Showing posts with label Sajak. Show all posts
Showing posts with label Sajak. Show all posts

Tuesday, December 23, 2008

The Unspoken Freedom

Assalamualaikum wbt

Sejak datang ke sini, saya menikmati satu kebebasan. Yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Kebebasan yang menyenang dan menenangkan hati. Saya pernah menulis di dalam salah sebuah buku sajak saya: The Unspoken Freedom. Waktu itu, saya memaksudkannya sepenuh hati. Kebebasan yang saya tidak rasai suatu masa dulu.

Mesti kecewa hati emak ayah saya membaca apa yang saya tuliskan di sini. Bertenang dulu. Bukan itu maksud saya. Bukan kebebasan dari sudut kehidupan mahupun sosiobudaya. Tetapi lebih dalam dari itu.

1. Di sini saya bebas membawa diri saya sebagai seorang Melayu-Muslim yang tidak perlu berpada-pada terikat dengan pandangan orang lain. Contohnya, saya boleh solat di mana-mana saja jika tidak sempat pulang ke rumah. Telekung bukan satu kewajipan. Saya bebas untuk solat dengan seluar dan baju yang saya sedia pakai. Jeans pun jeans lah. T-shirt pun t-shirt lah. Bukannya saya pakai yang ketat-ketat dan pendek-pendek. Semuanya cukup syarat untuk solat. Serik. Saya dimarah oleh seorang makcik kerana solat tanpa menggunakan telekung ketika di Malaysia dulu. Kebetulan ketika itu saya memakai jeans dan blaus labuh. Tiada salahnya. Tapi setiap pasang mata di dalam surau R&R itu memandang tajam kepada saya. Saya bukan penjenayah agama pun. Cuma di situ ada satu keluarbiasaan yang dipandang sebagai kesilapan.

2. Saya bebas mengenakan tudung saya dengan apa cara sekalipun tanpa perlu kisah sama ada warnanya sepadan atau tidak dengan baju saya. Memang jaranglah saya buat begini tapi jika ada kalanya tidaklah padan sangat warnanya, tiada siapa yang kisah (hehe, saya memang tak kisah pun). Bagi mereka di sini, tudung itu sekadar yang kita gunakan untuk menutup kepala. Bukan untuk berfesyen segala. Kerana mereka tahu saya bertudung kerana saya seorang Islam. Kalau di Malaysia, alamak, orang dah menjeling seribu makna!

3. Saya bebas untuk membiarkan muka kelihatan seperti budak-budak dengan lipatan tudung yang kurang kemas atau 'tidak bulat'. Kalau di Malaysia, orang pandang-pandang kita banyak kali kerana tidak lawa pada mata mereka. Orang sini tidak kisah. Bagi mereka, asalkan ada benda yang tutup kepala budak ni macam biasa, itu sudah kira beres. Mana mereka tahu cantiknya bertudung tu macam mana. Stail lipatannya macam mana dan lain-lain lagi. Tapi sebolehnya saya sentiasa memastikan tudung sentiasa kemas. Imej kenalah dijaga, kan.

4. Saya bebas menjadi diri saya. Saya sentiasa ada talian hayat untuk mengelakkan orang yang saya tidak senangi daripada terus menghubungi diri. Jika di Malaysia, sentiasa saja ada cara nombor telefon atau segala jenis cara komunikasi yang lain disebarluaskan oleh kawan-kawan kita. Tanpa izin. Saya rimas. Sebab saya tidak suka berada di dalam keadaan sesak dan diperhatikan. Di sini, saya sungguh bijak menjadi orang halimunan. Huhu. Tidak faham? Tak mengapa. Tak penting sangat ni.

5. Ada beberapa hobi yang tidak dapat saya laksanakan secara terbuka ketika di Malaysia. Kerana orang suka mengadili saya secara percuma kerana saya dan latar belakang saya. Jadi, saya biarkan hobi itu terselindung. Dan di sini hobi itu lebih bersifat terbuka. Eh, tidak juga. Masih tertutup juga. Cuma saya zahirkan diri saya bukan sebagai saya. Sungguh terasa kebebasannya. Ada yang faham? Bagusnya. Cekap ya kamu ni =)


The Unspoken Freedom

There are times
there are people
longing for freedom.
There are people who stay
even when the time washes away.
There are people who leave
even when freedom is almost to lead.

There would be strife
fetter a greater life
to agree what the world disagrees
to set you free from all the tyrannies.

If it is a fear you would dispel
come by dear I tell you a spell
though it's hard to cast off
but we may try to cut the handcuff.

So long the freedom is hidden
so long it is left unspoken
there can be no right in the twisted sight
thus so long to the dazing light.
When the rhyme ends
the unspoken freedom begins
to rise in.

Sarah
Pushkin Hostel
15 December 2004
(sekarang saya rasa sajak ini sangatlah buruk) =p

Nota 1: Baru tersedar bahawa sajak itu sudah berusia 4 tahun lebih! Saya tulis ketika di tahun 2 dulu. Punyalah dah lama!
Nota 2: Saya tak kisah makan ais krim tercomot sedikit di pipi bila di sini. Tapi kalau di Malaysia, err, saya makan ais krim dalam rumah saja. Hohoho. (Jenuh saya cuba ingatkan ada tak saya makan ais krim sambil berjalan-jalan bila dah besar panjang ni di Malaysia. Memang tiada! Aduhai...)
Nota 3: Ada benda dalam kehidupan kita yang kita kena ubah tapi tak bermakna kita berubah.
Nota 4: Ini nota penting. Hehe. Saya sudah mula ber-Plurk. Let's join me! Hehe.

