Showing posts with label Moscow. Show all posts
Showing posts with label Moscow. Show all posts

Monday, January 19, 2009

Kisah Hari Satu Sembilan Satu


Assalamualaikum wbt

Saya: Hello, assalamualaikum.
Emak: Wa'alaikumussalam. Ngah, happy birthday.
Saya: Eh, emak. Thank you, mak. Alamak mak! Dah pukul 7.30 dah! Ngah baru bangun je ni. Ya Allah, mak. Ngah dah lambat sangat ni nak ke hospital.

Apa punya nasiblah saya hari ini. Pukul 7.30 baru terjaga dari tidur. Itupun nasib baik emak menelefon. Tapi tujuan emak adalah untuk mengucapkan selamat hari lahir. Bergegas saya bangun urus diri, solat Subuh, menggosok labcoat dan scrub (letih sangat malam tadi sehingga malas hendak menggosok awal-awal), beri ikan makan dan berlari ke stesyen metro.

Keluar saja dari stesyen metro, salji sedang turun dengan lebatnya. Bila salji turun, kita susah hendak berjalan. Hendak buka mata pun terhad. Tapi hari ini saya berlari. Hebat tak hebatnya saya hari ini, saya berlari tak jatuh pun tau. Sampai di cloakroom, salin scrub dan terus menuju ke tingkat 10. Saya lihat jam sudah pukul 9.10 pagi. Terlewat 10 minit dah ni. Tiba-tiba doktor saya kelihatan sedang berjalan di luar bilik kami. Saya mengucapkan selamat pagi dan meminta maaf kerana terlewat. Dia senyum saja. Wah. Saya bernasib baik nampaknya!

Di hospital pun seronok juga hari ni. Kami ke OT dah melihat Vaginal Hysterectomy. Satu prosedur membuang uterus (rahim) melalui faraj (dan bukannya melalui major operation di bahagian abdomen [Abdominal Hysterectomy]). Saya dan Farah berdiri bersebelahan dengan Assistant Doctor kami. Dia sedang menyambung dalam bidang ini. Dia banyak menerangkan tentang prosedur ini kepada kami. Tapi sudahnya kesimpulan saya dah Farah hanya satu: Ya Rabbi, sakitnya. Huhuhu. Kami sebenarnya membayangkan keadaan pesakit itu selepas selesai nanti (post-operative period).

Ok. Cukup dulu. Saya hendak studi. Terima kasih semua atas ucapan yang diberikan. Saya telah mendapat hadiah yang paling istimewa daripada adik saya, Adnan. Yang paling tidak akan saya lupa ialah entri khas daripada Wanie dan video yang disediakannya untuk saya. Lejut saya menangis. Perit-perit tekak tahan air mata. Terima kasih Wanie. KS sayang kamu!



Nota 1: Balik rumah tadi, eletrik tiada. Saya berlari melihat The Harolds. Ketiga-tiganya mati kerana bekalan oksigen mereka terputus. Entah dari pukul berapa eletrik tiada. Sedihnya saya!
Nota 2: Ya ampun. Muka budak-budak sungguh saya dalam video tu. Tapi kesemua lagu yang Wanie gunakan adalah lagu kesukaan saya. Menangis lagi tadi waktu menonton video tu.
Nota 3: Terima kasih Auyun, Faiz, Aizat, Glid, Asrul, Mubin, Nazlin dan Iku!
Nota 4: Penat ni. Baru sampai dari airport.

Friday, January 16, 2009

Hidup

Assalamualaikum wbt

Pagi ke hospital macam biasa. Pernah rasa malas nak ke kelas? Pagi tadi saya sangat malas. Sebab kepala terlalu pening. Petang ada janji dengan kawan di Center. Balik dari hospital terus ke Center. Dalam perjalanan baru sedar duit dalam tangan sudah sangat sedikit. Telefon ayah. Meminta simpati. Tak sampai 15 minit, ayah mesej. Duit sudah masuk. Terima kasih ayah.

Sampai di Center, kawan masih belum sampai. Kepala terlalu pening. Turun ke food court mencari kopi. Terduduk kepeningan. Makan ubat. Kawan sampai. Terus menuju ke Yiponskaya Kuhnia. Sampai di sana, seorang pelayan datang ke meja kami. Dia tenung saya, saya tenung dia. Dia cam saya sebenarnya. Isnin lepas pun saya ke sana.

Borak-borak. Makan-makan. Solat. Bincang-bincang. Fikir-fikir. Makan-makan. Solat. Rancang-rancang. Kami pun balik.

Minggu ini kerap pula telefon digunakan dan berbunyi. Semua orang penting dalam hidup: Faaiqah, Sarah Fazalul, Salman, Akak, Yasir, Acai, Nadia dan Kak Inah. Gembira. Mereka semua memang penyeri kehidupan. Cuma untuk Nadia dan Kak Inah, tak sempat nak dihubungi semula. Tunggu dah top up ya.

Nota 1: Selamat hari lahir buat Siti Sarah Fazalul Rahiman (16 Januari) dan Tok Halimah (17 Januari). Semoga Sarah dan Tok panjang umur insya Allah.
Nota 2: Pening kepala menjadi-jadi kerana kesan sampingan ubat.
Nota 3: Entri tak bermakna, kan? Komen untuk 2 entri lepas akan dibalas kemudian jika berkesempatan. Pening lagi ni. Tapi saya masih hidup.

Thursday, January 15, 2009

Kena Marah

Assalamualaikum wbt

Bangun tidur pagi ini, saya teringat bahawa seluar jeans, blaus dan tudung masih belum digosok. Bergegas saya menyelesaikan kerja ini sebelum berkejar memberi The Harolds makan. Saya lihat balang airnya samar-samar. Subuh pun belum masuk lagi waktu itu. Fikir sekejap, lalu saya ambil keputusan untuk membasuh balangnya dulu. Tiba-tiba terlamalah pula membuat kerja itu. Sampai tak sedar pintu rumah diketuk oleh makcik cleaner yang datang hendak membersihkan dapur.

Saya bukakan pintu. Makcik itu terus laju menuju ke pintu dapur. Saya yang sedang terkejar-kejar hendak bersiap sebab sudah agak lewat untuk bertolak dipanggil oleh makcik cleaner itu. Dia bertanya, kenapa saya mengunci pintu dapur. Garang sungguh suaranya. Saya menjawab, saya tinggal seorang. Kalau saya tak kunci, tiba-tiba kalau ada orang masuk melalui pintu dapur sebelah sana, siapa yang susah. Tak pasal-pasal selepas itu makcik cleaner itu bising memarahi saya. Katanya, menyusahkan dia saja yang mengusung baldi dan alat menyental yang lain terpaksa bersusah sedikit untuk membuka kunci pintu dapur.

Ya Allah. Bengang sungguh saya waktu tu. Adakah patut saya yang dimarahnya sedangkan apa yang saya buat itu untuk tujuan keselamatan diri? Saya masuk bilik air dengan muncung panjang dan saya mengomel di dalam Bahasa Melayu. Biarlah dia nak kata apapun. Saya buka semula pintu bilik air dan menuju ke dapur. Saya katakan padanya, esok lusa tak datang pun tak mengapa. Saya dah bersihkan dapur tu awal-awal lagi. Bersih berkilat. Tak payah dia susah-susah datang.

Terus saya masuk bilik untuk mengambil kot saya. Dan waktu itu jugalah dia sudah mula hendak keluar dari rumah. Tiba-tiba dia berpusing dan menyambung bebelannya pada saya. Katanya, kalau tak mahu dia datang membersihkan dapur esok lusa, jangan guna dapur tu. Nanti kalau kotor dan tak dibersihkan, admin akan memarahinya pula. Ya ampun. Dah tu selama ni dia tak datang tu, siapa yang bersihkan dapur tu? Jiran rumah sebelah? Jangan harap. Dapur tu berkilat bersih sebab saya dah bersihkan sepanjang makcik tu tidak datang. Entah cuti apa lama sangat jadinya. Saya tak membalas. Saya biarkan saja. Boleh hilang mood pagi-pagi kalau dilayankan sangat makcik ni.

