Tuesday, May 01, 2007

Kisahnya Siti Terbakar

Salam wbt

Sejarah

Hari ini 1 Mei. Tepat jam 8.30 malam nanti, genaplah 14 tahun yang lalu sebuah kisah hitam telah berlaku di dalam hidup saya. 1 Mei 1993. Saya baru saja berada dalam darjah 2. Namun, apa yang terjadi masih segar dan jelas dalam ingatan saya. Pada malam tersebut, badan saya telah 50% terbakar dari muka ke pinggang dek penangan tin aerosol yang meletup.

Lebih kurang jam 8 malam, Tok Halimah datang ke rumah berjalan kaki. Rumah tok hanya di depan rumah saya saja. Tok baru saja tiba dari Dungun, ke rumah Makde melawat cucu-cucu. Ketika itu, saya dan Kak Long berada di dalam bilik sedang menyiapkan kerja rumah. Kebetulan pada tahun itu, tanggal 1 Mei yang juga merupakan cuti Hari Pekerja telah jatuh pada hari Sabtu. Sepanjang petang Sabtu itu, kami sekeluarga membersihkan halaman depan dan belakang rumah.

Terdengar emak melaung bertanya, siapa yang nak temankan Tok makan nasi, pergilah ke rumah Tok. Kebetulan saya masih belum makan kerana ketika emak dan adik-adik makan malam, saya sedang khusyuk menyudahkan kerja rumah yang diberi kerana pada keesokannya, Ahad, ayah berjanji hendak membawa kami semua ke air terjun di Bentong. Air Terjun Batu 10 di Jalan Kuala Lumpur Lama. Saya memberitahu emak dari dalam bilik bahawa saya hendak ke rumah tok selepas menyiapkan kerja yang sedang saya lakukan. Pada masa yang sama, di luar rumah, ayah dan adik-adik sedang membakar sampah hasil kerja-kerja pembersihan di luar rumah petang tadi. Dari dalam bilik, saya dan Kak Long dapat melihat api yang marak tapi tidaklah sebesar mana. Tempat bakar sampah itu letaknya kira-kira 15 kaki dari kawasan rumah. Lubang sabak lama tinggalan kenduri kahwin Mak Andak dulu kami jadikan tempat untuk membakar.

Ketika sedang menyiapkan kerja rumah itu, saya hanya berkain baju kurung. Maklum sajalah. Baru darjah dua. Cuaca pula sangat panas kerana telah masuk di pertengahan tahun. Sebaik selesai kerja tersebut, saya memberitahu Kak Long yang saya hendak terus ke rumah Tok.


Apa Yang Terjadi

Sebaik saja tiba di luar rumah, saya melihat ke arah api yang sedang membakar sampah-sampah di lubang sabak itu. Nampak sangat marak. Tapi kedudukan saya jauh dari api itu. Lebih 15 kaki jaraknya. Ayah sedang memantau dari pintu dapur rumah. Emak pula di dalam rumah. Ketika itu, emak sedang mengandungkan adik Adam.

Saya berhenti sebentar di depan api tatkala terdengar letupan kecil. Tup-tup. Saya memalingkan muka. Adik Adlan ada di tepi saya ketika itu. Dia masih sangat kecil. Letupan kecil kedengaran lagi. Tup-tup. Saya memandang api itu. Tiba-tiba dengan sekelip mata satu letupan besar kedengaran kuat. Seperti letupan bom. Sangat kuat. Dan pada masa yang sama, saya dapat melihat satu gumpalan besar api yang datang bagaikan ombak besar. Saya terpaku saja di situ. Sangat tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Yang dapat saya lakukan hanyalah menutup mata kerana saya takut melihat gumpalan api yang datang itu. Dalam keadaan mata tertutup, saya dapat rasakan badan saya tiba-tiba rasa berbahang.

Sebaik saya membuka mata, Adlan berkata: Ada api kat rambut Ngangah. Rambut saya agak panjang pada waktu itu. dan dilepaskan tanpa ikatan. Saya melihat rambut. Di bahagian rambut depan, saya lihat ada api sedang menyala. Saya berlari menuju ke arah paip air di luar rumah. Waktu itu, ayah sudah berlari menuju ke arah saya. Emak pula terduduk di pintu dapur terkejut melihat apa yang terjadi. Saya masih lagi di bawah cucuran air, cuba memadamkan api di rambut. Pada waktu itu, sedikitpun saya tidak merasa sakit lagi. Hasrat saya hanyalah untuk memadamkan api di rambut dan menghilangkan rasa bahang di badan.

