Thursday, July 31, 2008

31 Julai 2008

Assalamualaikum wbt

Cerita 1
Tengahari tadi saya keluar ke bandar untuk ke bank. Menaiki bas saja. Kan saya pernah nyatakan dulu bahawa saya tidak tahu tambang dari rumah saya ke pusat bandar kerana jarang menggunakan bas. Jadi tadi saya menyediakan RM2 kerana seingat saya tambangnya sama ada RM1.10 atau RM1.30. Sebaik saya turun dari bukit rumah saya, terus ada bas. Saya menahannya dan sebaik naik, saya menghulurkan RM2 itu. Pakcik itu berkata: Takde syiling ke, dik? Saya jawab tiada. Sebetulnya ada tapi terperosok di dalam beg sandang belakang yang saya suka bawa itu. Lalu pakcik itu membalas: Ambik la lagi seringgit tu. Awak ni RM1.10 je. Kecik lagi. Saya pun mengucapkan terima kasih dan terus duduk. Kepala saya ligat berfikir. Eh, seingat saya, untuk bas berhawa dingin, RM1.10 untuk kanak-kanak. Saya terus tersengih seorang. Saya ni dikategorikan sebagai kanak-kanakkah? Hehe. Mentang-mentanglah saya bawa beg sandang belakang saja tadi, terus saya ni disangka budak-budak pula :p

Cerita 2
Dah lama tidak menangis bersungguh-sungguh. Tadi petang memang saya menangis sangat-sangat. Sampai basah kuyup muka dan terisak-isak. Bukannya apa. Saya memang sangat bengang, geram, sakit hati dan terkilan jika keberadaan saya di sebuah negara yang bernama Rusia dibanding-bandingkan dengan orang lain yang menuntut di US, UK, Australia atau di tempat-tempat lain. Yang saya sedihkan, yang membanding-bandingkan itu bukan orang lain. Orangnya dekat dengan saya. Kalau dulu saya di tahun pertama atau kedua dan saya diberi provokasi yang sebegini, saya memang boleh goyah dengan keputusan untuk meneruskan perjuangan hidup di Rusia. Tapi sekarang saya sudah di tahun akhir. Lagi mahu diteruskan dengan provokasi yang sebegitu. Siapa yang tidak geram. Bila saya balik rumah, saya menangis sambil menghidangkan makanan untuk emak berbuka. Bila saya masuk ke bilik air untuk membasuh muka dan kaki, ayah yang mungkin terdengar saya menangis keluar dari bilik dan bertanya kepada emak. Saya tidak tahulah apa yang emak jawabkan pada ayah. Yang pasti, saya sudah lama tahan sabar dengan beberapa orang itu yang seperti tidak pernah jemu hendak buat saya rasa rendah diri sebab dihantar belajar di Rusia. Untuk pengetahuan semua, sewaktu interview dengan JPA dulu, saya sendiri yang menamakan Rusia sebagai negara pilihan pertama. Saya ada alasan yang tersendiri. Jadi, apa masalah dia? Kalau saya yang dikatakan kolot kerana memilih Rusia sebagai tempat pilihan, saya rasakan orang sepertinya yang kolot kerana masih melihat Rusia itu sebagai sebuah negara Komunis atau apa. Sepatutnya sebagai orang yang dekat dengan saya, dia sepatutnya memberi saya semangat dan motivasi. Lebih-lebih lagi saya cuma ada kurang dari setahun saja lagi untuk tamat. Tapi tidak pernah sekalipun saya merasakan diberikan motivasi atau semangat atau apa saja yang berbentuk positif dan membina olehnya. Oklah. Dia tidak pernah membawa manfaat kepada saya. Jadi tak perlu saya ambil kisah dengan apa yang dikatakannya.

Cerita 3
Tadi adik-adik saudara dari Dungun balik ke rumah Tok. Begitu juga dengan keluarga Mak Andak yang baru tiba dari Egypt. Maka malam ini berkumpullah 3 orang Nana di rumah ini. Bak kata Syakira, ada 3 orang Kakak Nana. Nabiha Farzana (Nana 1), Nurul Jannah (Nana 2) and Ngah Sarah (Nana 3). Kepada Nini, Sila jangan jealous ye. Malam ni Nana dikerumuni oleh si kenit-kenit ini. Habis SMS Nana pun diorang baca. Huhu.

Cerita 4
Saya rasa nak berhenti berblog. Macam dah tiada mood... Kalau saya nak update pun, tengok keadaan dululah.


Nota 1: Mohd. Shamsul Amir, nama awak disebut-sebut oleh adik-adik saudara saya ni. Kredit yang baik-baik diberikan kepada awak. Hehe.

Nota 2: Hidayah, cepat-cepat sembuh ok. Semua risau pasal kaki awak tu. Mak awak asyik sebut-sebut aje.

Wednesday, July 30, 2008

Homestay PPIM 2008

Assalamualaikum wbt


Seperti yang telah dirancang sejak 3 bulan yang lalu, maka pada 25-28 Julai lepas, telah berlangsungnya Program Homestay Dan Kemasyarakatan PPIM 2008 Di Perkampungan Orang Asli (Homestay PPIM 2008). Pada mulanya, tapak POS yang dicadangkan ialah Pos Sungai Pelatok di Sungai Siput menjadi pilihan tetapi di saat akhir, tapak program ditukarkan ke POS Raya di Simpang Pulai, jalan menuju ke Cameron Highland. Pertukaran berlaku atas sebab-sebab teknikal yang penting untuk keselesaan semua pihak yang terlibat.

Jika pada program Sunathon 2007 anjuran PPIM-RSC saya telah memandu ke sana, kini saya dihantar oleh ayah saya pula. Kami bertolak ke Ipoh pada hari Khamis lepas melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang-Ipoh. Kami singgah di Cameron Highland ketika menuju ke sana. Ayah ada kerja yang hendak dibuat di sepanjang perjalanan di Kuala Lipis dan Gua Musang. Perlu memeriksa network Celcom di sana. Jadi, saya bertindak sebagai setiausahanya di sepanjang perjalanan. Sebaik tiba di Ipoh, saya dijemput oleh Zaid, Pengarah Program Homestay PPIM 2008, dan dibawa terus ke rumahnya. Di sana, kesemua AJK lain telah siap berkumpul dan telah tiba beberapa jam lebih awal. Sebelah malamnya, selesai solat Isyak, kami bermesyuarat untuk pengemaskinian yang terakhir dan selepas itu kami semua berjaga sehingga jam 3 pagi membuat kerja-kerja membalut hadiah, hamper dan lain-lain. Keesokannya, semuanya bermula.

Hari Pertama
Jam 11 pagi, Zaid, Jamzuri, Haneem dan saya bergerak menuju ke POS Raya. Kami melawat pentadbiran Sekolah Kebangsaan POS Raya yang telah memberikan kerjasama penuh sebagai tuan rumah untuk program ini. Sekitar jam 2.30 petang, beberapa orang AJK ditugaskan di Medan Gopeng, Ipoh untuk menyambut ketibaan peserta-peserta yang dijadualkan berkumpul di situ sebelum berangkat beramai-ramai ke POS Raya. 3 buah trak dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli datang menjemput kami semua. Trak terakhir yang membawa hadiah dan AJK-AJK tiba di POS Raya pada jam 6.30 pm. Selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah, kami makan malam dan seterusnya mendengar sesi taklimat daripada Ustaz Fattar, Pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang bertugas di POS tersebut. Seterusnya mendengar taklimat penuh program daripada Zaid dan kemudian para peserta dilepaskan untuk berehat. Peserta perempuan yang seramai 45 orang tidur di kuaters guru di perkarangan sekolah dan peserta lelaki yang seramai 15 orang menggunakan surau sebagai tempat tidur mereka. Pada malam itu, AJK berjaga sehingga jam 1.30 pagi untuk menguruskan beberapa perkara. Saya, Haneem, Ainul, Anis dan Nasuha tidur di ruang tamu rumah guru itu. Ada 2 buah rumah diperuntukkan untuk peserta perempuan. Malam itu, kami terpaksa berstokin, tidur dengan 2 lapis baju dan menggunakan segala jenis kain batik dan selendang Pashmina yang kami ada untuk menepis kesejukan. Teramat sejuk! Saya terbangun pada jam 4 pagi kerana terlalu sejuk dan sudah tidak boleh tidur selepas itu.

Hari Kedua
Dimulakan dengan jemaah Subuh, pengisian, senaman pagi (yang menguji tahap pernafasan sungguh!) oleh Encik Azhar, wakil daripada JHEOA Pusat dan seterusnya sarapan pagi. Kemudian kami mengikuti pengisian ringkas oleh Ustaz Hafizuddin, wakil dari JAKIM yang menerangkan pantang larang masyarakat Orang Asli dan juga pengalamannya berhadapan dengan pelbagai kerenah mereka. Selepas itu, slot Ziarah 1 bermula. Kami bergerak mengikut kumpulan masing-masing menuju ke rumah keluarga angkat masing-masing dengan membawa hamper hadiah. Pada mulanya, semuanya masih tiada idea apakah penerimaan mereka terhadapan kunjungan kami. Namun selepas kami (kumpulan saya) selesai di rumah yang pertama, kami mulai kenal bagaimanakah mereka ini. Secara umum, kami boleh katakan bahawa mereka ini sangat pemalu. Mereka hanya bercakap bila perlu saja.

Sebenarnya, cabaran terbesar kami ialah agama. Jika sebelum ini kami telah bersiap sedia dengan masyarakat yang kesemuanya Islam (di POS Sungai Pelatok seperti yang dirancang) tapi setelah lokasi ditukar ke POS Raya, kami berhadapan dengan masyarakat Islam yang minoriti. Jadi, ketika sesi Ziarah 1, kami perlu menjaga sentimen agama dan berbual dengan mereka secara permukaan saja. Bagi keluarga yang telah sedia Islam, kami dapat melihat betapa sebenarnya mereka ini hanya Islam pada nama. Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh pihak JAIP untuk memberikan pendidikan agama kepada mereka. Di POS ini, gerakan mubaligh Kristian adalah sangat aktif. Dalam diam, terdapat sebuah gereja yang didirikan di celah-celah semak untuk digunakan oleh mereka. Bagi yang Kristian, mereka menerima pelbagai kemudahan dari segi material yang mana ini dijadikan daya penarik untuk memikat hati masyarakat di sini. Saya teringat kata-kata Ustaz Fattar. Beliau pernah ditanya oleh masyarakat di sini yang cuba didekatinya. Tanya mereka: Apakah yang boleh mereka daat jika mereka memeluk Islam. Menurut Ustaz, jika sekiranga Islam dapat menawarkan kesenangan yang jauh lebih baik daripada agama Kristian, baru mereka bersedia untuk memeluk Islam. Inilah juga yang saya sendiri saksikan ketika sesi Ziarah 1 itu. Ketika mengunjungi keluarga Kak Alang yang beragama Kristian. Keluarganya susah tapi menerima banyak pertolongan daripada pihak mubaligh Kristian di sana. Jadi mereka sekeluarga berasa terhutang budi dengan keluhuran yang ditunjukkan oleh pihak Kristian.

Jadi, satu lagi kesimpulan yang boleh saya katakan tentang mereka ini ialah manja. Masyarakat Orang Asli bersifat 'bergantung'. Mereka selalu mengharapkan ada sesuatu yang diberikan terlebih dahulu sebelum mereka perlu membuat sesuatu. Tapi 1 lagi yang boleh saya pelajari daripada mereka ialah sifat kesederhanaan dan menerima hidup mereka seadanya. Tapi, jangan tak tahu ya. Mereka ini kuat melawa bagi yang perempuannya. Alat solek adalah antara bahan umpan yang diberikan jika ada program yang dibuat untuk mengajak mereka terlibat sama. Bagi kelas dewasa (belajar membaca), setiap kehadiran akan diberikan RM19. Fuh. Sampai begitu sekali daya tarikan yang perlu dibuat.

