Showing posts with label Blog. Show all posts
Showing posts with label Blog. Show all posts

Sunday, February 15, 2009

Pindah

Assalamualaikum wbt

Dunia Sarah telah berpindah ke:


Semoga dapat bertemu kembali dengan semua di sana.

Saturday, January 24, 2009

Selamat Tinggal Semua

Assalamualaikum wbt

Saya tahu saya tidak berkesempatan melawat ke semua blog kawan-kawan yang ada meninggalkan jejak di sini. Saya juga tidak berkesempatan untuk menjawab kesemua komen yang ditinggalkan. Saya juga tidak berkesempatan untuk memberi respon yang terbaik kepada komen yang diberikan. Saya meminta maaf dengan sangat atas kelemahan saya ini.

Saya tahu ramai yang menghubungkan blog ini ke blog mereka. Saya tahu ramai yang sudi menjadi pembaca. Baik yang ada meninggalkan jejak mahupun diam saja. Saya tahu ramai yang mengikuti blog ini. Sehinggakan, baru sekejap tadi saya melihat jumlah follower sudahpun 66 orang semuanya. Saya mengucapkan terima kasih dengan sangat atas ukhwah yang diberi.

Saya akui saya tidak sempat pun untuk mengenali setiap follower ini. Saya akui saya mesti telah membuat mereka berkecil hati. Saya akui mesti ada yang terasa jika saya tidak membalas kunjungan mereka. Saya akui mesti ada yang sudah mula bosan untuk membaca. Saya memohon maaf sekali lagi kerana saya bukan seorang yang peka.

Saya yakin mesti ada yang benci membaca di sini. Saya yakin mesti ada yang marah dengan beberapa topik yang pernah saya kupasi. Saya yakin mesti ada yang meluat dengan bahasa saya yang skema. Saya yakin mesti ada yang menyampah dengan kelantangan saya bersuara. Saya memohon maaf dengan sangat kerana inilah kelemahan saya yang terbesar. Kerana saya bertegas dengan cara saya yang kasar.

Saya muncul dulu tanpa dijemput oleh sesiapa. Saya menulis di sini kerana ini dunia saya. Saya menulis kerana itu terapi saya. Saya berkongsi apa yang saya fikir dan rasa. Saya bukan mengharap sebarang populariti atau mahu dipuja. Saya menulis pendapat saya. Saya menegur supaya menjadi teguran semula untuk hati saya. Saya menulis sejarah saya supaya menjadi pengajaran untuk diri saya. Saya menulis kisah peribadi untuk saya kenang nilai dan memorinya. Saya menulis kisah hidup di sini bukan untuk berbangga sebaliknya inilah jalan perhubungan antara saya dan keluarga. Saya menulis supaya saya tidak lupa kenangan kembara hidup di Rusia. Saya menulis supaya saya sentiasa ingat siapa saya, kenang jasa, baiki kelemahan diri dari pengalaman yang penuh suka-duka dan supaya saya dapat mengingatkan diri agar tidak lari dari landasan agama.

Saya sayang dunia saya. Saya dapat berinteraksi dengan keluarga. Saya kenal ramai orang. Saya ada ramai kawan. Saya kenal kerenah manusia. Saya belajar ilmu dunia. Saya belajar menjadi kuat daripadanya.

Namun, saya tidak berhajat untuk terus hidup di dunia saya ini lagi. Saya perlu pergi untuk terus membina diri. Saya perlu pergi untuk menjadi lebih kuat lagi. Saya muncul dulu dengan lafaz salam dan sedikit kata-kata perangsang untuk diri sendiri meneruskan kembara di Tanah Tsar ini. Maafkan saya, saya tinggalkan semua dengan selaut kemaafan penuh ikhlas dari sudut hati dan lafaz salam sebagai tanda Dunia Sarah ini sudah tamat tempohnya.

Apresiasi dan apologi terdalam dari saya,
Sarah Mohd Shukor

Assalamualaikum wbt

Monday, January 12, 2009

Saya Tidak Kedekut Lagi

Assalamualaikum wbt

Tidak Kedekut #1

Selama ini saya rasa saya kedekut. Kerana kesemua pautan ke blog kesukaan saya tidak saya kongsikan di rangkaian blogroll saya. Bukan apa. Selama ini saya menjadi silent reader mereka. Memang diam sungguhlah. Saya membaca entri-entri terkini mereka menggunakan Google Reader saja. Apabila ada entri-entri yang panas-panas, barulah saya akan membaca di blognya untuk membaca komen-komen membina mahupun menjatuhkan daripada pembaca.

Tapi saya tidak mahu jadi kedekut dah. Saya kongsikan tiga buah blog kesukaan saya ini. Serius saya suka. Saya memaksudkannya secara telus. Saya sangat suka.

1) Puisi Tepi Jalan. Blog peribadi milik Kak Fynn Jamal. Sayakan pencinta bahasa yang tegar. Haruslah saya menjadi suka membaca karya-karya yang bagus dan mendidik jiwa. Tulisan Kak Fynn sangat terkesan untuk diri saya. Saya tak malu mengaku bahawa saya menangis banyak membaca apa yang ditulisnya. Kadang-kala sampai berhingus dan teresak-esak saya memuhasabah diri. Ada tazkirah yang sayup tapi mendalam. Saya yakin siapa yang mengikuti penulisannya akan bersetuju dengan apa yang saya katakan. Terima kasih, Kak Fynn. Blog Kak Fynn adalah sumber tazkirah harian terbaik untuk diri saya selama ini. Tepat mengena batang hidung dan hati. Masuk penghujung Januari ini, genap 8 bulan saya menjadi seorang yang kedekut tidak berkongsi link ini. Tapi mulai hari ini, saya akan senaraikan dalam blogroll saya. Saya mahu ramai yang mendapat muhasabah yang saya dapat daripada Kak Fynn.

2) Noktah Hitam. Blog peribadi milik Eddie. Dia menulis dengan seringkas mungkin tapi membuatkan kita berfikir dalam. Kadang-kala saya pelik kenapa dia ni terlalu kritis otaknya. Dia mengaku dirinya sebagai wicked mind tapi saya melihat blog ini sebagai bahan bacaan alternatif untuk rakyat Malaysia kerana bersifat mendidik. Ketawakah awak membaca fakta ni, Eddie? Sila jangan. Sebab itu saya sangat hormatkan awak. Sebab awak menjadi model seorang anak muda yang berfikir tentang pembangunan dan kematangan. Dan blog ini menjadi wadah saya mencari apa makna 'menjadi pemudi negara dan agama'. Segalanya tersirat. Jadi, kena berfikir dengan dalam. Saya suka sesuatu yang mencabar otak seperti ini. Oh ya. Sudah hampir setahun saya menjadi pembaca yang kedekut kerana tidak mengongsikan link blog ini. Tapi tidak lagi. Saya mahu semua orang muda yang membaca blog saya turut membaca blog ini. Cari inspirasi di sebalik apa yang ditulisnya. Wajib. (Eh, pernah je saya kongsikan sebelum ni kan cuma tidak diletakkan di blogroll. Hehe)

3) Nurulism. Blog peribadi riang-ria milik Chika. Saya masih baru mengikuti Chika. Kira-kira dua, tiga bulan yang lalu. Tapi setiap kali saya membaca entrinya, saya mesti ketawa. Saya memaksudkannya dengan bersungguh-sungguh. Saya ketawa sampai rasa tidak cukup nafas. Seperti sekarang ini. Hidung masih selesema. Memang mustahil dapat bernafas dengan gembira. Bila ketawa dan bernafas dalam keadaan begini, boleh dyspnea jadinya. Dalam setiap yang Chika tuliskan, ada sesuatu yang terselit. Fakta dalam jenaka. Tapi memang kelakar. Semoga Chika akan terus menulis walaupun sudah kahwin nanti. Ok, Chika! Blog awak tak menjengkelkan langsung. Orang yang cemburu saja yang kata begitu.