Saya berjalan super laju ke metro dan dari metro ke hospital. Memang agak terlambat. Sudahlah saya perlu berjumpa doktor saya dulu pagi ini. Sampai saja, salin scrub, naik tingkat 10, tunggu doktor datang dan saya memberitahunya bahawa saya perlu ke poliklinik pelajar di Kievskaya hari ini. Tak ada masalah. Dia lepaskan saya keluar pada pukul 10.30 pagi.

Janjitemu saya di poliklinik pada jam 11.30 pagi. Tapi saya terlewat sampai. Hampir 11.45 baru saya mejenguk di unit Heamatology di tingkat 3. Aduh. Sekali lagi saya kena marah. Bertahanlah saya mendengar bebelan seorang jururawat di situ. Saya terlewat kerana jalan sesak. Menyesal rasanya saya naik avtoline. Tapi kalau jalan kaki ke stesyen metro, jauhlah pula. Pasti akan lambat juga.

Selesai mengambil keputusan ujian darah saya yang lalu, saya menuju ke bilik rawatan. Doktor menanti di sana untuk konsultasi. Nah. Sekali lagi saya kena marah. Kena bebel dari A sampai Z untuk setiap yang tertera pada kertas keputusan ujian darah saya.

Hemoglobin 9.8
Platelet 145

Ada yang faham kenapa saya kena bebel oleh doktor? Tahniah.

Serius tiada mood untuk buat apa-apa dah lepas tu. Hajatnya, disebabkan dapat balik awal (tengahari saya dah sampai rumah), saya hendak memasak. Sekarang, nak buat apa-apapun dah tak lalu.

Nota 1: Sistem dapur rumah saya bergabung dengan rumah sebelah. Pendek cerita, jiran rumah sebelah boleh mengakses ke rumah saya melalui dapur. Mereka semuanya berbangsa Kazakhstan, Ukrain dan Russia sendiri. Sebab tu saya sentiasa mengunci pintu dapur. Tak logikkan makcik tu marah-marah saya pagi-pagi begitu. Nasib baik saya jenis tak menjawab. Kalau tak, berapi dapur pagi tadi.
Nota 2: Ah, memang tak ada mood! (-_-)

Wednesday, January 14, 2009

Mencari Matahari

Assalamualaikum wbt

Saya tidak tahu ke mana masa saya terbang. Pejam celik mata, terasa hari berlalu terlalu cepat pula. Tak sempat hendak menikmati hari. Pagi gelap sudah keluar ke hospital. Balik ke rumah semula, hari sudah gelap semula. Entah bila matahari muncul dan menyinar pun saya tak sempat sedar. Orang kata lucu, tapi saya rasa haru.

Hai semua. Nama saya Stewart. Saya tahu saya fotogenik. KS pun kata saya begitu. Saya cantik, fotogenit dan juga gedik. Banyak songeh. Tapi saya selalu layan KS berborak tau. Sebelum dia pergi hospital, dia berborak dengan saya. Dia bagi saya makan. Dia bagi air baru. Itu sebab saya makin suka mengada-ngada dengan KS. Sebab KS tetap akan layan saya walau gadik macam manapun saya.

Hai semua. Nama saya Mickey. Saya seorang yang pemalu. Saya tak pernah bagi peluang orang tatap wajah saya lama-lama. Saya suka tidur. Kasihan KS. Bila dia hendak bercakap dengan saya, saya buat tidak tahu saja. Bagi saya, tidur itu nikmat. Boleh membesarkan badan dan memberikan kepuasan yang terbaik untuk saya. Saya tak suka bermain roda pusing-pusing tu. Nanti badan saya tak bulat dah. KS juga yang tak suka nanti, kan. Disebabkan saya suka tidur, sampaikan hendak bergambar ni pun, KS terpaksa buka rumah saya supaya saya keluar bermain. Oh. Tidur itu memang hobi saya.

Nota 1: Penjodoh bilangan untuk manusia? Aduh. Mereka memang budak-budak di mata saya!
Nota 2: Stewart, Mickey dan The Harolds tu adalah matahari hidup saya sekarang.
Nota 3: Kan seronok kalau balik kerja ada anak menanti di rumah =p

Sunday, January 11, 2009

Salam Buat Si Comel

Assalamualaikum wbt

Kalau di rumah, jika saya hendak mengejut adik bertuah saya yang berdua itu bangun tidur, saya mesti akan mengetuk pintu bilik mereka, membukanya perlahan-lahan dan memberikan salam dengan nada saya yang tersendiri.

"Assalamualaikuuuuum"

Sambil itu, saya akan tersengih sendiri sebab saya sudah mula dapat menjangkakan reaksi mereka berdua apabila disentuh untuk dibangunkan, baik untuk solat Subuh atau untuk ke sekolah. Yang pasti, nada itu hanya saya gunakan untuk mengejut mereka bangun. Begitu juga yang saya gunakan untuk adik-adik saya yang sudah besar. Baik Adam mahupun Adi jika dia ada pulang dari asrama.

Percaya atau tidak, dalam pada bersendirian di sini selama dua hari ini, saya sudah berkali-kali memberikan salam dengan nada yang sama. Lagaknya, seperti ada budak kecil di dalam rumah ini. Padahal, saya hanya memberikan ucapan salam itu ketika membuka pintu bilik sebelah yang kosong semata-mata untuk menjenguk Stewart, Mickey dan Harold. Mereka semua ibarat budak-budak kecil yang comel di mata saya.

Siapa mereka? Stewart dan Mickey ialah dua ekor hamster yang dipelihara oleh Emy. Harold pula ialah seekor ikan kecil yang diperlihara oleh Diba. Saya ni memandai-mandai saja memberikan namanya Harold. Kasihan Harold tak bernama selama ni. Jadi, setiap kali saya menjenguk mereka untuk memberi mereka makan atau sengaja hendak berbual kosong, saya akan membuka pintu perlahan-lahan, seperti takut mereka terbangun daripada tidur kerana terkejut dan kemudian memberikan salam menggunakan nada biasa saya ketika mengejut adik-adik.

Sungguh. Stewart, Mickey dan Harold sangat comel. Tadi saya baru selesai memberi Harold makan malamnya. Sangkar mini milik Stewart dan Mickey pula saya usung masuk ke bilik saya. Setidak-tidaknya saya dapat melihat keletah mereka bermain pusing-pusing pada roda mini milik mereka di dalam sangkar masing-masing. Insya Allah ada peluang nanti saya tunjukkan gambar mereka.

Nota 1: Saya rindu adik-adik! Teringat semasa saya, Aiman dan Zizi mengecat bilik mereka bersama-sama. Lebih banyak buat kecah daripada bekerja. Tapi hasilnya cantik, kan!
Nota 2: Kaklong telah selamat di Mukah sana. Haha. Sekolahnya ceruk bangat! Tapi dah namapun anak tokey broadband kan. Haruslah dia dapat online setiap hari sebab ayah bekalkan sebuah broadband untuk dia. Huhu.
Nota 3: Stok Nescafe saya sudah habis semalam. Tapi saya masih belum membeli yang baru. Saya boikot produk Nestle. Tunggu esok selepas balik dari hospital baru hendak singgah di supermarket mencari kopi buatan tempatan. Minum Nescafe seperti minum darah pula. Demimu Palestin! (-_-)

Friday, January 09, 2009

Saya Budak Berani

Assalamualaikum wbt

Di saat saya menulis entri ini, jam baru menunjukkan pukul 8.04 pagi. Di luar masih Subuh gelap. Sejuk sungguh hari ini. Angin kuat. Salji sudah mula menjadi ais di jalanan. Sudah beberapa hari salji tidak turun dengan lebat. Dan di saat ini, saya bersendirian di bilik. Juga di rumah. Dan saya akan bersendirian selama dua minggu mendatang.

Wanie telah selamat berangkat ke Korea pada hari Selasa lalu. Diba dan Emy pula telah bertolak menuju ke Itali pada hari semalam dan sekejap tadi, Fatt dan Pena baru saja berlepas menuju ke Swiss. Banyak tempat yang akan dikunjungi Diba-Emy dan Fatt-Pena. Saya? Saya masih mempunyai rutin hospital dan cuti musim sejuk saya masih belum bermula. Maka tinggallah saya seorang diri di rumah.

