Showing posts with label Chik. Show all posts
Showing posts with label Chik. Show all posts

Tuesday, November 06, 2007

Secebis Hadiah Buat Chik


Assalamualaikum wbt

Kira-kira 3 bulan yang lalu, saya berjanji dengan seseorang untuk menghadiahkanya sebuah entry khas sempena hari ulangtahun insan ini. Ikhlas niat hati memang hendak menunaikan permintaannya tetapi di saat ini dedikasi khas ini sudah tidak dapat dibaca olehnya. Tetapi, demi sebuah janji, saya tunaikan juga hajat insan ini.

Tepat jam 6.45 pm semalam (11.45 pm di Malaysia), reminder handphone saya berbunyi. Memang lazimnya, tarikh-tarikh insan-insan penting dalam hidup saya simpan di dalam telefon kerana tidak mahu terlupa walaupun sebenarnya saya sentiasa ingat. Reminder berbunyi: Birthday Chik Joe, Nov.6, 34 years old.

Itulah arwah Chik Joe. Yang telah kembali ke rahmatullah kurang seminggu untuk genap sebulan yang lalu. Chik Joe dilahirkan sebagai anak bongsu dalam keluarga sebelah emak. Andainya masih ada, umur Chik kini sudah mencecah 34 tahun.

Tidak banyak yang boleh saya ceritakan kerana saya rasa kurang sesuai untuk menyebut-nyebut apa yang telah tiada. Cukuplah ringkasan yang boleh saya nyatakan, arwah Chik merupakan seorang yang sangat menjaga solat. Solatnya pasti menepati masa. Sekalipun sibuk dengan kerja, solat tetap diutamakan. Tanyalah kawan-kawannya, semuanya akan mengiakan fakta ini.

Dua hari kebelakangan ini, setiap kali tertidur petang, saya bermimpi didatangi arwah Chik. Chik diam. Tapi tenang. Cukup tenang. Ini membuatkan saya sangat yakin Chik sememangnya tenang di sana. Saya yakin, berkat mengutamakan solat dan banyak berbakti pada ibunya (Tok Halimah) menjadi pemudah cara kehidupan Chik di sana.

Malam tadi, saya sempat online bersama Kaklong. Kami mengimbau kisah-kisah dulu. Di saat arwah Chik masih ada. Bagi Kaklong, kehilangan Chik amat bermakna. Kaklong merupakan cucu sulung dalam keluarga di Pahang. Beza umur mereka berdua 10 tahun cuma. Tiba-tiba saya teringat gambar-gambar ketika bersama arwah Chik ketika kami masih kecil. Di mana emak dan ayah membawa Kaklong dan saya, arwah Chik pasti ada juga kerana dia juga masih dalam kategori kanak-kanak pada waktu itu.

Cukuplah ini saja yang dapat saya ceritakan. Pada hari ini, tiada hadiah yang lebih berharga yang dapat saya hadiahkan buat Chik melainkan bacaan Al-Fatihah dan Yasin. Saya teringat pesan Makde: Chik tiada anak untuk mendoakan kesejahteraannya di sana. Tapi Chik ada ramai anak saudara. Anak-anak saudara Chik inilah yang menjadi anak-anak Chik.

Buat Rifqa di Egypt, Kak Ngah know that everyday you read my blog. Be strong dear. I still keep the offline YM that you left me about Chik.

Buat Kaklong dan Hidayah, awak berdua kenal Chik macam mana orangnya. Jangan risau. Ngah yakin Chik tenang di sana.

Buat Amirul, teruskan kehidupan dengan tabah. Arwah Chik simbol seorang yang tak cepat putus asa.

Buat Nisa, I just knew from Kaklong about your patient that you met in the ward. Similar but was not the same. Pray hard. I'm with you.

Buat Tok, Toklah ibu terkuat yang pernah Ngah jumpa.

Buat Emak, Makde dan Mak Andak, adik kalian seorang yang tidak terolah dengan kata-kata. Kita semua tahu betapa dia seorang yang istimewa.

Buat pembaca sekelian, saya pohonkan bacaan Al-Fatihah sebagai tanda ingatan dari kalian buat arwah. Jazakumullahu khairan kathiraa.