Sila baca kesemua blog ini. Kutip ilmu, motivasi, jenaka dan tazkirah daripada mereka. Saya suka mereka. Semoga kamu semua pun suka.


Tidak Kedekut #2

Saya tiba-tiba demam semula sejak hari Sabtu malam Ahad lepas. Pagi tadi di hospital, saya melepek saja. Tanyalah kawan-kawan sekumpulan saya. Saya melepek semelepek-lepeknya di atas meja. Susah mahu tengok saya begini. Kaki saya pula asyik cramp saja. Kejang. Ya. Itu istilahnya. Ada orang sebut sebagai tangkap mengkarung. Ok. Apa-apalah. Sakitnya Ya Rabbi. Dalam pada saya hendak berjimat tidak mahu terlalu kerap menggunakan Avtoline (perkhidmatan awam berbayar), saya terpaksa juga balik menaikinya. Saya tak larat hendak berjalan jauh ke stesyen metro. Mahu menangis saya di pertengahan jalan kerana kekejangan.

Melalut pula saya ni. Balik tadi, saya sambung melepek di atas katil. Saya tertidur sampai pukul 7.30 malam. Bangun tidur saja, saya kata pada diri saya: Eh, tak boleh jadi orang yang kedekut dah. Allah marah. Mahu tahu apa saya mimpikan?

Saya berada di sebuah taman rekreasi air terjun di sebuah negara yang tak pernah saya lawati lagi. Pelik. Kerana semua yang terlibat adalah rakyat Malaysia. Tapi kami ditemukan di luar negara. Siapa yang terlibat?

Frederic Kanoute - Pemain bola sepak yang terkenal.
Hanif Mohsein - Saudara saya di Penang yang dulu juga merupakan senior saya di KISAS.
Faisal Aziz - Pacel. Senior bahas saya di KISAS.
Eddie - Pemilik blog Noktah Hitam.
Kak Salwa Salleh - Senior di KISAS merangkap kakak dorm saya dulu. Eh lupa. Merupakan isteri Abang Khairil.
Kak Fauziah - Pembaca blog saya yang sangat rapat dengan saya. Masih belum pernah berjumpa.
Ustazah Siti Nurafizah - Ustazah yang mengajar subjek Imlak dan Muthalaah saya ketika di SMA Al-Khairiah dulu. Juga merupakan isteri kepada kawan ayah.

Apa yang terjadi? Kami ini adalah satu team anak muda yang direkrut untuk menjadi tentera-tentera muda Islam yang berjuang dengan ilmu, pena, pengaruh dan kekuatan. Boleh teka siapa ketua jemaah kami? Ya. Eddie! Dialah Amir (ketua) kami. Boleh teka apa peranan setiap daripada kami?

Kami semua bergerak atas satu jemaah yang sama. Kami memperjuangkan Islam untuk semua dan keamanan yang dibawakan oleh Islam. Kami menggunakan segala kelebihan kami (setakat yang kami ada menurut mimpi) untuk mencantikkan semula nama Islam. Ustazah Siti Nurafizah dan suaminya adalah penasihat kami. Tapi, di dalam mimpi, saya lebih banyak berinteraksi dengan Ustazah saja. Lagipun, saya dah terlupa apa nama kawan ayah tu. Frederic Kanoute pula menjadi sumber insiprasi saya di dalam mimpi itu. Kerana semangatnya yang sungguh berkobar-kobar dan bersifat iltizam (istiqamah lah tu). Eddie pula sangat berwibawa. Dia menyusun strategi gerak kerja kami. Dia sangat lain daripada yang saya kenal. Macam pelajar lepasan Al-Azhar!

Saya, Kak Salwa dan Kak Fauziah ditugaskan sebagai penyebar maklumat. Sama ada berbentuk tulisan di blog atau risalah. Pacel dan Hanif Mohsein yang terkenal sebagai pendebat dan panelis forum ketika di sekolah dulu memainkan peranan sebagai jurucakap dalam sebarang program yang kami jalankan. Kadang-kala, saya dan Kak Salwa pun akan turun padang menjadi jurucakap bagi program bersama wanita. Kak Fauziah menjadi penjaga dana gerakan ini. Dialah juga yang melancarkan sebarang program berkaitan kutipan derma untuk disalurkan kepada negara-negara Islam yang memerlukan. Seperti hebat kan gerakan kami ini?

Apa kaitannya dengan kedekut? Ada satu program kami ini, ada dua orang anak kecil bernama Abdullah Badawi dan Mahathir hendak turut serta menjadi sebahagian daripada kami. Tak tipu. Nama dua orang budak lelaki itu adalah seperti yang tertulis ini. Setelah bermesyuarat, kami terpaksa menolak mereka. Saya tidak faham kenapa kesukarelawanan mereka tidak dihargai. Sebaik usai mesyuarat, muncul Ustaz Hasrizal di luar bilik mesyuarat. Katanya, jangan kedekut untuk buat benda baik bersama-sama. Selagi niat mereka betul dan ikhlas hendak bekerja bersama untuk agama, jangan dinilai perkara kedua yang kita tak nampak. Terima mereka dengan tangan terbuka. Baru Islam itu nampak mesra dan memesrakan. Jangan kita menjumudkan agama kita.

Oh. Saya sungguh tersentak dengan kata-kata itu. Semua kami, terutamanya Eddie, bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hasrizal. Mulai dari saat itu, team kami yang kecil itu mula disertai oleh ramai sukarelawan agama. Yang bekerja untuk melihat agama kita diadun mesra dalam masyarakat dunia (bukan di Malaysia saja) dan kami berpuas hati kerana gerakan kami menjadi wadah gerakan tentera-tentera muda Islam yang bersifat berbilang kaum dan negara yang pertama di dunia.

Alhamdulillah, mimpi saya disudahi dengan laungan azan oleh Frederic Kanoute di puncak Al-Hambra. Indah kan mimpi saya? =)

Nota 1: Jangan kedekut. Allah tak suka.
Nota 2: Saya jenis yang tak memeriksa semula apa yang saya tulis/eja. Saya suka jika ada yang membetulkan apa-apa saja yang saya silap. Boleh beritahu saya secara terus di komen atau mahu tegur saya di mana-mana tempat yang relevan. Bukankah teguran atas sesuatu kesilapan itu boleh memperbaiki diri kita? =)
Nota 3: Saya tak study langsung lagi ni. Bangun tidur, saya memasak sedikit. Selepas itu, saya tidak kedekut masa bermain-main sebentar bersama Stewart dan Mickey. Tapi mereka zalim membiarkan saya bercakap seorang diri. Zalim kan? Gambar mereka masih belum ada. Mereka kaki tidur. Terkurung dalam rumah kecil mereka saja.
Nota 4: Maaf. Entri ini panjang dan merepek dan tidak diberikan amaran di permulaan cerita. Maaf bagi sesiapa yang terperangkap.

