hari ini. Sebab itu saya boleh selalu menghubungi keluarga dengan panggilan terus).

Untuk membeli barang dapur, saya dan Eza akan bergilir ke pasar. Biasanya saya akan ke sana pada hari Isnin petang selepas pulang dari kelas. Eza pula akan singgah ke pasar pada hari Khamis petang. Jadi stok makanan kami akan sentiasa cukup. Cukup bulan, kebiasaannya kami memang tidak punya duit lebih. Paling banyak yang pernah ada rasanya sekitar 30USD seorang. Saya menambah nilai telefon sebanyak 10USD sebulan. Tapi bila saya agak lama tidak menghubungi rumah, emak memasukkan duit menyuruh saya supaya menghubungi rumah. Katanya, duit yang dimasukkan untuk perhubungan. Jangan berdiam terlalu lama. Orang di rumah risau. Itulah juga yang terjadi pada Eza. Ibu bapanya juga memasukkan duit untuk membolehkan dia lebih kerap menghubungi rumah.

Pada tahun itu, amat jarang sekali kami makan di luar. Boleh dibilang dengan jari saja. Tapi kalau setakat membeli pai di kiosk di tepi jalan sebelum atau pulang dari kelas, itu lain ceritalah. Dulu, sebiji pai (namanya pirazhok atau sloika di sini) boleh didapati dengan harga 9 Ruble cuma. Sekarang, tiada sejenis makanan pun yang boleh didapati bawah daripada 10 ruble. Semuanya 15 Ruble dan ke atas. Ketika itu, Eza selalu menyuruh saya memegangkan wangnya sekitar 1000 Ruble supaya jika dia sudah kehabisan duit dalam tangan, dia masih mempunyai duit kecemasan dalam simpanan saya. Saya pula lebih suka mengeluarkan duit secukupnya saja. Kalau habis padan muka. Saya tidak akan mengeluarkan duit lagi. Jadi, ini akan membuatkan saya lebih berjimat cermat. Jadi, cubalah bayangkan apa saja yang kami belanjakan untuk barang makan ketika itu. Lauk setiap hari hanya ada dua. Lauknya dan sayurnya. Itu saja. Kebiasaannya ayam. Daging hanya apabila kami menempah menyuruh pelajar lelaki membeli di masjid. Makanan laut jangan cakaplah. Berapa kali saja kami beli di tahun pertama dulu. Kedekut demi untuk berjimat.

Di tahun kedua, saya bertemankan Amnah sebagai rakan sebilik. Junior sejak di KISAS dan kini menjadi junior JPA di sini pula. Saya dengannya masak berasingan. Bukan seperti saya dengan Eza dulu. Ini kerana saya kurang makan nasi pada tahun itu dek kerana pelbagai masalah yang saya hadapi dan membuatkan selera makan saya berkurang. Studi pun gila-gila. Sampaikan saya ambil mudah bab-bab makan. Pada tahun itu, Meor dan Fizzy pula yang menjadi geng saya. Meor juga seperti Eza. Menyuruh saya memegangkan duit kecemasannya. Ketika cuti musim sejuk Januari 2005, duit biasiswa yang sepatutnya masuk pada hujung Januari tidak masuk-masuk. Saya sedikitpun tidak menceritakan hal ini kepada Amnah. Kami sesama pelajar tahun 2 ketika itu bersusah-payah bersama-sama. Kebetulan ketika cuti itu, rakan-rakan dari Volgograd datang ke Moscow untuk bercuti. Masya Allah. Bila hendak keluar dari hostel, kami asyik terfikir, cukupkah duit kalau tiba-tiba mereka ajak makan di luar? Kebetulan pada waktu itu, saya dan Meor yang banyak menguruskan rakan-rakan yang datang ini. Sudahnya, kami ambil keputusan begini. Hanya salah seorang antara kami saja yang akan keluar menemankan rakan-rakan pergi makan dan yang seorang lagi meminjamkan duit kepada yang seorang lagi. Sampai begitu sekali terdesaknya kami pada waktu itu. Tapi sedikitpun kami tidak memberitahu keluarga tentang hal ini. Masing-masing hendak berdikarilah kononnya. Dan setelah undi-mengundi, saya yang dipilih untuk menemankan kawan-kawan keluar. Mereka ada bertanya mana Meor. Saya hanya katakan yang dia tidak sedap badan (kebetulan musim sejuk tahun itu sangat teruk).

