Showing posts with label Event. Show all posts
Showing posts with label Event. Show all posts

Friday, December 26, 2008

Dalam Kenangan

Assalamualaikum wbt

Awal Muharam 1430 Hijrah dan 1 Januari 2009 sudah semakin hampir. Selama ini, jika saya hendak menyasarkan azam baru untuk sesuatu tahun itu, saya ada kriteria saya yang tersendiri. Azam yang berbentuk perubahan positif untuk sifat dan hati sebagai seorang Muslim dan anak, saya sentiasa mengguna pakai kalendar Hijrah sebagai titik permulaan. Saya senaraikan apa yang saya sasarkan dalam tempoh setahun itu. Bagi perubahan dari segi etika diri, cita-cita dalam pelajaran dan pekerjaan juga sasaran dalam setahun mendatang sebagai seorang pelajar, saya menjadikan kalendar Masihi sebagai titik permulaannya.

Kali ini, tahun baru Hijrah dan Masihi tiba pada masa yang hampir sama. Jadi, untuk kali ini saya telah merangkumkan kesemuanya dalam satu senarai. Sebelum saya mula menyenaraikan target saya untuk setahun mendatang ini, saya mengkaji dulu pencapaian saya untuk tempoh setahun ini.

Alhamdulillah, sebelum habis beberapa hari lagi dalam tahun 1429 Hijrah dan 2008 ini, hampir 100% target saya sebagai seorang Muslim dan anak tercapai. Jadi sasaran saya untuk tahun depan semoga apa yang saya telah mulakan akan saya teruskan selamanya dengan penghayatan yang lebih. Bukankah maksud istiqamah itu ialah berterusan dan semakin memperbaiki kualiti pekerjaan kita itu. Jadi, untuk tahun baru ni, saya cuma nak tambah satu. Saya berniat dalam tahun 2009 ni saya sudah boleh memberi duit kepada emak ayah pula. Fuh. Bertahun menunggu hajat ni untuk disuarakan. Akhirnya tiba juga tahun yang dinanti-nanti. Moga saya dan emak ayah saya panjang umur untuk disempurnakan hajat ini. Saya ni umur sudah 23 tapi masih lagi mendapat duit poket dari ayah. Ditanggung serba-serbi lagi. Rasa tak sabar untuk melakukan yang sebaliknya pula.

Sebagai seorang pelajar pula, Alhamdulillah juga saya ucapkan. Pencapaian saya sepanjang tahun 2008 sangat memuaskan hati. Saya mendapat straight excellent dalam 8 subjek ketika final exam yang lalu walaupun dalam keadaan sakit-sakit. Juga medapat testimoni yang baik ketika praktikal dan pengurusan masa yang sangat memuaskan hati saya. Tapi kekurangannya tetap ada. Saya masih belum dapat mengawal emosi dengan baik ketika musim exam dan yang paling utama, saya masih lagi terikat dengan pelbagai tugas. Saya sudah di tahun akhir. Ini yang perlu saya beri perhatian selepas ini.

Jadi, salah satu niat saya pada tahun depan, saya mahu melepaskan segala tugas yang ada dan menjalani kehidupan sebagai pelajar normal yang tidak terikat dengan sebarang tugas luar sama ada persatuan atau penulisan yang lain. Saya mungkin nampak seperti pentingkan diri sendiri. Tapi saya terpaksa. Jadi, saya harap saya ada kekuatan untuk mengatakan tidak kepada pihak-pihak yang berkaitan.

Ada beberapa lagi azam saya untuk tahun baru ini. Yang paling utama ialah tamat belajar tepat pada masanya dengan keputusan yang boleh membanggakan diri sendiri. Setakat ini, keputusan saya cukup boleh buat saya sangat senang hati dan emak ayah saya tersenyum. Tak perlu saya lihat orang lain. Saya akan berpuas hati jika saya dapat mencapai target diri sendiri yang saya buat sejak 5 tahun yang lalu. Serius Ya Allah. Moga-moga Kau permudahkan niatku ini.

Tentang kahwin, sila jangan tanya lagi. Saya belum terfikir lagi sebab saya mahu tunggu computer geek datang melamar dengan ros merahnya. Hahaha.

Salam Maal Hijrah 1430 Hijrah
dan
Selamat Tahun Baru 2009


Nota: Kalau ada rezeki, blog ini juga akan berubah hosting pada tahun baru ini insya Allah =)

Friday, May 02, 2008

Khabar Dari Moscow

Assalamualaikum wbt

(Entri ini panjang. Abaikan kalau malas baca) =)

Update terkini: Holiday = Have Fun (Pena) dan Lukisan Alam (Wanie)

Pada hari Rabu lepas, saya telah menyertai junior-junior lelaki pergi memancing. Mereka berlima lelaki dan termasuk saya, ada 4 orang pelajar perempuan. Kesemuanya 9 orang. Makanya nelayan-nelayan moden pada petang itu ialah Harjit (Ketua Nelayan), Khairul (Davai), Mani, Mun, Paan, Fatt, Pena, Emy dan saya. Sebelum bertolak, saya memaklumkan ayah tentang aktiviti petang itu melalui sms. Kami bertolak pada jam 4 petang dari rumah. Cuaca memang panas pada petang itu. Saya sendiri tidak membawa sebarang jaket kerana saya tahu cuaca memang panas kerana pada sebelah paginya saya telah ke hospital terlebih dahulu. Sekitar 45 minit menaiki metro, kami tiba di stesyen yang dituju. Dari stesyen itu, kami perlu berjalan kaki menuju ke jalan besar dan menaiki bas menuju ke kawasan kolam yang dimaksudkan. Oh terlupa. Sebelum itu, kami ada tersesat sedikit kerana Harjit terlupa arah yang sebenar. Tak jadi hal. Jalan-jalan tanya orang keliling baru ada rasa mencabar. Oh terlupa lagi. Yang budak-budak perempuan ni pula, sebaik keluar dari stesyen metro, mereka terpandangkan Discount Center. Pusat membeli belah yang menawarkan harga terbaik untuk jenama Adidas, Puma, Nike dan beberapa jenama yang lain. Sabar ajelah oi. Ok. Sambung cerita.