Selesai Ziarah 1, kami semua mengikuti slot Eksplorasi Alam. Kami masuk hutan, mendaki bukit dan belajar membuat atap atau tikar mengguakan daun rumbia. Ini memang pengalaman yang berharga buat kami. Sebelah petangnya, ada aktiviti Sepetang Bersama Kanak-kanak Orang Asli. Walaupun hari hujan yang sangat lebat, namun aktiviti ini teramat berjaya. Saya terharu dan sebak melihat suntikan semangat yang berjaya kami berikan kepada adik-adik ini. Apa yang boleh saya simpulkan, sebenarnya adik-adik ini dahagakan aktiviti-aktiviti motivasi yang lain dari yang lain. Mereka ini berpotensi besar sebenarnya. Ramai yang pandai-pandai, petah berkata-kata dan pelbagai lagi bakat mereka. Pada petang itu, kami berikan peluang mereka menggunakan mikrofon untuk bercakap, kami melukis bersama mereka, bersoal jawab tentang pelajaran dan pelbagai lagi. Banyak hadiah disediakan jika mereka dapat menjawab dengan betul. Sungguh. Ini adalah aktiviti yang paling menyentuh hati kami semua. Ketika Nasuha mengacarai slot ini, dia mengajak adik-adik ini berjanji untuk tidak ponteng sekolah dan meletakkan pelajaran sebagai perkara yang penting untuk masa depan. Jika sebelum program ini mereka tidak tahu apa cita-cita mereka, tetapi sehari selepas slot ini, saya bertanya kepada beberapa orang pelajar. Ada yang jawab: Nak jadi macam kakak. Nak jadi doktor. Saya terharu mendengarnya. Kerana sebelum itu, adik yang sama itu, saya tanyakan tentang cita-cita, dia jawab dia tidak pernah tahu nak jadi apa apabila besar nanti. Pada masa yang sama dengan slot bersama kanak-kanak ini, sekumpulan peserta ditugaskan untuk bergotong-royong mengecat sekolah dan ada juga yang bertugas memasak. Hari itu memang badan saya berbau asap sehingga ke malam.

Sebelah malamnya, selesai Maghrib, kami dipersembahkan dengan tarian Sewang oleh penduduk kampung sebagai tanda penerimaan atas lawatan yang kami buat. Selepas itu, kami mendengar pengisian tentang Cabaran Dakwah oleh Ustaz Ridhuan Md. Nor yang sangat istimewa. Padat dengan ilmu. Saya bagai disuntik dengan semangat baru selepas mendengar segala sirah nabi yang Ustaz sampaikan pada malam itu. Seperti biasa, kami AJK berkumpul lagi pada malam itu untuk persiapan bazar pada keesokannya. Kami hanya naik ke rumah apabila hari telah menunjukkan jam 2 pagi dan cuaca pada malam itu teramatlah sejuk kerana hujan lebat pada sebelah petangnya.

Hari Ketiga
Selesai Subuh dan tazkirah, kesemua peserta turun menjamu sarapan dan seterusnya membuat persiapan Grand Sukaneka. Hari itu saya bertugas di Bazar Jumbo Sale. Kami menjual pakaian terpakai yang kami bawa dengan harga yang sangat murah (semurah 50 sen saja!) untuk mengutip derma buat tabung sekolah. Bukan kami sengaja hendak neyusahkan mereka kerana menjual baju-baju itu tetapi sekiranya kami memberi secara percuma, pasti tidak adil kerana ada keluarga yang tidak hadir ke tapak bazar. Dan siapa kata mereka tidak berduit. Menurut pihak kantin, anak-anak mereka sentiasa banyak wang untuk berbelanja di kantin. Tambahan pula, sekarang ini musim petai dan durian menjadi-jadi. Maka, bertambahlah pendapatan mereka. Menjelang tengahari, kami hanya memberikan pakaian-pakaian tersebut secara percuma dan agihan dibuat seadil yang boleh.

Sekitar jam 11.30 pagi, padang mula dikosongkan untuk memberi laluan kepada slot Medical Check Up. Kami mendapat kerjasama penuh daripada pihak Jabatan Kesihatan. Untuk slot itu, 2 orang peserta yang telah grad, Kak Murni dan Kak Im, bertindak sebagai doktor yang memberi konsultasi kepada mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan. Bagi pelajar tahun akhir seperti saya dan beberapa orang yang lain juga, kami juga bertugas sebagai doktor yang memberi konsultasi kepada mereka yang hadir. Saya masih ingat peristiwa ketika berada di meja kempen kesihatan. Ada pamplet tentang kempen penghapusan nyamuk, lalat dan tikus diletakkan di situ. Sekumpulan pelajar datang mendekati saya setelah mereka diberi makan vitamin C dan ubat cacing. Salah seorang daripada mereka memegang pamplet itu. Saya mengambil peluang untuk berborak dengan mereka. Saya bertanya secara rawak di mana boleh ditemui nyamuk, lalat dan tikus. Jawab mereka: Di rumah. Ok. Yang ini masih boleh diterima akal. Saya sedang mencari idea untuk mengaitkan tentang penyakit yang dibawa oleh haiwan-haiwan ini. Lalu saya bertanya: Apa yang kamu buat kalau jumpa tikus? Jawab mereka: Makan. Ok. Yang ini buat saya tersentak sekejap kerana saya membayangkan jawapan yang lain, tapi yang sangat lain pula saya dengari. Tapi saya teruskan juga soalan-soalan saya sehingga saya dapat sampai kepada motifnya. Ada juga penerangan daripada mereka mengatakan tikus itu digoreng untuk dimakan. Kosong sekejap otak saya untuk meneruskan penerangan. Tapi saya kena berhati-hati menerangkan ini semua kerana ia berkaitan dengan sentimen gaya hidup. Jamzuri dan Hafiz yang ada di situ juga tergelak selepas saya ceritakan semula tentang hal ini.

Oh ya. Saya tak puas hati dengan alat ukur ketinggian yang disediakan. Macam manalah pula saya hanya 152 cm saja. Ini tak boleh jadi. Memang tak aci. Hafiz, KS tahulah KS ni 30 cm kurang dari kamu. Tapi yang renek-renek tu comel tau. Bila jalan sebelah kamu, nanti orang ingat KS jauh lebih muda dari kamu. Huhu. Dan untuk Al, awak kata saya boleh pilih berapa ketinggian yang saya nak, kan? Haa... Saya nak 181 cm. Nak lawan Hafiz. Huhu. Terima kasih buat semua terutamanya Kak Murni dan Kak Im yang telah bertugas dengan baik pada hari itu. Juga Shirah dan Dalila yang bertungkus-lumus menjadi doktor yang berjaya pada hari itu. Sungguh saya katakan. Serak suara saya terpaksa bercakap banyak pada hari itu. Sebelah petangnya, kami ke air terjun di kawasan belakang POS tersebut. Pak Lang yang membawa kami. Di sana, kami ditunjukkan dengan cara memasak nasi di dalam buluh dan membuat perangkap. Banyak ilmu yang kami perolehi. Pada mulanya saya tak berhajat untuk mandi. Tapi ketika saya cuba berjalan di dalam air menuju ke arah Gmex, Aishah dan Nasuha, saya tergelincir dan sudahnya saya basah kuyup juga. Aishh... Apalah nasib. Bila hendak balik, saya disimbah air oleh Pak Lang. Katanya, saya banyak termenung. Huhu. Oh ya. Encik Idris, Pegawai JHEOA negeri yang mengiringi kami di sepanjang program juga turut turun bermain air dengan pelajar lelaki yang lain. Encik Idris ni cool dan diam saja orangnya. Jadi, kami segan dan tertanya-tanya apakah agaknya komen beliau tentang program ini secara keseluruhannya. Ok. Cerita ini kita akan tahu di hujung entri nanti.

Sebelah malamnya, kami mendengar forum santai yang dipaneli oleh Dr. Latif dan Dr. Awisol. Sangat best! Slot ini memang ditunggu-tunggu oleh kesemua peserta. Banyak pengalaman yang kami dapat jadikan sebagai pengajaran. Seperti biasa, AJK tidur lewat pada malam itu untuk memastikan kelancaran program pada keesokannya.

Hari Keempat
Selesai sarapan, kami ber-LDK. Saya menangis mendengarkan kesimpulan yang diberikan oleh wakil dari kumpulan saya. Bagi semua peserta, saya yakin tiada yang tidak tersentuh dengan apa yang dikatakan oleh Saliha. Diharapkan kita semua dapat berubah dan menyiapkan diri untuk menjadi lebih baik lagi selepas ini. Tidak kiralah dalam apa perkara sekalipun.

Selepas itu, kami menjalankan slot Ziarah Wida' sebagai tanda perpisahan dengan penduduk POS tersebut. Kami melawat semula keluarga angkat kami. Saya terharu. Mereka sebetulnya sedih dengan keberangkatan pulang kami. Katika di rumah Kak Sarini, saya terharu kerana telatah anaknya Franky yang comel membuatkan saya sedih untuk melangkah pergi. Uzair, nanti KS nak gambar tu tau. Agagaga yang comel, kan =)

Sebaik berkumpul semula, kami bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah dan membuat persiapan untuk majlis penutup. Tengahari itu ada kenduri disediakan untuk peserta dan penduduk POS. Sebetulnya, setiap kali makan pun, kami akan makan bersama penduduk kampung yang datang ke khemah makan kami. Waktu ini juga kami guna pakai untuk berinteraksi lebih dengan mereka.

Sebelum majlis penutup bermula, ada sesuatu telah terjadi. Mekna, Wani, Kak Mawaddah, Roy, Al, Luqman dan Haneem, sila jaga rahsia. Hehe. Ketika mendengar sesi ucapan, kami semua tertunggu-tunggu ucapan dan komen daripada Encik Idris yang kami semua hormati itu. Dan alangkah terharunya kami semua apabila beliau menyatakan betapa program kali ini sangat berjaya, lain dari yang lain dan membawa kesan yang tersendiri kepada masyarakat di situ. Saya masih ingat peristiwa ketika saya mengiringi Encik Idris untuk turun ke padang pada petang hari ketiga. Saya bertanyakan pendapatnya tentang perjalanan program setakat ini. Encik Idris tersenyum dan mengatakan: Sangat Ok. Saya suka. And I wonder apa akan jadi tahun depan. Saya cuak sekejap dengan apa yang dibayangkannya tentang tahun hadapan. Kemudian Encik Idris menyambung: Akan ada tak lagi program yang macam ni pada tahun depan. Oh. Waktu tu hanya Allah yang tahu betapa terharunya saya dengan respon yang saya dengar daripanya. Terima kaish Encik Idris kerana bersama-sama dengan kami di sepanjang program dan di setiap aktiviti. Kami masuk kampung, Encik ikut serta, kena kejar anjing bersama-sama, kami masuk hutan panjat bukit, Encik ikut sama, kami terjun sungai, Encik pun terjun juga. Encik Idris memang best! (Psssttt... Bukan macam orang tu kan. Liplap liplap aje. AJK-AJK, kamu semua tahu siapa tu kan. Haha).

Selepas itu sesi fotografi dan perpisahan. Kami bersiap mengemaskan rumah masing-masing sebelum menaiki trak pada pukul 5 pm. Ketika hendak meninggalkan perkarangan POS Raya, adik-adik sekolah itu berkumpul di tepi jalan untuk memberikan lambaian terakhir buat kami semua. Aaa... Rasa sebak. Macam nak nangis. Tapi memandangkan ramai lagi yang ada di atas trak itu, saya tahan-tahankan.

