Assalamualaikum wbt
Saya ada seorang ayah saudara yang masih bujang.
Muhammad Faizal Kamaruddin namanya. Adik bongsu kepada emak saya. Kami anak-anak saudaranya memanggilnya Chik Joe. Dan dia pula lebih dikenali dikalangan kawan-kawannya dengan nama Joe Labi. Chik satu masa dulu pernah terpilih menjadi peserta rancangan Mencari Cinta, program realiti TV di TV3.
Chik berumur 34 tahun. Seorang Chef dan masih belum berkahwin. Chik juga mempunyai perniagaannya sendiri. Boleh dikatakan, dialah ayah saudara yang paling
sporting kerana sangat memahami jiwa kami anak-anak saudaranya yang muda belia ini.
Saya teringat sewaktu di tahun pertama di sini, sebelum balik, Chik memesan menyuruh saya membawa balik sehelai bendera Russia. Tapi sehingga ke hari ini, saya masih belum menunaikan hajatnya yang satu ini.
Ketika balik bercuti di Malaysia pada bulan Julai dan Ogos yang lalu, Chik ada melihat koleksi gambar-gambar saya di laptop saya. Dia terpandangkan topi perang Russia yang unik. Sejak dari itu, berkali-kali Chik mengingatkan saya untuk mengeposkan topi perang itu dan kos pembelian dan pengeposannya akan Chik tanggung. Tapi, hingga ke hari ini, saya masih belum punya masa untuk mencarikan topi itu di Arbat Street atau di Ismailovsky Park. Satu-satunya hajat Chik yang tidak pernah saya kecewakan ialah membawa pulang botol-botol unik yang boleh saya dapati di Moscow. Contohnya botol Coca-cola berukir dan bercorak dan botol 7-Up berwarna hijau berjalur jingga.
Sewaktu Chik kecil, Chik pernah terkena jangkitan streptokokal
(streptococcal infection). Disebabkan
rheumatic fever itu, komplikasinya adalah masalah injap jantung
(Mitral valve stenosis). Ketika Chik berusia 20-an, Chik telah melalui satu pembedahan untuk menukar injap jantungnya kepada injap mekanikal. Jika berada berhampiran dengan Chik, pasti akan kedengaran tik-tak tik-tak bunyi injap itu yang seakan-akan bunyi bom masa. Namun, Chik tetap aktif dalam hidupnya. Dia aktif dengan ekspidisi ke Taman Negara, terlibat dalam pelbagai konvoi dan bermacam-macam lagi. Katanya, rugi jika orang muda tapi tidak bersemangat.
Sewaktu di Malaysia 2 bulan yang lalu, saya sempat menemankan Chik ke Institut Jantung Negara (IJN). Saya menemankannya ke sana pun setelah dipujuk oleh Chik kerana dia risau tidak larat memandu dalam perjalanan pulang ke Temerloh. Dalam perjalanan pulang, kami singgah solat Zohor/Asar dan makan di Coffee Break di Stesyen Minyak Petronas di tengah-tengah lebuhraya KL-Temerloh. Sambil makan, kami bercerita tentang isu perkahwinan. Kata Chik, dia sudah tidak rasa hendak berkahwin pun. Tambah Chik, kalau orang yang sudah berkahwin, di akhirat nanti dia bersama-sama semula dengan isterinya. Chik kata, jika dia tidak berkahwin, nanti di akhirat dia akan ditemani oleh bidadari. Tergelak-gelak saya mendengar hujah Chik itu.
Chik merupakan antara pelawat setia blog saya. Seperti yang kamu semua dapat lihat, di
chatbox saya itu masih jelas kelihatan nama Joe Labi mengucapkan salam raya buat anak saudaranya ini. Dan salam rayanya itu masih belum sempat saya balas lagi di
chatbox itu. Sewaktu kami ke pasar bersama-sama sewaktu saya di Malaysia dulu, Chik meminta agar saya buatkan satu dedikasi khas sempena ulang tahunnya yang ke-34 pada bulan November ini. Itulah niat saya. Apabila tiba tarikhnya, saya teringin hendak menunaikan permintaan Chik itu.
Pada hari Jumaat yang lalu (hari raya pertama), setelah terlihatkan mesej yang Chik tinggalkan di chatbox saya di sebelah ini, buat saya rasa rindu sangat padanya. Saya berniat akan menelefonnya pada hari pertama raya di Malaysia (Sabtu). Tapi pada hari Sabtu itu, talian penggunaan
IDD card tidah dapat dihubungi. Mungkin sedang sibuk digunakan oleh ramai orang. Maklum sajalah. Semua pun ingin menghubungi keluarga di tanah air. Saya pun menelefon keluarga saya dengan talian terus menggunakan telefon bimbit. Bagaikan air mengalir kredit saya berkurangan. Tapi saya tidak kisah. Asalkan dapat bercakap dengan emak, ayah dan adik beradik pada hari itu.
Pada keesokan harinya (semalam), saya hanya dapat menggunakan talian IDD sekejap saja. Itupun hanya sempat bercakap dengan ayah dan tok saya yang semuanya beraya di Sungai Petani pada tahun ini (ayah balik ke Sungai Petani, bukan ke Kepala Batas pada tahun ini). Selepas seketika, talian terputus. Jadi saya nekad untuk menghubungi rumah Tok di Pahang menggunakan panggilan terus daripada telefon bimbit saja. Dengan 133 ruble kredit yang saya ada, saya sempat bercakap selama lebih kurang 15 minit bersama Tok, Mak Andak, Rifqa, Hidayah dan Linda. Chik tiada di rumah pada waktu itu. Barangkali dia tidur di rumahnya di bandar. Panggilan terputus kerana kredit saya telah pun habis. Lagi sekali saya berniat, mahu tidak mahu, pulang dari kelas pada hari ini, saya wajib menelefon Chik.