Wednesday, December 03, 2008

Pulih!!!

Assalamualaikum wbt

AISHHHHHH... Tersangatlah bengang kan. Bila segala yang kita buat jadi entah apa-apa tapi dalam sekelip mata sudah elok kembali. Tersangatlah bengang. Apapun, terima kasih kepada semua yang memberi pendapat.

Dan terima kasih kepada DIA yang sudi membantu saya.

Ok. Mata saya tersangatlah pedih pada malam ini. Tapi hati saya tersangatlah bahagia. Dan gembira. Dan ceria. Dan berbunga. Dunia saya sudah kembali! Alhamdulillah.

Nota 1: Oh. Silalah jangan tanya di mana silapnya.

Nota 2: Saya rasa saya nak/kena kahwin dengan seorang computer geek. Sungguh ni.

Hilang!!!

Assalamualaikum wbt

Hilang! Semua hilang! Selepas dua tahun sekarang tiba-tiba hilang!

Update: Saya dah putus asa nak menulis. Nasib jelah kalau ada rezeki dapat trace semula semuanya. Kalau tiada, sayonara buat semua.

Monday, December 01, 2008

Sahabat Dunia Maya

Assalamualaikum wbt

Orang kata, kita tidak boleh mempercayai 100% kenalan yang kita temui melalui internet. Sebetulnya begitulah. Tapi tak dinafikan juga, bukan semuanya palsu dan berniat buruk ke atas kita.

Kalau ada orang mendakwa dia ditipu oleh beberapa kenalan di dunia maya ini, saya turut bersimpati atas nasib mereka. Bukannya apa, tapi kerana saya memahami apa yang mereka rasai. Atau dalam maksud lainnya, saya juga pernah mengenali watak-watak penuh kepalsuan melalui dunia maya. Marah? Itu sudah pasti tapi lama mana sangatlah kita boleh terus kekal hidup dalam kemarahan dan kebencian. Bagi saya, memaafkan dan melupakan adalah ubat terbaik untuk melepaskan benda lama berlalu pergi. Namun, peristiwa-peristiwa sebegini tidak dominan di dalam hidup saya. Kerana yang buruk itu hanya satu, sebaliknya, yang baik-baik pula ada seribu.

Sepanjang menulis blog, saya menemui beberapa rakan baik yang sangat memahami. Jika dulu saya berblog menggunakan platform Friendster, maka yang mengikuti tulisan saya hanyalah rakan-rakan di Friendster saja. Tapi sejak saya mula berblog menggunakan platform Blogspot, skop pembaca yang singgah di sini lebih ramai dan luas. Hit ke blog juga mencecah 400 kali sehari. Saya tahu ini tidaklah tinggi mana berbanding blog-blog milik ramai lagi blogger yang lain. Cuma bagi saya, 400 kali lawatan daripada rakan-rakan pembaca ini menunjukkan ada yang mengingati saya (atau blog saya) walau di mana kalian berada dalam pada saya di sini terasing daripada kehidupan normal bersama rakan-rakan.

Sejujurnya, di saat saya masih menulis di blog lama (Friendster) dulu, saya selalu meninjau blog adik saya. Saya cemburu melihat dia mempunyai domain sendiri dan aktif dengan update terkini yang lebih berbentuk perkongsian ilmu dalam bidang yang sedang dipelajarinya ketika itu. Walaupun ianya berkisar tentang Security Technology, tapi di situlah titik permulaan saya mula mencari platform yang lebih baik untuk berblog.

Ternyata, sejak menulis di sini, saya menemui beberapa orang kawan baik yang tidak saya miliki dalam kehidupan harian saya di sini. Mereka sungguh baik dan tak dinafikan, mereka ini antara sahabat yang saya hargai kewujudan dan kemunculan mereka dalam hidup saya. Ada di antaranya yang pernah saya temui dan ada yang belum tapi hampir setiap hari kami mendengar khabar melalui dunia maya ini juga alat telekomunikasi yang lain.

Buat Faiq dan Cik Ati, mereka ini istimewa sekali di hati saya. Faiq sahabat baik saya sejak sekolah yang merupakan pembaca setia blog saya. Setia dalam banyak hal. Hanya dia yang tahu! Cik Ati adalah ibu saudara Faiq yang telah saya temui ketika majlis perkahwinan Faiq dulu. Cik Ati merupakan sumber nasihat paling bernas yang boleh saya jadikan rujukan. Saya juga ada Kak Fauziah (Akak) sebagai salah seorang yang rapat dalam dunia saya di alam maya ini. Tak ketinggalan, saya ada Yasir yang sangat seronok untuk dibawa berbincang dan berdebat tentang banyak perkara. Nak berduet mesra pun boleh juga. Juga pernah membantu saya menyelesaikan beberapa perkara. Terima kasih! Dan yang paling istimewa, saya mengenali Nadia dan Acai yang menjadi teman terbaik saya sepanjang menulis di sini. Terima kasih Nadia, Acai kerana sangat memahami saya!

Dan pada hari ini, genaplah dua tahun saya bertapak di sini. Dan saya masih lagi percaya, dunia saya ini membawa saya mengenali ramai orang yang pelbagai watak dan ragam. Dan saya masih percaya, dalam keburukan yang pernah saya lalui sepanjang berblog, masih terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan kebaikan yang saya peroleh.

Di sini saya temui rakan-rakan baik saya dan di sini saya temui dunia saya.

Nota: Lagu di sebelah adalah nyanyian Yasir, diberikannya kira-kira setahun yang lalu. Yasir, harap awak izinkan saya muat naik lagu ini di Imeem ye. Hehe. Awak kan tengah kumpul playlist Skoobedooparp =) Saya yakin awak senyum bila baca ni =p Terima kasih! Ada lagu nanti kasilah saya lagi =D

Monday, November 24, 2008

Baru

Assalamualaikum wbt

Penangan jemu barangkali. Saya bertukar wajah. Pernah hitam. Pernah coklat. Pernah putih. Kini merah jambu dan hijau. Terasa ceria dan manis. Menulis semakin malas tapi ada hati hendak bertukar wajah. Kalau ada kesulitan membaca, maafkan saya. Mungkin nampak sedikit keanak-anakan tapi ceria. Saya mahu ceria.

Friday, November 21, 2008

Winter In Moscow

Assalamualaikum wbt

As requested, so here is a video about winter in Moscow, with some photos and videos inside. The photos were taken from winter collection 2008 (December 2007-February 2008). The song used is Sneg Idyot (It's Snowing) by a Russian group called Glukoza. If I'm not mistaken, it was famous in early 2005 when I was in 2nd year. Seriously, I love this song simply because it takes me away with it and the feel is there. The winter feeling. The freeze. The loneliness. The quietness. The family. The one(!). The life. The sadness. And not to forget, the emptiness. In fact, I celebrated my 21st birthday in 2006 alone (my housemates went back to Malaysia during winter break) and I listened to this song all night long.