Kesimpulannya, Program Homestay PPIM 2008 ini memang sangat berjaya dan menggembirakan. Saya telah ikut serta dalam semua aktiviti cuti musim panas anjuran PPIM-RSC dan sejujurnya, inilah aktiviti yang paling best, membuka mata saya tentang 1 dunia yang belum pernah saya terokai, saya belajar bermacam-macam perkara daripada masyarakat di sini dan aktiviti ini meliputi aspek fizikal, rohani dan yang lebih utama, kami semua turun padang untuk berdakwah yang belum pernah kami lakukan secara terus dan langsung seperti kali ini. Dan sejujurnya saya belum pernah bekerja dengan komiti yang sangat bagus seperti kali ini. Walaupun pelbagai masalah yang kami hadapai di peringkat awal persiapan dan perancangan, namun kami masih tetap kekal bersatu untuk menjayakan program kali ini. Buat semua AJK Homestay PPIM 2008, Zaid, Uzair, Husni, Hafiz, Al, Syazwan, Peja, Tuan, Jamz, Kak Mawaddah, Haneem, Nasuha, Gmex dan Ainul, saya/KS ucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama yang tak berbelah bagi daripada kalian. Kamu semua telah banyak menjadi tulang belakang saya/KS sepanjang program ini berlangsung.

Juga buat peserta-peserta program Homestay PPIM 2008, terima kasih tak terhingga atas kerjasama dan komitmen yang sangat sangat sangat sangat sangat sangat sangat baik yang telah diberikan! Saya/KS terharu kerana program ini tidak akan berjaya dengan gilang-gemilangnya tanpa kerjasama dari semua. Dan saya/KS rasa gembira dapat mengenali wakil-wakil daripada Mesir (Sharifah dan Farhana), Indonesia (Fahmi dan Husna) dan wakil dari negara-negara lain. Buat Solhaa, saya terkejut rupanya awaklah blogger yang pernah menegur saya suatu ketika dahulu. Malu pula saya. Hihi. Dan buat Roy, kalau ada lagi teka-teki, simpan-simpan dulu ok. Nanti ada masa, ada rezeki, silalah beri teka-teki lagi. Insya Allah saya dah tak lampi dan slow dah. Huhu. Juga Muzafar, Ismail, Luqman, Kak Hir, Af'idah, Zahid, Yaqin, Syakirah serta kesemua peserta perempuan yang lain, TAHNIAH! Program ini berjaya kerana kalian semua! Semoga kita bertemu lagi di program yang akan datang Insya Allah. Dan semoga semangat kita akan tetap tinggi untuk meneruskan tarbiah, dakwah dan membawa misi pendidikan buat semua!

Nota 1: Saya balik ke Temerloh pada malam itu juga dengan menaiki bas dan tiba ke rumah pada jam 3 pagi.

Nota 2: Saya/KS tak banyak koleksi gambar. Sibuk kehulu-kehilir, jadi tak sempat nak ambil gambar. Nanti saya/KS akan kutip dari kamu semua ye. Hehe. Terutamanya daripada Haneem, Hafiz, Jamz dan Uzair :p

Nota 3: T-shirt program kali ini sangat cantik. Masih ada baki 10 helai untuk t-shirt perempuan. Labuh dan berlengan panjang (boleh klik di sini untuk lihat). Yang tinggal cuma size S dan M. Bagi yang berminat untuk membeli, sila buzz saya ye =) Siapa cepat dia dapat tau.

Saturday, July 26, 2008

Promosi : Bahasa Bumi

Assalamualaikum wbt

Sejak awal Mac lalu, saya telah terlibat dalam satu projek penulisan. Projek ini merupakan sebuah Antologi Puisi 50 Penulis yang sedang menuntut di luar negara. Alhamdulillah, Antologi Puisi ini telah siap dibukukan dan akan mula berada di pasaran mulai minggu hadapan. Ini julung-julung kali saya terlibat dalam projek penulisan begini. Judul Antologi Puisi ini ialah BAHASA BUMI. Terdiri daripada 50 orang penulisan muda dan ada juga beberapa penulis yang sudah sedia menempa nama dalam bidang ini. Karya mereka acapkali tersiar di dada-dada akhbar tempatan. Dalam Antologi Puisi ini, setiap penulis menyumbangkan 2 buah puisi terbaik mereka dan terdapat juga puisi-puisi pilihan yang telah memenangi pertandingan puisi di beberapa buah negara (yang telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana). Projek Antologi 50 Penulis ini adalah projek Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang saya sertai sejak hampir setahun yang lalu.

Jadi dengan ini adalah dengan berbesar hati, saya hendak membuka tempahan bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Antologi Puisi tersebut. Di samping itu, saya turut mempromosikan 2 buah buku lain yang turut dalam tempoh promosi GKLN ketika ini. Sila email saya di: sarahmohdshukor@gmail.com selewat-lewatnya Selasa depan. Di bawah ini saya sertakan harga bagi setiap buku.

Bahasa Bumi - RM15
Mengemis di Kota Larangan - RM15
Menggeledah Nurani - RM15

Ini kali pertama hasil saya dibukukan. Walaupun hanya 2 buah daripada total 50 buah puisi, saya rasa berbesar hati tau =) Bagi yang berminat, bolehlah emailkan segera. Saya hendak membuat tempahan. Emailkan pada saya judul buku dan alamat anda. Nanti saya akan berikan akaun bank saya untuk anda membuat bayaran. RM15 sebuah bukanlah besar sangat, kan =)

Cintailah Bahasa Kita!

Untuk membaca sinopsis buku-buku ini, sila lawati: GKLN Publishing House

Nota: Entri ini auto post.

Wednesday, July 23, 2008

Hijau

Assalamualaikum wbt


Saya ini budak kampung. Lahir di kampung (tak sempat dibawa ke hospital) dan membesar pun di kampung. Nasib saja bersekolah di bandar sejak kecil. Bila remaja, tercampak ke Klang dan kemudian terhumban ke Moscow. Saya mula tinggal di rumah saya ini sejak 17 tahun lalu. Rumah ini dibina oleh emak dan ayah pada tahun 1991. Saya di tadika. Dan sejak itu, keliling rumah saya dipenuhkan sedikit demi sedikit dengan pokok pelbagai jenis. Saya rasa, kalau rumah saya tiada pokok-pokok ini semua, pasti lain keadaannya dan suasana tidak sehijau dan setenang sekarang.

Pokok langsat di tepi rumah. Berbuah tak putus-putus.

Pokok limau kasturi di belakang rumah. Dulu saya panggil ini pokok Kaklong. Sebab sewaktu kecil dulu, pokok ini di bawah seliaan Kaklong. Saya ada sebatang pokok belimbing madu dan Nan pula sebatang pokok jambu batu. Tapi pokok saya dan Nan telah ditebang kerana akarnya memecahkan longkang belakang rumah. Terlalu besar.

Langsat di belakang rumah. Pokok ini menggantikan tapak pokok belimbing saya.

Ada yang tak kenal ini pokok apa? Ini pokok pinang. Tumbuh di tepi pagar belakang rumah.

Ini pula pokok kunyit. Kalau perlukan daun kunyit, kutip saja dari pokoknya.

Bunga pokok palma. Bertandan-tandan penuh malayut di pelepahnya.

Pokok kelapa gading. Pokok yang ini renek saja. Belum cukup tua. Tumbuhnya di hadapan rumah. Pokok kelapa biasa tak usah ceritalah. Terlalu banyak. Siap ada sarang burung tempua bergayutan lagi.

Jejarum merah di laman hadapan, bersebelahan bunga pagar.

Jejarum kuning di laman hadapan, berhampiran pokok manggis.

Bunga ini kami panggil bunga pasir. Entahlah nama betulnya apa. Kami pakai sebut je sebab bunga ni selalu tumbuh di kawasan berpasir. Bunga ini kembang di waktu hari masih berembun saja. Gambar ini adik saya, Adam, yang ambil.

Rambutan juga sudah banyak berjuntaian. Adam yang rajin mengait dan memanjat setiap petang. Kalau ada Adi, dialah yang paling rajin mengumpulkan buah-buahan yang ada di sekeliling rumah.

Isi rambutan yang dikupas seperti telur ayam. Ingat yang saya katakan dulu? Mesti ada yang tahu bagaimana hendak membuatnya. Renyah sedikit. Baik tak usah buat. Sudahnya masuk ke mulut juga, kan.

Manggis si hitam manis. Ini hasil pokok tertua yang ada di depan rumah, antara rumah saya dan rumah Tok. Di sinilah saya selalu berkumpul bersama Mak Tam dan Tok Chik. Ada 3 batang lagi pokok manggis. 2 di hadapan rumah, sebatang lagi di tepi pokok nangka di sebelah garaj.

Si raja duri. Kami kenduri durian pada malam semalam. Semua ahli rumah di bukit letaknya rumah saya berkumpul di beranda rumah saya. Ayah sengaja beli banyak supaya kami dapat berkumpul makan beramai-ramai. Tadi petang, Mak Tam sediakan pulut dan kuah serawa durian. Makan sewaktu hujan, fuh... Syurga!

Untuk merasakan dunia kita tenang, kita memang memerlukan persekitaran yang bersih dan hijau. Dan untuk mendekati dan berinteraksi dengan alam yang hijau, kita perlulah diam. Daa~ Salam.

Monday, July 21, 2008

Bila Lelaki Angau

Assalamualaikum wbt

Saya demam panas hari ini. Terasa malas pula hendak menulis banyak. Petang tadi waktu melepek di depan TV menonton cerita Ali Din, ada sesuatu yang menangkap pendengaran saya. Ketika itu, Puteri (yeke namanya Puteri?) ditanya oleh Mak Jah adakah dia selalu teringatkan Ali, rindu bila lama tidak berhubung dan ada gejala makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Puteri megakuinya. Lalu Mak Jah menyatakan itu maknanya cinta. Tapi menurut Mak Jah, lelaki tidak begitu.

Jadi, apa sebenarnya yang dirasai oleh lelaki? Sebab bila tengok dalam mana-mana drama Melayu, lelakilah yang lagi teruk angaunya. Kalau dalam filem P. Ramlee, tengok sajalah lagu-lagunya. Semuanya lagu orang angau. Siapa ada pendapat, silalah berkongsi. Bagi yang lelaki, silalah bagi keterangan atas dakwaan kononnya lelaki kurang angau bila sudah jatuh cinta. Ini macam kurang adil pula. Hehe.

Nota 1: Petang semalam, saya akhirnya bertemu dengan Khairul. Si Adik Kecik yang memang kecil saja orangnya. Comel sungguh. Kebetulan dia pulang bercuti ke rumahnya di Mentakab dan akan pulang ke KL pada petang semalam. Kami bertemu di Terminal Bas Ekspress Temerloh. Khairul, kerja baik-baik dan teruskan belajar. KS yakin kamu akan berjaya! Walaupun tak lama mana kami berjumpa, tapi puas jugalah berbual dengannya. Tengok mukanya saja pun dah rasa sejuk mata. Tenang saja orangnya =)

Nota 2: Petang tadi, saya keluar dengan emak. Dua kali emak tersasul memanggil saya Adik. Haa... Merasa jugalah saya perasan jadi anak bongsu!

Saturday, July 19, 2008

Azizi Oh Azizi!

Assalamualaikum wbt

Azizi adik yang kedua bongsu. Dia sangat menyukai Bahasa Melayu. Ini gara-gara cikgu tuisyennya, Cikgu Ros, yang sangat pandai mengajarnya subjek tersebut ketika mengikuti kelas tuisyen peribadi di rumah Cikgu Ros. Kami menyakat Azizi mengatakan dia adalah anak angkat Cikgu Ros. Pengaruh daripada tuisyen itu, dia selalu menggunakan perkataan-perkataan yang bombastik, yang jarang-jarang kita guna dalam kehidupan harian. Kalau bernasib baik, dapatlah kami mendengar dia berperibahasa dan berpepatah. Mengalahkan orang tua bunyinya!