Tetapi, sebaik tiba di kelas, saya mencari beg duit saya. Tiada. Saya sangat risau kalau-kalau ada penyeluk saku. Kredit saya hanya tinggal 7 ruble. Saya menhantar mesej kepada Emy dan Fareena untuk minta tengok-tengokkan di atas katil saya jika saya tertinggalnya di rumah. Alhamdulillah. Respon dari Emy positif. Beg duit saya ada di atas katil dan duit semuanya ada. Tapi rasa geram pun ada kerana saya tidak dapat terus men-
top-up telefon saya kerana saya tidak mempunyai sesen pun di dalam tangan sewaktu dalam perjalanan balik dari kelas. Dan bertambah geram kerana saya perlu pulang ke rumah terlabih dahulu sebelum saya ke klinik untuk temujanji dengan doktor berkaitan sakit saya ini.
Sebaik sampai di rumah, saya lihat Amirul sepupu saya berkali-kali mem-
buzz saya di YM. Setelah membaca pesanan yang ditinggalkannya, air mata saya laju mengalir. Pesanannya ringkas. Katanya:
BUZZ!! BUZZ!! Ngangah, reply Mirul cepat. Chik meninggal dunia petang tadi. Kemalangan di Negeri Sembilan. Sekarang jenazah Chik di Hospital Jempol. Saya terkejut. Untuk memastikan apa yang dikatakannya, saya mendengar pula
voice message yang ditinggalkanya.
Terasa nafas saya terhenti. Hanya
innalillahi wainna ilaihi raaji'un yang mampu saya luahkan. Selebihnya, hanya air mata saya yang laju mengalir. Saya membuka
winter coat dan terduduk sebentar di birai katil. Dalam hati, terasa terkilan yang amat sangat.
Terkilan kerana niat saya yang tersangat ingin menghubungi Chik selepas pulang dari kelas disudahi dengan berita mengejut ini. Terkilan kerana tidak sempat bermaafan dengan Chik lagi sempena raya kali ini. Terkilan kerana tidak sempat membelikan bendera Russia dan topi perang yang dipesannya itu. Terkilan kerana dedikasi ulang tahun buatnya tinggal kurang sebulan dari hari ini. Terkilan kerana pada 8 Oktober yang lalu, Chik ada
misscalled saya, tapi saya tidak balas kerana pada waktu itu saya sedang tidur.
Saya menghubungi keluarga di Temerloh. Adik-adik saudara saya semuanya masih dalam keadaan terkejut. Lebih-lebih lagi Hidayah. Saya faham kenapa. Dan saya juga rasa terkilan disebabkan hal itu. Setelah mendapatkan sedikit maklumat daripada adik saudara saya, saya bergegas pula ke klinik. Fareena menemankan saya kerana saya tidak kuat untuk ke sana sendirian. Dalam perjalanan pergi, dengan butir-butir salji yang berguguran, air mata saya turut berguguran. Hanya Fareena yang tahu betapa terkilannya saya. Dalam perjalanan pulang pula, tiba-tiba saya baru teringatkan mimpi saya dua malam yang lalu.
Memang sewaktu saya di KISAS dulu, Chik selalu datang menjenguk saya di Klang kerana rumahnya di Shah Alam pada waktu itu. Dan jika dia berjaya memujuk warden, Chik akan membawa saya pulang ke Seri Kembangan, rumah Ayah Long saya, abang kepada Chik. Dalam mimpi saya dua malam yang lalu, Chik datang melawat saya di KISAS. Tapi kata Chik, kali ini dia tidak dapat membawa saya ke rumah Ayah Long pada hujung minggu itu kerana dia perlu ke satu tempat yang jauh. Saya kata tidak mengapalah. Saya boleh bersama-sama dengan kawan-kawan saya di hostel saja. Ya. Itulah mimpi saya. Kenapa saya tidak sedar?!!
Rupanya, itulah petunjuk yang Allah ingin berikan kepada saya. Saya terkilan. Sungguh sangat terkilan. Saya tersangat ingin menelefon Chik sebaik pulang dari kelas petang tadi. Saya tersangat ingin bercakap dengan Chik dan meminta maaf kerana bermasam muka dengannya atas satu insiden ketika di Malaysia dulu. Saya tersangat ingin mendengar Chik melawak dengan saya seperti dulu. Saya tersangat ingin mengejeknya dengan gelaran Chik Joe rambut kerinting. Dan di saat saya menulis entri ini, saya sempat melihat senarai
misscall di telefon bimbit saya yang masih tercatat nama
Cik Joe Labi - misscall on 08-10-2007.
Chik, maafkan Ngah. Maafkan Ngah sebab tak sempat nak memenuhi hajat Chik. Maafkan Ngah kerana tak sempat menelefon Chik. Maafkan Ngah kerana tak sempat beraya dengan Chik. Maafkan Ngah.
Jenazah Chik hanya akan dibenarkan untuk dibawa pulang ke Temerloh pada pukul 10 pagi esok. Semoga urusan pengkebumian berjalan lancar. Semoga roh Chik ditempakan bersama-sama roh-roh orang yang soleh. Semoga Chik dirahmati Allah...
Chik, Ngah sayang Chik. Maafkan Ngah, Chik... Al-Fatihah...
Chik bersama anak-anak saudara perempuannya pada raya tahun lalu di Temerloh