Selamat hari lahir Chik. Semoga Chik tenang di persemadian sana. Dan kami semua yakin, Chik memang tenang dan sedang berada di tempat yang selayaknya. Jika saban tahun sebelum ini sayalah orang pertama yang akan mengucapkan selamat hari lahir untuknya, tapi mulai tahun ini dan berikutnya, saya hendak menjadi orang yang sentiasa akan menghadiahkan Fatihah jika teringatkannya.

Monday, November 05, 2007

Tiada Yang Kekal

Assalamualaikum wbt

Sabtu yang lepas, hari saya berlalu dengan penuh agenda. Bangun awal pagi, menelaah untuk persiapan peperiksaan pada hari Selasa nanti, ke pasar membeli keperluan, bergegas ke pejabat pos atas urusan peribadi dan sudahnya kecewa pula, sambung menelaah kembali, berkunjung ke rumah terbuka anak-anak gadis 501 (pelajar-pelajar tahun 4), berkunjung ke rumah Kak Zah (Pengarah Tourism Malaysia di Moscow yang sangat rapat dengan para pelajar), berkunjung ke kompleks sukan menyaksikan Liga Futsal MMA (minggu ketiga) (walaupun sebenarnya hajat di hati tidak mahu pergi kerana hendak balik dan studi tetapi tiada siapa dari rumah Kak Zah yang hendak terus pulang ke hostel. Jadi dengan berbaju kurung, saya mengikut mereka menyaksikan futsal) dan apabila tiba di rumah, saya sepicing pun tidak tidur sehinggalah ke petang Ahad sebaik selesai solat asar sekitar jam 4 pm.

Sebelum tidur, saya mendapat khabaran tentang pemergian datuk kepada Hidayat di Terengganu. Semoga arwah ditempatkan bersama barisan para solihin. Tidak sampai 2 jam tidur saya yang sekejap itu, saya dikejutkan oleh panggilan telefon daripada seorang kawan dari Volgograd (juga di Russia) yang meminta pertolongan saya untuk membawanya dan ayahnya yang kini berada di Moscow ke beberapa destinasi menarik di sini. Maaf kawan. Jadual saya sepanjang minggu ini sangat padat dari pagi ke petang. Maaf dengan sangat.

Selesai berbual di telefon, saya bingkas bangun apabila mendapati teman serumah semuanya sedang menikmati makan malam. Saya mengurus diri dan bersegera menuju ke dapur. Saya tersangat lapar kerana ketika berkunjung ke dua-dua buah rumah terbuka semalam, saya hanya menjamah makanan ala kadar saja. Selera tertutup.

Ketika sedang makan berseorangan di meja (yang lain telahpun selesai), saya terimbau kembali apa yang saya mimpikan dalam tidur tadi. Iya. Saya mimpikan arwah Chik Joe. Dan saya sangat rindukan arwah.

Setelah selesai mandi, menyudahkan dobi untuk hujung minggu ini dan solat Isya', saya mengambil kesempatan untuk menghadiahkan bacaan Yasin buat arwah Chik Joe dan arwah datuk kepada Hidayat. Bacaan saya tersekat-sekat. Bukan kerana tidak lancar tetapi kerana sebak menguasai jiwa. Pipi terasa panas. Bukan kerana duduk berhampiran pemanas tetapi kerana ada air mata yang mengalir.

Dan kini saya kembali bertemankan nota-nota. Nampaknya malam ini sekali lagi tiada erti tidur untuk saya. Nescafe panas telahpun tersedia di sebelah saya. Dan kini mood saya bertukar terkilan pula.

Terkilan kerana saya baru sedar kelima-lima buah cerpen (seperti novel) yang saya tulis turut lenyap bersama-sama laptop lama yang rosak. Di Hatiku Ada Kamu (DHAK), DHAK2, Beda Sama, Angin Monsun Moscow dan Monolog Bersama Iman (i-xi) lenyap buat selamanya (saya tidak ingat sama ada saya ada simpanan dalam email). Lebih terkilan kerana saya telahpun siapkan kesudahan cerita Monolog Bersama Iman yang saya siarkan di blog ini yang telahpun mencecah episod ke-7. Lagi 4 episod untuk sampai ke penyudahnya.