Ok. Entri ini sila baca dengan nada ceria. Seronok sebenarnya tinggal seorang di rumah. Tiada apa yang menyedihkan pun. Saya boleh studi sambil mendengar apa yang saya mahu tanpa perlu memakai earphone. Seronok, kan? Haha. Saya tak payah memasak. Untuk diri sendiri pun saya tak rasa saya akan makan sangat kalau tiada orang. Selagi ada roti, saya tiada masalah untuk hidup. Haha. Lagipun tak seronok makan seorang. Kalau saya masak, nanti saya yang hidang dan saya yang makan. Macam apa saja kan. Jadi, baik tak payah masak.

Saya teringat filem Taken yang kami serumah tonton bersama kira-kira sebulan setengah yang lepas. Sebaik habis menonton, mereka saling menasihati sesama mereka kerana mereka semua juga bakal bercuti ke beberapa buah negara dalam kelompok kecil. Dalam filem itu, ia berkisar tentang sindiket penculikan remaja perempuan yang mengembara dan disalurkan ke sindiket dadah dan pelacuran. Memang menyeramkan jika cuba membayangkan keadaan diri sendiri berada dalam situasi tu.

Tapi sekarang ni, sebaik saja rumah sudah kosong, perkara pertama yang saya terfikir sebaik mengunci pintu dapur tadi ialah, saya yang tidak ke mana-mana inipun boleh berhadapan dengan perkara-perkara yang sama. Duduk seorang, di negara asing juga kan, awal pagi gelap lagi sudah keluar ke hospital seorang diri. Kalau saya hendak diculik atau apa saja, boleh terjadi dalam sekelip mata. Sampai mungkin tiada yang sedar pun. Lagi dahsyat.

Lepas itu, saya boleh diseludup ke Siberia sana. Dihantar menggunakan keretapi gedek-gedek naik di bahagian kargo bersama ayam itik. Entah saya jadi apa di sana. Entah dadah apa yang diberikan kepada saya. Entah aktiviti apa yang terpaksa saya lakukan tanpa sedar. Entah masih sempurna atau tidak aurat saya. Entah kehilangan saya disedari orang atau tidak. Entah saya akan ditemui semula atau tidak.

Ok. Seram. Ini cuma imaginasi otak saya yang sangat mudah membayangkan sesuatu secara berlebihan. Takut, kan? Ok. Jangan takut. Saya tak takut pada manusia. Pintu rumah sentiasa berkunci. Segala pintu. Lampu bilik sebelah juga saya akan buka bila malam. Biar orang rasa seperti ada orang di dalamnya. Lampu bilik saya juga saya pasti akan biarkan terbuka siang malam. Haha. Nampak sangat akan tidur tak tutup lampu. Saya takut satu saja. Janganlah tiba-tiba bekalan eletrik terputus. Saya nak lari ke mana pun saya tak tahu. Seram saya duduk gelap-gelap. Nak tahu sebab apa? Sebab saya dengan mudah akan membayangkan bentuk-bentuk yang saya nampak dalam cahaya samar sebagai sesuatu. Ok. Seram. Haha.

Merepek apalah saya pagi-pagi buta ni. Bangunan hostel ini sunyi saja sekarang. Majoriti yang tinggal hanya pelajar-pelajar tahun 6. Tapi mereka nun jauh di tingkat atas. Saya seorang saja di tingkat 2 ini. Tapi di sekeliling rumah saya ada beberapa buah rumah para jejaka Arab kumis nipis badan sasa. Kalau saya butuh pertolongan, saya kira saya boleh menjerit saja.

"Ya Fahri. Fahri. Ana ihtajuka!" Hah. Mengarut apa dah saya ni. Siap ada Fahri pula. Pakai hentam saja ni. Jangan percaya ayat saya tu. Saya sudah lupa apa perkataan yang betul. Kalau ikut logik akal, maksud ihtajuka tu ialah berhajatkanmu. Hah. Tak pasal-pasal nanti saya hilang sebab kena bawa kahwin lari pula. Lagi naya! Haha.

Tengoklah. Mungkin kalau saya jemu, rajinlah saya menulis. Kalau tidak, memang saya berhibernasi dengan buku-buku sajalah. Dapat bayangkan meja studi saya sekarang bagaimana keadaannya? Penuh dengan alak solek pengantin! Hah. Tipu. Penuh dengan segala nota sebab malam tadi tertidur tanpa kemas meja. Inilah gara-gara melayankan sangat lagu Hindustan lama zaman Bobby tu. Mengantuk!

Nota: Kamu tak rasa tertipukah dengan tajuk entri kali ini? Haha. Satu-kosong!

Sunday, January 04, 2009

Back Into Shape

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. After more than 48 hours bed ridden session with blocked nose, sore throat and barking cough, I am now back into shape. I had myself a strict medication schedule. I woke up for every course even at 4 in the morning. I asked my brother to ring me up in order to help me getting up from sleep. Ah. I put so much effort to get back kicking as soon as possible.

I had a few special antidotes too. A few phone calls with my best friend, Faaiqah, followed by Nadia Yuna and a long conversation with my emak over the phone last night. And this morning, I recieved two emails from my ayah. One contains a video of one of my favourite songs and another one contains a picture of chicken curry that they had for lunch at home today. Everyone seems happy to tease me with food, shopping and all, eh?

Oh, I am a fan of Micheal Buble. But my ayah sent me the Bee Gees' version. I laughed to bits. Thanks, Ayah. But don't worry. I like it anyway. Hehe. How Can You Mend A Broken Heart.



Note 1: I still have some flu and super husky voice. Thus, I need to consume the drugs, still.
Note 2: I can't wait to continue my revision! I am nerd, I know. Haha.

Friday, January 02, 2009

Kari Portugis Emak

Assalamualaikum wbt

Apabila melihat keadaan rakan-rakan serumah yang demam, saya teringat ketika beberapa hari sebelum pulang ke Moscow semula di penghujung Ogos lepas. Saya demam panas ketika itu. Pada hari hendak bertolak balik, emak saya bercuti sehari. Ketika itu hari Rabu. Emak membawa saya ke Pekan Sari Rabu di Durian Tawar. Punyalah semangat emak hari itu, bersungguh-sungguh emak menyuruh saya membeli apa saja yang saya teringin hendak makan.

Yang saya ingat, saya membeli Nasi Lemak daun pisang, Kuih Tepung Gomok, Tepung Pelita, Dodol Kukus dan Kuih Cara Manis. Semua ini antara kuih tradisional yang saya suka. Emak membeli ayam. Kata emak, emak hendak masak Kari Portugis. Emak tahu, saya memang sangat suka lauk istimewa emak ini.

Sebaik tiba dari Pekan Sari Rabu itu, saya terus melepek di depan TV saja. Demam saya makin teruk. Apa yang saya beli di pasar tadi hanya sedikit yang saya jamah. Separuh bungkus Nasi Lemak dan Dodol Kukus. Tepung Gomok hanya saya cubit sikit-sikit, Kuih Cara hanya satu yang saya makan dan Tepung Pelita yang paling saya suka pula tak sedap langsung yang saya beli pagi itu. Tapi sekitar 11.30 pagi, emak sudah siap memasak lauk. Saya pun apa lagi. Terus menjamah nasi. Dalam pada demam itu, bertambah saya makan lauk Kari Portugis yang emak masak.

Selesai makan, saya tertidur. Selepas Zohor baru bangun dan bersiap-siap untuk kali terakhir. Ayah sampai di rumah sekitar pukul 3. Selepas siap memasukkan beg ke dalam kereta, kami pun bertolak menuju ke KLIA. Dalam perjalanan, kami singgah mengambil Kaklong di rumah sewanya. Sampai di KL, jalan sangat sesak. Hujan pula tengah lebat. Sepanjang perjalanan, saya tidur saja. Pada mulanya, saya berhajat untuk berborak panjang dengan Kaklong. Sangat jarang kami dapat meluangkan masa bersama di sepanjang cuti lepas tapi lain pula jadinya. Emak ada membawa bekal nasi berlaukkan Kari Portugis yang dimasaknya. Emak tak mahu saya kempunan agaknya.

Selepas mengambil Adnan di Seri Kembangan, kami terus ke KLIA. Kami sudah terlewat waktu itu. Ayah memecut laju. Kami di belakang pula buka bekal yang emak bawa dan kami adik beradik makan bersama-sama di dalam kereta. Tak perlu berhenti makan di mana-mana dah kerana memang kami kesuntukan waktu. Kami suap menyuap antara satu sama lain. Sambil itu, puji-puji emak kerana resepi emak ini memang tiada tandingannya. Yang lagi lucu, kami siap bawa bekal kicap kerana kami adik beradik wajib makan kari dengan kicap. Huhu.