Sambil bercucur di bawah paip air itu, saya menggosok-gosok badan saya dengan tangan. Selepas seketika, saya melihat ada sesuatu jatuh di atas lantai di bawah paip air itu. Lagi saya gosok, lagi banyak yang terjatuh. Rupa-rupanya, itu adalah kulit dari bahagian bahu kiri dan pergelangan tangan saya. Sebaik menyedari itu adalah kulit, baru saya terasa sakitnya badan saya berada di bawah cucuran air itu.

Saya mula menangis. Emak juga saya dengar sedang menangis. Ayah mengangkat saya ke tepi. Ayah kemudiannya masuk ke dalam rumah menyarung baju dan menghidupkan enjin kereta. Pada masa yang sama, Tok tiba di rumah saya hendak melihat apa yang terjadi setelah mendengar bunyi letupan kuat tadi. Tanpa berlengah, ayah mengajak Tok menemankannya untuk membawa saya ke hospital.


Rawatan

Di dalam perjalanan ke hospital, saya rasa saya sudah tidak sedar apa-apa lagi. Sebaik tiba di bahagian kecemasan Hospital Mentakab dalam keadaan separa sedar (Hospital Temerloh masih belum wujud), saya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Pada waktu itu, saya diberikan pelbagai jenis suntikan dan saya langsung tidak sedarkan diri selepas itu hinggalah terbangun pada awal pagi itu. Ketika itu saya sudahpun berada di sebuah wad perempuan. Tok berada di sebelah saya dan seorang jururawat sedang menyuntik sesuatu ke dalam jarum penyalur air di tangan saya.

Pada waktu itu, apa yang saya sedar adalah rambut saya telah dipotong pendek. Sangat pendek. Saya terkilan kerana rambut itu saya simpan sejak sebelum tadikan lagi. Saya cuba mengangkat tangan untuk memegang rambut yang telah di potong itu. Tetapi tangan kanan saya rasa terlalu lemah. Tok terjaga apabila saya bergerak-gerak di atas katil. Tok berpesan pada saya supaya banyak-banyak berselawat. Saya duduk diam semula. Dalam hati saya terdetik, teruk sangatkah keadaan saya kini sampaikan Tok boleh menangis?

Lebih kurang pukul 5 pagi, sekali lagi saya terbagun. Seorang budak dimasukkan ke wad tersebut dan katilnya betul-betul di sebelah katil saya. Saya lihat dia meraung tidak henti-henti. Badannya berwarna kekuningan. Agak pelik. Namun jururawat menyuruh saya menyambung tidur. Lebih kurang pukul 6.45 pagi, saya terjaga dan bertanya pada Tok, bagaimana saya hendak solat Subuh ni? Tok berkata, "Ngangah sakit. Nanti dah sihat sikit Ngangah kena ganti semulalah Subuh hari ni." Aku diam. Rasa sangat tidak sedap hati kerana terlepas Subuh. Saya cuba menegakkan kepala. Tidak boleh. Saya langsung tidak terdaya untuk menggerakkan seluruh badan kecuali hujung jari saya yang boleh saya gerak-gerakkan.

Budak di katil sebelah sudah tiada. Saya bertanya kepada Tok perihal budak kecil pagi tadi itu. Tok memberitahu, dia telah meninggal. Menurut Tok, budak itu terjatuh ke dalam kuali yang berisi minyak panas ketika ibunya sedang menyediakan kuih untuk dijual di pekan sehari Temerloh pada pagi Ahad itu. Bayangkan. Budak itu tergoreng di dalam minyak panas. Amat dahsyat sekali perasaan saya membayangkan keadaannya.

Setiap 1 jam, pasti ada jururawat yang datang menyuntik sesuatu di tangan saya. Saya tidak suka kerana setiap kali cecair itu masuk ke dalam urat tangan saya, tangan saya akan menjadi sangat lemah. Air mata pasti akan mengalir sebaik selepas itu. Tok memujuk saya memberitahu bahawa emak akan datang melawat saya sekejap lagi.