Sewaktu di dalam bas, saya menerima balasan daripada ayah. Tanyanya: Dah dapat berapa ekor ikan? Yang ini buat saya tergelak. Sampai pun belum lagi, ada ke patut ayah tanyakan berapa ekor sudah ditangkap. Hehe. Sebenarnya kami lambat sampai kerana sesat dan jalan sesak. Saya memberitahu itu kepada ayah. Lalu dibalasnya: Kalau nanti tak dapat ikan, balik pergi memancing kat pasar aje lah. Kami semua tergelak apabila saya bacakan kandungan sms dari ayah ini. Sebaik turun dari bas, baru kami tersedar bahawa kami terlajak 1 stesyen. Aduh. Berjalan kaki patah ke belakang semula. Tak jadi hal. Seronok jalan kaki ramai-ramai. Gembira je rasa.

Sebenarnya ini pertama kali saya pergi memancing di sini. Kawasan kolam yang kami kunjungi ini memang banyak ikan. Kolam ini adalah kawasan air yang disalurkan dari Sungai Moscow yang mengalir berhampiran. Kawasan ini namanya Ploshad Andropova yang terletak di Avtozavodskaya-Kolomenskaya. Kawasannya luas dan nyaman. Untuk mendapatkan feel memancing, budak-budak lelaki itu sengaja memilih kawasan yang berpokok untuk kami berkumpul. Maka, terbentanglah tikar kami yang penuh dengan segala jenis makanan. Macam nak berkelah pula. Disebabkan kami ini memancing ikan Rusia, jadinya umpan kami hanyalah roti. Kot-kot dapat menarik selera mereka, kan. Kami gunakan baton (tipikal roti tempatan). Maka selepas budak lelaki siap memasang pancing, kami pun mula memancing. Saya dan Fatt berkongsi pancing. Dan begitu juga yang lain. Berkongsi dan bergilir-gilir menunjukkan kehebatan masing-masing. Termasuklah kehebatan memasang umpan. Hoho.

Dipendekkan cerita, ikan pertama berjaya ditangkap oleh Mani. Kemudiannya diikuti oleh Fatt. Tercabarlah si Ketua Nelayan, Davai dan Mun kerana mereka ini adalah otai-otai memancing. Ada ikan lagi tak lepas tu? Haha. Tiada. Itu sajalah 2 ekor ikan yang berjaya kami tangkap untuk hari itu. Seronok memancing pada petang itu. Kami solat Asar pun di atas tikar di tepi kolam saja. Sambil menghargai nikmat musim bunga dan angin sepoi-sepoi yang datang dari arah sungai.



Inilah kami yang gigih!

Tekun sungguh Davai. Davai dan Munlah yang paling banyak taktik dan teknik untuk memancing. Malangnya, tangan mereka kurang tuah sikit untuk petang itu. Dan saya pula tidak membawa sebarang jaket. Apabila hari sudah semakin senja, angin agak kuat dan sejuk. Paan memberikan saya sweaternya. Besar gedabaklah untuk saya. Bila tiba di rumah malam itu, saya selsema dan mata pula mengalami radang kerana habuk.

Ada sesuatu yang saya puji pada junior-junior lelaki saya ini. Mereka semuanya berbudi bahasa (inikah terjemahan terbaik untuk gentlemen?). Contohnya, apabila saya mula bersin-bersin sebab agak sejuk disebabkan angin petang dan begitu juga Fatt (sebab kami berdua je yang tidak membawa jaket), Paan dan Harjit menawarkan sweater masing-masing. Sebaik meninggalkan kawasan kolam itu untuk pulang (sekitar jam 9 malam, Maghrib baru saja hendak masuk), Mani dan Mun bergilir-gilir menjadi orang yang berjalan di belakang sekali untuk keselamatan. Terima kasih semua. KS puji sikap kamu semua. Nak tahu selepas itu kami ke mana? Semasa sesat mencari arah ke tempat itu, kami ada menemui sebuah restauran makanan Jepun dan kami sempat melihat papan menu yang diletakkan di luar restauran. Harganya jauh lebih murah daripada restauran yang biasa kami pergi di Akhodny Ryad! Agaknya kawasan ini adalah di luar kawasan City Center. Kami pun apa lagi. Bagai nelayan pulang petang yang kebuluran menuju ke restauran itu dan jangan terkejut, ada seorang daripada kami yang makan sampai 5 hidangan bayarannya hanya lebih kurang RM100! Sangat murah! Dan ada yang pada mulanya berkira-kira hendak berjimat kerana takut terlebih bajet juga membuat ulangan tempahan kerana harganya memang murah dan sangat sedap. Saya sendiri makan 2 jenis makanan berkongsi dengan Emy. Saya habis tak sampai RM30. Sangatlah murah. Kami duduk di situ sampai jam 11.15. Siap solat Maghrib segala. Antara yang kami bualkan adalah tentang kampung halaman masing-masing. Paan dan Mani yang tak sudah-sudah memberikan info tentang Perak, terutamanya Ipoh dan Batu Gajah. Dan kebetulan saya dan Harjit berasal daripada tempat yang sama, kami bercerita itu ini tentang Temerloh. Kesimpulannya? Kesimpulannya ialah, Temerloh Bandar Ikan Patin yang best! Huhuhu. Jam 12.15 barulah kami sampai semula ke rumah kerana mengambil jalan jauh dengan menaiki metro.

Dan pada 1 Mei setiap tahun, di People Friendship University (PFU) akan diadakan Colours of the World. Hari di mana pelajar-pelajar dari seluruh dunia yang menuntut di PFU akan membuat pameran mempromosikan negara masing-masing. Di PFU tiada penuntut Malaysia (uni ini bukan dalam senarai JPA atau MARA). Jadi, tiada gerai pameran Malaysia. Agak rugi saya kira kerana terdapat komuniti pelajar Malaysia yang ramai di sini dan Malaysia pula mempunyai tradisi dan kesenian yang sangat cantik untuk diperkenalkan kepada ramai. Di PFU terdapat wakil daripada 114 negara di dunia. Tapi jumlah gerai yang dibuka tidak sebanyak itu rasanya. Tapi sungguh! Memang padat dan meriah di situ. Setiap negara yang punya tarian tradisional akan memasang muzik dan mereka akan terhenjut-henjut menari beramai-ramai, mengajar dan mengajak orang lain menari sekali. Cuba bayangkan jika ada Malaysia di situ. Dan cuba bayangkan jika tiba-tiba ada yang berpencak silat dan berzapin inang di situ. Pasti meriah dan menarik kerana tiada satupun tarian di dunia yang boleh menandingi atau menyerupai tarian kita. Kita sungguh unik! Tak tipu.