Selesai makan, saya menelan ubat. Ini ubat demam Adnan sebenarnya. Seminggu sebelum itu dia pulang ke rumah dalam keadaan demam teruk. Saya pun kebas saja ubatnya. Tak payah ke klinik. Sebaik saya selamat boarding dan menelefon ayah menyatakan saya sudah selamat di atas kapal terbang, saya mematikan telefon dan terus tidur. Demam saya kali itu berlanjutan sehingga seminggu selepas sampai di sini.

Hari ini saya isytiharkan sebagai hari melepek di atas katil saja. Sebenarnya saya demam sejak malam tadi. Disebabkan saya ni selalu sangat sakitnya, bekalan ubat memang sudah ada. Saya tak sukalah batuk. Sakitnya rasa tekak. Rasa nak cabut sekejap tekak ni. Dah sihat nanti pasang semula. Hehe.

Yang pasti, setiap kali demam, saya teringin makan Kari Portugis. Wahai perut dan tekak, sila bersabar menunggu esok ya. Walaupun tak dapat yang emak masak, esok saya akan cuba penuhi hajat awak ya.

Thursday, January 01, 2009

1 Januari 2009

Assalamualaikum wbt


Saya tidak mahu ketinggalan mencoret sesuatu pada tarikh ini. 1 Januari 2009. Saya pernah ceritakan dulu, saya sukakan nombor satu. Bagi saya nombor satu adalah nombor yang istimewa. Termasuklah bulan satu, plat kereta bermula dan diakhiri dengan satu dan kalau boleh, nombor rumah pun saya suka kalau ianya bermula dan diakhiri dengan satu. Kebetulan, rumah saya pun bernombor 1100. Cantikkan nombor rumah saya? Hehe.

Tahun baru saya kali ini sangat tidak mengecewakan. Sebenarnya pagi tadi rumah saya terputus talian internet. Kami tidak menambah nilai akaun kami lagi untuk bulan ini. Sengaja kami semua tidak keluar untuk ke mesin top up di kedai berhampiran kerana tengaharinya kami bercadang untuk keluar. Waktu keluar itu baru cadangnya hendak membuat bayaran. Jadi di sebelah paginya saya menonton Twilight yang digilai ramai tu. Tapi separuh jalan saja. Saya tidak terasa hendak menonton sampai habis lagi waktu itu.

Selesai Zohor, kami ber-Asar pula dan sekitar 2.15 petang, saya megikut junior-junior saya pergi ke satu tempat. Tetapi hanya saya, Fareena, Fatt dan Diba yang pergi kerana Wanie dan Emy demam di rumah. Mily juga turut sama. Sebenarnya ini plan budak lelaki. Semuanya junior. Afi, Asyiq, Anep, Mun dan Paan. Saya sajalah yang terlajak umur di kalangan mereka semua. Haha.

Ke mana kami pergi? Dekat saja. Dua stesyen saja dari tempat kami. Gorky Park namanya tempat itu. Gorky Park ini merupakan antara taman tema tertua di Eropah Timur (sejak 1928). Ada sebuah lagu (saya lupa nama kumpulan itu) yang memahatkan nama Gorky Park di dalam lagunya. Tujuan kami ke sana ialah untuk meluncur ais. Ice skating. Sepanjang musim sejuk, kawasan lapang di taman tema ini diratakan saljinya dan dijadikan lapangan meluncur terbuka untuk orang awam. Sangat luas!

Ada dua orang di antara kami yang baru pertama kali hendak belajar meluncur. Adatlah kalau jatuh-jatuh dan tergolek tiga empat kali. Kalau tak jatuh, tak terasa nikmatnya bermain tu. Di taman itu, lagu-lagu dipasang kuat. Antara lagu yang berkali-kali diulang pasang ialah lagu Believe Me yang dinyanyikan oleh Dima Bilan, antara penyanyi terbaik di Rusia. Lagu ini telah memenangi Eurovision 2008 dan dalam video klip lagu ini ada peluncur ais Rusia, Plushenko, yang turut beraksi.

Hari ni, memang puas saya meluncur. Sudah lama tidak meluncur sebebas dan sepuas ini. Kebetulan, kesemua junior ini jenis yang meriah-meriah orangnya. Kami meluncur bersama orang tempatan dan luar yang turut menghabiskan masa bersama keluarga di sana pada hari ini. Saya paling suka melihat kanak-kanak meluncur. Sudahlah badan bulat-bulat dibalut pakaian tebal. Tapi meluncurnya punyalah laju. Bila terjatuh bergolek-golek, sedikitpun mereka tidak menangis. Kibas-kibas seluar, terus menyusup laju hilang di celah orang ramai yang nyata jauh lagi tinggi daripada mereka.

Tadi saya teruja melihat dua orang lelaki yang boleh menari-nari mengikut lagu-lagu yang dipasang. Antaranya lagu Believe Me dan Daddy Cool. Cayalah! Tapi saya tak reti nak buat aksi hebat-hebat. Setakat memecut biasa tu bolehlah. Lainlan Afi, Asyiq dan Fareena. Mereka bertiga ni sudah sangat cekap. Kami yang perempuan tadi menamatkan sesi kami lebih awal kerana hendak solat Maghrib di dalam bangunan. Sudah tidak tahan hendak bersejuk di luar. Ok. Saya sudahi dengan gambar-gambar saja.

Sedang bersiap sedia

Ada adik Ana Raffali dalam gambar ini, Asyiq Raffali (last, in black)

Keretapi terpanjang hari ini!

Bukti saya selalu dikenakan oleh Fareena budak nakal tu =p

Yang perempuan semuanya sedang kesejukan


Nota 1: Bila sudah sampai rumah, baru saya habiskan menonton Twilight. Saya tak rasa Edward Cullen itu kacak (-_-) Saya lagi suka pada ayahnya yang sangat tenang. Haha.
Nota 2: Dalam perjalanan balik, Afi bertanya: KS, berapa tinggi KS? Saya menjawab sekian-sekian tingginya dan bertanya kenapa. Afi membalas semula: Tadi waktu KS kat tepi saya dan KS menunduk, saya rasa KS macam budak kecik. Haha. Saya terasa awet muda dan comel. =p
Nota 3: Selamat hari lahir buat groupmate saya Fizy! (2 Januari)

Tuesday, December 30, 2008

Gembira, Penat Dan Terkilan

Assalamualaikum wbt


Entri ini ditulis dalam keadaan malas tetapi tangan gian hendak menulis. Jadi semuanya ringkas saja. Dalam pada saya tidak tahu bagaimana hendak menempuhi kebosanan hari semalam, sudahnya semalamlah hari yang paling memenatkan bagi saya. Saya bangun awal pagi kerana cuba hendak membiasakan diri dengan jadual cycle baru yang mana hospital terletak jauh dari rumah. Terpaksa bertolak awal ketika hari masih gelap.


Dalam pukul 11.30 pagi, dua orang junior datang ke rumah mengajak saya ke tasik berhampiran dengan kawasan kami ni. Jadi, saya pun mengikut mereka ke sana. Serius sakit segenap sendi badan bermain-main di atas ais, berlakon menjadi snow angel, meluncur menuruni bukit curam, baring-baring di atas tasik beku itu dan seribu satu jenis aksi yang lain.


Di sebelah petangnya, hanya saya dan Wanie yang berada di rumah. Wanie bertungkus lumus menyediakan makan malam kami serumah (padahal yang lain makan di luar, tinggallah kami makan berdua saja). Selepas makan, saya pula yang bertungkus lumus di dapur. Memasak untuk satu majlis di rumah kami. Majlis apa, tunggu entri bila saya rajin nanti.


Dan awal pagi tadi, Subuh baru saja masuk, hari masih gelap, rembang siang masih belum kelihatan, saya sudah meninggalkan rumah seorang diri menuju ke hospital. Kisah ini berbaur unsur terkilan sebenarnya. Sebab terlalu banyak masa saya terutamanya sejak dua tahun kebelakangan ini dihabiskan seorang diri. Mungkin ada yang kata saya skema. Tapi prinsip saya ialah, meletakkan yang hak pada tempatnya. Jika kita ada tanggung jawab dan peranan yang perlu dijalankan dengan amanah, jadi kita perlu laksanakan dengan sebaiknya. Baik dari segi masa dan hasilnya. Berikan yang terbaik pada tanggung jawab kita itu. Kalau tidak, kita tidak amanah pada diri dan tanggung jawab yang kita pikul itu.