Tak Terduga

Lebih kurang pukul 10 pagi, emak tiba di wad saya. Kata emak, emak datang bersama Mak Tam Ani tetapi Mak Tam Ani akan masuk sekejap lagi. Sebaik emak mencium saya, emak ke tandas sebentar. Dari atas katil, saya dapat melihat Mak Tam bagai sedang tercari-cari di manakah katil saya. Saya hairan. Takkanlah Mak Tam tidak mengecam syaa sedangkan katil saya betul-betul bertentangan dengan pintu masuk. Sebaik emak tiba dari tandas dengan mata yang merah, emak melambai-lambai memanggil Mak Tam datang ke arah katil saya. Pada waktu itu, ada dua kesimpulan yang bermain di benak saya. Pertama, emak menangis di tandas selepas melihat keadaan saya. Kedua, pasti saya telah jauh berubah dari segi fizikal sehinggakan Mak Tam tidak dapat mengecam saya lagi. Saya yakin, kedua-dua kesimpulan ini benar.

Seketika kemudian, ayah tiba dengan adik-adik. Doktor menghampiri emak dan ayah dan berbicara di dalam Bahasa Inggeris. Doktor fikir, barangkali saya yang masih kecil ini tidak memahami bahasa tersebut. Tapi silap. Di rumah, kadang-kala kami berkomunikasi bersama emak dan ayah menggunakan Bahasa Inggeris. Dan bagi saya dan kakak, bahasa perantara ketiga adalah Bahasa Arab.

Saya terkejut mendengarkan doktor berpesan kepada ayah agak tidak membenarkan saya melihat cermin dalam masa terdekat ini. Saya yakin. Pasti sesuatu yang sangat tidak enak dipandang mata telah terjadi. Saya melihat sekilas pada badan saya. Kulit badan saya mulai kemerah-merahan. Adakah muka saya juga begitu? Itulah persoalan yang sedang bermain-main di kepala. Dan saya kini tahu apa sebenarnya yang terjadi. Di dalam lubang tempat pembakaran itu, ada orang membuang tin aerosol penyembur nyamuk. Yang pasti, penyembur nyamuk itu bukan milik kami kerana rumah kami menggunakan ubat nyamuk elektrik. Patutlah letupannya sangat kuat. Kesudahannya, hari Ahad yang kami rancangkan untuk bermandi-manda di air terjun kami sudahi dengan berkumpul di sisi saya di katil hospital.


Pulang Ke Rumah

Keesokannya, emak meminta kebenaran doktor untuk membawa saya pulang ke rumah kerana hendak mendapatkan rawatan peribadi daripada Doktor Rama, doktor keluarga saya yang telah dipercayai sejak tahun 70-an. Sebaik masuk ke dalam kereta (emak mendudukkan saya di kerusi belakang), saya terus dinasihati oleh emak dengan bermacam-macam nasihat. Antaranya, emak meyakinkan saya, walaupun saya telah hilang satu nikmat, ingatlah bahawa Allah akan mendatangkan nikmat yang lain pula. Ujian yang datang kali ini adalah untuk menguji kesabaran saya dan sebagai ingatan agar tidak mempersendakan kebesaran juga qada' dan qadar aturan Allah. Sambil mendengar syarahan emak, saya melihat ke arah cermin pandang belakang di dalam kereta. Sambil itu juga, air mata saya mengalir pedih membasahi kulit muka yang hitam kelihatan seperti 'Batman' pada ketika itu. Saya sangat sedih kerana muka saya sangat buruk seperti hantu. Dan saya sangat sedih kerana saya tahu saya tidak akan pulih dalam masa yang singkat.


Rawatan Di Rumah

Setiap hari saya dikunjungi oleh saudara-mara. Juga guru-guru yang telah dikhabari keadaan saya ini. Saya malu sebenarnya apabila ada yang datang melawat. Saya sangat hodoh. Sangat buruk pada waktu itu. Saya mengambil masa hampir 2 bulan terlantar di rumah dan setiap minggu berulang-alik berjumpa Doktor Rama untuk mendapatkan rawatan.