Kami semua 9 orang. 8 perempuan dan seorang saja laki. Di kawasan PFU, kami terserempak dengan ramai lagi rakan-rakan Malaysia yang lain. Dari uni kami mahupun dari uni yang satu lagi.

Cuba lihat. Betapa ramainya orang yang datang. Ini baru di sebelah dataran. Belum di tapak pameran dan dataran makan. Saya kan agak kureng sikit dengan orang ramai begini. Sudahnya kami berempat duduk-duduk dan melihat orang lalu-lalang saja. Sakit kepala. Nasib baik ada Pena yang tinggi yang boleh saya jadikan pelindung daripada terik. Huhu. Terima kasih ye Pena.

Kami tidak lama di sana. Sejam lebih saja. Inipun kami berpecah 3 kerana ada yang sangat gembira bergambar dan berjalan ke sana sini. Bagi yang berminat dengan barang-barang jualan, mereka menjenguk ke setiap gerai-gerai yang menarik (Iku la tu kan. Siapa lagi). Dan bagi yang lembik dan malas, kami berjalan sikit saja. Selepas tu hanya duduk-duduk saja. Selepas itu kami semua berjanji untuk berkumpul di Devi's. Sebuah kedai makanan India. Semuanya hendak makan Nasi Beriyani. Saya tidak. Makan Shezchwan Noodles aje. Itupun separuh saja. Mily yang habiskan. Pening sangat. Dalam perjalanan pulang, kami melalui semula PFU. Jam 7 petang. Semuanya telah dikosongkan. Sangat menepati masa dan kerjasama daripada polis sangat tip-top! Keselamatan sangat dititikberatkan. Tiada gaduh-gaduh bagai. Pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkan tapak sedang bekerja. Sungguh cepat dan cekap semuanya diuruskan. Mantap. Pukul 8 sudah tiba di rumah. Maghrib masih lambat. Semuanya tersadai berehat.

1 Mei juga merupakan tarikh keramat buat saya. 1 Mei 2008 telah genap kisahnya saya terbakar 15 tahun yang lalu (rujuklah entri lama). Terima kasih Allah atas nikmat umur dan nyawa yang dipanjangkan. Dan terima kasih emak ayah kerana menjaga Ngah. Ha. Siapa nak kulit cantik, jangan lupa petua kulit pisang yang pernah saya cerita dulu ye ;)

Tuesday, April 29, 2008

Aiman Mohd Shukor


Assalamualaikum wbt

Hari ini 29 April. Ulang tahun kelahiran Adik Aiman yang ke-10. Ini adik bongsu saya. Buat Adik Aiman, Selamat Hari Lahir.

Aiman merupakan adik yang paling suka request saya masak itu ini ketika di rumah. Dia jugalah yang boleh menjadi peneman terbaik untuk dibawa berjogging (mak tak bagi jogging seorang diri di Taman Tasik Temerloh *saya pun tak berani*). Dia juga peneman terbaik yang boleh saya bawa ikut membeli barang (makanan ringan) selepas berjogging. Kadang-kala, selepas berjongging kami berdua akan singgah makan roti canai di Old Town. Sangat best. Dia ini agak lembik badannya tapi hebat bertaekwando. Ada beberapa pingat yang telah dimenanginya. Tapi dia pernah patah tangan tahun lalu. Tak pasti pula saya sama ada dia masih aktif atau tidak. Rasanya masih bertaekwando lagi cuma sudah tidak seperti dulu.

Jika hari dia ada taekwando, pulang dari menjemputnya, wajiblah kami singgah di pasar tani. Wajiblah dibelikan untuknya air coconut shake sehinggakan abang di kedai itu sudah mengenalinya. Aiman suka bergambar dan akan membuat simbol peace. Dia rasa cool begitu agaknya. Hehe. Aiman seorang yang tinggi. Umurnya 10 tahun tapi sudah hampir mencecah bahu adik saya Adnan yang paling tinggi melangit di rumah itu. Dan Aiman ini manja dengan semua. Dengan emak ayah dan juga Tok dan Mak Tam.

Saya teringat dulu kami mengusiknya dengan memanggilnya sotong (sumpah Aiman. Ni Adi yang kata mula-mula tu tau). Dia sedang melukis di meja makan sambil berdiri dan kami semua pula duduk-duduk menonton TV di sofa dapur. Tiba-tiba Adi berkata: 'Cuba tengok sotong tu berdiri', kami semua menoleh. Aiman terdengarkan usikan kami. Dia melukis sambil bergenang air mata. Sebak pula saya rasa ketika itu. Dan kemudian, dia jerit kuat-kuat 'Aiman bukan sotonglah!' dan terus berlari ke biliknya dan mengunci pintu dari dalam. Sayalah yang pergi mengambil gugusan kunci pintu-pintu bilik dan kemudian memujuknya. Saya duduk di tepi katilnya dan hanya begini yang saya katakan. 'Aiman bukannya sotong, kan. Aiman tak kuat je lagi. Aiman besar sikit nanti Aiman kuatlah kan'. Terus dia kesat-kesat air mata dan ke dapur semula untuk menyambung lukisannya. Saya rasa, disebabkan inilah dia berusaha untuk membuktikan dia kuat dengan bertaekwando.

Aiman, awak memang kuat. Buktinya, awak selalu jadi peneman dua orang kakak awak ini, awak selalu jadi peneman emak di rumah, awak selalu tolong Abang Azizi dan awak selalu jagakan adik Iman untuk Mak Tam. Dan awak memang anak yang baik. Awak dengar kata, boleh diharap untuk menolong kerja rumah dan awak rajin bangun pagi sebelum Subuh masuk sebab awak hendak solat hajat terlebih dahulu. Ngah yakin, emak dan ayah sejuk hati melihat awak begini.