Tapi tiada yang berfikir seperti saya fikir. Jadi, hiduplah saya seorang diri. Dan terpaksalah Wanie menjadi mangsa saya menangis tadi. Ya. Tadi saya menangis terkilan.

Nota 1: Terima kasih Che Nab, Amil, Aainaa, kembarku Yan (hehek), Husna, Kuzie dan Anet. Kamu semua memang best!
Nota 2: Mengantuknya (-_-) Baru pukul 6.18 pm je ni.

Saturday, December 27, 2008

Ayah

Assalamualaikum wbt

Tadi ayah menegur saya di Gtalk. Ayah memaklumkan bahawa mereka semua sedang berada di rumah Tok Penang. Saya bertanya, kenapa mengejut sungguh ayah balik kampung kali ini. Kalau tidak kerana saya menelefon adik saya, Adnan, semalam petang, saya mungkin tidak tahu akan hal ini. Jawab ayah, Tok Anjang (Abang Tok Penang) meninggal dunia kelmarin di Alor Setar. Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Barulah saya tahu duduk perkara yang sebenar.

Ayah menanyakan khabar saya, duit poket cukup atau tidak dan beberapa perkara lain. Semuanya baik-baik saja, jawab saya. Badan sihat, duit ada, sekarang sedang cuti dan tahun baru nanti pun cuti lagi. Ayah bertanya tentang sambutan Krismas di sini bagaimana keadaannya. Saya menceritakan keadaan orang di sini yang serba ringkas saja sambutan mereka kerana mereka di sini gila kerja (walaupun agak lembap sistem-sistem yang digunakan). Tambahan pula, perayaan sebenar disambut pada 7 Januari nanti. Sempat ayah mengomen, katanya di Malaysia cuti banyak sangat. Sampai nak dekat sebulan. Teringat pula rungutan seorang blogger di blognya.

Sebelum mengakhiri perbualan, kata ayah:
"See you. 6-7 bulan saja lagi. Lepas ni cuba belajar selok-belok orang Islam di Rusia pulak."

Saya tak pernah rasa kecewa dengan nasihat dan pandangan daripada ayah. Ayah memang memahami jiwa saya. Dia tahu saya berhajat untuk ke beberapa buah bandar Islam berdekatan ketika cuti nanti. Dan ayah tak pernah melarang saya walau dia tahu saya berkemungkinan pergi secara solo sekalipun sebab ayah sangat percayakan saya.


Nota 1: Bajet sudah diluluskan oleh ayah! Saya boleh mendapatkan barang itu. Horray!
Nota 2: Saya sayang ayah saya. Saya juga sayang emak saya. Saya sayang keluarga saya!
Nota 3: Saya yakin, kawan-kawan baik saya seperti Faiq, Yasir, Acai, Nadia, Akak dan Cik Ati akan mengejek saya ini anak ayah. Siapa cakap macam tu, nanti saya kejar dengan rotan! =p

Friday, December 26, 2008

Dalam Kenangan

Assalamualaikum wbt

Awal Muharam 1430 Hijrah dan 1 Januari 2009 sudah semakin hampir. Selama ini, jika saya hendak menyasarkan azam baru untuk sesuatu tahun itu, saya ada kriteria saya yang tersendiri. Azam yang berbentuk perubahan positif untuk sifat dan hati sebagai seorang Muslim dan anak, saya sentiasa mengguna pakai kalendar Hijrah sebagai titik permulaan. Saya senaraikan apa yang saya sasarkan dalam tempoh setahun itu. Bagi perubahan dari segi etika diri, cita-cita dalam pelajaran dan pekerjaan juga sasaran dalam setahun mendatang sebagai seorang pelajar, saya menjadikan kalendar Masihi sebagai titik permulaannya.

Kali ini, tahun baru Hijrah dan Masihi tiba pada masa yang hampir sama. Jadi, untuk kali ini saya telah merangkumkan kesemuanya dalam satu senarai. Sebelum saya mula menyenaraikan target saya untuk setahun mendatang ini, saya mengkaji dulu pencapaian saya untuk tempoh setahun ini.

Alhamdulillah, sebelum habis beberapa hari lagi dalam tahun 1429 Hijrah dan 2008 ini, hampir 100% target saya sebagai seorang Muslim dan anak tercapai. Jadi sasaran saya untuk tahun depan semoga apa yang saya telah mulakan akan saya teruskan selamanya dengan penghayatan yang lebih. Bukankah maksud istiqamah itu ialah berterusan dan semakin memperbaiki kualiti pekerjaan kita itu. Jadi, untuk tahun baru ni, saya cuma nak tambah satu. Saya berniat dalam tahun 2009 ni saya sudah boleh memberi duit kepada emak ayah pula. Fuh. Bertahun menunggu hajat ni untuk disuarakan. Akhirnya tiba juga tahun yang dinanti-nanti. Moga saya dan emak ayah saya panjang umur untuk disempurnakan hajat ini. Saya ni umur sudah 23 tapi masih lagi mendapat duit poket dari ayah. Ditanggung serba-serbi lagi. Rasa tak sabar untuk melakukan yang sebaliknya pula.

Sebagai seorang pelajar pula, Alhamdulillah juga saya ucapkan. Pencapaian saya sepanjang tahun 2008 sangat memuaskan hati. Saya mendapat straight excellent dalam 8 subjek ketika final exam yang lalu walaupun dalam keadaan sakit-sakit. Juga medapat testimoni yang baik ketika praktikal dan pengurusan masa yang sangat memuaskan hati saya. Tapi kekurangannya tetap ada. Saya masih belum dapat mengawal emosi dengan baik ketika musim exam dan yang paling utama, saya masih lagi terikat dengan pelbagai tugas. Saya sudah di tahun akhir. Ini yang perlu saya beri perhatian selepas ini.

Jadi, salah satu niat saya pada tahun depan, saya mahu melepaskan segala tugas yang ada dan menjalani kehidupan sebagai pelajar normal yang tidak terikat dengan sebarang tugas luar sama ada persatuan atau penulisan yang lain. Saya mungkin nampak seperti pentingkan diri sendiri. Tapi saya terpaksa. Jadi, saya harap saya ada kekuatan untuk mengatakan tidak kepada pihak-pihak yang berkaitan.

Ada beberapa lagi azam saya untuk tahun baru ini. Yang paling utama ialah tamat belajar tepat pada masanya dengan keputusan yang boleh membanggakan diri sendiri. Setakat ini, keputusan saya cukup boleh buat saya sangat senang hati dan emak ayah saya tersenyum. Tak perlu saya lihat orang lain. Saya akan berpuas hati jika saya dapat mencapai target diri sendiri yang saya buat sejak 5 tahun yang lalu. Serius Ya Allah. Moga-moga Kau permudahkan niatku ini.

Tentang kahwin, sila jangan tanya lagi. Saya belum terfikir lagi sebab saya mahu tunggu computer geek datang melamar dengan ros merahnya. Hahaha.

Salam Maal Hijrah 1430 Hijrah
dan
Selamat Tahun Baru 2009


Nota: Kalau ada rezeki, blog ini juga akan berubah hosting pada tahun baru ini insya Allah =)

Wednesday, December 24, 2008

Dari Kerana Mata (iii)


Assalamualaikum wbt


Setiap pagi, aktiviti pertama saya sebaik bangun dari tidur ialah mengemas katil. Saya tidak suka katil yang berselerak dan tidak kemas tarikan cadarnya. Tetapi sejak dua pagi yang lalu, perkara pertama yang perlu saya buat sebaik bangun dari tidur ialah mencapai cermin mata di atas meja di tepi katil. Kemudian barulah saya meneruskan dengan aktiviti yang lain.