Dan di awal Februari, disebabkan duit masih belum masuk lagi dan kami kebanyakannya hanya tinggal beberapa puluh ruble saja dalam tangan. Saya mengambil keputusan memberitahu emak. Emak marahkan saya kenapa tidak memberitahunya dari awal. Emak memasukkan RM1000 untuk saya. Dengan duit yang emak masukkan ini, saya memberi pinjam pada rakan-rakan se-JPA dan MARA yang lain, sedikit seorang untuk digunakan buat sementara waktu ini. Kalau tidak silap, setiap orang mendapat 700 ruble waktu itu. Seminggu lebih selepas itu, barulah duit masuk. Waktu itu baru terasa lepas lelah di dada masing-masing. Setelah kawan-kawan memulangkan semula duit saya, saya ada lebihan simpanan dalam akaun. Di hujung sem itu, mereka merancang untuk berjalan ke Saint Petersburg di barat laut Russia. Emak menyuruh saya menggunakan saja duit yang diberinya dulu untuk berlibur. Terima kasih emak, ayah sebab izinkan saya membelanjakan duit itu untuk tujuan bercuti.

Sebenarnya bukan itu saja. Ketika di tahun 3, juga pernah berlaku lagi. Dan sekarang pula, duit biasiswa kami di sini telah dinaikkan setelah penilaian semula dibuat. 700USD nilainya. Tapi kami perlu membayar hostel (rumah) dengan sendiri. Bukan lagi bawah tanggungan JPA. Jadi daripada nilai yang kami terima, kami perlu memikirkan harga rumah yang perlu dibayar sebanyak 1450USD setahun. Mahal sungguh. Itu untuk 1 kepala. Kalau 6 orang duduk dalam 1 rumah, totalnya adalah hampir 9000USD serumah. Sangatlah mahal. Memang mencekik darah. Baru-baru ini, harga barang makan naik mendadak di sini. Atas usaha kononnya kami hendak memboikot pasar di sebelah rumah ini yang terlalu mahal (kawasan ini hampir dengan City Center, ini pasar terdekat dengan Center), adik-adik rumah saya sanggup keluar membeli barang dapur di sebuah pasaraya (Perekrestok di Kievskaya) yang terpaksa menggunakan bas untuk ke sana semata-mata untuk membeli beras yang berharga 25 ruble sepaket. Beras yang boleh dikatakan tidak berjenamalah kiranya (memang tak berjenama pun). Kerana di pasar berdekatan ini, harga beras Orient (beras yang selalu kami gunakan sebelum ini) telah naik mendadak sehingga 45 ruble sepaket (kira-kira RM7 untuk 900 gram sepaket)! 20 ruble bezanya. Jadi, mereka telah memborong 12 paket sekali gus di pasaraya tersebut.

Sejujurnya, ada banyak lagi kisah kami di sini berpada dalam membeli barang dapur. Semuanya memikirkan tentang ekonomi diri dan perbelanjaan serumah. Oh ya. Ketika saya duduk di luar bersama 2 orang rakan yang lain, saya perlu menguruskan bil elektrik sendiri. Perlu berjimat. Bila hendak tidur, satu rumah kami gelapkan dan hanya membiarkan lampu dapur saja yang menyala. Tambah-tambah pula ketika musim sejuk. Dengan penggunaan pemanas, lampu yang lagi lama (kerana malam lebih panjang) dan laptop yang diguna lama kerana sedang bercuti musim sejuk pada waktu itu, bil elektrik akan melambung jauh lebih tinggi. Apa caranya kami berjimat ketika itu? Tiada siapa boleh membasuh menggunakan mesin basuh, tidak boleh menonton TV jika laptop sedang digunakan dan jika hendak membuka pemanas sendiri, laptop pula tidak boleh digunakan. Kami berjaya mengurangkan perbelanjaan. Pokok pangkalnya, bijak dalam menangani masalah.

Haha. Inilah kisahnya kedekut demi berjimat. Banyak mengajar erti mengurus ekonomi diri dan pengalaman sebeginilah yang sangat berguna untuk masa depan nanti. Kadang-kala bersusah begini lebih membuatkan kita menghargai duit dan lebih cepat matang dalam kehidupan.

Thursday, June 05, 2008

Chak! Saya Kembali!

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah saya masih diberi sedikit kelapangan untuk menulis. Maaf sebab agak lama saya berdiam diri. Bukannya saya merajuk atau apa. Ada banyak benda yang terjadi dalam masa 2 minggu ini.

Pertamanya, saya jatuh sakit sejak 2 minggu lepas. Mulanya saya kira demam biasa. Tapi makin lama makin teruk. Dengan batuk berdarah dan sesak nafasnya, akhirnya saya ambil keputusan untuk ke klinik (walaupun pada keesokan harinya saya ada exam!). Saya sebenarnya seakan dapat mengagak apa sakitnya tapi hanya X-ray yang boleh mengesahkan. Ya. Saya kena jangkitan kuman di paru-paru. Pneumonia. Di samping itu, saya turut mengalami progressive bronchitis (kesan daripada sakit teruk bulan Oktober dulu). Saya pun hairan kenapalah badan saya ni sangat mudah terkena jangkitan. Immuniti badan saya sangat rendah agaknya. Tapi kenapa ye?