Selamat hari lahir Adik Aiman. Semoga awak cemerlang dalam semua yang awak ceburi. Doa Ngah pada adik-adik setiap kali ulang tahun sama saja. Semoga menjadi anak yang baik, dengar kata dan jangan tinggal solat.

Dan saya juga hendak mengucapkan Selamat Hari Lahir buat beberapa nama penting dalam hidup saya:

::Sepupu saya Farzana Che Ismail (25 April)
::Sepupu saya Syafiq Che Ismail (30 April)
::Sepupu saya Rifqa Kamarul Ariffin (30 April)
::Kawan saya yang ada signifikannya yang tersendiri Ammar Azhar (1 Mei)
::Abang kesayangan keluarga bahas kami, Abang Wan Zokhrie (3 Mei)

Dan ucapan selamat pengantin baru buat Iffah Azhar (adik Ammar) yang akan melangsungkan majlisnya pada 1 Mei ini di Doha, Qatar. Ifa, akak doakan semoga jodoh kamu berdua diberkati dan berkekalan insya Allah :) Akak dah janji nak ucap dalam Bahasa Arab. Tapi dah terlupa pula teks panjang yang akak hafal dari malam tu. Jadi pendeknya hanyalah Alf Mabruk ya ukhti :)

Thursday, March 20, 2008

Dia, Kekasih Dari Langit

Assalamualaikum wbt

Sebaik tiba dari hospital pada petang tadi, saya terus menuju ke kedai roti. Dalam perjalanan, saya terserempak dengan David, warga Israel, beragama Yahudi, kekasih kepada bekas jiran saya di Hostel Pushkin dulu. Dia senyum dan mengangkat tangan kiri tanda menyapa saya ketika berselisih. Sebenarnya, dari kejauhan lagi, saya seakan ada konflik di dalam diri. Sama ada hendak menegurnya seperti dulu atau tidak.

Sebaik berselisih, saya hanya membalas dengan senyuman kecil. Cukuplah itu saja. Dalam hati, saya masih teringat-ingat keakraban saya bersama kekasihnya, Ziva, yang berjiran selama setahun dengan saya dulu. Saya membalas senyuman itu dengan niat yang saya pusatkan hanya sekadar menjaga hubungan sesama manusia.

Selepas Maghrib tadi, saya duduk-duduk saja di atas sejadah. Hati terdetik, 12 Rabiul Awal sudah. Tarikh lahirnya seorang insan agung. Dan tak dilupa tarikh perginya insan itu meninggalkan kita semua. Dia Muhammad. Nabi Muhammad s.a.w. Terus saya teringatkan sirah baginda bersama dengan seorang Yahudi buta.

Ketika hayatnya, Rasullah tidak pernah terlepas pergi memberikan makanan pada seorang Yahudi buta yang bermukin di sudut pasar. Ketika memberikan makanan kepadanya, Rasulullah tidak henti-henti akan mendengar cercaan, hinaan dan sumpah seranah Yahudi tua itu. Sedangkan, si Yahudi itu tidak tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan orang yang dibencinya itu.

Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar datang bertemu anaknya Aisyah yang merupakan isteri baginda. Abu Bakar bertanyakan Aisyah apakah kelaziman yang Rasulullah tidak pernah abaikan. Aisyah meyakinkan bahawa tiada satupun kelaziman baginda yang tidak diketahui oleh Abu Bakar kerana ayahnya itu adalah sahabat baik suaminya Muhammad. Namun ada satu perkara yang dikhuatiri Aisyah. Lalu Aisyah mengkhabarkan perihal Rasulullah yang setiap hari membawa makanan buat si Yahudi buta itu.

Keesokannya, Abu Bakar membawa makanan menuju ke pasar dengan niat untuk menjadi penyambung kepada kelaziman Rasulullah itu. Sebaik dihulurkan makanan kepada Yahudi buta itu, dia menolak makanan itu dan berkata: Kau bukan orang yang membawakan makanan buatku setiap hari. Abu Bakar kehairanan lalu bertanya: Apa bezanya? Yahudi buta itu menjawab: Setiap kali dia datang, dia tidak pernah akan menyusahkan aku untuk mengunyah makanan ini. Dia akan menghaluskan makanan itu untukku dan kemudian menyuapkan terus ke mulutku.

Abu Bakar menangis di saat itu juga. Lalu Abu Bakar bertanya: Tahukah kau siapakah orang itu, wahai si tua? Yahudi itu menjawab tidak. Lalu Abu Bakar membalas: Dengan nama Tuhanku, juga Tuhannya, dialah Muhammad, orang yang kau keji-keji selama ini. Dan Muhammad itu sudahpun meninggal dunia.

Dengan nama Allah, di saat itu juga lelaki Yahudi buta itu menangis-nangis. Dan terus, dengan disaksikan oleh Abu Bakar, si Yahudi itu melafazkan syahadah. Tanda Tuhannya kini sama dengan Muhammad, Abu Bakar dan muslimin sekeliannya.

Selepas teringatkan kisah itu, saya rasa sedikit lega. Sungguh Yahudi itu musuh kita semua namun dalam keadaan yang tidak diancam, ambillah contoh akhlak Rasulullah untuk kita jadikan tauladan. Semoga satu hari nanti, David akan mengerti dan tidak tuli dengan keindahan akhlak Islam. Akhlak kesempurnaan cerminan peribadi Rasulullah s.a.w.

Buat Kekasihku Muhammad, kelak di akhirat kupohon diberikan syafaat. Salam rindu Ya Rasulullah.