I still have no camera and my handphone camera isn't good enough to capture scenery. Therefore, I recycle my last year's winter collection (Anyway, I haven't shared them with you all yet). Ok. Enjoy the video and ONLY after that you may continue reading the lower most part. Oh, forgive me for picking up a Russian song this time. You may not understand all but the feeling is still there. Hehe =)



Actually, while writing this up, I received a comment for the previous entry. Someone has just thrown out his/her thought for not satisfying with me where he/she claimed that I just shared the good sides of me. If I were the old me, I might get emotional upon this issue. I might say, who is he/she to judge me, does he/she really know me and something like that. But, I am very OK reading the comment. Well, people are always free to say anything about me. But I am 120% sure that I never pretend to be someone else in my writing. I personally started blogging to kill my time which I found, my life after classes/hospital were very boring back then. Thus, I, who very much love writing, decided to start blogging and so, I could get connected with my family and close friends in a unique way: Blog. And that's why my blog was named My World before this. Yes. This is my world. Here I have my family who follows my updates, I found good friends and I found life. A life that I enjoy most. It's all about writing. If you claimed that I tell only the good sides of me, please recheck your words. I am very out spoken. And people can see it clearly in here. A year ago, I wrote about a hot issue (how out-spoken I am) and I got condemned by people. That's one bad thing about me. I portrayed some other bad stuffs about me too. I am easily kicked emotionally. When I was carried away by certain issues that came in my life, I jotted it here. People can see that how fragile I am. How weak my emotion is. How stupid I handle those issues. How could I share personal issues in blog. That shows how immature I am. I remember receiving a comment not long ago saying that sometimes I seem very firm on my principes without considering people's advices and what would be the consequences in the future. See. That what is bad about me. I am stubborn. Another bad thing about me, I have a background from islamic school but still, I do not practice all anymore. I listen to songs (the lagha ones) and I've changed. I am not the old me as what people wanted me to be. I no longer wear tudung labuh. I bet that my ex-schoolmates might call me a hypocrite but I don't mind it. That what is bad about me. And now, you're telling me that I write only the good ones. It means that you don't know me, yet. Recently, I burst to one of my readers that I don't feel ease with the way he commented in my entries. He stopped showing himself up and I knew he was hurt by my action. That what is bad about me. And for that reason, I personally emailed him to ask for forgiveness. He is now still around and ask him whether I seriously did it or not. I did hurt him, I swear. I did.

But I always realize, I can't comfort every single of you who stops by and reads my blog. And for that, if you don't satisfy with me nor my blog, just leave me alone and don't bother to drop by again. (I think) I am very OK right now. Your words didn't give big impact on me but I just don't want this blog becomes the stage of fight once again. I have had it enough. I appreciate your comment and for that, I thank you.

Aishh, I told you to watch the video first, didn't I? Ok, ok. Scroll up and enjoy the video. But that is not everything about winter in Moscow. Let's imagine you live your days in -25'C and a day or two in a month, you have to endure even colder weather. I had a few times freezing my face and hands in -45'C. This is truly Russia =)

Monday, November 17, 2008

5 Kriteria Blog Yang Saya Lawati

Assalamualaikum wbt

Kalau sebelum ini saya selalu bercerita tentang kehidupan saya di sini dan memori di Malaysia juga pendapat peribadi saya tentang isu yang berlaku di sekeliling saya tapi kali ini saya hendak berkongsi tentang blog-blog yang menjadi pilihan saya.

Saya ada beberapa kriteria yang menyebabkan saya boleh jatuh cinta dengan sesebuah blog. Disebabkan kriteria-kriteria ini, saya pasti akan melawat blog-blog ini hampir setiap hari. Dipenghujung entri nanti, saya akan nyatakan apa yang saya buat dengan blog-blog yang saya minati ini.

1. Saya sukakan kekemasan. Jadi, dalam menulis entri juga, saya sukakan jika aspek kekemasan dititikberatkan. Maksud saya, alignment untuk entri itu mestilah disetkan sebagai justify atau kalau yang mahu ditengahkan, setkan dengan align center dengan sepenuhnya. Jadi, sesebuah blog itu akan nampak kemas dan rapi. Disebabkan faktor kemas ini, hari-hari saya melawat blog Nadia Yuna dan Menteil. Blog mereka kemas menurut pendefinisian saya tadi. Warna pilihan juga menepati citarasa. Seorang coklat gelap, seorang lagi putih bersih. Memang menjadi pilihan sayalah=)

2. Tiada widget atau aksesori elektronik tambahan yang terlalu berat. Mungkin ada yang tidak kisah tentang hal ini tapi saya kisah kerana kedudukan meja saya di rumah ini adalah yang terjauh daripada sumber wireless modem kami. Jadi, jika ada blog atau laman web yang berat untuk dibuka, prosesnya mengambil masa hampir seminit. Saya tak banyak masa hendak menunggu selama itu untuk proses ini. Jadi, ini menyebabkan saya kurang melawat blog-blog yang penuh dengan widget gambar, lagu, atau apa sahaja yang diletakkan di bahagian tepi blog yang boleh melambatkan proses. Jadi, atas sebab ini saya memilih blog Cikgu Jawe dan sebuah blog yang saya stalk (baca: intai-intai dari jauh saja) kerana keistimewaannya yang tersendiri. Pemilik blog ini adalah rakan email saya tapi link-nya tidak boleh diletakkan kerana dia sukakan privasi.

3. Saya suka membaca kisah-kisah orang yang berlainan bidang dengan saya. Saya suka untuk tahu hal-hal yang berkaitan kerjaya, studi ataupun apa saja yang terjadi dalam hidup mereka. Syarat utama yang sama ambil kira ialah cara penceritaan. Maka saya memilih 3 blog pilihan. Pertamanya Yasir Tamizi. Dia ini unik. Dari banyak segi. Saya suka cara dia menyampaikan pendapatnya sama ada tentang politik atau agama dan kadang-kala tentang kerjayanya dan aktiviti sampingannya dalam sebuah band. Blog Azwan Ngali juga menjadi pilihan saya. Ini antara rakan blogging yang terawal yang saya kenal tapi sayangnya saya tidak tahu apa masalahnya sehingga blognya tidak dapat dibuka sekarang (sejak minggu lepas). Mungkin dalam proses baik pulih. Yang ketiga ialah blog Critical Thinker. Dia inipun unik. Pada mulanya penuh rahsia tapi sekarang identitinya bukan lagi rahsia. Saya yakin dia ini orang yang berilmu dari cara penyampaian ceritanya. Dan setelah mengenali pemiliknya buat seketika, ternyata telahan saya benar belaka. Dia sedang melanjutkan pelajaran di Adelaide sana. Apa yang unik, ketiga-tiga mereka ini berblog dalam bahasa yang tersendiri. Kalau tak percaya, silalah kaji. Memang menarik. Hehe.