Tuesday, December 16, 2008

Be My Darling

I want to be your sun
But I doubt you hate the shine
I want to be your stream
So we can share our dreams
And that's why I want to be your honey
So that I can love you many

Oh
I want to be your shadow
We won't be apart even when you are on the pillow

I love your smiling face
My heart running without a proper pace
I love when you call me dear
My eyes blink into tears
And that's how you touch me darling
Just with smile and a simple caring

Oh
My heart mellows when you say hello
My heart grows fonder when you are not here

I want to be the air
That you fear to share
I want to complete you
But I doubt I would scare you
I want to love you
But I doubt you just see me through

Oh please
Let me be yours lovely
So you can be my darling


14 December 2008


Note 1: Is there anyone who knows how to compose song? Please do one for me. Hehe. I was imagining a song sounds something like Mocca's.
Note 2: Posted this before in Antologi Dunia. Don't bother to ask. It's a mere poem.
Note 3: I hurt my forearm while finishing this up. It's bleeding still. I hate dizziness.

Wednesday, November 05, 2008

Doa-doa Cinta

Wahai orang yang mulia hatinya,
sudah lama aku menyusah batin
tenggelam dalam mujahadah.
Aku tiada siapapun di sini kecuali Allah menemanku
tapi kau datang dengan suara penyejuk jiwa.
Aku ingin menjadi yang halal bagimu
yang akan kau pimpin tangannya
kau dakap dirinya.
Puas aku berdoa
tapi kau tak juga sedar.

Aku hanyut dalam pasrah
selamanya Allah penemanku
dan semoga kau tak pernah tahu.

Dari orang yang pernah berharap,
Sarah.
4 November 2008
Kota Moscow

Saturday, July 26, 2008

Promosi : Bahasa Bumi

Assalamualaikum wbt

Sejak awal Mac lalu, saya telah terlibat dalam satu projek penulisan. Projek ini merupakan sebuah Antologi Puisi 50 Penulis yang sedang menuntut di luar negara. Alhamdulillah, Antologi Puisi ini telah siap dibukukan dan akan mula berada di pasaran mulai minggu hadapan. Ini julung-julung kali saya terlibat dalam projek penulisan begini. Judul Antologi Puisi ini ialah BAHASA BUMI. Terdiri daripada 50 orang penulisan muda dan ada juga beberapa penulis yang sudah sedia menempa nama dalam bidang ini. Karya mereka acapkali tersiar di dada-dada akhbar tempatan. Dalam Antologi Puisi ini, setiap penulis menyumbangkan 2 buah puisi terbaik mereka dan terdapat juga puisi-puisi pilihan yang telah memenangi pertandingan puisi di beberapa buah negara (yang telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana). Projek Antologi 50 Penulis ini adalah projek Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang saya sertai sejak hampir setahun yang lalu.

Jadi dengan ini adalah dengan berbesar hati, saya hendak membuka tempahan bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Antologi Puisi tersebut. Di samping itu, saya turut mempromosikan 2 buah buku lain yang turut dalam tempoh promosi GKLN ketika ini. Sila email saya di: sarahmohdshukor@gmail.com selewat-lewatnya Selasa depan. Di bawah ini saya sertakan harga bagi setiap buku.

Bahasa Bumi - RM15
Mengemis di Kota Larangan - RM15
Menggeledah Nurani - RM15

Ini kali pertama hasil saya dibukukan. Walaupun hanya 2 buah daripada total 50 buah puisi, saya rasa berbesar hati tau =) Bagi yang berminat, bolehlah emailkan segera. Saya hendak membuat tempahan. Emailkan pada saya judul buku dan alamat anda. Nanti saya akan berikan akaun bank saya untuk anda membuat bayaran. RM15 sebuah bukanlah besar sangat, kan =)

Cintailah Bahasa Kita!

Untuk membaca sinopsis buku-buku ini, sila lawati: GKLN Publishing House

Nota: Entri ini auto post.

Sunday, April 27, 2008

Suara Jiwa

Kalaulah hati boleh menyanyi,
ia pasti akan berlagu ceria,
berlirik bahagia,
bermelodi gembira.

Kalaulah perut boleh bersuara,
ia pasti bergurindam ria,
berpuisi penuh rasa,
dan berkata
ada rama-rama berterbangan riang di dalamnya.

Terima kasih Tuhan dihadiahkan dia
Terima kasih dia menghadiahkan bahagia



p/s: Oh. Bila baca ni, cuba bayangkan lagu Seribu Tahun versi duet ya untuk feel yang lebih. Hihi :p

Dan seperti yang dijanjikan, untuk baca aktiviti petang Sabtu lepas, silalah ke blog Wanie. Saya ni kan pemalas bab-bab nak retro semula cerita-cerita lepas. :: Kisah Kanak-kanak Ribena ::

Thursday, March 20, 2008

Dia, Kekasih Dari Langit

Assalamualaikum wbt

Sebaik tiba dari hospital pada petang tadi, saya terus menuju ke kedai roti. Dalam perjalanan, saya terserempak dengan David, warga Israel, beragama Yahudi, kekasih kepada bekas jiran saya di Hostel Pushkin dulu. Dia senyum dan mengangkat tangan kiri tanda menyapa saya ketika berselisih. Sebenarnya, dari kejauhan lagi, saya seakan ada konflik di dalam diri. Sama ada hendak menegurnya seperti dulu atau tidak.