Saya masih ingat ketika dalam tempoh pemulihan, kulit saya pecah-pecah dan mengelupas. Sangat sakit dan buruk. Sangat jelik dan hodoh. Saya benci akan diri saya waktu itu. Saya akan makan tengahari yang telah dimasak oleh Mak Tam sebelum emak, Kak Long dan adik-adik pulang dari sekolah. Selebihnya, saya menghabiskan masa sendirian di dalam bilik. dua minggu sekali, saya perlu ke Hospital Mentakab berjumpa pakar. Kasihan emak. Waktu itu, emak sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab. Emak terpaksa berulang-alik mengambil dan menghantar saya ke hospital.

Dalam tempoh dua bulan itu, adik-adik saya yang masih kecil-kecil itu memanggil saya Siti Terbakar. Inilah jolokan baru saya. Saya sangat berkecil hati dengan panggilan itu. Sudahlah saya buruk, ditambah pula dengan gelaran yang sangat hina. Terasa seperti tersisih daripada adik beradik yang lain. Ayah selalu memarahi mereka apabila mereka memanggil saya dengan gelaran itu. Saya masih ingat, ada seorang adik saudara saya takut melihat saya pada ketika itu kerana wajah saya memang seperti hantu. Andai kata ada di antara pembaca sekelian pernah menonton cerita 'Syahadat' pada tahun 1995, wajah saya pada ketika itu cantik sedikit saja daripada wajah Syahadat, watak utama cerita tersebut.

Saya juga menjadi seorang yang lebih diam. Maklum sajalah. Siapa saja yang datang akan membanding-bandingkan muka saya dulu dan sekarang. Juga muka saya dan kakak. Saya sangat terasa. Sangat sedih dengan apa yang terjadi. Bukannya saya inginkan semua ini terjadi. Dan saya terkilan kerana sepatutnya sebagai orang dewasa, mereka lebih prihatin terhadap perasaan kanak-kanak jika mereka mendengar perbandingan yang sebegini.


Pulih Sepenuhnya

Pada suatu pagi, saya di rumah bersama Mak Tam, Adlan dan Adi. Saya bermain-main dengan Adi yang baru saja boleh berjalan jatuh. Saya menonton rancangan Selamat Pagi Malaysia. Yang lain semuanya sudah ke sekolah dan kerja. Saya melihat slot Seni Tanaman. Pada hari itu, pakar sedang menerangkan tentang cara menjaga pokok pisang dengan baik. Di samping itu, diberitahulah juga kelebihan-kelebihan buah pisang dalam kehidupan kita. Saya tertarik apabila mendengar bahawa kulit pisang boleh membantu menghilangkan parut di tubuh badan. Tanpa berlengah, saya berlari menelefon ayah memintanya membelikan pisang apabila pulang nanti. Sejak hari itu, rumah saya banyak bekalan pisang kerana saya berhelah terasa teringin hendak makan pisang Montel dengan banyaknya. Mak Tam menjadi mangsa terpaksa memasak pelbagai jenis manisan berasaskan pisang. Dari cucur hinggalah pengat dan sira pisang.

Kulit pisang itu saya ambil dan menonyoh-nonyohnya di muka dan badan. Hampir dua minggu saya mengamalkan petua tersebut. Hanya Mak Tam pada mulanya mengetahui apa yang saya lakukan. Saya takut untuk memberitahu emak kerana dikhuatiri tindakan saya ini dilarang oleh doktor. Sehinggalah pada suatu hari, emak memeriksa badan saya dan emak sangat terkejut kerana kulit badan saya jauh lebih baik. Kulit badan juga putih dan kulit baru juga dalam keadaan yang sempurna. Lalu saya menceritakan apa yang saya lakukan. Keesokannya, ketika pergi berjumpa Doktor Rama, beliau juga kagum dengan proses pemulihan saya yang cepat. Sangat cepat dan sempurna. Kulit saya, katanya, seperti kulit bayi. Lalu emak menceritakan apa yang saya lakukan. Doktor Rama tergelak saja dan membenarkan saya melakukan terapi kulit pisang itu.


Bertemu Orang Ramai

Sudah dua bulan saya hanya duduk di rumah. Ayah yang pernah mengikuti kursus 'Children Development' ketika belajar dulu telah menjadikan funfair sebagai tempat pertama untuk membawa saya semula ke dalam masyarakat.

Saya mati-mati tidak mahu pergi. Saya malu. Orang akan memandang pelik pada saya. Dan saya tidak sukakannya. Sungguhpun pada waktu itu kulit muka saya telah 100% elok, namun keyakinan diri masih belum pulang dalam diri saya. Keyakinan itu hilang entah ke mana. Namun ayah berkeras membawa saya pergi. Ketika di funfair, saya memegang hujung tudung menutup separuh muka saya. Saya sangat malu apabila orang memandang. Pulang ke rumah malam itu, saya menangis. Sedih kerasa saya tahu saya masih belum sepenuhnya diterima oleh orang sekeliling dalam kategori normal.


Kembali Ke Sekolah

Pada suatu hari, Kak Long dan Adnan pulang dari sekolah memberitahu bahawa peperiksaan pertengahan tahun akan bermula pada pinggu hadapan. Peperiksaan pertengahan tahun di sekolah saya agak lambat dari sekolah kerajaan kerana sekolah saya mempunyai takwim yang tersendiri. Sebaik terdengarkan hal ini, saya terasa hendak ke sekolah. Ketika berada di dalam darjah satu, saya mendapat nombor satu dalam kedua-dua peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Jadi saya tidak mahu ketinggalan dalam peperiksaan kali ini. Saya memberitahu emak bahawa saya hendak mengambil peperiksaan. Emak bersetuju dan ayah pula gembira kerana saya telah mendapat kembali keyakinan untuk bercampur bersama orang ramai.

Hari pertama saya pulang ke sekolah merupakan hari pertama peperiksaan pertengahan tahun. Seperti yang telah saya ceritakan dulu, saya bersekolah di sekolah swasta. Ada subjek agama dan akademik biasa. Kesemuanya 11 subjek. Walaupun tidak ke sekolah selama 2 bulan, dalam sejarah hidup saya, peperiksaan pertengahan tahun ketika darjah dua merupakan rekod terbaik saya dalam hidup. Saya mendapat 100% dalam 9 mata pelajaran dan lagi dua subjek mendapat 99%. A+ dalam hafazan dan juga A bagi oral Nahu Bahasa Arab. Peratus keseluruhan adalah 99%. Alhamdulillah.

Teringat semula syarahan emak. Allah ambil satu nikmat dari saya dan Allah akan gantikan dengan yang lain. Saya sedar, inilah nikmat yang Allah gantikan semula untuk saya, hadiah atas kesabaran bersusah-susah dengan ujiannya itu. Nikmat akal yang masih sempurna dan saya berjanji akan menggunakan nikmat akal ini dengan sebaiknya.


Peribadi

Secara peribadi, rasa rendah diri itu tidak hilang lagi hingga kini. Saya tahu, kakak saya jauh lebih cantik daripada saya. Selalu saja kami dibanding-bandingkan. Tapi itu tidak mengapa Kerana saya bukanlah orang yang terlalu kisah apa orang fikir tentang saya. Keduanya, saya juga selalu dibanding-bandingkan dengan sepupu-sepupu perempuan yang lain. Mungkin dari segi fizikal saya kalah, tapi dari segi pelajaran, saya selalu menang dan menjadi idol bagi adik-adik saudara yang lain. Saya selalu dijadikan kayu ukur buat mereka. Dalam segala aspek. Lucu juga bila difikirkan semula hal ini.

Namun yang utama, rasa syukur saya panjatkan pada Allah. Ujian yang diberikan kepada saya dipulangkan semula dengan pulih yang sempurna. Tiada parut yang tinggal. Hanya di pergelangan tangan kiri saja, andai diperhati dalam-dalam, akan dapat melihat kesan yang sedikit cuma. Terima kasih Ya Allah. Saya pernah separuh mati terlantar di ICU pada satu masa dulu. Dan kini saya dalam proses menjadi seorang doktor untuk membantu orang sakit yang lain pula satu hari nanti.

Kesan daripada terbakar itu, mata saya mulai rabun sejak akhir tahun 1993. Ini kerana ketika kejadian tersebut, mata saya terdedah pada haba tinggi yang merosakkan sedikit retina saya. Saban tahun, kuasa cermin mata saya sentiasa meningkat. Namun saya berpegang pada satu kata-kata: Rabun itu bukan satu kecacatan.

Kini saya boleh tersenyum teringat sejarah lama ini. Terima kasih emak dan ayah kerana menjaga saya dengan sebaiknya.

"Allahummaghfir lii waliwaalidayya warhamhuma kama rabbayaanii saghiiraa"

Nota: Ada sekeping gambar yang diambil ketika saya masih dalam keadaan tenat. Rupa saya memang seperti hantu. Gambar itu dijadikan modal untuk menakut-nakutkan Adik Azizi dan Aiman sedikit masa dahulu.