4. Saya seorang yang sangat pentingkan aspek bahasa. Saya lebih mengutamakan Bahasa Melayu. Jadi, di blog saya, saya akan menulis menggunakan bahasa formal. Jika saya selitkan penggunakan istilah pasar, saya akan italikkan perkataannya. Saya bukan pengamal bahasa rojak. Jadi, jika saya hendak menyelitkan perkataan Bahasa Inggeris di dalam entri (bukan di 'Nota'), saya akan mengitalikkan perkataan tersebut supaya dapat dibezakan dengan bahasa standard yang saya gunakan. Begitu juga jika saya menulis di dalam Bahasa Inggeris. 100% akan menggunakan bahasa ini. Tiada rojak atau singkatan yang salah seperti gimme, gonna, lemme, gtg, etc dan lain-lain lagi. Di atas sebab ini, saya memilih blog Noktah Hitam yang 100% berblog dalam Bahasa Inggeris yang baik dan juga blog Najib (kawan baik adik saya) yang sangat unik bahasanya. Hampir 100% Najib menggunakan Bahasa Melayu di blog ini.

5. Saya suka membaca entri-entri yang bersifat prihatin agama dan masyarakat. Lagi seronok jika isu-isunya disampaikan dalam cara penceritaan yang unik. Jadi, disebabkan kriteria ini, saya menjadi mengunjung setia blog Cik Ati yang saya sayangi ini. Cik Ati memang best orangnya. Dan saya akui, dia bukan seorang yang berpura-pura dalam nasihat-nasihat yang terselit dalam penceritaannya. Saya tabik hormat pada Cik Ati =)

Dan disebabkan saya meminati blog-blog ini, saya bookmark-kan mereka di bahagian atas enjin internet yang saya gunakan ini untuk memudahkan saya melihat update terkini daripada mereka semua tanpa perlu saya merujuk ke blog saya untuk mencari link-nya. Kiranya, saya bookmark RSS blog-blog ini di toolbars kerena mereka semua istimewa bagi saya yang dahagakan ilmu pelbagai bidang yang merangkumi dunia dan akhirat. Dan sebenarnya, ada beberapa lagi blog yang saya bookmark-kan tetapi saya tidak tahu mereka tergolong dalam kategori mana satu. Antaranya ialah blog Salman Faris dan blog ibu saudara saya, Mak Andak =) Dua blog terakhir ini ialah blog wajib yang saya buka setiap hari sama ada kedapatan entri baru ataupun tidak. (",)

Thursday, August 07, 2008

7 Ogos 2008

Assalamualaikum wbt

Ini entri wajib. Hutang yang saya janjikan dengan beberapa insan penting dalam hidup. Maka saya hendak menyempurnakan segalanya supaya tiada hutang lagi. Sempena Ogos ini, di dalam keluarga saya saja ada ramai yang menyambut ulang tahun kelahiran. Terlebih dahulu, saya ucapkan Selamat Pengantin Baru buat sahabat saya Nadia dan Alif (KB 2 Ogos 2008), sepupu saya Along Hafiz dan Kak Ain (Shah Alam, 3 Ogos 2008), juga buat teman terbaik merangkap abang yang paling saya hormati, Abang Khairil dan Kak Salwa (Teluk Intan, 9 Ogos 2008) dan senior bahas yang paling saya rapat merangkap kakak yang paling banyak menyimpan rahsia saya sejak 8 tahun dahulu, Kak Anisa dan Abang Ewan (Serdang, 16 Ogos 2008). Juga buat kenalan yang menjadi pembaca MW, Mahani dan Hafiz (KL, 23 Ogos 2008), 2 pasangan junior di Moscow, Awe dan Dayout (Johor, 9 Ogos 2008) serta Rafeeq dan Sikin (Klang, 17 Ogos 2008). Selamat Pengantin Baru. Semoga hidup kalian dalam redha Allah sentiasa. Juga takziah buat keluarga Abang Nizam dan Kak Maslina sekeluarga atas pemergian ibu kepada Kak Maslina pada petang semalam (Temerloh, 6 Ogos 2008). Semoga arwah ditempatkan di kalangan mukminin yang lain.

Dan pada tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kombo untuk 9 orang sekali gus.

Buat Kaklong, Selamat Hari Lahir yang ke-25 (9 Ogos). Ngah doakan awak berjaya menjadi pendidik yang bercita-cita tinggi dan lain dari yang lain.

Buat adik saya Adi, Selamat Hari Lahir yang ke-17 (10 Ogos). Semoga cemerlang dalam SPM tahun ini dan semoga awak kekal menjadi anak yang baik dan contoh kepada adik-adik.

Buat sepupu saya Ahmad Ridhuan (Wawan), Selamat Hari Lahir yang ke-19 (11 Ogos). Semoga dapat fly ke Australia pada Febuari depan dan kekal menjadi cucu contoh buat adik-adik saudara yang lain. Ngah bangga dengan apa yang awak buat sewaktu pemergian arwah Chik dulu. Awak contoh produk KISAS yang berkualiti =)

Juga buat dua orang rakan blogger, Azwan Ngali (8 Ogos) dan Yasir Tamizi (11 Ogos). Selamat Hari Lahir yang ke-24 buat awak berdua. Selamat menamatkan dunia kolej untuk Azwan dan selamat membina kerjaya untuk Yasir. Didoakan yang baik-baik saja ya.

Juga Selamat Hari Lahir yang ke-18 buat dua orang sepupu saya, Sufyan (18 Ogos) dan Liyana (29 Ogos). Selamat meneruskan pelajaran di peringkat tinggi. Jangan main-main. Terlalu banyak yang menanti di hari muka. Buat seorang teman lama, Afifi Saifuddin di CSMU, Selamat Hari Lahir (7 Ogos). Saya tak pernah lupa tarikh ini sejak hampir 10 tahun yang lalu. Dan Syam Leokid, Selamat Hari Lahir juga buat kamu (11 Ogos). KS ingat tau =)

Buat semua, Terima Kasih kerana sudi membaca blog ini selama ini. Maaf atas segalanya. Saya undur diri dengan harapan tiada dendam berbekas di hati dan terima kasih atas ukhwah yang telah diberikan. Hidup saya ceria kerana dapat mengenali kamu semua. Kamu semua tahu siapa kamu semua dalam hidup dan hati saya.

Hari ini hari Khamis, 7 Ogos 2008. Assalamualaikum wbt.

Thursday, July 31, 2008

31 Julai 2008

Assalamualaikum wbt

Cerita 1
Tengahari tadi saya keluar ke bandar untuk ke bank. Menaiki bas saja. Kan saya pernah nyatakan dulu bahawa saya tidak tahu tambang dari rumah saya ke pusat bandar kerana jarang menggunakan bas. Jadi tadi saya menyediakan RM2 kerana seingat saya tambangnya sama ada RM1.10 atau RM1.30. Sebaik saya turun dari bukit rumah saya, terus ada bas. Saya menahannya dan sebaik naik, saya menghulurkan RM2 itu. Pakcik itu berkata: Takde syiling ke, dik? Saya jawab tiada. Sebetulnya ada tapi terperosok di dalam beg sandang belakang yang saya suka bawa itu. Lalu pakcik itu membalas: Ambik la lagi seringgit tu. Awak ni RM1.10 je. Kecik lagi. Saya pun mengucapkan terima kasih dan terus duduk. Kepala saya ligat berfikir. Eh, seingat saya, untuk bas berhawa dingin, RM1.10 untuk kanak-kanak. Saya terus tersengih seorang. Saya ni dikategorikan sebagai kanak-kanakkah? Hehe. Mentang-mentanglah saya bawa beg sandang belakang saja tadi, terus saya ni disangka budak-budak pula :p

