Showing posts with label Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Rasulullah. Show all posts

Thursday, March 20, 2008

Dia, Kekasih Dari Langit

Assalamualaikum wbt

Sebaik tiba dari hospital pada petang tadi, saya terus menuju ke kedai roti. Dalam perjalanan, saya terserempak dengan David, warga Israel, beragama Yahudi, kekasih kepada bekas jiran saya di Hostel Pushkin dulu. Dia senyum dan mengangkat tangan kiri tanda menyapa saya ketika berselisih. Sebenarnya, dari kejauhan lagi, saya seakan ada konflik di dalam diri. Sama ada hendak menegurnya seperti dulu atau tidak.

Sebaik berselisih, saya hanya membalas dengan senyuman kecil. Cukuplah itu saja. Dalam hati, saya masih teringat-ingat keakraban saya bersama kekasihnya, Ziva, yang berjiran selama setahun dengan saya dulu. Saya membalas senyuman itu dengan niat yang saya pusatkan hanya sekadar menjaga hubungan sesama manusia.

Selepas Maghrib tadi, saya duduk-duduk saja di atas sejadah. Hati terdetik, 12 Rabiul Awal sudah. Tarikh lahirnya seorang insan agung. Dan tak dilupa tarikh perginya insan itu meninggalkan kita semua. Dia Muhammad. Nabi Muhammad s.a.w. Terus saya teringatkan sirah baginda bersama dengan seorang Yahudi buta.

Ketika hayatnya, Rasullah tidak pernah terlepas pergi memberikan makanan pada seorang Yahudi buta yang bermukin di sudut pasar. Ketika memberikan makanan kepadanya, Rasulullah tidak henti-henti akan mendengar cercaan, hinaan dan sumpah seranah Yahudi tua itu. Sedangkan, si Yahudi itu tidak tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan orang yang dibencinya itu.

Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar datang bertemu anaknya Aisyah yang merupakan isteri baginda. Abu Bakar bertanyakan Aisyah apakah kelaziman yang Rasulullah tidak pernah abaikan. Aisyah meyakinkan bahawa tiada satupun kelaziman baginda yang tidak diketahui oleh Abu Bakar kerana ayahnya itu adalah sahabat baik suaminya Muhammad. Namun ada satu perkara yang dikhuatiri Aisyah. Lalu Aisyah mengkhabarkan perihal Rasulullah yang setiap hari membawa makanan buat si Yahudi buta itu.

Keesokannya, Abu Bakar membawa makanan menuju ke pasar dengan niat untuk menjadi penyambung kepada kelaziman Rasulullah itu. Sebaik dihulurkan makanan kepada Yahudi buta itu, dia menolak makanan itu dan berkata: Kau bukan orang yang membawakan makanan buatku setiap hari. Abu Bakar kehairanan lalu bertanya: Apa bezanya? Yahudi buta itu menjawab: Setiap kali dia datang, dia tidak pernah akan menyusahkan aku untuk mengunyah makanan ini. Dia akan menghaluskan makanan itu untukku dan kemudian menyuapkan terus ke mulutku.

Abu Bakar menangis di saat itu juga. Lalu Abu Bakar bertanya: Tahukah kau siapakah orang itu, wahai si tua? Yahudi itu menjawab tidak. Lalu Abu Bakar membalas: Dengan nama Tuhanku, juga Tuhannya, dialah Muhammad, orang yang kau keji-keji selama ini. Dan Muhammad itu sudahpun meninggal dunia.

Dengan nama Allah, di saat itu juga lelaki Yahudi buta itu menangis-nangis. Dan terus, dengan disaksikan oleh Abu Bakar, si Yahudi itu melafazkan syahadah. Tanda Tuhannya kini sama dengan Muhammad, Abu Bakar dan muslimin sekeliannya.

Selepas teringatkan kisah itu, saya rasa sedikit lega. Sungguh Yahudi itu musuh kita semua namun dalam keadaan yang tidak diancam, ambillah contoh akhlak Rasulullah untuk kita jadikan tauladan. Semoga satu hari nanti, David akan mengerti dan tidak tuli dengan keindahan akhlak Islam. Akhlak kesempurnaan cerminan peribadi Rasulullah s.a.w.

Buat Kekasihku Muhammad, kelak di akhirat kupohon diberikan syafaat. Salam rindu Ya Rasulullah.