31 comments:

Anonymous said...

Ma sha' Allah ...
sarah u r so beautiful...and trust me beauty is not in face;beauty is the light in heart..

u r always the person that i salute and i admire.

Sarah Mohd Shukor said...

1)ak47:

wherever u are at the moment, i always treasure the advices and words that came from u. your advices are always a must-take-into-account things in my life. thanks you very much.

semoga kamu jumpa apa yg kamu cari-cari dlm hidup. amin.

Anak Singa said...

Salam.

1. Saya kagum dengan kesobaran dan ketabahan kak sarah menghadapi ujian ini. Moga terus sabar :)

2. Jangan pedulikan perbandingan itu. Konsep cantik itu luas. Mudah-mudahan tergolong dlm golongan yang cantik di sisi ALLAH :)

Mama Sarah said...

Kagum dengan "siti" yang berumur 8 tahun itu. Cerdik fikirannya. Cekap tindakannya.

SEmoga Sarah menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Salam kepada ibubapa Sarah.

Anonymous said...

amin.and the same dua goes to you too...
I'm really inspired by Sarah 14 years ago as well as the current Sarah too.May I always be inspired by the future Sarah as well in sya Allah.

Anonymous said...

assalamulaikum wbt..nk comment jugak. heh..
saya pun kagum dgn kepantasan bertindak kak sarah yang kecik tu. eventho the burn was like 50%.. x putus semangat..

saya ade pengalaman, burn yang sgt sikit (3-5%)ada la dalam tahun lepas. tapi sbb kesilapan 'first aid' pon xtau.. sy simpan blister selama 2hari yang terjadi sbb x alirkan air right aft kene..

malunya dgn siti sarah 14 tahun dulu;)

siap ada yang tanye: "die x malu ke ada parut?"manela die pasti sgt sy ade parut... hrm. manusia suka menilai paras rupa..tp yang cantik tu kan dinilai dgn mata hati. xpe k.sarah-akak sgt comel skarang.suke jumpe kt moscow haritu walaupun kjap;)

harap2 suke dgn syabab=) maaf x masuk meeting, ade lawan futsal=p

isuzu_aizu said...

salam sarah. lompat2 blog sampai ke sini akhirnya. waaa, kagum2 bace sejarah sarah yang comel lagi cun melecun nih.tapi tak perasan pun kesan2 nya bile da besa. yang lepas tu biar jadi kenangan dan syukur lah sarah dah jadik cun melecun + bertambah ayu skang =D.

(woo, bile la nak jumpe lagi ni. da bertahun x jumpe. rinduuu~ hari tu jumpe amy je dtg oz. huhuhu)

shukor said...

Ngah,
Ayah yang longgokkan plastik sampah yang mengandungi tin aerosol tu.Tapi ayah tak pasti sapa punya.Ayah tak tau pun tin tu ada kat longgokan tu.Tiba-tiba dia meletup dan terbang jauh.Sori la Ngah-Ngah.

Anonymous said...

uishh..sapela yg kata kak sarah tak cantik tu..hehe..
tringin plak nak tgk muka kak sarah tym kecik molek..hehe

Sarah Mohd Shukor said...

salam wbt

2)Alif:

Insya allah akan terus bersabar dgn apa je dugaan yg allah datangkan. doa2kan..

3)Mama Sarah:

Tu tindakan refleks. Bila nampak api di rambut, terus je teringatkan air. tambah pula badan tgh rasa berbahang. Insya allah sy akan sampaikan.

4)ak47:

may i will forever be inspired by u and ur art works. without ur art works, i feel something is missing when i browse the net. jgn hilangkan diri dh ye. keep on inspiring the world. jgn kamu tak tau. hari2 sy jenguk 'dunia' kamu tu ;)

Sarah Mohd Shukor said...

5)Deeha:

salam buat deeha yg comel. bila jumpa deeha hari tu, kamu nampak kurusla. betul2 susut nak banding time summer camp dulu.

betul tu. cantik yg dinilai dr mata hati adlh lebih cantik drpd cantik yg dinilai oleh mata duniawi.

akk tau kamu main futsal. yana yg bgtau. terima kasih syabab tu. x sangka sajak tu wujud for real dlm latest edition tu ye. terima kasih byk2.

