Tuesday, May 29, 2007

Apologi


Terbit matahari pagi tadi

Aku buka almari
Terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil

Dulu aku rengek ibu jahitkan
Hadiah pada hari aku bergelar graduan
Manis sekali aku berdandan
Bersama bunga sejambangan

Di situ pintu aku memulakan pelayaran
Hidup bergelar pengamal perubatan

Aku ke hilir mengejar nyawa
Aku ke hulu membantu manusia
Bilang saja di mana
Aku pasti bisa

Janjikan tempat dan masa
Pasti aku tiba jua

Darahku mengalir semangat
Nadiku berdegup penuh minat
Mengusung nyawa selagi daya
Sungguhpun ada teriak tempik ke langit
Katakan aku bukan yang terbaik

Terkadang waktu itu aku jauh hati
Patah hati jua datang iri
Kerana aku bukan si baju putih terhebat

Yang bisa mengusir pergi si malaikat
Kerana aku bukan dukun handal
Yang bisa mengubat hidup-hidup yang sundal

Tapi aku punya kudrat
Yang akan bekerja selagi aku daya
Tapi aku punya tangan
Yang akan memberi selagi aku memiliki
Tapi aku punya hati
Yang akan berdoa selagi aku ada

Terkadang aku rasa mahu melolong
Berkata pada dunia bahawa aku kini kosong
Aku tidak lagi punya kudrat
Kerana aku sendiri melarat
Aku tidak punya tangan
Kerana aku kini buangan
Yang setia cuma hati

Tak pergi, masih mahu menemani

Perlahan kurung putih itu kukeluarkan
Perlahan kupangku ia atas ribaan

Dan perlahan kerusi roda itu kugerakkan

Duhai hati
Aku mungkin akan hilang dari sini
Tapi tulusku
Moga apologi diri ini
Didengar semua

Diampun semua
Kerana aku ingin pergi
Dengan tenang sekali
Sungguhpun diri
Bakal dilupai


Dunia
Apologi terdalam dari hatiku yang bersih
Dalam pembaringan
Berbaju kurung putih

26/05/2007
-resah exam-


Note: 1 exam's down. 5 more to go. Alhamdulillah did very well in TopAn. Thanks for all the wishes. Come whatever may, I found strength when you all are with me.

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

9) Jangan pandang kita yang dulu sebagai kayu ukur diri, kerana takkan terhitung rasa malu dalam diri - Saidina Umar Al-Khattab

12 comments:

Anonymous said...

Good luck Kak Sarah!!! May you pass with flying colors.

Mimiamilia said...

Gambatte!!!!!

wah..sarah pandai tulis sajak.suka..suka..sajak nih.

Mimiamilia said...

alamk tak habis tulis dah tekan butang send..

baru nak cakap sajak ni ada deep meaning..nanti kita citer2 ek...lepas sarah abis exam.

fadly khairie said...

satu lagi sajak dari kak sarah,
banyak bermain dengan rima nampak?hehe
saya suka dengan pengunaan bahasa, nampak mcm kak sarah ada thesaurus bahasa melayu di sebelah.

saya mula tampak kesan jelas sajak setelah rangkap ke 2, rangkap pertama dan kedua nampak macam cerita pula.

erm kak sarah, apa yang kak sarah cuba maksudkan dengan hidup sundal? adakah 'aku' itu bukan dukun handal yang boleh mengubah hidup manusia?kelakuan manusia? sebab sundal itu maksudnya tidak elok kelakuannya;jahat. Betulkah itu maksudnya pada perkataan yang akak gunakan?

lagi satu, bisa itu bahasa melayukah? saya banyak kali juga hendak gunakan perkataan bisa tapi kurang pasti samada ia bahasa melayu atau indonesia.

tapi saya sangat suka rangkap

"Darahku mengalir semangat
Nadiku berdegup penuh minat
Mengusung nyawa selagi daya
Sungguhpun ada teriak tempik ke langit
Katakan aku bukan yang terbaik"

macam ada orang pernah ckp pada saya 'ada nyawa!'

lepas itu saya tertanya2 antara 2 rangkap ini

Tapi aku punya kudrat
Yang akan bekerja selagi aku daya
Tapi aku punya tangan
Yang akan memberi selagi aku memiliki
Tapi aku punya hati
Yang akan berdoa selagi aku ada

Aku tidak lagi punya kudrat
Kerana aku sendiri melarat
Aku tidak punya tangan
Kerana aku kini buangan
Yang setia cuma hati
Tak pergi, masih mahu menemani

Perubahan drastik bermula dari rangkap ini hingga ke akhir.

saya rasa, kak sarah nak bezakan kudrat dengan tangan. Saya teka tangan itu adalah sumbangan,khidmat. Tidak mungkin perasaan dan semangat kerana kak sarah ada berkata tentang hati pula selepas itu

jadi saya tertanya, apakah sebab dia sudah tak punya kudrat dan tangan?kemudian akhirnya tinggalkan hatinya pula.

Saya macam jumpa jawapan katakan 'aku' sudah lumpuh. mula-mula separuh badan. kemudian bila lihat kak sarah katakan dia terbaring. Saya pun berfikir, adakah dia paralysis? ataupun cancer?atau mungkin apa-apa penyakit chronic?(apa ya penyakit yang boleh mengambil sampai perasaan sekali?


apa2pun sajak yang amat baik mutunya, sajak yang menyebabkan saya nak terus membaca dan bertanya. Adaptasi dari pengalaman hidupkah?

saya tunggu karya akak seterusnya.

