Salam wbt
Semalam, sempena Maulid Nabi 1428H, PPIM-MMA menganjurkan Majlis Sambutan Maulidul Rasul bertemakan Salam Rindu Ya Rasulullah. Sejak seminggu sebelum majlis, barisan Majlis Tertinggi PPIM-MMA yang ditunjangi oleh para nuqaba' dan naqibat telah bertungkus lumus menjayakan Di Ambang Maulidmu.
Sepanjang minggu ini, beberapa pertandingan telah dijalankan dalam usaha untuk menghidupkan kepekaan kita semua terhadap kisah hidup Nabi Muhammad saw dan perjuangan baginda. Antaranya ialah pertandingan teka silang kata yang telah mendapat sambutan hangat di kalangan warga Spartiv. Panel juri terdiri daripada Wanie (naqibah) dan Emy (SU PPIM-MMA). Soalan-soalan yang telah disediakan sungguh telah berjaya mencabar memori kita semua tentang sirah junjungan agung kita itu. Sungguhpun begitu, mewakili pihak penganjur, saya ingin meminta maaf atas sedikit ralat kesilapan pada borang penyertaan tersebut. Tetapi saya yakin, ramai yang masih boleh menyelesaikan soalan-soalan tersebut sungguhpun terdapat kesilapan yang tidak disengajakan. Pemenang utama telah dimenangi oleh pelajar tahun kedua, Ili Abdullah Sharin yang telah menyertakan slogan berbunyi: Bagi saya, Rasulullah adalah semulia-mulia manusia dan saya berharap saya tidak akan memalukan baginda untuk diakui ummat di akhirat nanti. Tampak sangat bersahaja tetapi sangat mendalam maksudnya.
Juga turut diadakan pertandingan sajak bertemakan Rasulullah sebagai ikon. Panel juri terdiri daripada Khairil Idham Ismail, pelajar tahun kelima di Russian State Medical University (RSMU) yang merupakan orang hebat dalam bidang penulisan, bersama-sama saudari Nur Firdaus, juga pelajar tahun kelima di RSMU, yang merupakan ahli aktif di dalam Gabungan Penulis Luar Negara (GPLN). Maka atas persetujuan penulis-penulis sajak yang terlibat, mereka telah membenarkan saya untuk menyiarkan sajak-sajak tersebut di dalam blog ini (dalam entry yang seterusnya). Kesemuanya ada 5 buah sajak terbaik.
Tepat jam 9.00 malam, majlis dimulakan dengan mendengar ceramah yang bertajuk: Kehidupan di Moscow dan perkaitan dengan kehidupan Rasulullah saw yang telah disampaikan oleh En. Abdul Halim, pelajar di Moscow Aviation Institute yang sedang menyelesaikan tesis untuk PhD. Ada 10 pengajaran hidup yang telah disenaraipendekkan oleh beliau. Namun bagi saya pengajaran hidup yang ke-8 dan ke-9 adalah yang paling terkesan di hati. Hidup ini adalah satu pengembaraan dan matlamat akhir adalah destinasi kekal yang menjadi saksi penilaian Allah dan seluruh langit ke atas setiap tingkah dan amal kita sewaktu bermusafir di dunia. Dan untuk selamat di dalam pengembaraan ini, kita perlukan hidayah untuk memastikan jalan yang kita pilih adalah benar dan tidak menyesatkan kita. Dengan itu, kita memerlukan bimbingan daripada Allah yang telah disandarkan kepada Rasulullah melalui Al-Quran (rujuk: Surah Al-Fatihah:6). Inilah dua pengajaran hidup yang benar-benar telah terkesan di hati.
Seterusnya diikuti dengan pertandingan kuiz yang telah diacarakan oleh Aizat Sabri yang sangat mendapat sambutan. 8 orang peserta telah berjaya menjawab soalan-soalan yang disediakan. Diselangi dengan bacaan kata-kata hikmah yang dibacakan oleh pengerusi majlis pada malam ini iaitu Rafeeq Azlan.
Mengikut aturcara yang disediakan, sebenarnya akan diadakan persembahan nasyid oleh pelajar-pelajar lelaki tahun kedua namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, persembahan tersebut dibatalkan. Oleh itu, bagi mengisi satu slot yang telah dipinda ini, deklamasi sajak telah dijadikan galang ganti. Dan tidak semena-mena juga, saya telah 'terpaksa' ke hadapan mendeklamasikan sajak yang bertajuk Rindu Dengan Sangat. Ada yang menangis ketika sajak itu dibacakan.
Selepas itu, dikuti pula dengan acara penyampaian hadiah buat peserta-peserta yang telah menyertai pertandingan-pertandingan yang telah disediakan dan disempurnakan dengan bacaan doa oleh En. Abdul Halim. Majlis diakhiri dengan jamuan makan yang diadakan secara pot-luck ala buffet. Majlis pada malam ini turut disertai oleh beberapa rakan dari Tunisia, Syria dan Mesir.
Salam rindu buatmu Ya Rasulullah...
Semoga wajah-wajah kami menjadi perhatianmu di akhirat nanti...
Selamat Hari Lahir yang ke-20, EMY! (31 Mac) Semoga diberkati Allah sentiasa =)
(gambar-gambar akan disertakan kemudian)


3 comments:
I am so happy to hear about such activities. Very sihat!
Did anyone record you when you recite the sajak? Would love to hear you at work :)
salam mama sarah,
yup.someone has recorded it. well, i guess that he uploaded it to youtube already. i'll upload it to my account as well, insya allah. ada masa, saya uploadkan di blog ok.
May ur effort and hardwork be rewarded generously.
Its not about wat u give, but wat u share.
love always,
x
Post a Comment