6)Aizu:

salam aizu!!! akhirnya sampai jgk awk kat sini yek. hari tu sy rajin jgk jenguk2 ur blog thru amy's link. but since amy dah stop blogging, terputus sat connection. ahlan wasahlan ke My World. nnti sy link kan di ex-kisasian eh.

cun??? eh eh.. silap org kot..huhu.. tak pernahnya sy tergolong dlm group yg ada title nih. mmg silap org ni aizu (hehehehe). tp ni la dia sejarah yg penah jd. alhamdulillah. mmg x de parut yg allah kekalkan. hamdallah. hamdallah.

insya allah ada masa, cukup ongkos, sampai jgk sy ke sana nnti ;)

Sarah Mohd Shukor said...

7)Ayah:

ngah tau sampah tu kita kumpul sama-sama. tapi tak sape tau yg kat dalam longgokan tu ada tin tu kan. takpela. kalaulah takde tin tu, takdelah kisahnya siti terbakar 14 tahun yg lalu kan.

lepas call td, i made up my mind. nak duduk di perak! hehehe..emak pun setuju. that's her 1st choice too. can i?

love,
*anak ayah yg dh besar!*

8)Nabilah:

nak tengok gambar time kecik? hmm..rasa mcm ada je kat friendster. hehe. (ntah ada, ntah tak dah gambar tu. ks bukannya bukan sgt friendster2 ni dh. rasa umur dh terlajak. hihi)

Da' gReaT said...

Ya Allah..
teruknya injury tu..so,ppl out there.. dont easily give up..trust urself n always hav faith in our heart.. n see..really He will help us!!

~O you who have believed, if you support Allah, He will support you and plant firmly your feet~
(Muhammad:7)

Anonymous said...

huh mane ade kaklong cantek?!! nak compare dgn awak, kan sume org puji2 awak. puji dari segala segi. kaklong kan renek2 je. tak tinggi mane.. hahaha keje lak takdek. banyak sangat kekurangan diri... bile la nak dapat keje ek? huk huk huk btw tingat balik dolu2 ek. masa awak jd "siti terbakar" tuh... hehehe

Anonymous said...

Assalamualaikum Sarah,
Sgt inspired by your story ni. Sy dl ms darjah 2 sure blur2 lg. G sklh balik seklh sume berhantar. Kdg2 my bro dtg ke kelas just to make sure yg saye ok. Hihu...Somehow, I still 'baby' of the family. Sgt kagum dgn Siti Sarah yg kecil, umur 8y.o.
Mane ade awak tak cantik, cntik je sy tgk..Ni ikhlas nih...Cantik dalaman lg penting. Biarlah diri kita dan Allah je yg tw betapa cantiknye kita ni.
Nway, nice blog..
Bye2
-'Ain Nizhny yg singgah-

Anonymous said...

ok....aku sgt tak sanggup nak baca part dekat hospital part2 melecur...kulit jatuh menjurai2...kerana aku rasa sgt ngilu dan mcm aku jer yg rasa...k...its so painful!

btw, 50% melecur? u r so lucky gul...bukan ke kalau da 30% melecur org semua ckp dah takde harapan nak hidup? wow! u r so strong! hehe...bersyukur yaa...

Sarah Mohd Shukor said...

9)Dzulqarnain da' great:

u are absolutely right. dont ever give up with ur life. OKAY!

10)Kak Long:

lagi mau nafi2 eh. korangla dulu jahat panggil ngah siti terbakar. rasa nak nangis sgt2. ingt org x sakit hati ke kena panggil mcm tu? alaa..1 day awk akn dpt apa awk idam long..

11)Ain:

Salam ain. akhirnya menyinggah jg ain kt sini. ain mmg baby utk kami semua sampai bila2. tp ain sgt2la matang. sgt teruja bila tgk ain bercakap. penuh kaliber. betul tu ain. cantik dalaman lg penting ;)

12)Salman:

ingatkan takut pedas je. rupanye bila baca description yg mcm ni pun x tahan jugak. hehe.tu la..mmg allah nak panjangkan nyawa. dah la hidup lg, recovering process plak cepat. sampaikn doktor rama tu sampai skrg ni pun kalau sy gi klinik dia, dia akn remind semula ceritu tu. sbb dia kagum tgk mcm mana sy boleh elok smula tanpa ada parut. subhanallah...segala puji hanya utk-Mu ya Allah...