Sebaik berselisih, saya hanya membalas dengan senyuman kecil. Cukuplah itu saja. Dalam hati, saya masih teringat-ingat keakraban saya bersama kekasihnya, Ziva, yang berjiran selama setahun dengan saya dulu. Saya membalas senyuman itu dengan niat yang saya pusatkan hanya sekadar menjaga hubungan sesama manusia.

Selepas Maghrib tadi, saya duduk-duduk saja di atas sejadah. Hati terdetik, 12 Rabiul Awal sudah. Tarikh lahirnya seorang insan agung. Dan tak dilupa tarikh perginya insan itu meninggalkan kita semua. Dia Muhammad. Nabi Muhammad s.a.w. Terus saya teringatkan sirah baginda bersama dengan seorang Yahudi buta.

Ketika hayatnya, Rasullah tidak pernah terlepas pergi memberikan makanan pada seorang Yahudi buta yang bermukin di sudut pasar. Ketika memberikan makanan kepadanya, Rasulullah tidak henti-henti akan mendengar cercaan, hinaan dan sumpah seranah Yahudi tua itu. Sedangkan, si Yahudi itu tidak tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan orang yang dibencinya itu.

Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar datang bertemu anaknya Aisyah yang merupakan isteri baginda. Abu Bakar bertanyakan Aisyah apakah kelaziman yang Rasulullah tidak pernah abaikan. Aisyah meyakinkan bahawa tiada satupun kelaziman baginda yang tidak diketahui oleh Abu Bakar kerana ayahnya itu adalah sahabat baik suaminya Muhammad. Namun ada satu perkara yang dikhuatiri Aisyah. Lalu Aisyah mengkhabarkan perihal Rasulullah yang setiap hari membawa makanan buat si Yahudi buta itu.

Keesokannya, Abu Bakar membawa makanan menuju ke pasar dengan niat untuk menjadi penyambung kepada kelaziman Rasulullah itu. Sebaik dihulurkan makanan kepada Yahudi buta itu, dia menolak makanan itu dan berkata: Kau bukan orang yang membawakan makanan buatku setiap hari. Abu Bakar kehairanan lalu bertanya: Apa bezanya? Yahudi buta itu menjawab: Setiap kali dia datang, dia tidak pernah akan menyusahkan aku untuk mengunyah makanan ini. Dia akan menghaluskan makanan itu untukku dan kemudian menyuapkan terus ke mulutku.

Abu Bakar menangis di saat itu juga. Lalu Abu Bakar bertanya: Tahukah kau siapakah orang itu, wahai si tua? Yahudi itu menjawab tidak. Lalu Abu Bakar membalas: Dengan nama Tuhanku, juga Tuhannya, dialah Muhammad, orang yang kau keji-keji selama ini. Dan Muhammad itu sudahpun meninggal dunia.

Dengan nama Allah, di saat itu juga lelaki Yahudi buta itu menangis-nangis. Dan terus, dengan disaksikan oleh Abu Bakar, si Yahudi itu melafazkan syahadah. Tanda Tuhannya kini sama dengan Muhammad, Abu Bakar dan muslimin sekeliannya.

Selepas teringatkan kisah itu, saya rasa sedikit lega. Sungguh Yahudi itu musuh kita semua namun dalam keadaan yang tidak diancam, ambillah contoh akhlak Rasulullah untuk kita jadikan tauladan. Semoga satu hari nanti, David akan mengerti dan tidak tuli dengan keindahan akhlak Islam. Akhlak kesempurnaan cerminan peribadi Rasulullah s.a.w.

Buat Kekasihku Muhammad, kelak di akhirat kupohon diberikan syafaat. Salam rindu Ya Rasulullah.


Kekasih Dari Langit

Ada mimpi milik si ahli kitab
Juga dakwa mereka si penjaga mihrab
Dari langit nanti datangnya Nur
Nur penafi sihir si tukang tilik
Nur penyempurna di kala akhlak jahil jelik

Janji Allah pada Al-Masih
Sesudahnya dihantar seorang kekasih
Tiada tandingan wajahnya rupawan
Dihina tidak luak
Dicerca tidak berganjak
Tiada tandingan akhlaknya menawan

Nur itu dari langit
Diseru sekelian suara namanya Muhammad
Muhammad itu penghulu ummat
Muhammad itu pemberi syafaat
Sungguh, Nur itu hadiah dari langit

Muhammad itu namanya kirana
Jiwanya cahaya
Kekasih hati ummat yang bersyahadah
Kekasih terulung di sisi Allah

-Sarah, Moscow City, 190308-

Wednesday, January 09, 2008

Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

Buat muslimin semua, SALAM MAAL HIJRAH 1429. Jangan lupa ditutup tahun ini dengan bacaan doa akhir tahun dan dibuka tahun baru dengan doa awal tahun. Semalam saya melapangkan masa mengkaji semula kisah pembukaan Kota Constantinople. Semangat Sultan Muhammad Al-Fateh perlu kita contohi. Sejak akil baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud. Lantas menjadikan beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. "Sebaik-baik pemimpin adalah sebaik-baik tentera dan rakyat" Itulah dia Sultan Muhammad Al-Fateh [untuk rujukan, ada banyak buku dan website. Tapi yang teringkas yang boleh difahami untuk rujukan: sini]. Jika dalam usia muda beliau sudah boleh mengetuai batalion perang dan pintar sekali akalnya, malulah kita yang semakin menginjak usia tetapi masih kurang pengorbanan buat agama. Sudah punya azam? Saya ada 11 tapi saya khuatir ada yang tidak tercapai. Hmm.