Kekasih Dari Langit

Ada mimpi milik si ahli kitab
Juga dakwa mereka si penjaga mihrab
Dari langit nanti datangnya Nur
Nur penafi sihir si tukang tilik
Nur penyempurna di kala akhlak jahil jelik

Janji Allah pada Al-Masih
Sesudahnya dihantar seorang kekasih
Tiada tandingan wajahnya rupawan
Dihina tidak luak
Dicerca tidak berganjak
Tiada tandingan akhlaknya menawan

Nur itu dari langit
Diseru sekelian suara namanya Muhammad
Muhammad itu penghulu ummat
Muhammad itu pemberi syafaat
Sungguh, Nur itu hadiah dari langit

Muhammad itu namanya kirana
Jiwanya cahaya
Kekasih hati ummat yang bersyahadah
Kekasih terulung di sisi Allah

-Sarah, Moscow City, 190308-

Sunday, March 09, 2008

Review : Keputusan Pilihanraya 12 Negaraku Tercinta

Assalamualaikum wbt

Saya kira saya tidak perlu mengulas panjang. Semalam memang sebuah sejarah buat negara apabila 5 negeri akhirnya mendapat kepimpinan baru. Kepimpinan Barisan Alternatif. Kepimpinan Pembangkang.

Kemenangan besar PAS di Kelantan bukanlah sesuatu yang pelik. Sudah dijangkakan. Monopoli DAP di Pulau Pinang juga sudah saya jangkakan. Mungkin kerana keinginan masyarakat Pulau Pinang yang inginkan orang lain menggantikan Koh Tsu Koon sudah jelas sejak sekian lama.

Namun, perubahan yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah benar-benar di luar jangkaan saya. Ini kemenangan besar. Ini perubahan yang dinanti-nantikan. Ini sejarah dalam pentadbiran negara.

Ada 2 ironi yang saya fikir-fikirkan sejak semalam. Pertama, Pak Lah kini bergelar pembangkang di negeri sendiri. Keduanya ialah ironi pihak kerajaan menjaga baik Sabah dan Sarawak selama ini. Sebenarnya fungsi dua buah negeri ini kepada BN hanyalah sebagai penyelamat di saat kesesakan. Cuba bayangkan, tanpa kerusi majoriti sumbangan Sabah dan Sarawak, Malaysia kini sudah mempunyai sebuah pentadbiran penuh yang semuanya baru. Ok. Ini hanya imaginasi saya. Mungkin selepas ini tiba masa untuk Sabah dan Sarawak pula untuk membuat pertukaran dan perubahan. Anjakan paradigma kata politikus.

Semalam, saya khusyuk dari pagi ke tengah malam menatap Malaysiakini untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Dan saya bersama dua orang rakan di Malaysia yang turut melaporkan berita-berita terkini. Terima kasih Azwan sebab membantu saya mendapatkan keputusan terkini bersama-sama sampai ke pagi buta dan seorang lagi seorang kawan lama saya, seorang peguam yang ada memberikan sedikit info juga (dia tak baca blog ni rasanya). Cuba bayangkan, makan dan belajar semuanya di depan laptop. Gara-gara menunggu keputusan Pilihanraya 12.

Majoriti 2/3 juga telah dihapuskan oleh pembangkang. Ramai yang sujud syukur kerana sekarang sudah semakin ramai suara yang boleh membela rakyat di dalam Parlimen (baca: KJ dan Adnan Yaakob tak boleh sesuka hati buat pasal). A good check and balance. Dan saya yakin, doa dan harapan rakyat Malaysia kini ialah untuk melihat perubahan ini adalah perubahan yang positif. Yang boleh membawa manfaat buat semua. Ini bukan satu eksperimen tapi inilah doa dan harapan yang diharap-harapkan.

Malam tadi saya sujud syukur sebab kepimpinan ulama diakui oleh rakyat Kedah pula. Saya nak pindah duduk Kedahlah pula. Ups. Saya lupa. Saya ada kampung di Pulau Pinang (kawasan Pak Lah nun) dan di Sungai Petani. Ya. Saya nak jadi orang Kedah! Hehe.



Dan hari ini, 9 Mac 2008, kawan baik saya sewaktu sekolah rendah di Pusat Pengajian Islam Al-Mukmin telah selamat mendirikan rumah tangga. Tahniah buat Siti Hajar Mohd Yasin. Sebenarnya saya sudah terputus hubungan dengannya sejak dia berpindah sekolah di hujung darjah 1. Langsung tidak dengar berita. Sehinggalah di hujung tahun lepas saya terjumpa sebuah blog rahsia yang rupa-rupanya adalah milik Hajar. Blog yang menjadi tempat luahan hati Hajar pada seorang lelaki tanpa lelaki itu ketahui. Dan pada hari ini, selamat sudah Hajar menjadi isteri yang sah buat Mohd Idham (ED) di Tronoh. ED, itulah nama yang tersurat di blog rahsia itu. Menurut Hajar, sebulan lebih lepas mula menulis blog rahsia itu, ED menghubunginya dan ikatan pertunangan terikat. Dan kini, 4 bulan selepas segalanya berlaku, mereka telah bergelar suami isteri. Kerja Allah. Itulah jawapan mereka berdua ketika saya menelefon mengucapkan tahniah petang tadi. Selamat berbahagia buat Hajar dan ED.

Wednesday, January 09, 2008

Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

Buat muslimin semua, SALAM MAAL HIJRAH 1429. Jangan lupa ditutup tahun ini dengan bacaan doa akhir tahun dan dibuka tahun baru dengan doa awal tahun. Semalam saya melapangkan masa mengkaji semula kisah pembukaan Kota Constantinople. Semangat Sultan Muhammad Al-Fateh perlu kita contohi. Sejak akil baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud. Lantas menjadikan beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. "Sebaik-baik pemimpin adalah sebaik-baik tentera dan rakyat" Itulah dia Sultan Muhammad Al-Fateh [untuk rujukan, ada banyak buku dan website. Tapi yang teringkas yang boleh difahami untuk rujukan: sini]. Jika dalam usia muda beliau sudah boleh mengetuai batalion perang dan pintar sekali akalnya, malulah kita yang semakin menginjak usia tetapi masih kurang pengorbanan buat agama. Sudah punya azam? Saya ada 11 tapi saya khuatir ada yang tidak tercapai. Hmm.