Setiap yang di dunia ini tidak kekal.

Semoga saya diberikan kesempatan waktu untuk terus menulis, membaiki diri, membuat persiapan dan mencari cinta hakiki.

"Love can wait but dream can fly"

Nota: Russia bercuti pada hari ini (Isnin). Sambutan Day of People's Unity.

__________________________________________________________


Hari buat dia:

65) Sabar dengan ujian seperti menahan sendu dari kedengaran dalam tangisan. Memang susah tapi itulah yang mengajar kita erti kuat.

Wednesday, October 17, 2007

May He Rest In Peace

Assalamualaikum wbt

I called my Mak and she informed me everything went well back home. Tok was so strong during the funeral except during the talkin recitation, when Chik's names was named after hers. Tears all around.

Insya Allah there will be 3 nights of 3 Quls and Yaasin recitation in my Tok's house. And on October 29th, Tok will hold a Kenduri Arwah for both her son and late husband (my Tok Abah) (in memory of Tok Abah's DOD, October 29th 1990).

Chik's was placed next to Tok Abah's. The whole family gathered in Lebak except me (Moscow, Russian Federation), Anuar (New South Wales, Australia) and Firdaus (Nagoya, Japan).

May they both rest in peace. Al-Fatihah...

Monday, October 15, 2007

Semoga Chik Dirahmati Allah...

Assalamualaikum wbt

Saya ada seorang ayah saudara yang masih bujang. Muhammad Faizal Kamaruddin namanya. Adik bongsu kepada emak saya. Kami anak-anak saudaranya memanggilnya Chik Joe. Dan dia pula lebih dikenali dikalangan kawan-kawannya dengan nama Joe Labi. Chik satu masa dulu pernah terpilih menjadi peserta rancangan Mencari Cinta, program realiti TV di TV3.

Chik berumur 34 tahun. Seorang Chef dan masih belum berkahwin. Chik juga mempunyai perniagaannya sendiri. Boleh dikatakan, dialah ayah saudara yang paling sporting kerana sangat memahami jiwa kami anak-anak saudaranya yang muda belia ini.

Saya teringat sewaktu di tahun pertama di sini, sebelum balik, Chik memesan menyuruh saya membawa balik sehelai bendera Russia. Tapi sehingga ke hari ini, saya masih belum menunaikan hajatnya yang satu ini.

Ketika balik bercuti di Malaysia pada bulan Julai dan Ogos yang lalu, Chik ada melihat koleksi gambar-gambar saya di laptop saya. Dia terpandangkan topi perang Russia yang unik. Sejak dari itu, berkali-kali Chik mengingatkan saya untuk mengeposkan topi perang itu dan kos pembelian dan pengeposannya akan Chik tanggung. Tapi, hingga ke hari ini, saya masih belum punya masa untuk mencarikan topi itu di Arbat Street atau di Ismailovsky Park. Satu-satunya hajat Chik yang tidak pernah saya kecewakan ialah membawa pulang botol-botol unik yang boleh saya dapati di Moscow. Contohnya botol Coca-cola berukir dan bercorak dan botol 7-Up berwarna hijau berjalur jingga.

Sewaktu Chik kecil, Chik pernah terkena jangkitan streptokokal (streptococcal infection). Disebabkan rheumatic fever itu, komplikasinya adalah masalah injap jantung (Mitral valve stenosis). Ketika Chik berusia 20-an, Chik telah melalui satu pembedahan untuk menukar injap jantungnya kepada injap mekanikal. Jika berada berhampiran dengan Chik, pasti akan kedengaran tik-tak tik-tak bunyi injap itu yang seakan-akan bunyi bom masa. Namun, Chik tetap aktif dalam hidupnya. Dia aktif dengan ekspidisi ke Taman Negara, terlibat dalam pelbagai konvoi dan bermacam-macam lagi. Katanya, rugi jika orang muda tapi tidak bersemangat.