Keduanya, saya sedang menjalani final exam autumn semester. Untuk sem ini, saya ada 8 subjek kesemuanya. 2 sudahpun diselesaikan ketika bulan 3 dan 4. Dan secara kolektif, ada 6 subjek yang perlu saya hadapi dalam masa 2 minggu lebih ini. Saya sudahpun selesai 3 lagi exam dalam keadaan sakit yang teruk. Dan kini tinggal lagi 3 subjek. Secara total, 5 subjek telah selesai, tinggal lagi 3 dan yang terdekat adalah pada hari esok. Wah. Sempat pula saya menulis di sini ye. Hihi.

Sebenarnya saya baru saja kembali dari klinik untuk temujanji susulan bersama doktor tadi. Alhamdulillah, secara keseluruhan keadaan saya semakin baik. Tapi belum sepenuhnya. Masih batuk (berdarah kadang-kadang), tidur tidak boleh baring (sesak nafas) jadi saya akan tidur menyandar di katil. Sakit belakang tau. Dah lah sepanjang hari duduk di kerusi untuk studi. Waktu tidur pun kena duduk juga. Sedih je. Makan pun perlu dicatu. Bukan semua benda saya lalu makan. Tekak sakit. Semalam Wanie buat bubur nasi. Wow. Saya makan bertambah 2 kali! Waktu tu dah tengah malam. Tak kira. Saya makan je banyak-banyak. Selesai makan, saya sambung studi tapi tidak lama selepas itu, tersyahid pula. Pukul 3 pagi baru bangun semula untuk menghadap nota. Ubat pula ada 7 jenis semuanya. Hampir setiap hari akan kedengaranlah suara Pena dan Emy mengingatkan saya suruh makan ubat. Huhu. Terasa macam budak kecil saja. Terima kasih Pena dan Emy sebab selalu ingatkan KS. KS tak pernah culas makan ubat tau.

Begitulah kiranya jadual saya kebelakangan ini. Exam dan sakit. Buku dan ubat. Hari-hari pun akan telefon emak. Sempat berbual 2-3 minit pun dah cukup. Tapi kalau ada cerita yang menarik, lamalah pula akan melekat di telefon dengan emak =) Saya minta maaf kepada beberapa pembaca yang secara kebetulan mendapat tahu yang saya sebenarnya ada menulis di blog sajak saya itu tapi tidak memberitahu di blog ini. Saya sengaja buat begitu sebab saya rasa bukan semua pun berminat dengan sajak-sajak semua ni kan. Maaf sangat-sangat. Kalau sesiapa rasa berminat, silalah baca di blog sajak tu.

Oh. Tadi ada sesuatu yang gembira terjadi. Sangat menggembirakan. Tapi saya tak mahu cerita sekarang. Kena tunggu sehingga exam selesai, baru saya akan cerita. Tentang exam pula, Alhamdulillah. Kesemua 5 exam yang telah berlalu berwarna-warni coraknya. Tinggal lagi 3. Doanya, semoga 3 yang baki ini, tiadalah cacat celanya. Apapun, apa yang kita usahakan, itulah rezeki kita. Kan? Macam mana saya urus diri dan studi sepanjang waktu sakit? Jawapannya satu saja. Jangan bertangguh. Mulalah dari awal. Saya selalu syaratkan begitu pada diri saya. Kalau saya tahu exam akan bermula sekitar 1 Jun, saya wajibkan diri saya bermula sebulan sebelum itu. Alhamdulillah saya bermula awal, jadi, ketika ujian sakit Allah datangkan, setidak-tidaknya saya telah membuat persiapan. Hamdallah. Hamdallah. Hamdallah.

Buat kamu semua, terima kasih atas doa yang diberikan. Saya tak balaslah ye komen di entri lepas. Apa-apapun, terima kasih tak terhingga sebab mendoakan kesihatan dan exam saya. Semoga Allah kurniakan yang terbaik untuk kamu semua juga. Oh ye. Isu minyak naik harga di Malaysia. Saya sebenarnya kasihan dengan warga Malaysia. Sungguhpun saya tak merasa kehangatan isu tersebut secara langsung, tapi saya kasihan dengan tanggungjawab yang semakin berat yang perlu dipikul oleh semua. Kuncinya sekarang ialah bijaklah mengurus ekonomi diri dan keluarga. Kalau nak minta diturunkan semula pun, takkanlah mungkin hal itu kan. Lainlah kalau ada demonstrasi besar-besaran 1 negara. Tapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian. Kalau hendak diikutkan, kami di sini pun pernah berikat perut mengalami krisis harga barang yang naik mendadak. Apa penyelesaian kami waktu tu, tunggu dalam entri seterusnya ye =)

Hmm... Kasihanlah emak dengan ayah yang kena urus minyak untuk berapa biji besi berenjin di rumah tu ye... Dengar khabar, 1 Julai ni tarif elektrik pula akan naik. Oh. Janganlah ayah catu penggunaan internet di rumah nanti. Huhu.

Daa~ Salam.