Pada suatu petang, dalam perjalanan menuju ke hostel Adi untuk melawatnya, ayah menelefon emak. Ayah bertanya, dah nak bertolak ke tempat Adi kah. Emak mengatakan ya kerana mengikut persetujuan pagi itu, ayah menyuruh emak ke sana bertemankan saya saja. Rupa-rupanya kami berselisih dengan kereta ayah pada waktu itu jadi ayah ternampak akan kami dan menyuruh kami patah balik untuk menjemputnya terlebih dahulu. Ayah mahu ikut sekali ke sana. Lalu, Azizi yang turut ada di dalam kereta pada ketika itu berkata: Emak dengan ayah ni bagai isi dengan kuku. Air dicincang pun takkan putus.

Saya dan emak gelak besar dalam kereta. Azizi tersengih-sengih. Dia bertanya, salahkah ayat tu? Lalu dia memberikan perbahasa seterusnya: Ke yang sebetulnya muafakat membawa berkat? Mendengarkan itu, lagilah saya dan emak tergelak.

Petang semalam, emak sibuk memasak di dapur. Emak mahu membuat mee kari. Mak gembira. Kesemua kami 8 beradik akan berkumpul di rumah. Sedang emak membasuh sesuatu di singki dapur belakang, Azizi bertanya: Mak, ada apa-apa nak Zizi tolong tak? Sebaik lepas dia bertanya, dia menambah: Hehe. Zizi ni ajak-ajak ayam je. Tiba-tiba Kaklong tergelak besar. Saya pada mulanya tidak mendengar apa yang Azizi katakan. Lepas diulang oleh Kaklong, barulah saya tahu kisahnya. Saya pun tergelak sama. Habis tu apa, tanyanya. Kaklong membetulkan: Hangat-hangat tahi ayam la Zizi!

Habis kami bertiga yang ada di dapur ketika itu tergelak besar. Azizi memang begitu. Obsesif dengan segala unsur keindahan bahasa ini!

Ok. Hari ini ahli rumah saya lengkap kesemuanya. Oh, gembiranya!

Wednesday, July 16, 2008

Maka Inilah Dunia Saya

Assalamualaikum wbt

Pernah ada yang bertanya, kenapa blog saya bernama My World, Dunia Saya. Jawapan saya hanya satu. Kerana di sinilah saya dapat berkongsi apa yang saya rasakan dan dalam masa yang sama merehatkan diri saya daripada kesibukan belajar.

Saya sering bersendirian. Pergi balik dari kelas, pergi balik dari hospital, mengembara sekeliling Moscow di tahun pertama dulu dan macam-macam lagi. Bukan saya sengaja menjadi solo begini. Ada sebabnya. Pertama, kerana susah mahu berjanji dengan rakan-rakan sekumpulan waktu itu. Yang lambat, memang lambat. Ada yang awal, tapi mahu menunggu kekasihlah pula. Sudahnya saya lagi selesa bergerak secara solo. Tidak terikat dengan sebarang komitmen dan janji. Orang kata bahaya begitu pada waktu itu. Tapi Alhamdulillah saya tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini. Keduanya, saya tidak mahu bergantung kepada rakan-rakan untuk membuat nota kelas, nota kuliah mahupun nota peribadi. Bukan sombong, tapi lebih selesa dan menepati cara belajar saya. Kalau kita sendiri yang sediakan, ilmu lebih lekat dalam kepala dan lebih terurus ketika hendak exam. Saya sentiasa wajibkan diri saya membuat persediaan sebelum ke kelas. Prinsip saya, saya tidak kisah orang mahu meminjam apa yang saya sediakan tapi jangan saya bergantung pada orang. Saya tidak mahu dilabel menyusahkan orang. Dan disebabkan ini, saya sudah dicop sebagai seorang yang 'sangat berdikari' dan 'boleh hidup sendiri' oleh rakan-rakan sekumpulan. Bunyinya seperti positif. Hakikatnya ada negatifnya juga. Disebabkan saya dilabel begini, kadang-kala saya dilupakan jika mereka ada nota edaran atau slide show yang penting. Juga dilupakan jika mereka ada 'variant' atau skema jawapan untuk apa-apa ujian. Kadang-kala, bila tiba hari ujian, saya hairan melihat mereka semua bersedia dengan skema jawapan yang sudah difotostat tetapi saya tidak tahu menahu. Apabila saya bertanya, mereka katakan bahawa semua sudah dapat, bagaimana pula saya tidak dapat. Dan konklusi yang mereka berikan: Alah, kalau kau takde pun skema jawapan tu, kau dah ready dah. Ayat ini saya ingat sampai ke hari ini. Dan terima kasih di atas respon 4 tahun yang sudah itu kerana menjadikan diri saya yang sekarang.

Sejak itu, saya memang tidak pernah bergantung harap tentang nota atau variant daripada rakan-rakan. Sedih juga jika teringat peristiwa 4 tahun lepas itu tapi saya bersyukur kerana setiap yang terjadi itu pastinya ada hikmah yang jauh lebih bernilai. Saya menjadi seorang yang sangat serius dalam pelajaran, tidak bergantung pada yang lain dan saya boleh hidup dalam apa-apa keadaan sekalipun. Inilah hidup saya setiap hari. Waktu itu, bilik saya di hostel lama tiada talian internet. Untuk mengisi masa lapang, saya suka main game Pizza Frenzy (full version), Virtual Orchestra System (VOS) dan menulis cerpen. Waktu itu, itulah dunia saya. Dan sebaik saja saya berpindah duduk di luar sekitar 2006, saya pun mula berblog. Kenapa saya berblog kerana inilah saluran lain selain daripada menulis cerpen yang semuanya saya simpan menjadi pekasam khazanah sendiri saja.

Pada mulanya, blog ini hanya saya, ayah dan tiga, empat orang kawan saja yang tahu. Tapi entah mana puncanya, lama-kelamaan, semakin ramai yang jumpa dunia saya ini. Dan sejak saya mula berblog, saya temui kenalan yang sekepala dengan saya, yang sejiwa dan semuanya mewarnai hidup saya setiap hari. Dan tak ketinggalan, ada juga yang menjadi pengacau yang sangat merimaskan sehingga pernah buat saya tertekan. Tapi saya bertahan untuk terus berblog kerana saya sayang kawan-kawan yang saya kenali melalui blog. Inilah sedikit sebanyak tentang saya dan MW. Bagi saya, MW adalah sangat penting dan istimewa kerana dengan adanya MW, saya ada kehidupan lain selain daripada buku dan persatuan.

Sejujurnya saya ada entri khas yang hendak ditulis tentang MW ini. Emak saya tahu apa yang saya hendak tuliskan, yang telah menjadi niat saya sejak 2 minggu yang lalu. Tetapi, tanpa diduga, saya terpaksa menyimpan dulu entri itu kerana tidak mahu dihubungkaitkan dengan beberapa keadaan yang sedang berlaku. Macam bercelaru kan apa yang saya katakan ini? Hmm... Sebetulnya, mood saya masih kurang baik. Saya rasa sungguh kusut sekarang ini.

Esok saya tiada di rumah. Perlu ke KL lagi. Ada mesyuarat lagi. Dan perlu ke Cyberjaya juga. Saya akan pergi naik bas saja. Ikutkan hati, saya tak mahu bermalam di KL. Saya hendak balik ke rumah pada petang esok juga. Tapi mesyuarat di Cyberjaya adalah pada sebelah petang. Sempatkah saya berkejar balik ke Pekeliling untuk bas terakhir ke Temerloh? Ini satu lagi hal. Kusut.

Saya mohon maaf kalau ada yang terasa atau tidak bersetuju dengan lontaran pendapat saya dalam entri lepas atau yang lepas-lepas. MW tempat saya mengeluarkan pendapat peribadi saya tentang perkara yang berlaku di sekitar saya, Malaysia, Moscow atau dunia secara amnya. Dan kalau tersasar, saya memang tak pandai menyorokkan apa yang saya rasa. Kadang-kala, jelas terpapar pada apa yang saya tuliskan. Andai kata ada di antara kamu yang dapat menilai mood saya dengan membaca entri kali ini, mesti ada yang dapat buat kesimpulan apa yang sedang berlaku sebenarnya.

Saya tahu ada orang yang jauh lebih faham. Emak, maaf sangat kalau Ngah teruskan juga niat Ngah tu. Selamat malam dari Temerloh. Semoga malam yang hening dihangatkan dengan tangis buat Ilahi.

Nota: Tadi saya mewarna bersama adik-adik. Saya warnakan sebuah kereta Honda EK apa entah. Adik saya kata cantik. Padahal, sewaktu sekolah rendah dulu, Pendidikan Seni saya sangat jarang dapat A dengan bintang-bintang. Biasanya hanya 'Dilihat' saja. Dan sebelum mereka tidur, saya ajarkan teknik mewarna menggunakan krayon dan saya potretkan sejenis seni yang pernah saya pelajari dulu. Pada kertas lukisan itu saya ukir kata-kata: I am a good Muslim. Dengan warna oren terang. Ironinya, adakah yang menulis itu betul-betul 'good' dalam menguruskan hidupnya sebagai seorang Muslim. Adakah yang menulis itu Muslim sepenuh masa atau part time saja? Warna oren terang itu seperti satu sindiran untuk diri saya sendiri. Jadi, apa resolusi yang patut dibuat? Hmm... Dalam entri ini, ada jawapan yang tersembunyi.

Tuesday, July 15, 2008

Melatah Eh Eh Eh

Assalamualaikum wbt

Kelmarin hari Isnin. Pukul 7 pagi rumah saya dah kosong. Lepas menyapu bawah garaj kereta tepi rumah, saya mengambil galah yang disandarkan pada pokok manggis. Saya kait buah manggis dan apa lagi. Saya bersarapankan buah manggis segarlah pagi kelmarin.

Pagi Selasa pula, saya menjenguk pokok betik di tepi rumah Tok. Ada yang sudah masak. Saya jolok dengan galah yang telah diubahsuai untuk menurunkan betik masak. Jadi, sarapan saya pagi tadi ialah buah betik segar. Ingatkan nak simpan dalam peti dan makan bila hendak makan tengahari. Tapi godaan perut terlalu kuat. Sekelip mata saya dan Mak Tam habiskan betik itu.

Sekitar pukul 10 pagi, saya baru sudah menyapu halaman. Tok Cik saya datang. Sudahnya saya, Tok Cik dan Mak Tam tercongok di bawah pokok manggis menjolok buah lagi. Datang adik saya Adlan, dia sergahnya Tok Cik saya dengan niat menyakat. Memang Tok Cik terkenal dengan kuat melatah. Lan hanya menyebut: Haa... Makan manggis! Tok Cik terus melatah dengan menyabung ayat itu menjadi panjang berjela: Oh makan manggis. Makan sorang-sorang. Eh sorang-sorang apanya. Ni ada Ani (Mak Tam) dengan Sarah. Eh Sarah duduk jauh. Ini Fatimahnya (Kaklong). Eh apa kerja Fatimah balik, dia kerja. Awok ni Lan. Eh Lan makan manggis. Eh manggis masam manis. Eh manggis ada ais. Awok ni Lan. Eh Lan kait manggis.

Haaa... Ni belum dengar semuanya lagi. Tak campur versi yang ada mengutuk, mencarut dan segala macam perkataan lagi keluar. Saya gelak mengekek-ngekek mendengar Tok Cik melatah. Tak baiknya saya. Tapi memang lucu! Bila Mak Tam menyapa Tok Cik ketika dia sedang melatah tu, lagi berjela-jela dia melatah. Yang paling menarik, di hujung latahannya pagi semalam, sempat dia berpantun 6 kerat!

Hitam-hitam si tampuk manggis,
Luarnya hitam dalamnya putih,
Kupandang hitam rasanya manis,
Lagi kupandang bertambahlah kasih,
Lagi kukasih bertambahlah sedih,
Kasihku hilang tak balik-balik.

Pantunkah? Apa-apa ajelah. Yang pasti apa yang dilatahkan oleh Tok Cik ini sangat mendalam maksudnya ok. Terdiam pula saya mendengarnya. Memang orang tua dah lebih dulu makan garam daripada kita, kan.

Pokok rambutan dah mula berputik. Nanti saya nak dengar Tok Cik berpantun versi buah rambutan pula. Hehehe.

Sejak balik cuti, saya jarang makan makanan berat untuk sarapan. Paling habis pun saya akan jamah roti dan minum nescafe. Lepas tu saya akan cari buah. Kalau stok mangga atau jambu batu tiada, saya akan kait manggis di pokok. Tak sabar tunggu rambutan memerah. Sekarang masih hijau kelat lagi. Pernah tengok rambutan jadi telur ayam? Haa... Kalau nak tengok, tunggu nanti ye. Saya akan tunjukkan. Inilah untungnya duduk di kampung dan ada banyak pokok buah di rumah. Bolehlah mempraktikkan diet yang sihat. Hahaha (~~,)v Ok. Nak tidur awal. Esok pagi mahu jogging di tasik. Jogginglah sangat ye. Balik jogging makan macam-macam. Takde maknanya kan. Hehehe =)

Nota ilmu: Pasti ramai yang tengok debat antara DSAI dengan Dato' Seri Shabery Chik kan. Saya ni bukan siapa-siapa pun nak bercakap tentang politik (kalau saya tulis lebih-lebih, ada yang meluat pula nanti). Tapi bila mendengar perdebatan tu tadi, kita dengan jelas dan nyata dapat bezakan siapa yang berdebat dengan fakta dan siapa pula yang berdebat mengungkit-ungit cerita entah apa-apa dan lebih kepada hendak menjaga nama. Kot ye pun dah tiada modal nak dihujahkan sangat, tapi janganlah sampai memalukan diri sendiri di khalayak ramai. Awak tu Pak Menteri. Bikin malu saja apabila setiap soalan yang diajukan tidak dijawab dengan setepatnya. Ini kalau ada terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris (nanti siaran ulangan di TV3 mesti ada terjemahan), buat malu pada 1 dunia saja ada Menteri Penerangan yang begini. Takkan Pak Menteri kita ni dikira melatah orang tua pula kot. Tak tua mana pun lagi Pak Menteri kita ni. Saya tidak pula kata DSAI betul semuanya. Tapi kredibiliti dan debat yang berteraskan ilmu dan fakta daripada DSAI benar-benar membuktikan beliau ialah ilmuan bidang ekonomi yang layak untuk dipanggil untuk membincangkan isu ini dan seterusnya pendapat ilmuan yang sebeginilah yang perlu kita pohonkan tunjuk ajar untuk mengatasi masalah yang melanda negara. Ini tidak. Ramai yang membodoh sombong.

Kalau rasa diri bukan harimau, jangan cuba mengaum. Jangan nanti dah terbuat silap, jadi seperti kasawari. Badan di luar, kepala sorok dalam pasir. Sebesar-besar bangkai gajah, takkan tertutup dek sepasang kaki semut hitam. Ok. Titik.

Monday, July 14, 2008

Lunch Date With Them

Assalamualaikum wbt


Seperti yang saya ada sebutkan dalam entri semalam, Khamis lepas ada sesuatu yang terjadi. Seawal 7 pagi saya telah bertolak dari Bangi menuju ke Jalan Ampang kerana ada mesyuarat di sana. Saya kurang arif tentang lokasinya tempat itu. Jadi saya gunakan khidmat Nan untuk GPS-kan lokasi Wisma Selangor Dredging. Saya ada mesyuarat dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang bekerjasama dengan persatuan saya untuk menjayakan program Homestay di POS Sungai Pelantok, Sungai Siput di hujung bulan ini.

Mesyuarat berlanjutan sehingga tengahari. Saya memang tidak bersarapan langsung pagi itu. Jadi sebaik selesai mesyuarat, saya dan 5 orang AJK yang lain (semuanya junior) terus menuju ke KLCC (bertentangan saja dengan wisma tu). Semuanya kelaparan. Bila dah lapar begini, mestilah hidangan berat yang menjadi pilihan. Sambil makan, kami menyambung perbincangan antara kami tentang perjalanan program. Sambil itu, sempat juga saya menembak di kiri kanan. Lama tak test power. Hehehe.

Tiba-tiba saya teringatkan lunch date bersama Kak Inah yang sepatutnya dijadualkan tengahari itu. Lalu saya menelefon Kak Inah untuk memaklumkan nampak gayanya terpaksalah dibatalkan saja kerana kami tidak sempat untuk membuat janji dengan detail. Lagi pula, saya memang sudah penat amat waktu itu. Kebetulan malam sebelum itu saya tidur sangat lewat kerana menginaikan Faiq dan berborak versi dalam gelap. Huhu.

Sebaik dapat menghubungi Kak Inah, saya memaklumkan yang saya berada di KLCC dan nampaknya janji temu kami perlu dibatalkan dulu. Alangkah terkejut saya kerana Kak Inah juga memaklumkan bahawa dia juga berada di KLCC. Kak Inah datang menjemput saya di tempat saya. Inilah pertama kali saya bertemu dengan blogger yang sangat tinggi semangat belajarnya. Kak Inah ni idola saya dalam bab study. Serius, Kak Inah sangat berdedikasi dan orangnya sangat comel! Sebaik bertemu, kami bersalaman dan saya terus memegang pipi Kak Inah. Baru saya tahu Kak Inah ada darah campuran Anak Mami rupanya! Ingatkan ada mixed Pakistan ke, Arab ke. Kak Inah mengajak saya menyertainya di Chilli's. Ada beberapa orang kawannya menunggu di situ menurutnya. Saya pun telah selesai dengan committee board tadi. Jadi saya pun menuju ke Chilli's. Dan alangkah terkejutnya saya kerana ada 3 orang lagi blogger yang menunggu di situ. Yang saya kenali ialah Nikli dan Ziana. Saya mengikuti blog mereka tapi sekadar sebagai silent reader. Tak beranilah tiba-tiba nak menyampuk kan. Huhu. Dan yang ketiga ialah seorang lelaki misteri. Mr. MNN. Menurut Kak Inah, Ziana dan Nikli, MNN seorang yang serius dalam blognya. Jadi setiap yang bercadang hendak bertemunya akan ketar lutut dan seram sejuk tangan (macam Nikli! Huhu~). Tapi hakikatnya MNN seorang yang sangat ramah dan pandai berjenaka! Sungguh ni tau.

Saya pula waktu itu mulanya sangatlah malu-malu. Sampaikan asyik kena tegur dek Kak Inah dan Ziana kenapalah saya asyik tersenyum seorang saja. Sebenarnya saya segan pada mulanya tu. Maklumlah kan. Semuanya sudah berkerjaya. Saya ni rasa macam budak kecil je. Tapi MNN lah yang buat saya boleh bercakap. Kebetulan, kami ada topik yang boleh dibualkan. MNN juga baru pulang dari menjelajah Eropah. Jadi, banyaklah yang kami bualkan ketika itu. Yang si Nikli pula, tak pasal-pasal mengaitkan saya dengan seseorang. Auww... Tidak, tidak. Tapi lepas semuanya jelas, barulah saya sedar betapa sekepalanya kami berlima. Dari satu cerita, macam-macam cerita lagi keluar. Saya pun tak ketinggalan! Haha. Terima kasih Kak Inah dan Ziana sebab cuba memahamkan saya situasi yang sebenar. Barulah saya tak blur dah. Dan dengan Nikli pula, topik apa lagi kalau bukan pasal kamera, kan. Saya dengan Nikon, dia dengan Olympus. Ok. Ada masa, ada rezeki, jom menembak. Saya tengah tunggu Camera Fair je ni untuk melengkapkan apa yang patut. Huhu. Gambar-gambar yang ada ni semuanya belas ihsan daripada Ziana, Kak Inah dan MNN. Saya tertinggal Sony saya di Bangi. Gambar di bawah ini, Ziana yang snap. Katanya tangan saya dan Nikli gayanya sama. Orang tengah rancak borak pasal kamera, macam tulah jadinya, Ziana. (~~,)v

MNN merahsiakan identitinya. Jadi, jangan peliklah ye melihat wajahnya digelapkan dalam gambar di atas =) MNN, you memang best lah. Tak kekok pun walaupun baru first time kenal you. And thanks for the gift =) Nikli, sila makan banyak sikit ye. Kalau hari tu Kak Inah asyik bandingkan kita siapa lagi keding, harapnya lepas ni title keding dah takde dah ye =) Ziana, thanks for the drink. Tak sangka saya boleh masuk dengan you all. Sila menabung dari sekarang untuk pusing Europe pulak nanti =) Kak Inah my sweet heart, thanks for everything. Walaupun tak plan dengan baik untuk jumpa, but we ended up meeting with the rest in such a memorable lunch =) To the 4 of you, thanks for having me that day =)

Nota rasa macam nak gelak sengal: Saya rasa lucu sungguh sebab untuk menghadiri meeting itu, saya ada banyak benda yang hendak dibawa. Jadi saya gunakan bag pack biasa tu. Sudahnya pergi lunch dengan yang lain-lain pula selepas itu. Terasa macam budak kecik sungguh. Hoho. Siap dengan fail semua. Tu nasib baik tak usung laptop je tu. Hohoho~ Bilalah eden nak kerja ni :p

Nota rasa macam nak nangis: Sepanjang siang tadi, saya memang tiada mood. Mood hilang entah ke mana je. Saya terperuk je dalam bilik. Nak balas komen di blog pun malas. Ni kan pula nak bloghop. Sorry semua.

Sunday, July 13, 2008

Selamat Pengantin Baru Faaiqah Dan Saufi

Assalamualaikum wbt


Rindunya saya pada dunia saya ni. Saya menghilang hampir seminggu kerana saya ada majlis yang ditunggu-tunggu di Bangi. Majlis perkahwinan sahabat baik saya yang sudah 8 tahun jatuh bangun bersama saya. Nurul Faaiqah dan Mohd. Saufi. Saufi juga sahabat saya. Mengenalinya ketika di PASUM. Jodoh mereka kuat. Biarpun cuma 2 bulan di PASUM, akhirnya mereka bertemu kembali. Kalau nak diceritakan, banyak insiden mereka ni yang melibatkan saya. Boleh tersenyum seorang dan berair mata kalau dikenangkan kembali. Alhamdulillah. Setinggi syukur kepada Allah kerana segalanya telah selesai. Selamat pengantin baru diucapkan buat Faaiqah dan Saufi.


Saya ke Bangi pada hari Selasa lepas. Saya datang lebih awal untuk membantu Faiq dan keluarga membuat persiapan. Keluarga Faiq adalah keluarga saya juga. Petang Selasa itu, saya membantu membuat sedikit persiapan akhir hantaran dan belajar berzanji. Sebenarnya, pada malam sebelum majlis, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berzanji di rumahnya. Tak semena-mena, saya disuruh berzanji sekali. Saya dapat verse ketiga. Tak panjang mana. Tapi inilah pengalaman pertama saya belajar berzanji. Nenek saudara Faiq, Atuk Inul, yang mengajar kami lagu zanji yang betul. Jadi, di atas inilah gambar sekitar majlis tersebut. Faiq memakai sepersalinan ungu. 3 orang adiknya juga turut khatam bersamanya. Selesai makan malam Selasa itu, saya balik ke Seri Kembangan. Malam itu saya tidur di rumah Ayah Long saya.

Keesokannya, saya datang semula ke Bangi. Saya membantu Faiq menyudahkan hiasan hantaran. Banyak yang saya belajar tentang persiapan majlis daripada Faiq. Kira menambah ilmu di dadalah ni. Huhu. Selepas Zohor, kami sambung berzanji dan selepas Asar, saya keluar sekejap bertemu seorang kawan. Sebelah malamnya, kami menyudahkan hantaran dan selepas Isyak, saya menginaikan Faiq. Gembira betul sepanjang menginaikan Faiq itu. Kebetulan ada seorang jiran Faiq sekali turut membantu. Cepat siapnya. Malam itu, saya dan Faiq tidur lewat. Walaupun lampu sudah dipadamkan, kami berbual di dalam gelap sehingga pagi buta. Terima kasih Faiq atas segalanya!

Keesokannya (Khamis), saya keluar rumah pada jam 7 pagi kerana perlu menghadiri mesyuarat di KL. Cerita selanjutnya tentang apa terjadi di KL, tunggu dalam entri berikutnya. Urusan saya selesai hampir jam 4 petang. Saya terus pulang ke Seri Kembangan dulu dan bermalam di situ pada malam itu. Penat sungguh hari tu. Penuh dengan kekhusyukan (mesyuarat) dan kegembiraan (tungguuuu~). Huhu. Awal pagi Jumaat, baru saya ke Bangi semula, bertemu dengan Amy dan Liyana, kemudian kami terus ke rumah Faiq. Kami memberi sentuhan terakhir pada hantaran dan yang paling gembira ialah menyediakan bunga rampai! Sebelum Asar, kami bertolak ke rumah keluarga Izu. Izu, silalah jangan marahkan saya. Kami tak sangka emak awak memang dah masak untuk kami petang tu. Huhu~ Emak ayah awak memang sangat cool =) Dan pada malam itu, berlangsunglah majlis khatam Al-Quran dan berzanji di rumah Faiq. Faiq memang berseri-seri malam tu. Saya dan Liyana menjadi orang kuat (hoho~) membantu keluarganya menguruskan majlis. Malam itu, saya bermalam di rumah Liyana. Kami bercerita itu ini jugalah sebelum terlelap. Memang penat hari tu. Sampaikan kami tak sedar tertidur macam tu saja sedang berbual-bual tu.


Dan di awal pagi Sabtu itu, saya sudah sampai ke rumah Faiq. Risau juga saya memikirkan Mak Andam yang terlewat tiba kerana ada ahli keluarganya yang sakit di hospital. Baru je saya dan Faiq nekad untuk menyolek Faiq ala kadar mengikut apa yang saya mampu, Mak Andam pun tiba. Kalau tak, entah apalah yang jadi pada muka Faiq disolek dek saya yang tak pernah pegang alak solek pun. Huhu. Sebetulnya, saya diberi mandat oleh Faiq untuk menjadi pengapitnya. Awal-awal lagi Faiq dah booked. Besar hati saya tau, Faiq =) Alhamdulillah. Sekitar 10.15 pagi, Faiq dan Saufi telah selamat diijabkabulkan. Saya pula yang terharu waktu tu. Hikss.

Persalinan pernikahan mereka berwarna krim. Selesai akad nikah, mereka kembali ke rumah untuk sesi fotografi. Kemudian, pengantin lelaki dihantar balik untuk bersiap di tempatnya dan Faiq pula bersiap di rumah sebelum tibanya masa berarak selepas Zohor. Persalinan pengantin berwarna biru terqois. Sangat cantik =) Untuk sesi fotografi, ada 3 lagi persalinan. Gown, Jawa dan dress. Sangatlah cantik tau!

Ramai rakan 1 batch di KISAS datang ke majlis kali ini. Kebetulan, ramai yang sedang bercuti. Macam reunion batch pula pada hari itu. Sangat gembira! Walaupun saya kurang sempat berbual panjang dek kerana kesibukan ke hulu ke hilir, tapi saya tetap gembira kerana dapat bertemu semula dengan kawan-kawan yang memang sudah lama tidak saya temui.

Yang paling berharga, Faiq dan saya dapat bertemu dengan seorang lagi sahabat baik kami, Hidayah Hassan. Kami bertiga dulu memang gila-gila. Waktu prep malam, orang lain study, kami bertiga berborak. Dah penat berborak, kami tertidur. Bila terbangun je, orang dah mula beredar balik ke asrama. Haha. Inilah kami bertiga dulu-dulu. Kali terakhir kami berkumpul bertiga adalah pada tahun 2004. Saya melawak pada Dayah dan Faiq. Nak tak bergambar macam kita bergambar 4 tahun sudah. Gelak besar je kami waktu itu. Kalaulah kamu semua tahu apa gaya kami bergambar tu dan cuba bayangkan Faiq dengan baju pengantin bergambar begitu lagi, memang pecah perut dibuatnya. Begitu juga Liyana. Kami berempat sekelas. Bagi saya dan Liyana, kami berdua banyak menghabiskan masa bersama kerana kami Ketua Pelajar. Liyana dan Dayah pula duduk di kumpulan meja hadapan. Saya dan Faiq budak meja belakang yang selalu tidur ketika kelas BM. Huhu. Saya yakin, tak lama lagi majlis Dayah dan Liyana akan menyusul pula, insya Allah. Istimewanya Faiq dan Dayah kerana mereka berdua berdarah kacukan Melayu-Cina dan wajah emak mereka seiras! Faiq, Dayah dan Liyana, nanti kita berkumpul lagi ya (^^,)

Faiq dan Saufi, awak berdua jangan duk ulang-ulang dah ye ayat tu. Karang tak pasal-pasal saya merajuk panjang. Hehhe. Kalau teringat balik gaya awak ajuk, saya rasa nak ketuk je awak Saufi. Huhu. Faiq, saya nak awak percaya saya tau. Terima kasih atas segalanya. Rasa nak tergelak pulak teringat mimpi malam tu :p

Haa.. Ini antara rakan blogger yang bertandang ke majlis Faiq. Yasir Tamizi, Azwan Ngali dan rakan serumah saya di Moscow, Wanie Adnan. Maksu pun ada. Tapi tak sempat pula bergambar dengan Maksu. Dengan Cik Ati tak usah ceritalah. Sejak hari Selasa lagi sudah bertemunya. Cik Ati merupakan emak saudara kepada Faiq. Mula-mula kami malu-malu. Bila dah mula kenal, rancaknyalah kami bercerita itu ini. Cik Ati sangat best! Dan kami sekepala ;)

Selamat Pengantin Baru buat Faaiqah dan Saufi. Semoga awak berdua sentiasa dalam redha Allah dalam meniti alam rumah tangga. Semoga cinta awak berdua membuahkan syurga. Insya Allah persahabatan kita akan berkekalan selamanya!

Alamak. Dah pukul 3.27am. Pagi esok ayah ajak saya ke Taman Negara. Dia ada kerja di sana. Tapi saya tengah demam. Mungkin pergi dan mungkin juga tidak. Malam yang selamat. Daa~

Monday, July 07, 2008

Mahu Jadi Cantik Dan Kacak?

Assalamualaikum wbt

(i)
Tadi ke pejabat pos. Perlu perbaharui lesen memandu. Sebaik keluar dari ruang utama, ada jurujual kad Touch 'n' Go menghampiri. Saya tak sempat mengelak, banyaklah yang encik itu cakapkan. Saya dengar sajalah. Di pertengahan penerangannya, saya menolaklah dengan cara baik. Sudahlah ditahannya saya di tengah panas terik. Kot ye pun, jemputlah ke khemas operasi mereka di tepi itu. Bukannya tidak boleh, kan. Sebaik berjaya memberikan alasan itu ini, saya hendak terus pergi. Tapi disapanya lagi: Nama cik ni Siti kan? Cik Siti nanti datanglah booth kami lagi ye. Boleh la pergi minum ke, makan ke. Dalam hati saya rasa meluat betul. Saya tidak rasa orang awam suka ditegur begitu. Kan? Lagi pula, saya rasa dia kurang beretika dalam melaksanakan tugasnya. Dan dalam hati juga saya berkata: Inikah lelaki Malaysia sekarang?

(ii)
Saya singgah di sebuah farmasi. Sebaik keluar, saya melalui sebuah kedai runcit. Tiba-tiba saya disapa: Mak aih... Lajunya jalan. Boy friend tak lari la dik. Adik lambat pun dia sayang jugak. Saya kerling sekilas. Mereka sedang bercakap dengan sayakah? Tiada orang di belakang saya. Di depan saya pula hanya ada seorang pekerja restauran yang sedang duduk-duduk berehat di luar kedai. Dalam hati saya berkata: Habis tu, nak saya jalan lenggang-lenggok Mak Minah balik bendang? Agaknya mereka ni memang suka kalau dapat tengok perempuan jalan melenggang kangkung kot.

(iii)
Sebelum balik, saya ke kedai telefon. Sebaik keluar dari kedai itu, ada gerai burger dan air yang terletak betul-betul di hadapannya. Kedai itu memang penuh dengan budak lelaki melepak kosong. Tiba-tiba ada suara: Masam je. Kerut lagi dahi tu. Hahaha... Saya rasa hangin sangat waktu tu. Dalam hati saya berkata: Tak tegur tak boleh ke? Tak kuasa saya nak jalan tengah panas macam ni dengan muka senyum. Tambah pula sedang bengang kuasa dua dengan dua lelaki sebelum ini. Budak-budak di kedai tu memang cari pasal dengan saya nampak gayanya. Saya balas: Kalau masam pun pelik apa AKAK. AKAK kejar masa, bukan macam korang duduk telan angin. Sengaja saya bahasakan diri sebagai akak. Memang mereka semua itu lebih muda dari saya. Tak memasal disebabkan mereka adalah sumber kebengangan saya kuasa tiga, jadi merasalah mereka kena bebel dek saya. Dalam hati saya berkata: Geli betul dengan perangai budak lelaki yang macam ni.

Kisah i, ii dan iii mesti pernah dirasai oleh ramai lagi golongan wanita, kan. Kadang-kadang saya geram. Sudahlah muka tak berapa nak kacak, akhlak pun takkanlah hendak dibiar tak berapa nak segak juga. Yang melepak pun satu hal. Tidak bolehkah duduk diam-diam di situ dan jangan mengganggu orang lain? Saya memang pantang orang yang suka melepak begini. Tambah pula dengan perangai suka tegur-tegur anak dara orang yang lalu berhampiran. Merokok di khalayak ramai juga satu lagi halnya. Saya teringat insiden sewaktu tingkatan 3 dulu. Di perhentian bas. Saya baru pulang dari tuisyen. Lelaki di sebelah saya merokok dan hembusannya di arahkan pada saya kerana dia menyengetkan badannya menghadap saya. Di tengah-tengah alam yang penuh orang baru pulang dari Pekan Sehari, saya bangun dan menegur lelaki itu: Kot ye pun nak merokok, pergi merokok kat belakang tu tak boleh ke? Ni hembus-hembus merata macam ni. Selepas cakap, terus saya pindah tempat. Waktu itu saya memang tengah geram dan tak pasal-pasal, saya melepaskan marah saya pada lelaki yang kurang sensitiviti itu. Yang ajaibnya, lelaki itu bangun dan pergi ke tepi tandas awam di tepi perhentian bas tersebut. Rasa bersalah juga. Tapi siapa suruh dia yang sesedap hati menghembus asap rokok sebegitu. Mungkin baginya merokok itu tidak salah. Saya juga tidak menyalahkannya kerana merokok. Itu pilihannya. Tapi sensitiviti tentang asap rokok itu perlulah dipertimbangkan. Kalau-kalau saya ini ada lelah, tak pasal-pasal saya sesak nafas di situ.