Nota 1: Maaf ya saya tidak dapat menjenguk rumah kawan-kawan semua sangat. Saya demam pula di kemuncak musim sejuk ini. Selepas makan malam semalam, saya terus tidur. Bangun di tengah malam untuk solat Isyak dan makan ubat sahaja. Lepas ini mahu sambung tidur semula. Sakit itu kafarah dosa kan :)

Nota 2: Uncle KS, lagu LOST ini buat KS dan isteri. Semoga tabah dan ceria selalu :)

Nota 3: Cinta saya pula di platform minyak kot, bukan di Platform 5. Ngeehee~ (Nak jugak tu! Adeh) v(^_^)v

Tuesday, December 18, 2007

Resmi Hidup

Assalamualaikum wbt

Sabtu yang lalu, saya membuka buku sajak saya. Terjumpa sajak lama yang saya tulis sedikit masa dahulu. Ada pengajaran yang saya kiaskan. Saya kira ketika saya tulis sajak ini dulu, ada sesuatu yang saya baru belajar daripada kehidupan pada waktu itu. Jadi saya abadikan dalam bentuk sebuah sajak nasihat begini.


Resmi Hidup

Kalau di hulu sungai ribut laut terasa
Padamkanlah pelita kejap
Biar suram gelap
Tapi terbakar tidak

Kalau runtuh tanahnya yang berbukit
Pasangkanlah tiang pondok itu
Bertahan mungkin sehari saja
Tapi jangan robohnya sekelip mata

Kalau ada api yang marak panas
Lari jauh-jauh, duduk diam-diam
Sungguhpun api terpadam tidak
Tapi sudah jinak dan hidang abu hitam

Kalau ada hati dihulur dikongsi
Jangan ambil seluruh, simpanlah separuh
Terima dengan luhur dan akal
Biar kenal budi, baru dikongsi kasih


Tetapi saya kira saya silap. Saya teralpa dan pengajaran yang saya dapati dulu entah di mana saya cicirkan. Manusia tidak pernahnya lari dari masalah lupa dan alpa. Jadi saya kongsikan sajak ini di sini supaya andai saya lupa lagi, ada yang sudi mendekati untuk menyentap saya kembali. Terima kasih.

Nota: Saya terasa jauh daripada semuanya. Melankolik sungguh kehidupan ini kalau mata kita bekerja sebagai mata-mata dan hati kita terlalu hati-hati.

Friday, December 14, 2007

Demi Masa Hadapan - Fokuslah!


Assalamualaikum wbt

Melihat gelagat orang yang tidak fokus dalam menjalankan sesuatu sering buat saya terfikir, adakah mereka sudah tahu nasib dan masa depan mereka? Sering saya terfikirkan hal ini tatkala melihat gelagat sesetengah manusia yang mengambil remeh tentang apa yang sedang dilakukan. Adakah mereka yakin tuah menanti mereka di hari muka?

Saya mulakan dengan skop yang kecil. Pelajar. Sudah terlalu acap saya melihat situasi 'ala kadar saja' yang tidak sepatutnya ada. Kenapa dalam keadaan persekitaran terdekat dan dunia belumba untuk menjadi yang terbaik, masih ada yang gembira berada di dalam zon selamat masing-masing yang sudah pasti tidak akan kekal lama. Begitu juga dengan prinsip 'nantilah baru buat' yang sepatutnya dielakkan juga. Tapi sayang. Ramai yang memandang sebelah mata.

Pekerja. Masih ramai yang menganggap datang kerja sekadar memenuhi tuntutan bekerja dan etika masa sedangkan sama ada sedar atau tidak, kerja yang dilakukan adalah sambil lewa. Fokusnya di mana? Kenapa perlu ada istilah 'cukuplah tu dah buat dah' sedangkan hasilnya tidak melambangkan seorang yang profesional dalam bercakap dan bertindak.

Anak. Terlalu besar tanggungjawab seorang anak itu. Tapi masih ramai yang memandang remeh. Kerana merasakan ibu bapa masih boleh hidup dan berjalan walau tanpa mereka. Jangan hilang fokus. Tanggungjawab anak itu walaupun jauh berpisahkan tanah dan nisan, doa juga satu tanggungjawab kita untuk mereka sebagai saham terbesar. Inikan pula jika ibu bapa masih bernyawa. Kitalah tongkat mereka untuk menempuh hari tua.

Ibu bapa. Langkah pertama setiap anak mengenal dunia adalah di rumah. Fokuslah pada masa hadapan. Anak yang mendapat contoh terbaik daripada ibu bapa akan membesar di atas landasan. Jadikan diri cerminan terbaik buat anak-anak. Sungguhpun tidak dapat menyediakan harta kemewahan tetapi bersedialah menjadi ibu bapa yang sanggup berkorban agar anak dapat membesar dengan jiwanya yang terdidik dengan agama dan akalnya dimurnikan dengan ilmu yang sempurna.

Jangan pandang sebelah mata tentang tanggujawab membina masa hadapan. Fikirlah dari sekarang. Kerana masa depan yang hendak dibina itu memerlukan titik tolak fokus, praktikal dan doa yang mulanya dari sekarang. Jika tidak, kita tidak akan bertemu tuah kita yang menunggu di hadapan. Besediakah kita kalah kepada tuah?