Nota 1: Maaf ya saya tidak dapat menjenguk rumah kawan-kawan semua sangat. Saya demam pula di kemuncak musim sejuk ini. Selepas makan malam semalam, saya terus tidur. Bangun di tengah malam untuk solat Isyak dan makan ubat sahaja. Lepas ini mahu sambung tidur semula. Sakit itu kafarah dosa kan :)

Nota 2: Uncle KS, lagu LOST ini buat KS dan isteri. Semoga tabah dan ceria selalu :)

Nota 3: Cinta saya pula di platform minyak kot, bukan di Platform 5. Ngeehee~ (Nak jugak tu! Adeh) v(^_^)v

Tuesday, January 01, 2008

Menjadi Insan Berguna


Assalamualaikum wbt

Menulis tajuk entry saja sudah membuatkan saya tergelak. Bukannya apa. Bunyinya seperti saya hendak memberi motivasi. Padahal, itulah tema yang saya berikan untuk cuti kali ini. Cewah.

2 hari lepas, saya mengemas bilik, ruang tengah, tandas dan menggilap cermin-cermin yang ada. Hari ini pula, saya, Pena dan Fatt mencuci dapur, membersihkan peti ais, menyusun atur semula sususan perabot di dapur dan malam nanti saya hendak membuat cucur udang. Esok saya hendak ke Ikea. Mencari sebuah almari baru untuk dapur. Alang-alang, bolehlah saya ber-ice skating di Mega. Ya. Wajib jika tidak ramai orang. Terasa seperti orang malas saja jika duduk di rumah.

Menjadi insan yang berguna juga maksudnya saya menjadi orang yang tidak membazir makanan. Apa tidaknya. Asyik makan saja kerjanya. Matilah saya macam ni! Petang dan malam pula saya menghabiskan masa membaca buku-buku yang dibeli itu. Sekali dah menghadap buku, jangan harap saya pandang orang keliling.

Oh ya. Saya suka melihat sambutan tahun baru dari atas katil saya malam tadi. Menghadap ke langit dari katil, saya dapat melihat bunga api yang berwarna-warni. Indahnya (walaupun saya tidak dapat melihat bunga api di Putrajaya :p ). Suasana di luar bangunan hostel juga meriah. Kerana bagi orang tempatan, mereka lebih menyambut tahun baru berbanding Krismas. Kalaupun mereka hendak menyambut Krismas, sambutannya adalah pada 7 Januari kerana mengikut kiraan Orthodox (14 hari lebih lewat daripada Katolik). Kenapa mereka lebih meriah menyambut tahun baru dan kurang meyambut perayaan agama adalah antara kesan ideologi Komunisme satu masa dulu yang menyebabkan orangnya gila kerja dan kurang beragama.

Jadi, cuti tahun baru secara rasminya di sini adalah sehingga 10 Januari. Untuk memberi peluang mereka menyambut tahun baru dan Krismas. Malah, atas suara pekerja yang besar dan berkuasa, gedung-gedung perniagaan yang besar dan kompleks membeli-belah juga ditutup pada 1 Januari. Hebat sungguh suara pekerja di sini. Jika di Malaysia, pada 1 Januari itulah lagi ramai yang hendak keluar membeli-belah di tempat-tempat sebegini kan. Dan pada 25 Disember pula, tiada cuti disediakan. Pelikkan? Tapi inilah kalendar Orthodoxisme yang mereka gunakan.

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

77) Teman sejati ialah orang yang mencintaimu meskipun telah mengenalimu dengan sebenar-benarnya iaitu baik dan burukmu.

Monday, December 31, 2007

Selamat Tahun Baru Masihi 2008


Assalamualaikum wbt

Tahun Masihi 2007 telah sampai ke hujungnya. Begitu juga dengan Tahun Hijrah 1428 yang akan berinjak tidak lama lagi. Tahun yang membawa pelbagai cerita dalam hidup saya. Tahun yang menyaksikan turun naik saya.

Sepanjang tahun ini, secara keseluruhannya prestasi pelajaran saya di tahap yang cemerlang. Alhamdulillah. Kualiti masa saya juga cemerlang. Lagi sekali Alhamdulillah. Cuma mungkin emosi yang boleh saya sifatkan sebagai baik sahaja. Biasalah. Kadang-kala mood kita baik, kadang-kala tidak. Semoga saya lebih bijak mengawal emosi sesuai dengan umur yang akan meningkat naik.

Sebelum ini hidup saya banyak bersendiri dengan dunia saya yang hanya ada buku-buku dan karya-karya saya. Sejak datangnya tahun 2007, saya telah mengenali ramai kenalan baru dan ada yang saya hargai kehadiran mereka sebagai sahabat-sahabat dan istimewa. Mimie Azrin, Mimi Amilia, Ryn, Azah, Athirah, Azwan, Yasir, Dr. Am, Oneib, Faisal, Cik Ati (yang rupa-rupanya ialah ibu saudara sahabat baik saya), Alif Anwar Si Anak Singa, Fathiyyah dan juga Wan Mohd Hidayat. Sungguhpun kamu semua jauh, tetapi terasa dekat sekali di hati. Setiap hari mesti saya teringatkan kamu semua tau =) Sebenarnya, lebih kurang 2 bulan yang lepas, baru saya tersedar betapa diskripsi tentang blog ini (Di sinilah titik kasih ditemukan, di sini jua aku curah segala) adalah sangat tepat untuk blog ini, untuk diri saya. Ya. Sangat tepat.

Dan tahun ini juga menyaksikan banyak duka yang terpaksa saya hadapi. Yang terhebat saya rasakan ketika dihimpit isu blog lebih kurang sebulan yang lalu. Terima kasih Cikgu Jawe kerana Cikgulah yang paling banyak memberikan nasihat dan semangat kepada saya.

Setiap kali datangnya tahun baru, saya sentiasa punya azam yang tersendiri. Tapi saya tidak spesifikkan. Sebaliknya saya suka azam saya berbentuk menyeluruh. Saya harap tahun 2007 akan terus menyaksikan saya mencipta kejayaan dalam pelajaran dan memandangkan pada bulan September nanti saya akan menempuh tahun akhir saya di sini, saya harap fokus saya akan berlipat kali ganda lebih tinggi. Saya tidak mahu kalah kepada tuah!

Buat semua, Selamat Tahun Baru Masihi 2008. Semoga kejayaan duniawi mengiringi kita semua dan kemantapan iman dan taqwa menjadi target yang tidak dikesampingkan.