Sejak dua hari lalu, mata saya menjadi kabur dengan teruknya. Sehinggakan, tulisan yang berada 1.5 meter jaraknya dengan saya dalam keadaan saya memakai cermin mata amat susah untuk saya baca. Saya menyedari hal ini pada pagi Isnin lepas. Saya bangun dari tidur, memandang skrin laptop dan semuanya terlalu kabur. Mungkin perlukan masa untuk proses adaptasi cahaya. Saya mencapai cermin mata dan selepas 10 minit berlalu, keadaannya masih begitu. Puas saya kebil-kebilkan mata. Tetap juga tiada perubahan.

Saya memandang lantai. Tinggi rendah yang berbeza. Pandangan mata kiri jauh lebih dalam dan kabur. Selepas seketika baru saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Di sebelah petangnya, saya menjenguk Wanie memasak di dapur. Saya mengadu padanya (ceh, saya ni manja betul dengan Wanie) bahawa saya tidak dapat membaca senarai barang yang dilekatkan dengan fridge magnet pada peti ais. Jaraknya hanya 1.5 meter atau kurang. Saya meminta Wanie menyebutkan apakah perkataan itu. Bacanya: Tepung Kentucky. Aduhai. Hanya selepas itu baru perlahan-lahan mata saya dapat menangkap bentuk-bentuk huruf yang ada.

Saya keluarkan kesemua cermin mata yang saya ada. Dua daripadanya memang saya selalu guna secara selang-seli. Yang ketiga pula adalah cermin mata ketika di tahun 4 dulu. Ketiga-tiganya tidak dapat membantu saya melihat dengan jelas dan selesa. Oleh sebab itu, hampir sehari suntuk saya pening kepala pada hari semalam.

Apa nak jadi ni. Makin teruk pula mata ni. Saya harap, kali ini ia bersifat sementara. Mungkin hal ini terjadi kerana pada hari Ahad lepas, saya bersama team saya mengadakan perbincangan selama 5 jam di dalam cahaya samar kerana menggunakan projector. Semoga mata saya semakin tahan lasak selepas ini. Ayuh, mataku! =p

Nota 1: Saya ke pasar selepas Maghrib semalam. Rasa macam tak nak masuk rumah semula. Suhu sejuk yang sangat nyaman. Sukanya~ Huhu.
Nota 2: Ada sesiapa boleh meneka di mana lokasi gambar di atas? =)

Tuesday, December 23, 2008

The Unspoken Freedom

Assalamualaikum wbt

Sejak datang ke sini, saya menikmati satu kebebasan. Yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Kebebasan yang menyenang dan menenangkan hati. Saya pernah menulis di dalam salah sebuah buku sajak saya: The Unspoken Freedom. Waktu itu, saya memaksudkannya sepenuh hati. Kebebasan yang saya tidak rasai suatu masa dulu.

Mesti kecewa hati emak ayah saya membaca apa yang saya tuliskan di sini. Bertenang dulu. Bukan itu maksud saya. Bukan kebebasan dari sudut kehidupan mahupun sosiobudaya. Tetapi lebih dalam dari itu.

1. Di sini saya bebas membawa diri saya sebagai seorang Melayu-Muslim yang tidak perlu berpada-pada terikat dengan pandangan orang lain. Contohnya, saya boleh solat di mana-mana saja jika tidak sempat pulang ke rumah. Telekung bukan satu kewajipan. Saya bebas untuk solat dengan seluar dan baju yang saya sedia pakai. Jeans pun jeans lah. T-shirt pun t-shirt lah. Bukannya saya pakai yang ketat-ketat dan pendek-pendek. Semuanya cukup syarat untuk solat. Serik. Saya dimarah oleh seorang makcik kerana solat tanpa menggunakan telekung ketika di Malaysia dulu. Kebetulan ketika itu saya memakai jeans dan blaus labuh. Tiada salahnya. Tapi setiap pasang mata di dalam surau R&R itu memandang tajam kepada saya. Saya bukan penjenayah agama pun. Cuma di situ ada satu keluarbiasaan yang dipandang sebagai kesilapan.

2. Saya bebas mengenakan tudung saya dengan apa cara sekalipun tanpa perlu kisah sama ada warnanya sepadan atau tidak dengan baju saya. Memang jaranglah saya buat begini tapi jika ada kalanya tidaklah padan sangat warnanya, tiada siapa yang kisah (hehe, saya memang tak kisah pun). Bagi mereka di sini, tudung itu sekadar yang kita gunakan untuk menutup kepala. Bukan untuk berfesyen segala. Kerana mereka tahu saya bertudung kerana saya seorang Islam. Kalau di Malaysia, alamak, orang dah menjeling seribu makna!

3. Saya bebas untuk membiarkan muka kelihatan seperti budak-budak dengan lipatan tudung yang kurang kemas atau 'tidak bulat'. Kalau di Malaysia, orang pandang-pandang kita banyak kali kerana tidak lawa pada mata mereka. Orang sini tidak kisah. Bagi mereka, asalkan ada benda yang tutup kepala budak ni macam biasa, itu sudah kira beres. Mana mereka tahu cantiknya bertudung tu macam mana. Stail lipatannya macam mana dan lain-lain lagi. Tapi sebolehnya saya sentiasa memastikan tudung sentiasa kemas. Imej kenalah dijaga, kan.

4. Saya bebas menjadi diri saya. Saya sentiasa ada talian hayat untuk mengelakkan orang yang saya tidak senangi daripada terus menghubungi diri. Jika di Malaysia, sentiasa saja ada cara nombor telefon atau segala jenis cara komunikasi yang lain disebarluaskan oleh kawan-kawan kita. Tanpa izin. Saya rimas. Sebab saya tidak suka berada di dalam keadaan sesak dan diperhatikan. Di sini, saya sungguh bijak menjadi orang halimunan. Huhu. Tidak faham? Tak mengapa. Tak penting sangat ni.

5. Ada beberapa hobi yang tidak dapat saya laksanakan secara terbuka ketika di Malaysia. Kerana orang suka mengadili saya secara percuma kerana saya dan latar belakang saya. Jadi, saya biarkan hobi itu terselindung. Dan di sini hobi itu lebih bersifat terbuka. Eh, tidak juga. Masih tertutup juga. Cuma saya zahirkan diri saya bukan sebagai saya. Sungguh terasa kebebasannya. Ada yang faham? Bagusnya. Cekap ya kamu ni =)


The Unspoken Freedom

There are times
there are people
longing for freedom.
There are people who stay
even when the time washes away.
There are people who leave
even when freedom is almost to lead.

There would be strife
fetter a greater life
to agree what the world disagrees
to set you free from all the tyrannies.

If it is a fear you would dispel
come by dear I tell you a spell
though it's hard to cast off
but we may try to cut the handcuff.

So long the freedom is hidden
so long it is left unspoken
there can be no right in the twisted sight
thus so long to the dazing light.
When the rhyme ends
the unspoken freedom begins
to rise in.

Sarah
Pushkin Hostel
15 December 2004
(sekarang saya rasa sajak ini sangatlah buruk) =p

Nota 1: Baru tersedar bahawa sajak itu sudah berusia 4 tahun lebih! Saya tulis ketika di tahun 2 dulu. Punyalah dah lama!
Nota 2: Saya tak kisah makan ais krim tercomot sedikit di pipi bila di sini. Tapi kalau di Malaysia, err, saya makan ais krim dalam rumah saja. Hohoho. (Jenuh saya cuba ingatkan ada tak saya makan ais krim sambil berjalan-jalan bila dah besar panjang ni di Malaysia. Memang tiada! Aduhai...)
Nota 3: Ada benda dalam kehidupan kita yang kita kena ubah tapi tak bermakna kita berubah.
Nota 4: Ini nota penting. Hehe. Saya sudah mula ber-Plurk. Let's join me! Hehe.

Monday, December 22, 2008

Moscow Dan Isu Keselamatan

Assalamualaikum wbt

Elok saja selesai Subuh, saya terus ke dapur untuk memasak. Saya ada group discussion bersama team saya hari ini. Saya ditugaskan memasak. Senang saja. Buat nasi lemak sambal ayam. Habis cerita. Sedang saya memasak, telefon saya berbunyi. Panggilan dari emak dan ayah.