Kalah Pada Tuah

Hajat tersurat tidak zahir
Inikan hajat tersirat yang sangat batin
Diluah mengubah nasib pasti mungkin
Disimpan menunggu takdir memang mustahil
Hai, nasibmu menjadi penakut
Selamanya di kali duduk melukut
Menanti tuah datang menjemput

Saban waktu terus tunggu
Kalau dirembat pasti ketemu
Sedangkan kaloi boleh bercakap
Buaian beralun tinggi ke atap
Tapi hajat itu tetap mahu dipendam
Sudahnya tuah mara, kau di belakang
Itu tuahmu yang kau harap
Tapi kukira kau tidak cekap
Tuah itu tunggu tapi kau mengalah
Kukira kepada tuah kau kalah

Tuah tidak kurang bila kau pengecut
Kau yang malang bila tuah mengabut

Wednesday, December 12, 2007

Air Mata Sebuah Kisah


Tercubit hati dengan sebuah kisah
Kisah kasih yang tidak berbuah
Lidah tiada lafaz untuk memujuk
Hati tiada makna mahu merajuk

Air mata jadi cerita
Nukilan sebuah tragedi
Tragedi orang berkasih

Air mata ini cerita sebuah kisah
Kisah yang ada pangkal, ada sudah
Kisah yang terpisah jauh
Kisah kasih yang hilang sauh

Sedih dalam tawa
Tangis dalam ria
Tangan sudah tiada kuasa
Mulut sudah tiada suara
Jiwa sudah tiada daya
Hanya hati yang tinggal mahu terus setia
Kerana hati mahu temani air mata
Setia dengan tragedi
Tragedi orang berkasih

Keringlah air mata kisah ini
Kerana tragedi akan menjadi memori
Teruslah setia hati ini
Tiada siapa yang mahu pujuk atau mendekati
Tiada lagi erti rajuk atau disayangi
Teruslah kuat jiwa ini
Jika kau luluh
Aku turut jatuh

Keringlah duhai air mata
Air mata sebuah kisah
Kisah tragedi orang berkasih


Cik Siti
Moscow
12/12/2007




Nota: Sudah lama tidak berkongsi sajak. Sekadar berkongsi hasil yang tidak seberapa ini. Buat Tuan sebuah kisah, semoga hati tabah dan terus tabah dan kekal selamanya tabah. Tuan sajak mendoakan yang terbaik. Dan lagu itu buat sesiapa yang merasakan. Maaf saya tidak rasa ada lagu melayu yang sesuai untuk diguna pakai kerana terasa terlalu jiwa-jiwa.

__________________________________________________________

Hari buat dia:

73) Kadang-kala menangis seorang diri itu ada baiknya. Setidak-tidaknya kita tidak merisaukan orang lain dan paling penting kepuasan itu hanya kita yang tahu.

Tuesday, October 30, 2007

Layang-layang Terbang

Bila cahaya di ufuk sujud
Bayang-bayang pun sibuk
Mengelam-ngelamkan diri
Katanya perlu lari
Untuk bertemu pencipta abadi
Khalwat di malam hari
Agar lebih suci hati.

Bila sah bayang-bayang lenyap
Aku mampir diri pada bulan
Mahu cari juga
Bayang-bayang yang aku kerinduan
Aku terpukul dengan dombaannya
Yang setia mencari Khaliq-Nya
Walau aku tahu
Bayang-bayangku itu
Sayang akan badannya.

Bulan berbisik
Carilah diri dalam tangisan
Di situ akan ku jumpa letaknya erti hamba dan keikhlasan
Dan akan terzahir erti menjadi insan.

Pesan bulan lagi
Jangan ego menjadi seorang tuan
Sungguhpun hanya pada si bayang-bayang
Hamba hitam milik badan
Carilah diri dalam tangisan
Kerana di situ juga
Akan ku temui erti keinsafan.

Aku tunduk
Malu aku pada bulan
Rupa tidak seindah cahaya
Tapi kenal erti sebuah jiwa
Yang menuntut sebuah ketulusan
Dan juga pengabdian.

Cahaya di ufuk kembali mendatang
Bayang-bayang berlari perlahan
Menyantum jiwa memberi separuh kekuatan
Aku lihat bayang-bayang masih begitu
Sepicing tidak berubah
Masih hamba hitam yang setia denganku.

Dan kini aku malu
Aku hamba dina pada Dia yang satu
Tapi aku bukan bayang-bayang
Aku ini layang-layang!

Layang-layang yang bukan burung untuk mengerti fitrah pulang petang
Layang-layang yang jauh terbang
Layang-layang yang perlu belajar mencari sarang.

Carikan aku sepasang tangan
Yang boleh melayangkan aku
Dengan penuh keadilan.

Ya Tuhan
Tunjukkan aku jalan
Untukku akur fitrah layang-layang terbang
Yang punya sarang untuk pulang.

Nota: Salam buat semua. Hanya sekadar intro untuk entry berikutnya :) Semoga kita semua diberikan kekuatan.


Untuk adikku Adnan, selamat bercuti-cuti Malaysia di Langkawi :)

Saturday, September 29, 2007

Aku Pergi Dulu

Hilang
Untuk sisih diri
Bukan payah
Cukup senang

Kabur
Bawa saja diri pergi
Orang tidak lagi lihat
Di mana diri
Bagaimana hati

Undur
Tiada siapa pun yang tunggu
Apatah lagi rindu
Tapi mungkin ada yang senang
Kerana tiada lagi ini orang
Yang suka cakap sebarang

Jauh
Aku pergi sebentar
Mungkin kembali
Tapi belum pasti

Adakah kau akan menunggu?
Apakah kau akan merindu?