Sewaktu di Malaysia 2 bulan yang lalu, saya sempat menemankan Chik ke Institut Jantung Negara (IJN). Saya menemankannya ke sana pun setelah dipujuk oleh Chik kerana dia risau tidak larat memandu dalam perjalanan pulang ke Temerloh. Dalam perjalanan pulang, kami singgah solat Zohor/Asar dan makan di Coffee Break di Stesyen Minyak Petronas di tengah-tengah lebuhraya KL-Temerloh. Sambil makan, kami bercerita tentang isu perkahwinan. Kata Chik, dia sudah tidak rasa hendak berkahwin pun. Tambah Chik, kalau orang yang sudah berkahwin, di akhirat nanti dia bersama-sama semula dengan isterinya. Chik kata, jika dia tidak berkahwin, nanti di akhirat dia akan ditemani oleh bidadari. Tergelak-gelak saya mendengar hujah Chik itu.

Chik merupakan antara pelawat setia blog saya. Seperti yang kamu semua dapat lihat, di chatbox saya itu masih jelas kelihatan nama Joe Labi mengucapkan salam raya buat anak saudaranya ini. Dan salam rayanya itu masih belum sempat saya balas lagi di chatbox itu. Sewaktu kami ke pasar bersama-sama sewaktu saya di Malaysia dulu, Chik meminta agar saya buatkan satu dedikasi khas sempena ulang tahunnya yang ke-34 pada bulan November ini. Itulah niat saya. Apabila tiba tarikhnya, saya teringin hendak menunaikan permintaan Chik itu.

Pada hari Jumaat yang lalu (hari raya pertama), setelah terlihatkan mesej yang Chik tinggalkan di chatbox saya di sebelah ini, buat saya rasa rindu sangat padanya. Saya berniat akan menelefonnya pada hari pertama raya di Malaysia (Sabtu). Tapi pada hari Sabtu itu, talian penggunaan IDD card tidah dapat dihubungi. Mungkin sedang sibuk digunakan oleh ramai orang. Maklum sajalah. Semua pun ingin menghubungi keluarga di tanah air. Saya pun menelefon keluarga saya dengan talian terus menggunakan telefon bimbit. Bagaikan air mengalir kredit saya berkurangan. Tapi saya tidak kisah. Asalkan dapat bercakap dengan emak, ayah dan adik beradik pada hari itu.

Pada keesokan harinya (semalam), saya hanya dapat menggunakan talian IDD sekejap saja. Itupun hanya sempat bercakap dengan ayah dan tok saya yang semuanya beraya di Sungai Petani pada tahun ini (ayah balik ke Sungai Petani, bukan ke Kepala Batas pada tahun ini). Selepas seketika, talian terputus. Jadi saya nekad untuk menghubungi rumah Tok di Pahang menggunakan panggilan terus daripada telefon bimbit saja. Dengan 133 ruble kredit yang saya ada, saya sempat bercakap selama lebih kurang 15 minit bersama Tok, Mak Andak, Rifqa, Hidayah dan Linda. Chik tiada di rumah pada waktu itu. Barangkali dia tidur di rumahnya di bandar. Panggilan terputus kerana kredit saya telah pun habis. Lagi sekali saya berniat, mahu tidak mahu, pulang dari kelas pada hari ini, saya wajib menelefon Chik.

Tetapi, sebaik tiba di kelas, saya mencari beg duit saya. Tiada. Saya sangat risau kalau-kalau ada penyeluk saku. Kredit saya hanya tinggal 7 ruble. Saya menhantar mesej kepada Emy dan Fareena untuk minta tengok-tengokkan di atas katil saya jika saya tertinggalnya di rumah. Alhamdulillah. Respon dari Emy positif. Beg duit saya ada di atas katil dan duit semuanya ada. Tapi rasa geram pun ada kerana saya tidak dapat terus men-top-up telefon saya kerana saya tidak mempunyai sesen pun di dalam tangan sewaktu dalam perjalanan balik dari kelas. Dan bertambah geram kerana saya perlu pulang ke rumah terlabih dahulu sebelum saya ke klinik untuk temujanji dengan doktor berkaitan sakit saya ini.

Sebaik sampai di rumah, saya lihat Amirul sepupu saya berkali-kali mem-buzz saya di YM. Setelah membaca pesanan yang ditinggalkannya, air mata saya laju mengalir. Pesanannya ringkas. Katanya: BUZZ!! BUZZ!! Ngangah, reply Mirul cepat. Chik meninggal dunia petang tadi. Kemalangan di Negeri Sembilan. Sekarang jenazah Chik di Hospital Jempol. Saya terkejut. Untuk memastikan apa yang dikatakannya, saya mendengar pula voice message yang ditinggalkanya.