Kekasih Dari Langit

Ada mimpi milik si ahli kitab
Juga dakwa mereka si penjaga mihrab
Dari langit nanti datangnya Nur
Nur penafi sihir si tukang tilik
Nur penyempurna di kala akhlak jahil jelik

Janji Allah pada Al-Masih
Sesudahnya dihantar seorang kekasih
Tiada tandingan wajahnya rupawan
Dihina tidak luak
Dicerca tidak berganjak
Tiada tandingan akhlaknya menawan

Nur itu dari langit
Diseru sekelian suara namanya Muhammad
Muhammad itu penghulu ummat
Muhammad itu pemberi syafaat
Sungguh, Nur itu hadiah dari langit

Muhammad itu namanya kirana
Jiwanya cahaya
Kekasih hati ummat yang bersyahadah
Kekasih terulung di sisi Allah

-Sarah, Moscow City, 190308-

Tuesday, April 03, 2007

Rindu Dengan Sangat



Rindu Dengan Sangat
Siti SarahMohd Shukor

Dalam subuh Rabiul Awal yang suram
Jazirah Arab yang sunyi, diam
Gempita tiba melawat sekelian alam
Gembira menyambut tibanya penyampai kalam
Lantas sumur api Kisra Parsi turut padam
Hening, tenang
Kerana lahirnya
Rasul agung si yatim yang terbilang.

Lahirnya dijanjikan
Munculnya dinantikan
Teruja si pendita mendengar khabaran
Terbitlah sudah matahari buat zaman
Buat menjadi pedoman tauladan
Buat umat yang bergelar insan
Hemah budi menjadi pujian murni
Bening mata memandang penuh rasa cinta di hati
Bijak tindaknya bagai seorang rahib
Kias sempurna anugerah dari ilahi
Tak kusut dek umpan dunia
Tak hanyut dek laguan wanita
Tak lurut dek ugutan Quraisy durjana
Sungguh demi Tuhan!
Dia buta huruf!
Dia ummi!
Dia ummi!

Junjungan mulia itu
Bukan sebarang insan
Junjungan mulia itu
Bukan orang buangan
Junjungan mulia itu
Seorang calon pilihan
Juangnya tiada tara
Takutnya di hati bukan pada manusia
Bertahun tohmah mehnah iringi
Uliti jalan yang dipilih, terpilih
Kau Al-Amin
Si ummi pilihan tujuh langit
Bergema Arasy berselawat padamu
Tatkalau Si Jahal dan Lahab mengherdik menyiat hatimu.

Kini sepi dunia tanpamu bersama
Kosong. Lengang. Sunyi.
Bagai kau pergi tanpa tanda
Salahkah dirimu tersurat telah pergi?
Salahkah diriku abaikan wasiat buat ummati?
Atau salahkah mereka memuja melodi dunia kini?

Ya Nabi Allah!
Aku bukan Ali yang wajahnya dimuliakan Allah
Aku bukan Al-Farisi yang gagah berjihad di medan Yarmuk
Aku bukan juga Aishah yang bisa mengalun syair pembakar semangat muslimin
Aku tidak juga setanding Rabiatul Adawiah
Pencinta sejati, Ar-Rahman dan engkaulah kekasih hati
Aku bukan mereka
Aku bukan di sana.

Aku budak kecil yang besar rindu padamu
Aku orang besar yang kerdil jahil di sisimu
Aku hamba dunia yang paling hodoh menanti syafaatmu
Aku wanita tua yang tercari-cari suaramu
Aku lelaki berkusta, jijik di mata manusia
Tapi aku tahu kau menantiku di sana.

Ya Rasulullah
Rinduku sepenuh dada
Rinduku tak terucap dengan kata
Rinduku tak tertulis dengan pena
Rinduku sakit tak tertanggung dek jiwa
Rindu, Ya Allah
Rindu kekasihmu, Al-Malik
Rindu cintamu, Al-Salam.

Ya Allah
Aku rindu dengan sangat
Aku rindu dengan hebat
Kekasihmu pemberi syafaat
Cinta yang ku damba kelak di akhirat.

Rindu aku tak terucapkan
Sayang aku tak tergambarkan.

Khas buat Mama Sarah dan Ayah. Persembahan yang sangat dhaif kerana terpaksa rela. Ibarat hanya membaca lirih tanpa sebarang nada deklamasi. Sudah lama tak mendeklamasikan sajak di depan orang ramai. Lebih 8 tahun sudah. Makanya, expresionless! Semoga motif rindu buat Rasulullah dalam sajak ini dapat dihayati bersama.

Sunday, April 01, 2007

Salam Rindu Ya Rasulullah


Salam wbt

Semalam, sempena Maulid Nabi 1428H, PPIM-MMA menganjurkan Majlis Sambutan Maulidul Rasul bertemakan Salam Rindu Ya Rasulullah. Sejak seminggu sebelum majlis, barisan Majlis Tertinggi PPIM-MMA yang ditunjangi oleh para nuqaba' dan naqibat telah bertungkus lumus menjayakan Di Ambang Maulidmu.