Saya sedih kerana yang buat perangai dalam insiden i, ii dan iii semuanya adalah lelaki Melayu Muslim. Begitu juga yang kurang sensitiviti ketika merokok itu. Sungguh sayang kerana kacaknya lelaki itu bukan letaknya pada muka. Kacaknya lelaki itu jika akhlak dan agama menjadi hiasan peribadinya. Bukan wanita saja yang selalu dinilai begini. Lelaki pun sama. Jadi, marilah kita hiasi peribadi untuk menjadi wanita dan lelaki yang cantik dan kacak. Ini kempen "Akhlak Kita, Wajah Kita" di My World (^^,)v

'Siapa itu Melayu
bukan kiranya pada belacu
adalah sutera taruhan budi
tatapan sejagat insani'

Nota 1: Buat Nabil Mohammad Azmi, Selamat Hari Lahir (070708). Terlewat sedikit. Saya sudah tiada nombor telefon awak tau Nabil lepas telefon saya dulu rosak. Semoga sukses selalau! Buat Khairul, Selamat Hari Lahir yang ke-20! KS sentiasa doakan yang terbaik untuk Adik Kecik yang seorang ni ;)

Nota 2: Wah! Visitors counter My World sudah hampir mencecah 100000 pelawat. Siapa yang lawat blog ni dan dia sedar dia adalah pelawat ke 100000, silalah beritahu saya ye =) Counter tu telah bermula sejak 14 Mei 2007 dan saya telah exclude-kan kiraan lawatan daripada IP address saya di Moscow. Terima Kasih semua yang sudi menyinggah di sini. Nanti kita open table di alam maya ye. Hehehe (~~,)

Sunday, July 06, 2008

Kenduri Kahwin, Reunion Dan Edisi Siasat

Assalamualaikum wbt

Semalam hari yang sangat memenatkan tapi menggembirakan. Di awal pagi, dapat berita adik saya Adnan akan pulang ke rumah. Tersangat rindukan dia! Sekitar jam 11.30 pagi, saya keluar membawa Aiman ke bandar untuk membeli hadiah buat kawan lama saya yang mendirikan rumah tangga pada hari semalam. Masih ingat yang saya ceritakan namanya Zaiti dalam entri Kazoku yang lalu? Semalam Zaiti telah selamat mendirikan rumah tangga bersama pasangannya Khaled.

Ingatkan sekejap saja hendak membeli hadiah. Sudahnya lama pula saya membelek barang dan kemudian terkejar-kejar pergi membungkusnya. Jam 1.15 baru siap semuanya. Nan pula telag sampai di terminal. Jadi saya pergi menjemputnya dulu sebelum bertolak ke rumah pengantin.

Sebaik sampai di rumahnya, saya pergi menemui Zaiti yang telah hampir 3 tahun tidak ditemui. Kali terakhir berjumpanya sewaktu saya ke UIA Gombak sekitar 2005. Dan apa yang lebih menggembirakan, saya bertemu 2 orang lagi kawan lama yang sekelas dengan saya dari darjah 1 sehingga tingkatan 3. Sharifah Nurfaizah dan Ruhana! Macam reunion pula. Sudah 8 tahun tidak bertemu Sharifah. Sharifah merupakan teman semeja saya sejak darjah 2 sehingga darjah 5. Bertemu dengannya membuatkan selera makan pun kurang. Macam-macam yang kami borakkan. Apabila Ruhana tiba, berpelukanlah kami bertiga. Saya rapat dengan keluarga Ruhana. Emaknya adalah kawan emak saya, juga seorang guru. Dulu Ruhana sakit. Dia menduduki SPM setahun lewat kerana bercuti sakit. Disebabkan sakitnya, Ruhana memang sangat kurus. Kini Alhamdulillah Ruhana telah sihat dan sudah makin berisi! Terkejut melihat dia semalam. Oh. Terlupa nak cerita. Zaiti merupakan adik kepada Hazamin In-Team (Amin).

Dan ketika di kenduri itu juga, secara kebetulan saya bertemu seseorang. Sebaik keluar dari kereta, sudah terasa cam. Rupa-rupanya betul. Abdul Hayyi. Seorang kawan atas kawan yang juga merupakan antara rakan blogger terawal yang saya kenal. Hayyi merupakan pelajar tahun akhir jurusan Perundangan di UIAM. Kecil saja dunia ni kan, Hayyi. Tak sangka terjumpa di kenduri Zaiti pula.

Sebaik sampai di rumah, saya hanya masuk ke untuk mengambil laptop dan kemudian terus bergegas mengikut ayah saya ke Shah Alam pula. Kami menghantar 2 orang sepupu untuk balik ke universiti. Sem baru akan bermula Isnin ini. Dalam perjalanan pergi, ayah bertanyakan saya sama ada membawa kamera atau tidak. Saya kata ada. Lalu, sebaik tiba di Genting Sempah, ayah melencong naik ke Jalan KL Lama. Kata ayah, ada edisi siasat. Ayah hendak menunjukkan sebuah tokong Cina yang menggunakan nama seorang Melayu dan di dalamnya juga ada patung seorang lelaki Melayu. Saya bertanya macam-macam kerana saya tidak faham sebenarnya apa yang diceritakan oleh ayah. Tapi sebaik sampai di tokong itu, segalanya terjawab. Nama tokong merah itu ialah Datuk Md Hitam.

Tapi ada seorang lelaki Cina bermotor sedang sembahyang di situ. Maka kami berpura-pura berehat di tempat lapang di sebelahnya. Memang udara di situ segar. Itu jalan untuk ke Genting Highland. Lama kami menunggu lelaki itu beredar tapi nampaknya dia sedang khusyuk berbual-bual di dalam tokong itu. Lalu ayah mengajak kami beredar kerana sudah lama menunggu. Tapi di saat kami menapak mendekati kereta, datang sebuah kancil yang dinaiki oleh sepasang suami isteri berbangsa India. Ayah bertanya, sudah biasakah dia ke situ. Katanya, ini pertama kali. Saja dia singgah di tokong itu kerana katanya selalu dengar disebut orang. Tak lama kemudian, laki Cina tadi keluar dan menyapa kami semua. Saya tergatal mulut. Alang-alang sungguh hendak tahu banyak tentang tokong itu, saya bertanya kepada lelaki itu. Ni boleh masuk tak? Saya memegang kamera pada waktu itu. Jadi saya dengan muka yang penuh innocent berlakon seperti hendak tahu banyak tentang tokong itu. Kemudian, ayah saya mengikut dan begitu juga adik dan sepupu saya. Pasangan India itu juga turut datang ke depan tokong itu. Maka ayah saya pu memulakan sesi perbualan dengan lelaki Cina tadi.

Ringkasan yang boleh saya ceritakan, menurutnya, mereka percaya yang mengatur alam ini hanya satu iaitu Allah. Allah-lah yang berkuasa menjadikan apa yang Dia inginkan. Tapi mengapa mereka sembahyang di tokong yang dinamakan Datuk Md Hitam ini kerana katanya Datuk ini dulu seorang panglima yang keramat. Yang kuat beribadah. Dia seorang muslim. Dan disebabkan dirinya suci dan hatinya terjaga, mereka sembahyang supaya Allah menghantar roh (sebutnya soul semalam) Datuk itu datang menjaga kawasan itu. Ibaratnya soul itu adalah Menteri di kawasan itu. Tapi apa-apapun, mereka percaya bahawa Allah itu yang paling utama. Oh. Sungguh terkejut juga saya mendengar penjelasannya. Yang mereka sembah di tokong-tokong pula adalah perantara yang dihantar Allah untuk membantu mereka menjaga tempat mereka. Dengan memperingati tokoh-tokoh yang kuat beribadat dan bersih hatinya, moga-moga mereka juga dapat memiliki hati dan kehidupan yang kudus, tidak kiranlah tokoh itu beragama apa kerana pokok pangkalnya tetaplah Allah juga. Begitulah lebih kurang kisahnya. Cuma ynag menjadi persoalan, bolehkah kita membiarkan saja nama soerang Muslim dipuja-puja begini? Dan sebenarnya, apa yang manjadi tanda tanya juga ialah kewujudan bendera UMNO bersilang keris merah kuning putih berkibar di sisi tokong itu. Apa motif? Hoho. Ada unsur-unsur 'serampang dua mata' di sini :p Selepas mendengar lelaki itu bercerita (lelaki itu memang nampak yang jenis kuat beribadat), kami pun meneruskan perjalanan. Lambat sampai ke Shah Alam. Banyak betul menyinggah sana-sini. Ayah pula tak habis-habis melawak itu-ini.

Sampai di Shah Alam, terus menghantar Linda ke kolejnya dan kemudian menghantar Hidayah ke rumah sewanya. Kemudian kami terus bertolak pulang. Dalam perjalanan pulang, ayah dan Azizi tidur. Saya memandu seorang diri. Dalam pekat malam, saya terbayang-bayang patung Datuk Md Hitam itu tadi. Huhu~ Inilah yang membezakan kita Muslim dan agama lain. Mereka percayakan Allah. Sayangnya, mereka tetap menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Moga-moga aqidah kita semua tetapp jitu mengesakan Allah dan Muhammad s.a.w itulah pesuruh Allah yang terakhir. Tiada lagi perantara lain yang diutus Allah untuk menjadi perantara menjaga bumi ini. Allah Taala a'lam...

Saturday, July 05, 2008

Monolog Saya Dan Nisa

Assalamualaikum wbt

Pada mulanya terasa hendak menulis tentang hal lain. Tapi emosi sedikit terganggu. Maaflah. Tiada perkongsian untuk kali ini. Entri kali ini entri kosong saja. Tadi petang mengikut emak ke butik. Emak belikan saya baju. 2 pasang. Terharu kerana umur dah besar panjang masih dibelikan baju oleh emak. Banyak emak berbelanja untuk saya tadi. Terima kasih emak.

Keduanya, tadi saya berbual lama dengan sepupu saya, Nisa, di telefon. Memang sesi melepas rindu dan mengemaskinikan perkembangan kami berdua. Nisa juga pelajar perubatan. Yang paling melekat di hati ialah persoalan yang kami timbulkan. Kenapalah kami mengambil jurusan ini? Kenapa dulu kami tak terfikirkan jurusan-jurusan lain seperti Sains Marin, Kejuruteraan Elektrik, Security Technology atau lain-lain selepas SPM dulu? (Pengecualian kepada saya. Saya ada terfikirkan jurusan Perundangan. Dalam borang UPU, 2 teratas saja saya isikan dengan Perubatan UIAM. Lagi 6 ruang kosong, saya isikan dengan Perundangan. Saya mahu menjadi peguam. Tapi gara-gara bermain janji dan sumpah, lain pula jadinya. Tak mengapalah. Sudah rezeki saya di takuk saya sekarang. Lagipun, menjadi pengamal perubatan juga adalah salah satu minat dan impian saya.)

Kata putus kami, tak baik dikenangkan semua ini. Kami sudah hampir tamat pun. Saya lagi setahun. Nisa lagi dua tahun insya Allah. Cumanya, di saat kawan-kawan yang lain sudah boleh menanggung diri dan keluarga masing-masing, kami masih lagi ditanggung oleh emak ayah.

Puncanya kami boleh bercerita tentang ini ialah apabila terbuka cerita tentang Ana, adiknya yang kini sedang mengikuti kursus Survival, ada belajar scuba dan macam-macam lagi dalam jurusan yang diikutinya, Sains Marin. Dan kami kagum dengan sepupu kami Hidayah yang cemerlang dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik yang diikutinya sedangkan kehidupannya tidaklah sedahsyat kami berdua. Dan bagi saya pula, saya kagum dengan adik saya Adnan yang mengikuti jurusan Security Technology. Dia telah pun tamat dan kini telahpun berkhidmat di IBM Cyberjaya.