Zokhri Idris said...

kak long,

renek2 tue camne?
tak penah plak sy dgr.. tumbuhan renek adalaaaa

xxx

Anonymous said...

zackidris,

erk?! renek2 tu memang tumbuhan. it's kind of tumbuhan herba yang hanya ade kat kampung lebak, temerloh. the only one.. =)tumbuhan herba eksotik

Sarah Mohd Shukor said...

ewah3 dua org ni....

bercengkerama kat sini plak eh. abg wan, disebabkn kaklong ni renek2 mcm pokok herba tu, so jadilah nama lain dia 'renek2'. haha

Anonymous said...

oloh ngah... ngan la marah2... tumpang mesra2 jek.... keh keh keh peh penat ah p kenduri dayah kadir td. sbb kaklong makan untuk pewot awak sekalik

Zokhri Idris said...

sorry aya,

mana ada bercengkarama? ape salahnyer berama2 dgn tumbuhan renek..

sorry tapi nak tanyer lagi laaa, pewot tue plak ape kak?
ermmmm xtahu laaa thesedays nie teringin sgt nak belajar cakap pahang (ececececece ... apekah petandanyer?)

xxx

Sarah Mohd Shukor said...

eh eh kaklong n abg wan ni..sungguh lain mcm ni.. apa abg wan tringin nak balik beraya kat temerloh pulak ke 1 hari nnti? almaklumlah..mentang2la kampung abg wan di mentakab je..

pewot = perut. kaklong memang mcm tu. suka hentam je bahasa2 dia jd bahasa budak2.

Zokhri Idris said...

ape salahnyerrrrr... owang pun ada sedara kat temerloh jugak..huhu bolehlah singgah2 sat

thanks for da info (cbuk jerrr..org tanyer kak long arr) hehehe cubalah bagi can sesekali sesekala..

xxx

Anonymous said...

hua hua hua jangan gado2.... korang kena mesra2....

Zokhri Idris said...

x de laaa..mana ada gaduh kak long.. kami nie baik2 aja disini..

wat lah satu blog kak long, sambil nak mengisi masa lapang nie..gerenti baik punya!!! (jadi dafi jap) hahahahaha

Sarah Mohd Shukor said...

haah la long. alang2 abg wan sendiri yg dh request ni, misti awk pn rasa semangat nk berblog jgk. buat la 1...sah2 everyday abg wan menjenguk ur blog. lg pun, bleg dgn crite awk dgn anak murid awk yg lucu2 tu.

cepat sahut cabaran long!

syuqaira said...

Salam KS,
Baru saje terbaca entry ni hari ni,
teringat sy kecik2 dulu..
terjatuh, berparut dahi dan dagu..
kalau kak sarah dulu "siti terbakar"
sy dulu ada gelaran " si kambing", sebab ade kapas di dagu..hihi..
tapi sy tak ade lah seteruk mane..
sy kagum pd KS, semoga tabah selalu =)

Hmm...sape kate KS tak cun?
sebelum sy jumpe KS mase kat camp UNESCO dulu..banyak cerita ttg KS sy dgr dari kak jaja, semua yg best2, sampai sy kagum pd KS. Kak jaja kate KS cun =), cun luar dan dalam insyaAllah..

i'm inspired by ur story, thnx for sharing, Semoga di bawah lindungan rahmat-Nya selalu =)

jzkk.

~sikin~

Anonymous said...

k sarah ..cantik itu sungguh subjektif.

and to me, beauty really lies in the heart. you can see a person's beauty when you look with yr inner eye(mata hati).

i too, am a bit physically incapable due to post-natal problems and keaktifan yang sgt dasyat during my younger days.. nonetheless, dont let these little things dampen our spirit.

minda kita sihat alhamdulillah-itu pun salah satu nikmat Tuhan yang tidak ternilai harganya kan :)

and you my sister..have the heart of an angel.

i pray Allah will shine his nuur within us, ameen.

ain roti said...

masyaallah..mengalir air mata ble baca entry ni..xsangka begitu besar dugaan yg kak sarah dah lalui..tahniah kak..;)

aey_man ^_^ said...

Still reading......................

Beauty is nothing but .....
heart is everything.......