Cerita 2
Dah lama tidak menangis bersungguh-sungguh. Tadi petang memang saya menangis sangat-sangat. Sampai basah kuyup muka dan terisak-isak. Bukannya apa. Saya memang sangat bengang, geram, sakit hati dan terkilan jika keberadaan saya di sebuah negara yang bernama Rusia dibanding-bandingkan dengan orang lain yang menuntut di US, UK, Australia atau di tempat-tempat lain. Yang saya sedihkan, yang membanding-bandingkan itu bukan orang lain. Orangnya dekat dengan saya. Kalau dulu saya di tahun pertama atau kedua dan saya diberi provokasi yang sebegini, saya memang boleh goyah dengan keputusan untuk meneruskan perjuangan hidup di Rusia. Tapi sekarang saya sudah di tahun akhir. Lagi mahu diteruskan dengan provokasi yang sebegitu. Siapa yang tidak geram. Bila saya balik rumah, saya menangis sambil menghidangkan makanan untuk emak berbuka. Bila saya masuk ke bilik air untuk membasuh muka dan kaki, ayah yang mungkin terdengar saya menangis keluar dari bilik dan bertanya kepada emak. Saya tidak tahulah apa yang emak jawabkan pada ayah. Yang pasti, saya sudah lama tahan sabar dengan beberapa orang itu yang seperti tidak pernah jemu hendak buat saya rasa rendah diri sebab dihantar belajar di Rusia. Untuk pengetahuan semua, sewaktu interview dengan JPA dulu, saya sendiri yang menamakan Rusia sebagai negara pilihan pertama. Saya ada alasan yang tersendiri. Jadi, apa masalah dia? Kalau saya yang dikatakan kolot kerana memilih Rusia sebagai tempat pilihan, saya rasakan orang sepertinya yang kolot kerana masih melihat Rusia itu sebagai sebuah negara Komunis atau apa. Sepatutnya sebagai orang yang dekat dengan saya, dia sepatutnya memberi saya semangat dan motivasi. Lebih-lebih lagi saya cuma ada kurang dari setahun saja lagi untuk tamat. Tapi tidak pernah sekalipun saya merasakan diberikan motivasi atau semangat atau apa saja yang berbentuk positif dan membina olehnya. Oklah. Dia tidak pernah membawa manfaat kepada saya. Jadi tak perlu saya ambil kisah dengan apa yang dikatakannya.

Cerita 3
Tadi adik-adik saudara dari Dungun balik ke rumah Tok. Begitu juga dengan keluarga Mak Andak yang baru tiba dari Egypt. Maka malam ini berkumpullah 3 orang Nana di rumah ini. Bak kata Syakira, ada 3 orang Kakak Nana. Nabiha Farzana (Nana 1), Nurul Jannah (Nana 2) and Ngah Sarah (Nana 3). Kepada Nini, Sila jangan jealous ye. Malam ni Nana dikerumuni oleh si kenit-kenit ini. Habis SMS Nana pun diorang baca. Huhu.

Cerita 4
Saya rasa nak berhenti berblog. Macam dah tiada mood... Kalau saya nak update pun, tengok keadaan dululah.


Nota 1: Mohd. Shamsul Amir, nama awak disebut-sebut oleh adik-adik saudara saya ni. Kredit yang baik-baik diberikan kepada awak. Hehe.

Nota 2: Hidayah, cepat-cepat sembuh ok. Semua risau pasal kaki awak tu. Mak awak asyik sebut-sebut aje.

Wednesday, July 16, 2008

Maka Inilah Dunia Saya

Assalamualaikum wbt

Pernah ada yang bertanya, kenapa blog saya bernama My World, Dunia Saya. Jawapan saya hanya satu. Kerana di sinilah saya dapat berkongsi apa yang saya rasakan dan dalam masa yang sama merehatkan diri saya daripada kesibukan belajar.

Saya sering bersendirian. Pergi balik dari kelas, pergi balik dari hospital, mengembara sekeliling Moscow di tahun pertama dulu dan macam-macam lagi. Bukan saya sengaja menjadi solo begini. Ada sebabnya. Pertama, kerana susah mahu berjanji dengan rakan-rakan sekumpulan waktu itu. Yang lambat, memang lambat. Ada yang awal, tapi mahu menunggu kekasihlah pula. Sudahnya saya lagi selesa bergerak secara solo. Tidak terikat dengan sebarang komitmen dan janji. Orang kata bahaya begitu pada waktu itu. Tapi Alhamdulillah saya tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini. Keduanya, saya tidak mahu bergantung kepada rakan-rakan untuk membuat nota kelas, nota kuliah mahupun nota peribadi. Bukan sombong, tapi lebih selesa dan menepati cara belajar saya. Kalau kita sendiri yang sediakan, ilmu lebih lekat dalam kepala dan lebih terurus ketika hendak exam. Saya sentiasa wajibkan diri saya membuat persediaan sebelum ke kelas. Prinsip saya, saya tidak kisah orang mahu meminjam apa yang saya sediakan tapi jangan saya bergantung pada orang. Saya tidak mahu dilabel menyusahkan orang. Dan disebabkan ini, saya sudah dicop sebagai seorang yang 'sangat berdikari' dan 'boleh hidup sendiri' oleh rakan-rakan sekumpulan. Bunyinya seperti positif. Hakikatnya ada negatifnya juga. Disebabkan saya dilabel begini, kadang-kala saya dilupakan jika mereka ada nota edaran atau slide show yang penting. Juga dilupakan jika mereka ada 'variant' atau skema jawapan untuk apa-apa ujian. Kadang-kala, bila tiba hari ujian, saya hairan melihat mereka semua bersedia dengan skema jawapan yang sudah difotostat tetapi saya tidak tahu menahu. Apabila saya bertanya, mereka katakan bahawa semua sudah dapat, bagaimana pula saya tidak dapat. Dan konklusi yang mereka berikan: Alah, kalau kau takde pun skema jawapan tu, kau dah ready dah. Ayat ini saya ingat sampai ke hari ini. Dan terima kasih di atas respon 4 tahun yang sudah itu kerana menjadikan diri saya yang sekarang.

Sejak itu, saya memang tidak pernah bergantung harap tentang nota atau variant daripada rakan-rakan. Sedih juga jika teringat peristiwa 4 tahun lepas itu tapi saya bersyukur kerana setiap yang terjadi itu pastinya ada hikmah yang jauh lebih bernilai. Saya menjadi seorang yang sangat serius dalam pelajaran, tidak bergantung pada yang lain dan saya boleh hidup dalam apa-apa keadaan sekalipun. Inilah hidup saya setiap hari. Waktu itu, bilik saya di hostel lama tiada talian internet. Untuk mengisi masa lapang, saya suka main game Pizza Frenzy (full version), Virtual Orchestra System (VOS) dan menulis cerpen. Waktu itu, itulah dunia saya. Dan sebaik saja saya berpindah duduk di luar sekitar 2006, saya pun mula berblog. Kenapa saya berblog kerana inilah saluran lain selain daripada menulis cerpen yang semuanya saya simpan menjadi pekasam khazanah sendiri saja.