Aku pernah ada
Tapi mungkin tiada makna
Sekalipun ada
Aku tahu aku guris banyak jiwa
Aku hulur tangan
Tanda maaf dari hati
Salahku yang dulu dan kini
Silapku yang zahir dan batin

Aku pergi dulu
Tingkapku jangan kau jengah
Rumahku jangan kau singgah
Pulangku tak perlu ditunggu
Hilangku tak perlu dirindu

Aku pergi dulu...

Tuesday, May 29, 2007

Apologi


Terbit matahari pagi tadi

Aku buka almari
Terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil

Dulu aku rengek ibu jahitkan
Hadiah pada hari aku bergelar graduan
Manis sekali aku berdandan
Bersama bunga sejambangan

Di situ pintu aku memulakan pelayaran
Hidup bergelar pengamal perubatan

Aku ke hilir mengejar nyawa
Aku ke hulu membantu manusia
Bilang saja di mana
Aku pasti bisa

Janjikan tempat dan masa
Pasti aku tiba jua

Darahku mengalir semangat
Nadiku berdegup penuh minat
Mengusung nyawa selagi daya
Sungguhpun ada teriak tempik ke langit
Katakan aku bukan yang terbaik

Terkadang waktu itu aku jauh hati
Patah hati jua datang iri
Kerana aku bukan si baju putih terhebat

Yang bisa mengusir pergi si malaikat
Kerana aku bukan dukun handal
Yang bisa mengubat hidup-hidup yang sundal

Tapi aku punya kudrat
Yang akan bekerja selagi aku daya
Tapi aku punya tangan
Yang akan memberi selagi aku memiliki
Tapi aku punya hati
Yang akan berdoa selagi aku ada

Terkadang aku rasa mahu melolong
Berkata pada dunia bahawa aku kini kosong
Aku tidak lagi punya kudrat
Kerana aku sendiri melarat
Aku tidak punya tangan
Kerana aku kini buangan
Yang setia cuma hati

Tak pergi, masih mahu menemani

Perlahan kurung putih itu kukeluarkan
Perlahan kupangku ia atas ribaan

Dan perlahan kerusi roda itu kugerakkan

Duhai hati
Aku mungkin akan hilang dari sini
Tapi tulusku
Moga apologi diri ini
Didengar semua

Diampun semua
Kerana aku ingin pergi
Dengan tenang sekali
Sungguhpun diri
Bakal dilupai


Dunia
Apologi terdalam dari hatiku yang bersih
Dalam pembaringan
Berbaju kurung putih

26/05/2007
-resah exam-


Note: 1 exam's down. 5 more to go. Alhamdulillah did very well in TopAn. Thanks for all the wishes. Come whatever may, I found strength when you all are with me.

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

9) Jangan pandang kita yang dulu sebagai kayu ukur diri, kerana takkan terhitung rasa malu dalam diri - Saidina Umar Al-Khattab

Tuesday, April 03, 2007

Rindu Dengan Sangat



Rindu Dengan Sangat
Siti SarahMohd Shukor

Dalam subuh Rabiul Awal yang suram
Jazirah Arab yang sunyi, diam
Gempita tiba melawat sekelian alam
Gembira menyambut tibanya penyampai kalam
Lantas sumur api Kisra Parsi turut padam
Hening, tenang
Kerana lahirnya
Rasul agung si yatim yang terbilang.

Lahirnya dijanjikan
Munculnya dinantikan
Teruja si pendita mendengar khabaran
Terbitlah sudah matahari buat zaman
Buat menjadi pedoman tauladan
Buat umat yang bergelar insan
Hemah budi menjadi pujian murni
Bening mata memandang penuh rasa cinta di hati
Bijak tindaknya bagai seorang rahib
Kias sempurna anugerah dari ilahi
Tak kusut dek umpan dunia
Tak hanyut dek laguan wanita
Tak lurut dek ugutan Quraisy durjana
Sungguh demi Tuhan!
Dia buta huruf!
Dia ummi!
Dia ummi!

Junjungan mulia itu
Bukan sebarang insan
Junjungan mulia itu
Bukan orang buangan
Junjungan mulia itu
Seorang calon pilihan
Juangnya tiada tara
Takutnya di hati bukan pada manusia
Bertahun tohmah mehnah iringi
Uliti jalan yang dipilih, terpilih
Kau Al-Amin
Si ummi pilihan tujuh langit
Bergema Arasy berselawat padamu
Tatkalau Si Jahal dan Lahab mengherdik menyiat hatimu.

Kini sepi dunia tanpamu bersama
Kosong. Lengang. Sunyi.
Bagai kau pergi tanpa tanda
Salahkah dirimu tersurat telah pergi?
Salahkah diriku abaikan wasiat buat ummati?
Atau salahkah mereka memuja melodi dunia kini?

Ya Nabi Allah!
Aku bukan Ali yang wajahnya dimuliakan Allah
Aku bukan Al-Farisi yang gagah berjihad di medan Yarmuk
Aku bukan juga Aishah yang bisa mengalun syair pembakar semangat muslimin
Aku tidak juga setanding Rabiatul Adawiah
Pencinta sejati, Ar-Rahman dan engkaulah kekasih hati
Aku bukan mereka
Aku bukan di sana.

Aku budak kecil yang besar rindu padamu
Aku orang besar yang kerdil jahil di sisimu
Aku hamba dunia yang paling hodoh menanti syafaatmu
Aku wanita tua yang tercari-cari suaramu
Aku lelaki berkusta, jijik di mata manusia
Tapi aku tahu kau menantiku di sana.