Saya memberi salam dua kali, orang di sebelah sana masih tidak mendengar suara saya sebaliknya masih berbual sesama mereka. Dan saya terdengar apa yang mereka bualkan. Dan saya sudah mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tambahan pula, masih gelap pagi lagi di sini ketika itu. Apa halnya emak dan ayah hendak menelefon. Saya terdengar mereka berbual begini:

Ayah: Dia tak tahu lagi kot pasal ni.
Emak: Kena cakap elok-eloklah kalau macam tu.
Ayah: Terkejut dia nanti.
Saya: (Cuak menanti)

Bila saya hulurkan salam ketiga, barulah mereka sedar saya sudah menjawab panggilan. Emak pun konon-konon cool memulakan perbualan dengan ceria. Ada gelak-gelak, suara ceria-ceria. Lalu emak pun menanyakan tentang keadaan di kawasan rumah saya di sini. Saya kata baik-baik saja semuanya. Barulah selepas itu emak menceritakan tentang berita yang didengarinya berkenaan letupan bom di sebuah pasar di Moscow yang menyebabkan ramai yang cedera parah. Saya sedikit terkejut. Emak bertanya, ada tak kemungkinan itu adalah pasar berhampiran rumah saya. Lagipun emak teringat cerita saya bahawa setiap Sabtu dan Ahad kami selalu ke pasar. Emak, kami ke pasar hampir setiap hari tau. Hehe.

Saya sudah tergelak-gelak. Emak cuak kalau-kalau pasar itu adalah yang berhampiran dengan rumah ini. Jawab saya, saya sendiri pun masih tidak tahu apa-apa tentang hal letupan itu. TV tak buka, radio pun tak dengar. Yang pasti, bukan pasar yang berdekatan ini. Malam semalam saya tidur sangat lewat. Tiada satu apapun kekecohan yang terjadi. Memang mustahil pasar ini. Lagi pula, pasar yang berdekatan ini adalah pasar yang paling dekat dengan Center of Moscow. Inilah juga pasar termahal dan paling sibuk ketika hari minggu. Pasar ini mempunyai pengurusan yang baik. Dari segi kebersihannya sama ada pasar luar atau yang di dalam bangunan. Pasar ini ada standardnya yang tersendiri. Hal-hal keselamatan juga insya Allah terjamin di sini.

Selesai memaklumkan pada emak ayah apa yang sepatutnya, saya berjanji akan memberitahu jika ada apa-apa perkembangan terkini (tapi saya tak sempat mesej atau telefon pun kerana sangat sibuk sepanjang hari). Sedang menunggu sambal yang ditumis, yang masuk ke bilik membelek-belek laman berita utama di Rusia. Utra.ru masih tiada berita terkini. Pelik sungguh. Sudahnya saya buka Rian.ru dan The Moscow Times. Barulah kedapatan berita tentang hal ini.

Seperti yang dijangkakan, kes letupan ini adalah kegiatan Skin Head. Kali ini, kes bom buatan sendiri. Saya malas hendak ulas lanjut tentang hal ini. Mesti ramai yang tertanya-tanya, selamat ke tidak Moscow ni. Banyak sungguh dengar kes itu ini. Meletup sana, meletup sini. Bunuh sana, bunuh sini. Pukul sana, pukul sini. Yang boleh saya katakan, kita tak cari pasal, kita tak tempah nahas, kita mungkin terselamat. Mungkin sajalah. Bukan 100% terkecuali. Ada yang innocent pun merasa juga sedebik dua.

Moscow ini selamat sebenarnya. Saya tak tipu. Tapi lumrahlah kalau ada yang ditakdirkan berhadapan dengan ujian sebegini. Di Malaysia sekalipun, ada juga kes ragut, pukul dan yang lebih menakutkan rogol. Di sini tiada langsung nak takut tentang rogol-rogol semua ni. Mereka menghormati perempuan jauh lebih baik daripada orang kita sendiri (atau kerana bila-bila saja mereka boleh dapat perempuan mereka dengan percuma?). Hehe.

Tapi apa-apapun, nah ini dedikasi khas untuk si Skin Head: "Bengong kau Skin Head! Bikin adrenaline rush saja! Apa kau ingat botak tu menarik? Apa kau ingat memukul orang tu macho? Kau silap besar. Kaulah manusia paling huduh dengan satu tindikan di tepi mata beserta tatu naga yang buruk rupa. Hah. Kau memang huduh wahai Skin Head. Dahlah busuk dalam metro pagi-pagi dengan kot bau masam seribu cuka. Ketiak masam tak reti nak shave pakai deadorant segala. Kau bengong, huduh dan busuk wahai Skin Head!" (Haha. Skin Head tak faham Bahasa Melayu!)


Nota 1: Saya bagi amaran, jangan tanya apa-apa tentang keselamatan, Skin Head dan sebagainya. Saya sangat malas dan tak suka nak jawab. Moscow ni selamat. Kalau tak bernasib baik saja baru terkena. Kat mana-mana pun sama saja hal ini.
Nota 2: Kes letupan itu berlaku di selatan Moscow. Jauh dari kawasan saya yang di tengah-tengah Moscow ini tapi agak berdekatan dengan sebuah hostel lain milik uni saya.
Nota 3: Saya dengar lagu You Belong To Me lebih dari 100 kali dah kot hari ni!
Nota 4: Esok kelas pukul 11. Horray~

Sunday, December 21, 2008

Indulgence

Assalamualaikum wbt


- Malam tadi terkena kejutan elektrik di dapur. Kebas jari telunjuk kanan.
- Malam tadi juga terkena minyak panas di lengan kiri. Ada kesan tompok merah.
- Malam tadi buat Brownies 'Indulgence' Ala-Mode. Gemuk tapi bahagia betul rasa.
- Malam tadi juga saya habiskan ais krim vanila coklat dalam peti. Makin gemuk lagi.
- Ada orang buat hal dengan saya. Dan saya terpaksa korbankan sesuatu.
- Sekarang tak tidur-tidur lagi sedangkan esok kena bangun awal pagi.
- Esok kena memasak.
- Esok jadual penuh.
- Esok tak dapat tengok futsal. Heroes ada main.

Kafarah apa yang sedang saya lalui ini.

Nota: Once bitten, twice shy. Lesson learnt.

Saturday, December 20, 2008

Dunia Pingpong


Assalamualaikum wbt

Ini gambar Pasukan Pingpong MMA di kejohanan Intervarsity Game (IG) pada tahun 2005. Pada tahun itu, IG telah berlangsung di Volgograd, salah sebuah bandar di Rusia. Ketika itu saya di tahun dua dan merupakan kali kedua mewakili uni saya dalam pasukan ini. Ketika IG berlangsung, disebabkan saya terikat dengan jadual perlawanan yang ketat, saya tidak sempat untuk melawat tempat-tempat bersejarah di sana termasuklah monumen Mother of Russia yang menjadi lambang kemenangan Rusia ke atas Jerman ketika Perang Dunia Kedua dulu.

Oleh sebab itu, saya berhajat untuk ke sana lagi ketika berlangsungnya IG pada April 2009 nanti yang kebetulan diadakan di sana sekali lagi. Kalau dulu Kontijen Moscow berangkat ke sana dengan menaiki bas dan memakan masa 18 jam perjalanan, kali ini saya taubat tidak mahu menaiki bas lagi. Saya mahu menaiki kapal terbang saja untuk menjimatkan masa. Penerbangan dalam negeri murah saja. Jadi saya akan berpakat dengan beberapa orang lagi untuk ke sana bersama-sama. Tambahan pula, saya tidak berniat untuk turut serta dalam IG kali ini. Saya hendak pencen.

Tetapi petang semalam saya dipanggil menghadiri mesyuarat Biro Sukan Badan Pelajar di sini. Saya digalaskan tanggung jawab sebagai Ketua Pingpong Wanita uni saya. Baru saja malam kelmarin saya nyatakan niat hendak pencen tahun ini, tiba-tiba ada-ada saja yang menanti. Tapi memandangkan ini tahun akhir saya di sini dan rekod tidak pernah kalah yang diukir oleh Pasukan Pingpong Wanita uni saya, maka saya menerima tanggung jawab itu. Tahun ini (April 2008), uni saya tidak mengambil bahagian dalam IG yang berlangsung di Nizhny Novrogorad kerana jadual penggal akademik waktu itu sangat padat. Maka kali ini kami insya Allah akan membuat comeback di IG Volgograd 2009. Sudah setahun lebih saya tidak beraksi. Dah ketat dah sendi-sendi ni. Jadi kita lihatlah bagaimana nanti ya. Kalau menang lagi, dapatlah saya bawa pulang pingat emas ke-4 dalam sukan pingpong ini.