Sepanjang minggu ini, beberapa pertandingan telah dijalankan dalam usaha untuk menghidupkan kepekaan kita semua terhadap kisah hidup Nabi Muhammad saw dan perjuangan baginda. Antaranya ialah pertandingan teka silang kata yang telah mendapat sambutan hangat di kalangan warga Spartiv. Panel juri terdiri daripada Wanie (naqibah) dan Emy (SU PPIM-MMA). Soalan-soalan yang telah disediakan sungguh telah berjaya mencabar memori kita semua tentang sirah junjungan agung kita itu. Sungguhpun begitu, mewakili pihak penganjur, saya ingin meminta maaf atas sedikit ralat kesilapan pada borang penyertaan tersebut. Tetapi saya yakin, ramai yang masih boleh menyelesaikan soalan-soalan tersebut sungguhpun terdapat kesilapan yang tidak disengajakan. Pemenang utama telah dimenangi oleh pelajar tahun kedua, Ili Abdullah Sharin yang telah menyertakan slogan berbunyi: Bagi saya, Rasulullah adalah semulia-mulia manusia dan saya berharap saya tidak akan memalukan baginda untuk diakui ummat di akhirat nanti. Tampak sangat bersahaja tetapi sangat mendalam maksudnya.

Juga turut diadakan pertandingan sajak bertemakan Rasulullah sebagai ikon. Panel juri terdiri daripada Khairil Idham Ismail, pelajar tahun kelima di Russian State Medical University (RSMU) yang merupakan orang hebat dalam bidang penulisan, bersama-sama saudari Nur Firdaus, juga pelajar tahun kelima di RSMU, yang merupakan
ahli aktif di dalam Gabungan Penulis Luar Negara (GPLN). Maka atas persetujuan penulis-penulis sajak yang terlibat, mereka telah membenarkan saya untuk menyiarkan sajak-sajak tersebut di dalam blog ini (dalam entry yang seterusnya). Kesemuanya ada 5 buah sajak terbaik.

Tepat jam 9.00 malam, majlis dimulakan dengan mendengar ceramah yang bertajuk:
Kehidupan di Moscow dan perkaitan dengan kehidupan Rasulullah saw yang telah disampaikan oleh En. Abdul Halim, pelajar di Moscow Aviation Institute yang sedang menyelesaikan tesis untuk PhD. Ada 10 pengajaran hidup yang telah disenaraipendekkan oleh beliau. Namun bagi saya pengajaran hidup yang ke-8 dan ke-9 adalah yang paling terkesan di hati. Hidup ini adalah satu pengembaraan dan matlamat akhir adalah destinasi kekal yang menjadi saksi penilaian Allah dan seluruh langit ke atas setiap tingkah dan amal kita sewaktu bermusafir di dunia. Dan untuk selamat di dalam pengembaraan ini, kita perlukan hidayah untuk memastikan jalan yang kita pilih adalah benar dan tidak menyesatkan kita. Dengan itu, kita memerlukan bimbingan daripada Allah yang telah disandarkan kepada Rasulullah melalui Al-Quran (rujuk: Surah Al-Fatihah:6). Inilah dua pengajaran hidup yang benar-benar telah terkesan di hati.

Seterusnya diikuti dengan pertandingan kuiz yang telah diacarakan oleh Aizat Sabri yang sangat mendapat sambutan. 8 orang peserta telah berjaya menjawab soalan-soalan yang disediakan. Diselangi dengan bacaan kata-kata hikmah yang dibacakan oleh pengerusi majlis pada malam ini iaitu Rafeeq Azlan.

Mengikut aturcara yang disediakan, sebenarnya akan diadakan persembahan nasyid oleh pelajar-pelajar lelaki tahun kedua namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, persembahan tersebut dibatalkan. Oleh itu, bagi mengisi satu slot yang telah dipinda ini, deklamasi sajak telah dijadikan galang ganti. Dan tidak semena-mena juga, saya telah 'terpaksa' ke hadapan mendeklamasikan sajak yang bertajuk Rindu Dengan Sangat. Ada yang menangis ketika sajak itu dibacakan.

Selepas itu, dikuti pula dengan acara penyampaian hadiah buat peserta-peserta yang telah menyertai pertandingan-pertandingan yang telah disediakan dan disempurnakan dengan bacaan doa oleh En. Abdul Halim. Majlis diakhiri dengan jamuan makan yang diadakan secara pot-luck ala buffet. Majlis pada malam ini turut disertai oleh beberapa rakan dari Tunisia, Syria dan Mesir.

Salam rindu buatmu Ya Rasulullah...
Semoga wajah-wajah kami menjadi perhatianmu di akhirat nanti...

Selamat Hari Lahir yang ke-20, EMY! (31 Mac) Semoga diberkati Allah sentiasa =)


(gambar-gambar akan disertakan kemudian)