Ya Rasulullah
Rinduku sepenuh dada
Rinduku tak terucap dengan kata
Rinduku tak tertulis dengan pena
Rinduku sakit tak tertanggung dek jiwa
Rindu, Ya Allah
Rindu kekasihmu, Al-Malik
Rindu cintamu, Al-Salam.

Ya Allah
Aku rindu dengan sangat
Aku rindu dengan hebat
Kekasihmu pemberi syafaat
Cinta yang ku damba kelak di akhirat.

Rindu aku tak terucapkan
Sayang aku tak tergambarkan.

Khas buat Mama Sarah dan Ayah. Persembahan yang sangat dhaif kerana terpaksa rela. Ibarat hanya membaca lirih tanpa sebarang nada deklamasi. Sudah lama tak mendeklamasikan sajak di depan orang ramai. Lebih 8 tahun sudah. Makanya, expresionless! Semoga motif rindu buat Rasulullah dalam sajak ini dapat dihayati bersama.

Friday, March 09, 2007

Ruz Billaban


Suatu waktu dulu
Aku dilamarmu
Tanda setuju
Kata hati dan aturan tuhanmu

Tertulis di Luh Mahfuz
Akulah bakal isterimu

Telah aku lalui jua

Saat kau datangi hidupku dengan lafaz syahadah
Bekal katamu buat harungi dunia
Juga pasak kehidupan kita berdua
Lalu dengan itu aku terima
Kau datang dengan penuh adanya
Kerana kau suamiku
Habibi jiwa pundak aku letak segala

Bait kita kau hamornikan

Basah lidah alunan Al-Quran
Harum indah bagaikan di taman khayalan

Cinta kita kau asyikkan

Kenalkan aku lebih dengan tuhan

Aku senang, kerana itulah idaman
Untuk hidup dan mati di atas landasan


Senyummu melerai simpul di hati
Susahmu mendurja sengsara nafsi

Sedihmu membasahi pipi ini
Marahmu mengundang pilu segenap nadi

Lalu aku persiapkan diri

Dengan hiasan muslimah solehah
Agar kau tenang melepas lelah
Kerana aku mendokong syariah
Pendamping tatkala kau senang dan payah

Urusanku kau permudah
Jemuranku kau persudah

Masakanku kau jamah
Demamku kau demah
Sakitku tiada lemah

Kerana pasti akan tersedia
Nasi susu tanda sayangmu
Ruz billaban di sisiku


Tidurmu kudampingkan
Sunyimu kuhiburkan
Jatuhmu kubangunkan

Sedihmu kulagukan
Sakitmu kubelaikan

Dan pasti jua kutanakkan
Ruz billaban
Dingin bertaburan kismis manisan

Buat insan pilihan
Yang sentiasa aku rindukan
Dalam doa dan tangisan


Suamiku Ya Harisan
Ya Habib Albey
Bidadara dunia teman dari Ilahi


-Ditujukan khas buat Faaiqah di Medical Faculty of Cairo University, sahabat yang paling saya sayang, selamanya-

*Ruz Billaban bermaksud nasi susu, hidangan Arab Mesir yang disajikan sebagai manisan yang boleh menyejukkan badan. Beras yang dimasak dengan susu ini membuatkan nasinya pekat tapi bukan bubur. Gula dan kismis ditambah sebagai pelazat lidah. Saya mula mengetahui akan ruz billaban bilamana membaca novel Ayat-ayat Cinta karya Habiburrahman Al-Sherazi. Ketika Fahri sakit, Maria menyediakan ruz billaban untuknya. Hati selalu tertanya-tanya bagaimana rasanya ruz billaban. Alhamdulillah. Kunjungan ke Egypt benar-benar terjadi seperti yang saya impikan. Perjalanan menjejak Ayat-ayat Cinta. Rezeki juga, sempat pula saya bertamu ke rumah cucu keturunan Rasulullah saw, Sheikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba'ith, dan dimakbulkan Allah, sempena Hari Asyura, isteri Syeikh menyaji ruz billaban buat tetamu. Sungguh! Hati telah jatuh cinta pada Ruz Billaban. Dalam perjalanan pulang dari Alexanderia ke Cairo, saya berseloroh dengan sahabat baik saya, Faaiqah, yang saya akan menulis sebuah sajak yang bertajuk Ruz Billaban.

Habibi = Kekasihku
Bait = Rumah
Harisan = Yang Bijak
Habib Albey = Kekasih hatiku ('ami/sebutan pasar)

Thursday, March 01, 2007

Meditasi


Lakaran si kelingking
Boleh kulukis
Coretan si akal
Boleh kutulis
Bisikan si hati
Boleh kuterjemah

Mujahadah jiwa
Boleh kujuang
Tapi
Meditasi si ruh
Takku terlambangkan
Sungguh aku insan dina
Miskin kuasa jiwa
Kerana suara ruhku itu
Cukup dhaif dan fakir
Dalam mengimpikan
Tegaknya tiang kisra
Istana untukku di Jannah-Nya

Wednesday, February 07, 2007

Ada Satu Wajah


Ada satu wajah
Yang selalu di ruang mata
Tetapi wajah itu terlalu jauh
Untuk kutatap selalu

Ada satu wajah
Sentiasa menjadi penyeri
Memenuhi lingkup imaginasi
Bersandarkan pada minda
Yang takkan tahu jawapan
Soalnya di mana dia