Pada mulanya, blog ini hanya saya, ayah dan tiga, empat orang kawan saja yang tahu. Tapi entah mana puncanya, lama-kelamaan, semakin ramai yang jumpa dunia saya ini. Dan sejak saya mula berblog, saya temui kenalan yang sekepala dengan saya, yang sejiwa dan semuanya mewarnai hidup saya setiap hari. Dan tak ketinggalan, ada juga yang menjadi pengacau yang sangat merimaskan sehingga pernah buat saya tertekan. Tapi saya bertahan untuk terus berblog kerana saya sayang kawan-kawan yang saya kenali melalui blog. Inilah sedikit sebanyak tentang saya dan MW. Bagi saya, MW adalah sangat penting dan istimewa kerana dengan adanya MW, saya ada kehidupan lain selain daripada buku dan persatuan.

Sejujurnya saya ada entri khas yang hendak ditulis tentang MW ini. Emak saya tahu apa yang saya hendak tuliskan, yang telah menjadi niat saya sejak 2 minggu yang lalu. Tetapi, tanpa diduga, saya terpaksa menyimpan dulu entri itu kerana tidak mahu dihubungkaitkan dengan beberapa keadaan yang sedang berlaku. Macam bercelaru kan apa yang saya katakan ini? Hmm... Sebetulnya, mood saya masih kurang baik. Saya rasa sungguh kusut sekarang ini.

Esok saya tiada di rumah. Perlu ke KL lagi. Ada mesyuarat lagi. Dan perlu ke Cyberjaya juga. Saya akan pergi naik bas saja. Ikutkan hati, saya tak mahu bermalam di KL. Saya hendak balik ke rumah pada petang esok juga. Tapi mesyuarat di Cyberjaya adalah pada sebelah petang. Sempatkah saya berkejar balik ke Pekeliling untuk bas terakhir ke Temerloh? Ini satu lagi hal. Kusut.

Saya mohon maaf kalau ada yang terasa atau tidak bersetuju dengan lontaran pendapat saya dalam entri lepas atau yang lepas-lepas. MW tempat saya mengeluarkan pendapat peribadi saya tentang perkara yang berlaku di sekitar saya, Malaysia, Moscow atau dunia secara amnya. Dan kalau tersasar, saya memang tak pandai menyorokkan apa yang saya rasa. Kadang-kala, jelas terpapar pada apa yang saya tuliskan. Andai kata ada di antara kamu yang dapat menilai mood saya dengan membaca entri kali ini, mesti ada yang dapat buat kesimpulan apa yang sedang berlaku sebenarnya.

Saya tahu ada orang yang jauh lebih faham. Emak, maaf sangat kalau Ngah teruskan juga niat Ngah tu. Selamat malam dari Temerloh. Semoga malam yang hening dihangatkan dengan tangis buat Ilahi.

Nota: Tadi saya mewarna bersama adik-adik. Saya warnakan sebuah kereta Honda EK apa entah. Adik saya kata cantik. Padahal, sewaktu sekolah rendah dulu, Pendidikan Seni saya sangat jarang dapat A dengan bintang-bintang. Biasanya hanya 'Dilihat' saja. Dan sebelum mereka tidur, saya ajarkan teknik mewarna menggunakan krayon dan saya potretkan sejenis seni yang pernah saya pelajari dulu. Pada kertas lukisan itu saya ukir kata-kata: I am a good Muslim. Dengan warna oren terang. Ironinya, adakah yang menulis itu betul-betul 'good' dalam menguruskan hidupnya sebagai seorang Muslim. Adakah yang menulis itu Muslim sepenuh masa atau part time saja? Warna oren terang itu seperti satu sindiran untuk diri saya sendiri. Jadi, apa resolusi yang patut dibuat? Hmm... Dalam entri ini, ada jawapan yang tersembunyi.

Saturday, May 17, 2008

Baju Kurungku

Assalamualaikum wbt

Sejak kecil saya selalu terasa setiap kali emak memilihkan saya dan Kaklong kain untuk membuat baju kurung. Kami sudah terbiasa menghantar kain pasang untuk ditempah pada Mak Tam, emak saudara kami atau Mak Huda, tukang jahit di kampung kami. Baju yang ditempah begini lebih selesa dan yang penting berpoket dan susun lipat tepi kain lebih daripada yang dibeli siap. Tetapi setiap kali mendapat bahagian masing-masing, saya pasti akan mendapat warna yang saya kurang gemar.

Saya masih ingat ketika dalam darjah 3, emak hendak menempahkan kami baju kurung moden. Kainnya cantik. Ada kuning-hijau lembut dan biru tua-merah jambu. Saya berkenankan yang kuning-hijau itu. Sebaliknya saya mendapat yang satu lagi. Saya memberontak sangat dalam hati. Di mulut pula ada mengomel kenapalah asyik Kaklong saja dapat yang cantik-cantik. Bagi saya, yang warnanya biru tua-merah jambu itu seperti kain sari. Macam India. Saya merungut. Kata saya, saya tahulah saya tak secantik Kaklong (saya baru kurang setahun sembuh selepas terbakar dulu), lagi hendak dipakaikan dengan warna seperti sari ini. Saya sangat terasa hati. Dalam pada tidak suka, saya terima sajalah.

Tetapi emak ada alasan kenapa dia memilihkan saya kain itu. Katanya, saya cerah. Jadi saya kenalah pakai yang warnanya gelap sedikit untuk berseri. Saya tidak bersetuju. Bagi saya, saya gelap. Siti terbakarlah katakan. Saya nampak seperti Aci saja dalam kain itu. Saya mengadu pada Mak Tam yang menjaga saya sejak kecil. Saya katakan yang saya sedih sebab Kaklong mendapat kain yang saya suka. Mak Tam memujuk. Alasannya sama dengan emak. Saya merajuk dua tiga hari dengan Mak Tam kerana Mak Tam seakan-akan membela Kaklong yang mendapat kain cantik itu.

Apabila hari raya tiba, dalam pada terpaksa, saya pakai juga baju itu. Saya ada dua helai baju untuk raya tahun itu. Sehelai lagi berwarna kuning berbunga. Emak khaskan yang itu untuk raya kedua. Raya pertama mestilah pakai kain yang lagi mahal kan. Tapi saya tidak suka. Saya rasa malu sangat. Tapi lain pula jadinya hari itu. Apabila bertemu dengan saudara-mara, mereka memuji saya manis berbaju kurung itu. Kata mereka, warna macam inilah baru sesuai dengan saya. Barulah nampak cerah atau tak. Pujian yang sama diberikan pada Kaklong. Jadi sebenarnya saya tidak pastilah mereka menujukan pujian ikhlas kepada siapa.

Bila sudah besar, biasanya emak akan memberi duit dan kami akan membeli kain sendiri, mengikut citarasa kami. Dan sejak masing-masing sudah ke universiti, kami hanya membeli baju siap. Senang dan banyak pilihan. Bagi saya yang hanya setahun sekali pulang bercuti ke Malaysia, emak pasti akan mengikut saya pergi membeli baju di Butik Tradisional Melayu di Temerloh. Kedai pilihan. Kenapa saya perlu ditemani emak? Jawapannya kerana jika saya pergi sendiri, saya hanya akan memilih tona warna yang hampir sama.