Aaa... Saya bakal menambah usia! Ada apa pada nombor kan. Yang penting, muda jiwa =)


Nota:
Semalam saya sempat online bersama 2 orang kawan. Kedua-dua mereka ada bertanya soalan yang sama, tiada kad jemputan yang bakal menyusul ke tahun 2008 ni. Jawapan saya juga sama, kad jemputan ke hari kantin sekolah adik adalah. Huhu. Saya belum nak kawin lagilah. Meh kasi calon meh. Kelakar betul mereka-mereka itu =) Adios 2007!

Nota 2: Jangan lupa mulakan hari esok dengan doa pagi dan Ma'thurat. Moga-moga berkat tahun 2008 kita =)

Saturday, December 01, 2007

Selamat Setahun

Assalamualaikum wbt

Pagipun menjelma seperti biasa. Malam semalam saya tertidur lewat walaupun berhajat mahu tutup mata seawal mungkin. Lain yang dirancang, lain pula yang jadi. Jam sudah 2 pagi lebih, saya masih terkebil-kebil di atas katil. Jadi saya kunci jam untuk bangun jam 6.15. Nafsu penuh dalam hati tuntut suruh tidur secukupnya. Sedangkan Subuh masuk sekitar 6.10 pagi lebih kurang. Sarah... Sarah...

Tapi, tepat jam 6, saya sudah terjaga. Jam badan. Sudah terlekat dengan angka 6 agaknya. Cuba ditutup mata semula, memang tidak boleh. Saya bergegas bangun, mengemas katil setegang-tegangnya dan beredar ke bilik air. Harus mandi sekarang juga. Kalau tidak, nanti tidak segar. Tapi sejuk!

Selesai mandi, masih di bilik air, saya tersedar bahawa cincin hadiah daripada emak di jari manis tangan kanan tiada. Tertunduk-tunduk saya mengintai lubang air. Tiada. Sedih. Sangat sedih. Cincin itu emak bagi selepas SPM. Beserta rantai lama sewaktu kecil-kecil dulu yang diwajahbarukan dengan sebuah loket hati. Hiba. Sayu. Longlai saya melangkah keluar dari bilik air. Bertahun-tahun sudah cincin itu bersama saya.

Saya terus solat Subuh dan berdoa memujuk hati supaya redha. Nanti akan saya khabarkan pada emak kisah cincin yang hilang ini. Apalah kata emak agaknya ya. Sesudah Subuh, saya berteleku di luar bilik membaca Al-Ma'thurat. Hari ini hari Jumaat. Al-Ma'thurat Kubra. Saya selalu menasihati seseorang supaya banyakkan berselawat pada hari Jumaat. Tapi hari ini saya tidak menghubunginya. Tak mengapalah. Didoakan dia ingat selalu. Setelah melipat telekung dan memasak air di dapur, saya masuk ke bilik semula. Di luar tingkap, suasana masih gelita. Gelap lagi. Jam sudah bergerak ke jam 7.25. Saya menyentuh tilam dan menggerakkan tangan ke seluruh tilam. Dengan harapan cincin itu masih ada.

Tiba-tiba saya tersentuh sesuatu. Ya. Cincin itu. Saya terus sarung ke jari. Dengan kuat sekali. Pertama kerana gembira menemuinya kembali. Kedua kerana tidak mahu ia hilang lagi. Lalu saya terfikir. Macam mana cincin itu boleh terurai daripada jari?

Sebelum ini, saya memakai cincin itu di jari tengah tangan kiri. Tapi sudah terlalu longgar. Sampai boleh terjatuh dengan sendiri. Jadi memandangkan saya menulis dengan tangan kanan dan jari-jari di tangan kanan pastilah besar sedikit daripada tangan kiri, saya menukarnya dan memakai di jari manis tangan kanan. Ini semua gara-gara sakit ketika bulan puasa dulu. Berat jatuh. Tangan pun menyusut agaknya. Tapi saya tidak sangka pula di tangan kanan juga akan semakin longgar.

Nampaknya, saya perlu menyimpan cincin ini. Ada rezeki, bergantilah yang baru nanti, Insya Allah.

Pulang dari kelas mengarut yang membincangkan ketuhanan-ketuhanan yang pelbagai dalam sejarah perubatan Greek dan Rom petang tadi (Medical History), kawan-kawan berperang salji. Snow fight. Saya menjadi pihak berkecuali. Mereka kasihankan saya mungkin. Masih batuk-batuk kecil. Sudah setahun tidak begini. Kali terakhir kami sekumpulan mengganas di jalanan dengan salji-salji adalah sekitar Disember 2006 yang lalu. Iya. Setahun sudah.

Dan hari ini 1 Disember 2007. Mungkin tiada siapa yang sedar. Tapi hari ini dalam sejarah. Kerana selamat setahun yang lalu, rasmilah sudah hidup saya ditemani dunia saya ini. Kebetulan, tadi ada pula yang bertanyakan soalan: Bilakah saya mula hidup dengan dunia ini? Jawapan saya berkias. Di akhirnya baru saya nyatakan tentang ulang tahun saya dengan dunia saya ini. Ya. My World. Inilah dunia saya. Seikhlasnya inilah dunia saya. Selain kelas. Selamat Setahun. Semoga terus setia menjadi dunia saya, menemani saya menuju hari muka. Saya sayang dunia saya :) Boleh tak jika saya ucapkan Selamat Berkonvokesyen untuk Dunia Saya ini? Ya. Boleh. Jadi, Selamat Berkonvokesyen wahai Duniaku.