Terasa nafas saya terhenti. Hanya innalillahi wainna ilaihi raaji'un yang mampu saya luahkan. Selebihnya, hanya air mata saya yang laju mengalir. Saya membuka winter coat dan terduduk sebentar di birai katil. Dalam hati, terasa terkilan yang amat sangat.

Terkilan kerana niat saya yang tersangat ingin menghubungi Chik selepas pulang dari kelas disudahi dengan berita mengejut ini. Terkilan kerana tidak sempat bermaafan dengan Chik lagi sempena raya kali ini. Terkilan kerana tidak sempat membelikan bendera Russia dan topi perang yang dipesannya itu. Terkilan kerana dedikasi ulang tahun buatnya tinggal kurang sebulan dari hari ini. Terkilan kerana pada 8 Oktober yang lalu, Chik ada misscalled saya, tapi saya tidak balas kerana pada waktu itu saya sedang tidur.

Saya menghubungi keluarga di Temerloh. Adik-adik saudara saya semuanya masih dalam keadaan terkejut. Lebih-lebih lagi Hidayah. Saya faham kenapa. Dan saya juga rasa terkilan disebabkan hal itu. Setelah mendapatkan sedikit maklumat daripada adik saudara saya, saya bergegas pula ke klinik. Fareena menemankan saya kerana saya tidak kuat untuk ke sana sendirian. Dalam perjalanan pergi, dengan butir-butir salji yang berguguran, air mata saya turut berguguran. Hanya Fareena yang tahu betapa terkilannya saya. Dalam perjalanan pulang pula, tiba-tiba saya baru teringatkan mimpi saya dua malam yang lalu.

Memang sewaktu saya di KISAS dulu, Chik selalu datang menjenguk saya di Klang kerana rumahnya di Shah Alam pada waktu itu. Dan jika dia berjaya memujuk warden, Chik akan membawa saya pulang ke Seri Kembangan, rumah Ayah Long saya, abang kepada Chik. Dalam mimpi saya dua malam yang lalu, Chik datang melawat saya di KISAS. Tapi kata Chik, kali ini dia tidak dapat membawa saya ke rumah Ayah Long pada hujung minggu itu kerana dia perlu ke satu tempat yang jauh. Saya kata tidak mengapalah. Saya boleh bersama-sama dengan kawan-kawan saya di hostel saja. Ya. Itulah mimpi saya. Kenapa saya tidak sedar?!!

Rupanya, itulah petunjuk yang Allah ingin berikan kepada saya. Saya terkilan. Sungguh sangat terkilan. Saya tersangat ingin menelefon Chik sebaik pulang dari kelas petang tadi. Saya tersangat ingin bercakap dengan Chik dan meminta maaf kerana bermasam muka dengannya atas satu insiden ketika di Malaysia dulu. Saya tersangat ingin mendengar Chik melawak dengan saya seperti dulu. Saya tersangat ingin mengejeknya dengan gelaran Chik Joe rambut kerinting. Dan di saat saya menulis entri ini, saya sempat melihat senarai misscall di telefon bimbit saya yang masih tercatat nama Cik Joe Labi - misscall on 08-10-2007.

Chik, maafkan Ngah. Maafkan Ngah sebab tak sempat nak memenuhi hajat Chik. Maafkan Ngah kerana tak sempat menelefon Chik. Maafkan Ngah kerana tak sempat beraya dengan Chik. Maafkan Ngah.

Jenazah Chik hanya akan dibenarkan untuk dibawa pulang ke Temerloh pada pukul 10 pagi esok. Semoga urusan pengkebumian berjalan lancar. Semoga roh Chik ditempakan bersama-sama roh-roh orang yang soleh. Semoga Chik dirahmati Allah...

Chik, Ngah sayang Chik. Maafkan Ngah, Chik... Al-Fatihah...

Chik bersama anak-anak saudara perempuannya pada raya tahun lalu di Temerloh