Selamat berjaya untuk peperiksaan akhir semester ya!

p/s: lagi saya beritahu, saya pun bukan lah tahu sangat sajak-sajak ni hehe

Aduh! Minta maaf ambil banyak ruang.

fadly khairie said...

erm terlupa pula, lagi satu: saya rasa ada hajat 'aku' yang tak tersampai hingga 'aku' terpaksa minta apologi.

mungkinkah kerana dia gagal menjadi doktor yang hebat?adakah keranan dia gagal buktikan bahawa dia bukan seperti teriak tempik itu katakan.

Saya katakan yang 'aku' itu sudah buat yang terbaik, dan saya yakin teriak tempik itu makin lama makin tiada. Kalau tidak pun pada masa itu mungkin seterusnya...

p/s:tumpang lalu lagi ya! maaf. Macam blog sendiri pula

Sarah Mohd Shukor said...

Salam wbt

Farah:
Terima kasih byk2. Tak sabar nak abiskan exam. Pastu nak balik awal! pastu boleh jumpa kan kan kan.

Mimi:
Sy x pandai pun. Suka2 je nih. hehe. Ok. Deep meaning sume tu nanti kita cerita panjang.

Fadly:
Akak memang nantikan kedatangan kamu di sini. Org yg paling selalu membetulkan kesalahan2 akak.

pertama sekali, akak pun tak tahu macam mana nak buang kesinoniman cara penulisan akak dgn gaya berirama. Penulis yg baik sepatutnya tahu mevariasikan lagi gaya penulisannya kan. Nampaknya akak memang masih jauh dari level itu.

keduanya, memang akak sengaja jadikan rangkap pertama dan kedua tu seperti cerita, memberi gambaran dari mana datangnya baju kurung putih di dalam almari itu.

ketiga, sundal yg akak maksudkan memang kehidupan org yg hidup dalam salah laku. sbb berkhidmat sbg doktor ni, kita tak dapat elak drpd terlibat dan melihat macam2 kes kedangkalan laku masyarakat. tp apa yg mampu seorang doktor lakukan? itulah yg dikesalkan oleh 'aku'. krn sbg 'dukun', dia tak mampu utk mengubah semuanya sendiri. tapi seandainya masih juga tak tepat, maaflah. tu salah akak. masih tak pandai memilih prosa yang tepat.

keempat, akak rasa yang menyebabkan kamu suka rankap tu krn 2 baris terakhir itu mungkin ;)

Sarah Mohd Shukor said...

kelima, bisa itu memang bahasa indonesia tapi telah diterima sbg prosa melayu klasik dan terkandung dalam kamus dewan. ini info yang akak tahu sejak 2002. akak tak tau yg terkini. kalau ada penukaran, maklumkanlah ye. supaya akak tak silap lg.

keenam, memang akak maksudkan kudrat itu sbg kuasa dan tangan pula sbg khidmat 'aku' kpd dunia. knp dlm rangkas seterusnya 'aku' mengatakan kudrat dan tangan telah tiada lagi kerana sebelum itu dah pun akak jelaskan yg 'aku' rasa hendak melolong kerana 'aku' kini kosong. 'aku' telah kehilangan 2 benda penting dlm hidupnya iaitu kudrat dan tangannya. yg masih tinggal bersama 'aku' hanyalah hati yang masih tetap boleh berdoa spt yg diterangkan dlm rangkap sebelumnya itu.

ketujuh, ironinya kerusi roda itu, sbg berita kepada kita bahawa 'aku' kini sakit. pastilah agak tenat kerana dia terpaksa berkerusi roda. dan akhirnya terbaring saja. menunggu masanya tiba.

kelapan, pengalam hidup? hmm... entah lah... sekadar berkarya mungkin. kamu kan kenal akak ni mcm mana :)

Sarah Mohd Shukor said...

kesembilan, kenapa 'aku' meminta apologi dari semua, kerana 'aku' tahu yg dia akan meninggalkan dunia ini. menjadi resmi, meminta maaf agar dipermudahkan urusan diri di sana nanti. dan sebagai tanda rendah diri andai ada kesalahan yg telah dilakukan sepanjang hidupnya di dunia ini.

Fadly, terima kasih banyak2! kamu memang selalu akak nanti2kan bila akak keluarkan sajak baru. Sudi2lah tegur2 lagu ye. Teguran kamu banyak mengubah cara akak berkarya. sbb kalau boleh akak tak nak ulangi kesalahan yg sama.

hidup utk menuju ke depan walaupun kita tahu masanya telah suntuk!

Terima kasih Fadly!

Vann said...

Aku tidak suka elergi
Tapi tak jemu untuk dibacai
Memang pahit ditatapi
Kerna yang manis tak pernah mengubati

"Duhai hati
Aku mungkin akan hilang dari sini
Tapi tulusku
Moga apologi diri ini
Didengar semua
Diampun semua
Kerana aku ingin pergi
Dengan tenang sekali
Sungguhpun diri
Bakal dilupai"

Ada jiwa

Vann said...

Aku tidak suka elergi
Tapi tak jemu untuk dibacai
Memang pahit ditatapi
Kerna yang manis tak pernah mengubati

"Duhai hati
Aku mungkin akan hilang dari sini
Tapi tulusku
Moga apologi diri ini
Didengar semua
Diampun semua
Kerana aku ingin pergi
Dengan tenang sekali
Sungguhpun diri
Bakal dilupai"

Ada jiwa

so'od said...

i think i can relate to this even though i dont wear baju kurung :)

excellent one!

Sarah Mohd Shukor said...

Bro Mukhriz:
Ada jiwa kerana jiwa 'ini' yg rasa.

Dr. Am:
Because my 'shoes' can suit u well too.