Monday, May 14, 2007

Happy Birthday Ayah

Assalamualaikum wbt

To my beloved Ayah
Tuan Hj. Mohd Shukor Hj. Mahamud


When I was just a little kid
I sat on my dad
Listening to his story
And his simple solawat
I was wondering why he is good at storying
And why I am good at crying
In my memory
I keep the feeling of crying to him
When he was feeding the ducks of him
He nailed me to the farm
To see the pond and the plumps
There were rabbits
There were chickens
And there were quails
I went there seldom
Whenever sad and bored mingled at home
But I found the freedom
Then came back home on my dad's shoulders
Happy with no more tears

He rushed me to doctor
When I was sick
He gave me watercolor
When I was six
He cheered my sport
When I was twelve
He supported my debate
When I was a teen
He said yes
When I said I'm flying
And he prays a lot
For my best doing

I tell him everything
To share my feeling
I keep away worry
So he will be happy
I sketch my dreams
He said just follow your stream
I say him thank you
He laughs and grins too

I told him that he is handsome
He replied he knows that he is warm
I asked why he now has belly
He said because he now is happy
I pointed to his gray hair
He smiled and said I'll leave you someday

He is my hero
He is my life
I love you so
Very-very much

Happy Birthday Ayah

May Allah bestow Ayah with rahmah and mardhatillah
May Allah guide Ayah through
May Allah love Ayah more
May Allah grant Ayah goodness
May Allah reserve Ayah a place in Jannah

Love loads
Your dearest Ngah



__________________________________________________

Hari buat dia:

3)
Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.

Sunday, May 13, 2007

Ibu oh Ibu...

Assalamualaikum wbt






“Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada ibu bapanya kerana ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungkannya serta menyusuinya dalam tempoh 30 bulan.....”

(Al-Ahqaaf:15)







Pernahkah kita terfikir akan keperitan dan lelahnya proses ibu kita mengandungkan kita selama 40 minggu? Pernahkah terlintas di minda kita akan pengorbanan ibu kita yang menjadi teman terbaik, malah teman berkongsi makan dan bermain ketika kita bergelar janinnya? Barangkali kita terlepas pandang akan hal ini.


Sedari kecil, kita disusui, disuap makan dan minum, dipimpin tangan ketika berjalan, didodoi untuk tidur dan dibiayai untuk mendapat pendidikan yang terbaik dalam hidup kita. Sekalipun ada di antara kita tidak dibesarkan dengan limpahan kemewahan, namun sedarilah kita betapa hakikatnya, ibu bapa kita sangat berusaha untuk memberikan keselesaan yang terbaik untuk kita semua.


Tetapi apabila kita meningkat remaja, tanpa kita sedari, kita semakin berani ‘memijak’ kepala mereka. Meninggikan suara kepada mereka menjadi perkara biasa. Memberi alasan dan dalih adalah lumrah. Semakin sedih apabila ada yang mula berani
menipu, mengherdik dan menghina wanita bernama ibu itu. Na’uzubillahi min zaalik.


Allah swt berfirman dalam surah Al-Israa’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah menetapkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah berumur lanjut dalam memeliharamu, janganlah kamu katakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka. Dan ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.”


Cuba kita imbas kembali bahasa harian dalam perbualan kita dengan ibu mahupun bapa kita. “Alah, nantilah dulu”, “Kejap lagilah mak”, “Takkan makan lauk ni lagi”, “Huh, nape lambat sangat jemput. Panas ni”. Kalau bisa untuk kita hitung setiap kekerasan bahasa yang telah kita gunakan selama hayat kita bergelar seorang anak, bagi hati yang benar-benar menyesali apa yang telah dilakukan, pasti boleh mengalir air mata kita apabila terkenangkan hal ini kerana betapa telah tertulis di dalam buku amalan kita bahawa kita pernah mengasari ibu bapa kita walaupun hanya dengan lidah.






“Dan turunkanlah sayapmu dengan rasa merendah diri terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang...”

(Surah Al-Israa’: 15)




Dalam Surah Al-Israa’ ayat 15, Allah telah memberikan panduan kepada kita untuk menyantuni ibu bapa kita dengan sebaiknya. Terdapat pelbagai cara untuk kita menzahirkan kelembutan dan kasih sayang kita buat mereka. Sekaligus, dalam masa yang sama, kita sebenarnya telahpun menyempurnakan sebahagian daripada tanggungjawab kita dengan berbuat demikian. Antaranya:

- Hormat dalam ucapan dan perbuatan

- Menundukkan diri di hadapan mereka

- Menjaga maruah dan nama mereka

- Mengutamakan kepentingan ibubapa daripada yang lain

- Tidak meninggikan suara di hadapan mereka

- Berterima kasih kepada mereka

- Mendoakan kesejahteraan mereka

- Memohon kasih sayang Allah untuk mereka

- Memenuhi keperluan mereka pada usia lanjut

- Membantu usaha ibu bapa (termasuklah mencapai kejayaan untuk mereka)

- Tidak masuk ke bilik mereka tanpa izin

- Tidak mendendami mereka

- Tidak menyusahkan hati mereka

- Sentiasa mendoakan keampunan ke atas ibu bapa kita

Sama ada sedar atau tidak, dalam setiap agama dan bangsa di dunia ini pasti mempunyai teladan yang mengisahkan anak dan ibu. Contohnya kisah Saidina Al-Qamah dan ibunya, yang mementingkan isteri lebih dari ibu, hanya dapat menghembuskan nafas terakhir dengan tenang setelah mendapat keampunan ibunya. Paling tidakpun kisah Si Tenggang yang menjadi batu kerana menderhakai ibunya. Bagi perempuan pula, sudah pasti ramai yang mendengar kisah akan kesusahan dan kesakitan yang amat azab ketika bersalin sempadan dari kisah-kisah mereka yang menderhakai ibu sendiri.


Kesimpulannya, sangat mudah di dunia ini Allah izinkan kita untuk menyemai bakti buat ibu juga bapa kita, dan dalam masa yang sama, tanpa kita sedari, ada banyak juga ruang dan peluang yang menyebabkan kita menyakiti mereka. Sempena Hari Ibu kali ini, marilah kita sama-sama mendoakan keampunan dan kesejahteraan khas buat ibu kita agar hidup mereka kekal dirahmati Allah dan hidup kita juga dilimpahi redha-Nya. Amin...


“Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua ibu bapaku. Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu kecilku”


Buat emak yang sangat saya sayangi, Pn. Noor Azimah Binti Kamaruddin, Selamat Hari Ibu. Semoga emak dirahmati Allah selalu.



Salam Sayang,
Ngah, Moscow

_____________________________________________

Hari buat dia:

2) Tawadhu' ialah apabila setiap kali seseorang berjumpa dengan seorang muslim yang lain, ia menyangka bahawa orang itu lebih baik daripada dirinya.