Nota: Kaklong saya dapat posting di Sarawak. Jauh di sudut hati, saya terasa sedikit sedih. Bila saya jauh, dia yang dekat dengan rumah. Bila saya dah nak balik, dia pula yang semakin jauh. Dah lama tak hidup sebumbung dengan Kaklong. Rindunya zaman kecil-kecil dulu. Bergaduh tu memang ada tapi lama mana sangatlah bertahannya. Kami berdua saja perempuan di rumah tu :(

Monday, December 15, 2008

Internet Itu Pembawa Mimpi Manis

Assalamualaikum wbt

Semalam saya tertidur dalam kepenatan yang amat dahsyat. Apabila terjaga pagi tadi, respon pertama saya pada Fareena ialah: Eh, KS ada mimpilah malam tadi.

Saya jarang bermimpi. Jika sesekali saya bermimpi, seperti yang saya ceritakan dulu, saya akan cuba mengingati mimpi itu dengan sebaiknya. Yang pasti, semua watak-watak penting dalam hidup saya kebelakangan ini muncul dalam mimpi itu. Dan mimpi itu adalah sebuah mimpi manis.

Tapi kehidupan saya hanya berkisar sebagai seorang pelajar tahun akhir yang berulang-alik ke hospital dan sebelah malamnya berada di rumah terperuk dengan buku dan internet. Jadi, siapalah yang saya mimpikan?

Inilah bahana internet. Orang yang kita belum pernah jumpa pun boleh kita mimpikan.

Saturday, December 13, 2008

Isu Hujung Minggu Ini

Assalamualaikum wbt

Hari Rabu lepas, Ustaz Fazdi, ustaz saya ketika di KISAS dulu menegur di YM. Sempatlah bertukar khabar sedikit sebanyak dengan ustaz. Saya baik dengan ustaz. Tapi, antara topik yang tak boleh lari dari ustaz ialah tentang kahwin. Jenuhlah saya nak menjawab soalan tentang bila hendak kahwin. Kata ustaz, umur sedang-sedang saya ni dah patut mula fikir tentang masa depan. Betul tu. Memanglah sudah patut mula berfikir tapi nak fikir macam mananya. Bukannya ada orang yang boleh saya fokuskan atau tumpukan untuk difikir-fikirkan. Macam-macamlah.

Dalam perjalanan balik dari hospital sebaik habis elektif hari Khamis lepas, saya bercerita panjang dengan Encik Kasut-Hitam-Berkilat, Nazlin. Dia pun sama saja. Tanya tentang perancangan masa depan saya dan adalah beberapa perkara lama yang kami ungkit-ungkitkan dan kutuk-kutukkan bersama. Hehe. Dia pun sempat memberikan pandangannya tentang kahwin dan berpasangan ni. Haish. Macam-macamlah. Bagi saya, orang lain nak fikir, fikirlah. Nak diajak saya berfikir sekali, tak payah dululah. Buang masa untuk saya dalam situasi saya yang sekarang ni untuk berfikir soal masa depan. Soal ini sangat tak berpenghujung untuk orang macam saya ni.

Tadi, ada seorang junior saya datang ke bilik. Chao Yi. Oh-ho. Saya dengannya ada banyak persamaan dan kesekepalaan. Tadi dia bertanyakan satu soalan umum kepada saya, Fareena, Fatt dan Wanie: Why don't men fall for her though she has what other women have. Saya pun terdiam mendengarkan persoalan yang ditimbulkannya. Selepas itu ada jugalah kami membincangkan topik itu. Paling habis yang dapat saya cakapkan, kerana sekarang dia di sini dan sangat terhad pilihan yang ada. Takkan nak tangkap muat saja kan. Selepas itu, ada banyak lagi teori yang dikemukakan oleh Chao Yi. Orang jenis alfa dan betalah, tentang konsep persamaan dan pertembunganlah. Aduhai. Macam-macam. Selepas berteori, dia bercerita tentang beberapa kisah cinta dari manga online yang dibacanya pula. Saya ni pendengar setia. Maka, duduklah saya hampir sejam melayan segala yang diceritakannya. Bukan setakat mendengar tetapi juga memberi respon yang baik. Huhu.

Tapi penat sungguhlah malam ini. Saya marathon menyiapkan semua kerja yang patut saya serahkan hujung minggu ini. Seperti biasa, saya sangat sibuk di setiap hujung minggu. Mari lihat jadual saya:

Sabtu: Pagi nak submit article untuk website IMAM-RSC, petang ke RSMU (yeay!!!), malam ada kuliah Kesihatan Wanita yang saya akan kelolakan (macam pakar sakit puan je bunyinya, huh). Alhamdulillah. Bahan dan persediaan untuk aktiviti hari Sabtu dah disiapkan.
Ahad: Pagi ada usrah naqibah. Tengahari ada discussion bersama Russian Medical Team (RMT), petang lepas Maghrib berhajat nak keluar mencari barang sedikit tapi bergantung pada keadaan dan kelapangan.

Inipun masih ada benda yang belum selesai. Saya tak dapat nak fit-in kan usrah bersama ahli usrah baru saya lagi. Penuhnya hujung minggu saya. Macam manalah saya tak berstatus seperti di FB saya tu. Khairul Zainal, sekarang kamu dah dapat jawapannya kan?

Soalan lazim saya: Bilalah saya akan mendapat hujung minggu yang normal semula.

Hmm. Kepala saya berdenyut kencang dari tadi. Selamat malam dari Moskva yang dingin.

[5.13 pagi] Ralat: Saya ralat betul membaca komen yang memaksudkan saya ni mungkin 'emosional' kerana isu kahwin-kahwin ni. Sikit pun tak dan saya lagi ralat bila dikaitkan dengan 'terburu-buru'. Langsung tak ok. Kenapa apa yang saya tulis kebelakangan ini selalu disalah tafsir? Ni nak beritahu. Saya lagi suka hidup macam ni daripada pening kepala dengan masalah cinta, lelaki yang entah apa-apa dan komitmen yang bukan dua-dua pihak boleh beri dengan sebaiknya. Ha. Sekarang baru ye saya emo. Peduli apa. Blog saya. [Sesungguhnya muka saya berkerut seribu bila terbangun dari tidur sekejap tadi dan membaca komen-komen yang ada. Kecewanya saya.]

Friday, December 12, 2008

Dengan Ini Saya Berjanji

Assalamualaikum wbt

Hari ini hari terakhir untuk elektif O&G yang saya lakukan bersama Nazlin, Auyun, Faiz dan Iman. Auyun, Faiz dan Iman duduk sederet di dalam lecture hall ketika sesi bersama Prof. Davidov tadi. Saya dan Nazlin pula duduk sebaris di belakang mereka.

Prof. Davidov merupakan profesor yang sangat dihormati di hospital ini. Jadi, ketika lecture tadi, suasana sunyi dan hening. Sedang semua khusyuk mendengar lecture, tiba-tiba entah macam mana ada bunyi berkeriut yang kuat dan menyebab semua orang di dalam lecture hall itu menumpukan pandangan pada satu objek. Objek itu pula sedang berada dalam keadaan 30 darjah senget ke kiri gara-gara kerusi yang didudukinya patah di bahagian engsel sebelah kiri yang membolehkan kerusi itu dilipat jika tidak diduduki.

Pada mulanya seisi dewan diam. Mungkin bersimpati dengan nasib objek itu. Tetapi sebaik Prof. Davidov pun terangkat kening dan tersengih melihat kejadian itu, maka, gamatlah satu dewan menggelakkan objek itu.

Yang lebih malang, objek itu adalah saya!

Sampai saja di rumah pukul 9.10 malam, perkara pertama yang saya lakukan ialah mengira BMI. BMI saya hanya 21.9 saja. Saya adalah normal dan tidak obes! Itu adalah salah kerusi tua itu. Sungguh! Tetapi insiden tadi membuatkan saya nekad untuk melakukan senaman secara intensif sepanjang posting bulan Disember yang tidak sesibuk mana ini.

Ayuh, nekad!

Nota: Ini juga adalah cara balas dendam saya atas kebodohan setahun yang lalu. Sekarang saya ada terompah kayu. Ha. Beranilah mendekat. Nanti saya baling kuat-kuat. Padan muka.