Ada satu wajah
Menjadi penggerak nadi
Bagai penyalur kuasa
Buat aku terus mencari
Terasa dia jauh
Tetapi dekat sekali di hati

Ada satu wajah
Yang takku tahu di mana dia
Masih kosong ruang jawapan
Namun aku bagai pengembara
Yang setia meneroka maya pada
Untuk mencari jawapan
Di mana dia
Wajah ilham hatiku


Moscow
04022007

Saturday, January 06, 2007

Di Pantai Kg. Genting Ini


Di Pantai Kg. Genting ini

Aku kuis-kuis pasir di kaki

Berdiri bongkok fikir tentang hati

Yang tak sunyi dari tribulasi

Mengeluh aku sendiri


Bongkok badan aku luruskan

Menajam mata pada ombak dan pantai

Berkejaran, saling menemankan

Berpukulan, tapi saling bertautan

Terdetik haru buat aku cemburu

Kerana mereka musuh yang juga kekasih

Bertamparan ke tepi

Kemudian

Keriangan beralun ke lautan


Lantas aku berjalan

Pijak-pijak pasir yang basah

Semena kutoleh kebelakang

Bekasku telah hilang

Andai tribulasi hati

Bisa hilang dengan sendiri

Tidak aku di sini, mengasing diri

Di Pantai Kg. Genting ini


Aku tunduk cangkung di gigi air

Melihat sekilas anak laut yang berlari membawa cengkerang

Betapa hatiku merintih mahu rasa senang, riang

Hidup rasa disayang, girang

Pastinya mungkin andai

Hati aku seteguh karang

Tak tumbang

Walau dikapankan oleh ombak dan pantai

Walau ditalkinkan oleh badai



haraskanahaya

Kg. Genting, P. Tioman

09/08/2006









Sunday, December 17, 2006

Memoir of ME (Saat Aku Redah Amukan Hati-SARAH)



Nama saya Sarah
Tanggal 19 itu ku jejak bumi
Bernafas sendiri
Memulakan kemudi
Di dunia tak kekal ini

Ismi Sarah
Belum tua
Tapi sudah punya banyak dosa
Tak terhitung yang mana dan bila
Telah ku hitamkan hati dengan nista
Telah ku conteng mata dengan dunia
Telah ku tutup telinga dengan Jahiliyyah

Menya zavut Sarah
Tak cantik apatah menawan
Inikan pula menjadi pujaan
Dilihat sebagai gilaan
Leganya kerana itu aku bukan

Mein name ist Sarah
Lihat yang lepas sebagai semalam
Lihat yang kini bukan pualam
Lihat yang depan dengan gumam
Ilmu belum penuh dalam genggam
Ada cita mahukan di hati ia berbekam

Je m'appelle Sarah
Mahu cecah ke sana
Lepasi sirat yang lurus dengan selamatnya
Makanya tercari -cari aku formula
Yang bisa kaburkan hatiku dari dunia
Jernihkan juga mata dan telinga

Je irimen Sarah imnida
Hati belum jernih
Tiba-tiba timbul kasih
Aku tak layak, masih!
Aku tak kuat, masih!
Aku takut hanyut, lalu tak bersih!

Watashi Sarah
Kapalku sedepa cuma baru bergerak
Sudah ku hitung bila sauh akan menjejak
Sungguh aku ini tidak bijak
Menghitung tidak, mengukur tidak
Cuma sekadar mengagak
Apa aku fikir aku ini ahli falak?
Lihat saja ke langit, terukir seribu watak?
Lalu bisa kalahkan nujum untuk mengagak?
Sungguh, aku ini masih budak-budak

Mere nam Sarah
Kapal yang ku hanyutkan itu
Bukan cuma seorang aku
Aku punya pembantu
Pengemudi bertauliah anugerah Yang Satu
Yang sentiasa khabarkan padaku
Arah angin yang harus kutuju
Ribut yang dielak perlu
Semilir yang rajin datang menyapaku
Bayu yang kadang-kadang lalu

My name is Sarah
Itulah Al-Quran lafaz agung Tuhan
Itulah Sunnah wasiat Rasul junjungan


(June 12, 2006)

Tuesday, December 12, 2006

Yang Bernama Sahabat

kawan...
kita faham dia
tp x semestinye dia faham kita...

kasih...
kita sayang dia
dia sayang kita
walaupun ada kalanya
kasih kita x berbalas
tp bila ditanya tentang berkorban
x semuanya sanggup
sbb adakalanya
kasih itu atas dasar harta dan rupa
mungkin juga kerana nama
lagipula
ada apa dgn cinta
kalau tiada setianya
kalau tiada sejiwa...

sahabat...
kita faham dia
dia faham kita
kita hormat dia
dia hormat kita
kita ketawa
dia tumpang ketawa
kita menangis
dia ikut bersedih
kita berduka
dia turut kecewa
tp dia tetap di sisi
utk memberikan senyuman
meminjamkan telinga
utk berkongsi sengsara
meminjamkan bahu
utk berkongsi tangis
yg menjadi pelangi
selepas hilangnya matahari
kerana bertamunya ribut dan juga petir
yg menjadi rencah dlm hidup ini...

itulah sahabat
dan sahabat itulah awak...

^...Specially dedicate to NURUL FAAIQAH JAINUDDIN (CAIRO), NADIA HAMIMAH KAMARUDDIN and NURUL NADIAH ABDUL HANAN (MOSCOW, M2)^

~spontan dtg idea..terus tulis jela..x dan nk edit ye..~

(taken from my former blog in my Friendster page, December 1, 2005)