Saya sudahpun ada banyak baju bertonakan coklat dan biru. Jubah seluar pun berwarna coklat. Banyak betul yang warnanya coklat. Sebelum ke butik itu, seminggu pertama tiba di Malaysia tahun lalu, saya membawa adik saudara saya menemani saya membeli baju kurung siap di Kaid Johar, gedung kain yang popular di situ. Adik saudara saya kata, saya tak pandai berfesyen langsung. Asyik pilih warna yang gelap-gelap. Lantaklah. Saya tetap beli juga 2 helai baju kurung dan sepasang jubah seluar untuk kegunaan di Malaysia. Saya tidak suka pakai baju lain selain baju kurung. Sebab itu saya menambah stok saya untuk kegunaan sepanjang cuti.

Jadi, ketika di butik itu, saya terlihatkan sehelai baju berwarna coklat tanah keemasan, kain kosong, Baju Kurung Pahang. Saya berkenankan baju itu. Baru saja hendak mencapai, saya diberi amaran oleh emak. 'Ha... No more brown colour ok.' Tersedih sekejap. Sudahnya saya dipilihkan dengan sehelai baju kurung hijau baldu sekali dengan tudung yang dipadankan oleh emak. Balik ke rumah malam itu, saya mencebikkan muka saja di dalam kereta. Maklum sajalah. Orang sedang merajuk. Keesokannya saya menunjukkan baju itu kepada Mak Tam. Mak Tam sangat sukakan warna itu. Kata Mak Tam, saya kenalah berani cuba warna-warna begini. Jangan takut apa orang kata. Kata Mak Tam lagi, kulit saya sesuai untuk apa-apa warna pun. Jadi janganlah nak merajuk lagi. Saya diam saja. Saya bawa baju dan tudung itu untuk di basuh sebelum dilipat untuk dibawa pulang ke sini sebagai baju raya.

Pendek cerita, saya tidak pernah betul-betul dapat warna yang saya suka. Saya cemburu melihat baju raya Kaklong tahun lalu. Ungu! Sedangkan ketika di butik malam itu, saya ada menunjukkan sehelai baju kurung ungu gelap pada emak tetapi emak tetap katakan tidak kerana masih berona gelap. Beberapa bulan sudah, ketika saya agak tidak bersemangat, saya menelefon rumah dan salah satu pujukan daripada emak ialah 'Tak lama dah nak balik kan. Nanti balik mak tempahkan baju kurung ungu kain yang Ngah nak ok.' Lucu pula teringatkan pujukan ini. Macam saya ini budak kecil saja lagi.

Begitulah kisahnya saya dan warna baju kurung. Selalu saja dikatakan tidak pandai memilih warna. Apa-apa sajalah. Asalkan saya selesa cukuplah. Itu prinsip saya. Berbalik kepada blog. Pasti semua dapat melihat wajahnya sudah baru. Saya teringatkan 'baju' blog saya yang pertama. Kombinasi coklat gelap-coklat cair. Kemudian ditukar 'baju' hitam klasik pula dan seterusnya ditukar ke coklat gelap kembali. Saya sebenarnya sudah lama mencari-cari warna yang terang putih bersih begini. Sejak sebelum menggunakan warna coklat gelap yang dulu. Tapi tidak berjumpa dengan template yang menyediakan ruang tulisan utama yang luas. Yang ada semuanya yang kecil-kecil saja. Saya kurang gemar yang begitu. Jadi, inilah 'baju' saya untuk kali ini. Saya harap, emak puas hati dengan pilihan saya kali ini. No more brown. Kali ini bertemakan Pakatan Rakyat Hijau-Biru pula. Hehe. Dan saya sukakan pokok sebatang di atas itu. Membawa refleksi saya yang seorang lone ranger di sini dan berharap dapat menjadi seperti pokok (seperti yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar); membawa manfaat kepada yang lain walaupun telah mati nanti. Link pautan saya letakkan di bawah sekali. Supaya bahagian atas blog ini tidak serabut dan sesak.

Selamat berhujung minggu buat semua =)

Saturday, December 15, 2007

Rumah Lama, Cat Baru

Assalamualaikum wbt

Sudah beberapa hari sebenarnya saya tercari-cari cat baru untuk rumah ini. Tapi tidak ketemu juga dengan yang betul-betul dihajati. Sudahnya saya memilih yang ini sungguhpun ini bukanlah pilihan yang pertama. Dan saya mempunyai sebab tersendiri kenapa mahu berwajah baru ini.

Dengan bantuan Farah, saya mencari-cari template yang sesuai dengan tema yang dibawakan oleh blog saya. Tidak terlalu keanak-anakan dan kalau boleh biar menampakkan kematangan. Susah rupanya mahu mencari yang menepati pilihan hati. Ewah. Macam mencari teman hidup saja bunyinya. Dan inilah hasilnya.

Namun, selepas saya menyudahkan coding process, semua link telah hilang. Walaupun back up coding untuk template yang lalu ada dibuat tetapi back up untuk senarai link tidak termasuk. Jadi saya harapkan, bagi kawan-kawan blogger yang menjenguk saya di sini, tinggalkanlah pesan supaya saya dapat mengesan dan berkunjung ke blog kamu semua semula ya. Saya sekarang masih lagi dalam porses pengemaskinian. Harap tiada yang berkecil hati kerana link blog sudah tiada di sebelah. Nanti saya kemaskinikan sedikit demi sedikit.

Nota: Kawasan Temerloh banjir. Kampung saya begitu juga. Tetapi rumah saya di atas bukit. Setakat ini belum pernah rumah saya kena banjir walaupun ketika banjir besar melanda Tanah Semenanjung pada tahun 1989. Pada hari Rabu yang lalu, saya menerima banyak email daripada ayah menceritakan tentang banjir dan disertakan gambar-gambar bersama. Ada maksud tersirat apabila saya mendapat email-email ayah. Maksudnya, ayah tiada kerja hendak dibuat kerana tidak dapat ke bandar dan hanya berehat di rumah. Jadi dia punya banyak masa meng-online-kan dirinya untuk aktiviti-aktiviti santai.

Saya juga sempat online bersama emak. Sangat lama. Tambah pula, pada hari Rabu itu (hari pertama air naik dan perhubungan ke bandar Temerloh mulai terputus), saya tidak mempunyai sebarang kelas dan saya pun tidak berapa betul pada hari itu. Nasib baik ada emak untuk menemankan saya bercerita entah apa-apa. Walaupun emak sebenarnya punya banyak kerja untuk diselesaikan di sekolah (emak seorang HEM, banyak laporan akhir tahun dan perancangan awal tahun yang perlu disudahkannya), tetapi kerana banjir, emak tidak dapat ke sekolah. Sudahnya, ayah mengajar emak yang kurang biasa menggunakan email untuk menghantar kerja-kerjanya itu menggunakan email. Ya. Emak maju setapak lagi :) Emak, ayah, semoga bekalan makanan di rumah cukup ya. Dengar cerita hari tu sudah beli stok untuk sebulan gayanya.

Oh, saya rindu makan nasi yang masih panas dengan sardin dan kicap selepas hujan di rumah. Sangat sedap!