Betullah kata orang. Minat membantu persembahan dan mutu kerja kita. Saya doakan sepupu-sepupu saya semuanya berjaya dalam jurusan yang mereka ikuti. Kerana saya tahu mereka memilih untuk berada di situ kerana minat mereka dan bukannya dipaksa-paksa. Undur diri dulu. Esok terlalu banyak yang hendak dilakukan. Ada sesiapa yang mahu ke Pameran Pengantin di Mid Valley esok? Hehe =)

Nota: Baju itu sudah selesai. Tunggu hari itu pula =) Hihuu~ Buat Saufi, Selamat Hari Lahir. Tu mesti dah bedebar nak kahwin miggu depan kan. Hehe. Semoga dalam redha Allah selalu insya Allah.

Thursday, July 03, 2008

Kazoku

Assalamualaikum wbt

Mata belum mengantuk. Saya teringatkan tag dari Fathiyyah. Usrah Lazat Berkrim. Thia, KS dengan sesuka hatinya hendak menukar tajuknya kepada Kazoku. Kenapa Kazoku? Maksud Kazoku juga adalah keluarga. Ini Bahasa Jepun. Sewaktu sempat 2 bulan di PASUM, kami hendak memulakan sistem usrah di kolej. Memandangkan sistem AUKU yang entah apa-apa itu, segala program yang berbentuk agama adalah dilarang keras waktu itu dan sabit kesalahan akan membolehkan kami dibuang kolej. Di kolej juga ada pelajar-pelajar Ambang Asuhan Jepun yang sedang membuat persediaan untuk ke Jepun. Jadi, kami mengambil idea daripada mereka tentang perkataan Kazoku ini untuk mengaburi pihak pentadbiran. Saya masih ingat saya ada menyediakan kertas kerja ringkas yang menyatakan kononnya Kazoku ini adalah projek belajar secara berkumpulan yang digerakkan mengikut blok kolej. Untuk hidup, pandai-pandailah menipu kan. Tapi saya tidak rasa ini adalah penipuan kerana dalam setiap usrah yang dijalankan itu, ada perkongsian ilmu. Jadi, ini juga adalah salah satu daripada sistem belajar berkumpulan. Ok. Mari terus kepada tag.

Berapa lama telah sertai usrah
Saya mula tahu apa itu usrah sejak darjah 6 (1997). Jadi sudah 11 tahun lah lebih kurangnya.

Bagaimana boleh sertai usrah
Saya bersekolah agama swasta dari darjah 1 hingga 6 (Pusat Pengajian Al-Mukmin). Saya merupakan kumpulan kedua sekolah tersebut. Sewaktu saya darjah 6, kami semua mempunyai jadual Usrah yang dijalankan setiap hari Jumaat, selepas waktu rehat. Daripada sebuah program wajib sekolah untuk pelajar-pelajar tahun 6, saya mula memahami kepentingan mengikuti usrah dan kelebihan-kelebihan yang dapat daripadanya.

Ketika masuk tingkatan 1 di SMA Al-Khairiah, saya berulang dari rumah. Bukan budak asrama. Sewaktu itu, tiada program usrah yang boleh diikuti oleh pelajar yang berulang seperti saya. bagi yang tinggal di asrama, mereka ada program mereka sendiri. Sebaik naik ke tingkatan 2, saya masih lagi di sidang petang. Waktu itu saya menjadi Penolong Ketua Pengawas Petang. Saya dipanggil oleh Penyelia Petang waktu itu bertanyakan pendapat saya sebagai pelajar luar, apakah cara yang boleh dibuat untuk mengelakkan pelajar tidak datang lewat ke sekolah untuk sesi petang. Maklum sajalah. Ramai yang suka berlengah bagi pelajar asrama dan pelajar luar pula suka melepak di tembok bawah bukit sekolah dan hanya akan naik apabila pelajar sesi pagi mulai berduyum-duyun turun untuk pulang. Maka saya terlintas satu idea dan mencadangkan supaya dibuat satu sesi usrah atau tazkirah sebelum solat Zohor dan kemudian solat Zohor berjemaah terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Idea saya diterima dan saya bersama-sama 3 orang kawan baik saya mengelolakan program itu. Mereka bertiga merupakan pelajar asrama. Fauzana (Jana), Wahida (Wida) dan Rabi'ul (Bi'ul). Yang dari luar pula ialah Zaiti dan Rushdiah (kedua-duanya adalah rakan saya sejak darjah 1 di Al-Mukmin). Sejak dari itulah masalah pelajar lewat untuk sesi petang dapat diatasi dan dapat memperkenalkan usrah kepada kawan-kawan yang langsung tidak pernah berusrah (sebab hampir 97% daripada mereka berasal daripada sekolah kebangsaan). Dan sejujurnya, di sinilah saya mula belajar menjadi Imamah untuk solat jemaah. Maklum sajalah. Saya bukannya budak asrama. Jadi tidak pernah ada kesempatan belajar menjadi Imam solat. Apabila naik ke sidang pagi pada tahun berikutnya, jika berkesempatan, saya akan menyertai sesi usrah adik-adik sidang petang di surau sekolah sebelum pulang ke rumah. Biasanya saya ada kelas tambahan. Jadi memang di surau itulah tempat saya berehat-rehat dengan beberapa orang pelajar luar yang lain selepas tamat kelas pagi.

Di KISAS pula, segalanya telah sedia ada. KISAS itu sebuah bumi yang suci dan menenangkan. Usrah yang ada di sana sangat mantap. Tapi sewaktu di tingkatan 4, perkataan 'wajib' selalu digunakan kepada kami. Sehinggakan menghadiri usrah itu juga disertai dengan 'wajib'. Kadang-kala datang rasa tidak ikhlas mengikuti usrah kerana terasa seperti dipaksa-paksa. Tambahan pula waktu itu perasaan hendak balik ke rumah terlalu tinggi. Dengan desakan yang macam-macam ini membuatkan saya rasa sebal hati. Jadual usrah saya waktu tingkatan 4 juga kurang kena dengan diri saya. Itu juga membuatkan saya rasa terbeban. Saya jadi marah dengan diri saya kerana tidak ikhlas dengan perkara yang baik begini. Bagi anak-anak Pahang di KISAS, sebulan sekali kami ada usrah bersama pelajar putera pula. Usrah ini best kerana ada bekas pelajar dari generasi-generasi sebelumnya yang datang memberikan pengisian. Semakin lama, saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan usrah saya. Sebenarnya, punca permasalahan saya ialah ketidakserasian dengan ahli usrah saya kerana ada yang hipokrit. Saya ini benci dengan orang yang hipokrit. Yang depan naqibah (kakak usrah) kami, dialah yang paling alim, tahu banyak, pijak semut pun tak mati. Tapi di belakang, dia membawa walkman, membawa handphone dan berhubung dengan pelajar putera dan selalu bercerita tentang pelajar putera. Kurang gemar sungguh saya dengan orang hipokrit seperti ini. Tapi kita ni hidup kena belajar menerima orang lain seadanya. Akhirnya saya abaikan saja orang itu dan sangat gembira setiap kali tiba masa usrah. Sewaktu tingkatan 5 pula, saya seorang naqibah dan memimpin usrah pelajar tingkatan 4. Juga mempunyai usrah yang dipimpin oleh kakak tingkatan 6 atas. Juga mempunyai usrah 'kami' sendiri di kalangan ahli Tanzim Jabatan Nuqaba'. Padat sungguh jadual usrah waktu itu. Erm. Ada peristiwa pahit. Tapi tak mengapa. Sudah malas nak ingat.

Dan di Moscow, pada mulanya usrah hanyalah secara kelompok kecik pelajar batch saya yang berminat. Tidak lama kemudian, saya gerakkan usrah untuk pelajar perempuan batch saya saja. Dan kemudian, dengan adanya Amnah, kami berbincang merangka sistem usrah yang lebih tersusun dan sistematis. Amnah adalah junior saya di KISAS. Kami selalu sejiwa. Sentiasa serasi dalam bab-bab ini. Saya mendapatkan bantuan adik saudara di KISAS untuk menghantarkan buku silibus usrah KISAS kepada saya. Bermula dari situ, usrah jauh lebih tersusun rapi dan terancang sehinggalah sekarang. Termasuklah usrah naqibat. Saya gembira setiap kali dapat berusrah dengan adik-adik usrah saya dan juga ketika berkumpul bersama pada naqibah yang lain. Erm. Ada usrah yang pernah saya sertai yang saya tidak berkenan dengan caranya. Tanpa saya mengatakan sudah tidak mahu ikut, rupanya diam-diam saya memang sudah ditolak tepi. Saya tidak lagi dimaklumkan tentang waktu dan tempat usrah. Kelakar. Tapi inilah contoh 'menolak perbezaan' yang pernah saya ceritakan dulu. Ok. Abaikan. Dan jangan tanya saya apa-apa ya =) Nanti jadi isu lagi. Mati saya kena terjah dengan macam-macam soalan :p

Kenapa menyertai usrah
Pada mulanya kerana itu program wajib sekolah (waktu di Al-Mukmin). Kemudian, saya mengikuti usrah kerana bagi saya melalui usrah, saya dapat belajar sesuatu yang tidak disediakan di kelas. Ilmu yang didapati dalam usrah adalah ilmu untuk hidup sebagai Muslim dan menjadikan Islam itu sebagai cara hidup. Bukan diterima sebahagian yang kita mahu saja. Dan lama-kelamaan, bagi saya usrah ini adalah satu kewajipan yang boleh mendidik kita membuat persiapan rohani dan memantapkan mana-mana bahagian yang kurang. Wallahu a'lam.

5 perkara yang didapati daripada usrah
Saya tidak mahu menyenaraikan dalam bentuk nombor. Bagi saya, apa yang saya perolehi daripada usrah adalah terlalu besar dan banyak. Tapi yang utama ialah saya dapat menambah ilmu agama untuk lebih mengenali dan memahami kenapa dan bagaimana untuk menghidupkan diri dan hidup saya sebagai seorang Muslim. Kompleks tapi inilah rangkuman ilmu yang saya perolehi dengan berusrah. Dengan usrah juga membuatkan saya lebih memahami orang lain. Tidak semuanya sekepala dengan kita. Tidak semuanya faham macam yang kita faham. Tidak semuanya boleh menerima apa yang dibincangkan. Di sini kita belajar bertolak ansur, untuk menyuarakan pendapat dan cara untuk tetap memenangkan mana-mana hukum yang perlu dimenangkan (jika sedang ada pendapat yang berbeza) dengan cara yang penuh hikmah. Dan juga saya kira penting, saya belajar untuk bertoleransi dengan orang yang hipokrit. Saya belajar menjadi diri saya yang tak pura-pura. Saya jadi seperti apa yang saya cakapkan. Tak berlakon. Sebab saya tahu, saya benci dengan yang hipokrit seperti yang selalu saya jumpa dalam usrah-usrah sepanjang saya mengikuti usrah, jadi saya belajar untuk tidak menjadi begitu.

Saya yakin, kamu semua pastinya ada pengalaman yang tersendiri dalam mengikuti usrah (bagi yang pernah), kan =) Dan dalam banyak-banyak kumpulan usrah yang pernah saya sertai, saya paling terkesan dan rindu dengan rakan-rakan usrah ketika tingkatan 2 dahulu (Jana, Wida, Bi'ul, Zaiti dan Rushdiah) dan juga rakan-rakan usrah naqibah di Moscow. Kenapa? Kerana mereka semua inilah yang telah bersama saya dalam jatuh bangun 'membina' mata rantai usrah di SMA Al-Khairiah dan juga di Moscow Medical Academy (Spartivnaya). Terima kasih sahabat!

Ok. Saya tak mahu tag sesiapa. Saya kan baik hati. Huhu =) Tapi sesiapa yang ada masa dan rasa mahu berkongsi, silalah tulis dan maklumkan pada saya nanti ya.