Saturday, April 21, 2007

Monolog Bersama Iman (iii)

Aku teruskan langkah. Tangga menuju ke luar telah kelihatan. Satu persatu aku daki. ada 13 anak tangga jumlahnya. Sebaik tiba di permukaan bumi semula, angin nyaman terasa damai mengusap wajah. Indah sungguh cuaca. Jika dua minggu lalu Moscow dikejutkan dengan kehadiran salji di tengah-tengah musim bunga, kini kenyamanan musim bunga benar-benar kurasakan. Aku menuju ke perhentian bas di situ. Kelihatan agak ramai orang sedang menantikan bas yang bakal bergerak menuju ke Jalan Mikluho-Maklaya. Tak kurang juga yang sedang menantikan trolley bas menuju ke Leninsky Avenue.

Aku meninjau sekitar. Aku yakin Abang Khairil masih belum tiba. Alhamdulillah. Setidak-tidaknya, rasa bersalahku kerana menyusahkannya tidak bertambah jika dia pula yang tiba lebih awal. Aku mengambil peluang meninjau kiosk bunga berhampiran. Ros peach kesukaanku ada di situ. Aku ingat lagi, waktu tahun pertamaku di sini, beberapa kali aku membeli ros peach dari kiosk tersebut yang mana sebelum ini kiosknya sangat kecil dan pilihan bunga juga tidak banyak. Makcik di kiosk tersebut sudah dapat mengecam mukaku sebagai pelanggan tetap setiap bulan. Tapi kini kiosk tersebut jauh lebih maju. Pilihan bunga juga semakin banyak. Tak ketinggalan, ros merah jambu keputihan yang agak sukar untuk didapati di kiosk-kiosk kecik turut dijual di situ.

Seketika aku teringatkan Surah Yaasiin. "Dan satu tanda kebesaran Allah bagi mereka adalah bumi yang tandus. Dan kemudian kami hidupkan bumi itu dan kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Maka dari biji-bijian itulah mereka makan (33) Dan kami jadikan baginya di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur. Dan kami pancarkan padanya beberapa mata air (34) Agar mereka dapat makan dari hasil buahnya dan dari hasil usaha tangan mereka. Maka mengapa mereka tidak bersyukur? (35)"

Tersenyum aku sendiri. Sungguh benar itu semua. Seluruh alam ini menjadi bukti kebesaran-Mu, Ya Allah. Tapi, apakah aku tergolong sebagai hamba yang bersyukur?

Di saat itu, seorang wanita datang menghampiri kiosk tersebut. Aku hanya melihat. Wanita tersebut membeli sejambak bunga ros peach yang telah digubah. Tidak teragak pula aku berapa kuntum semuanya. Lalu wanita itu berlalu dengan wajah yang ceria. Mungkin buat temannya barangkali. Manusia tetap lalu-lalang di hadapanku, namun aku tetap tidak berganjak dari tadi.

Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari saku jaket. Aku teringatkan adikku, Adlan. Pesanan ringkas buatnya kukirim.

"Salam. Lan, tengah buat apa tu? Mcm mana exam hari tu? Ok x?" ringkas saja mesejku.

Teng teng. Aku menerima mesej. Pasti Lan yang membalasnya.

"Abang d depan geology inst tu. kejap lg sampai". Oh, informasi terkini Abang Khairil rupanya.

Teng teng. Telefonku berbunyi lagi.

"W'salam. sihat je. lan tengah tengok tv dgn makde. exam hari tu teori lan dpt 75%, tp praktikal dapat 95%. kena belajar lebih sikit la ngah". Akhirnya, Lan membalas mesejku.

"Makde dan Ayahde sihat? kirim salam pada semua. so, lepas2 ni fokusla lebih sikit utk teori tu. biar lepas ni semua % range A je. praktikal part tu dh ok dh tu. jgn tinggal solat ye", mesej balasanku berbunyi.

"Ok. bereh... lan ingat tu. ni makde kirim salam pd ngah ni. doakan lan ye ngah", adikku mengakhiri mesejnya. Di waktu itu, aku sedang berdiri bersandar menghadap deretan kiosk yang menjual pelbagai jenis barang. Ada kiosk syaurma, ada kiosk makanan ringan, ada kiosk pai dan roti dan tak ketinggalan turut ada kiosk minuman beralkohol dan rokok. Aku perhatikan ratio pengunjung di setiap kiosk. Kiosk syaurma dan minuman beralkohol itu yang paling ramai sedang beratur. Aku toleh ke belakang sebentar. Sekadar mahu melihat kiosk ayam golek berhampiran. Pun ramai pengunjungnya.

Dalam aku meninjau-ninjau ke kiri dan ke kanan, mata aku menangkap kelibat dua orang nenek tua yang sedang menghulurkan tangan menadah nasib daripada pembeli-pembeli yang sedang beratur di kiosk syaurma. Kalau tidak silap, sudah lama mereka beroperasi di kawasan ini. Menjadikan kegiatan meminta sedekah sebagai sumber pendapatan harian.

Dulu aku pernah terfikir. Jika daripada seorang pembeli mereka mendapat 5 ruble pada satu waktu, jika dalam satu jam, sudah ada 20 orang yang membeli. Makanya, 100 ruble sudah berada di dalam tangan. Kalau sudah 6 jam, berapa pula? Bagaimana pula jika kadang-kala ada yang bermurah hati memberikan lebih? Pernah aku terlihat dulu, ada yang menghulurkan 50 ruble. Tak terkata gembira yang terlukis di wajah nenek berdua itu. Kesimpulannya, aku menganggap, kegiatan mereka ini sungguhpun tidak sihat di mata masyarakat, namun usaha yang mereka lakukan di samping itu seperti membersihkan kasut orang, membuangkan sampah-sampah yang ada dan mengutip botol-botol kosong yang ditinggalkan menjadikan mereka jauh lebih mulia daripada mereka yang sekadar masuk ke dalam metro, membawa sepanduk kecil menyatakan mereka sudah kematian ahli keluarga dengan tujuan meraih simpati untuk mendapatkan sedekah belas kasihan manusia.

Terasa sebak seketika kerana tiba-tiba aku terbayang, di mana anak-anak mereka? Tidakkah mereka anggap ini ibu-ibu mereka? Kenapa dibiarkan? Tergamakkah mereka melihat ibu mereka mengutip cebisan makanan yang dibuang orang? Sampaikah hati mereka membiarkan ibu mereka berpanas, berhujan, bersalji untuk mendapatkan sejumlah duit bekalan untuk mengalas perut? Aku sedih terbayangkan itu semua.

"Ya Allah, moga aku tidak tergolongan di kalangan anak yang derhaka. Amin", monolog hatiku sendirian.

Lantas aku berdiri pula di tepi sebuah kiosk yang menjual alat tulis, buku-buku dan majalah. Aku melihat jam tangan. Lagi 5 minit ke pukul 6 petang.

"Eh, agak lambat juga ni. Mana Abang Khairil ni? Ada bas ke tak ni dari sana?" Sekilas aku meninjau ke jalan besar. Tiada bas yang kelihatan menghampiri. Aku diam. Mengambil beberapa tapak menuju ke belakang kiosk bunga, agak terlindung daripada terik matahari petang.

.......................................................................................................................

Bersambung...

No comments: