
Salam wbt,
Ketika entry ini ditulis, rasa sengal-sengal di badan masih terasa penangannya. Semalam merupakan hari pertama Temasya Sukan Malaysia atau lebih dikenali dengan nama Malaysian Games di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Rusia ini. Jolokan tahun ini adalah Moscow Games 2007 kerana bertempat di Moscow. Tahun ini seperti lazimnya, saya terlibat dengan ping-pong. Semenjak tahun pertama, saya telah mula mewakili universiti saya dalam acara ping-pong.
Ping-pong Wanita merupakan acara pertama yang berlangsung semalam di Kompleks Sukan Universiti Pedagogi dan Perguruan Moscow. Perlawanan dilangsungkan secara liga di mana pasukan saya terpaksa berdepan dengan empat buah universiti yang lain. Kebiasaannya di mana-mana saja ping-pong adalah sinonim dengan bangsa Cina. Namun lain pula halnya di Rusia ini. Bagi universiti saya sendiri, pasukan saya terdiri daripada seorang saja Bangsa Cina dan tiga yang lainnya adalah Melayu.
Jan Jan merupakan 'dewa' dunia ping-pong di Rusia. Rekod tanpa kalah yang disandangnya masih kekal sehingga kini. Dua orang lagi teman sepasukan adalah
Wani (roommate) dan juga
Sara (senior). Oleh itu, dalam pasukan ini, ada dua orang Sarah yang selalu saja dikelirui oleh orang yang mendengar.
Sebetulnya, pada tahun ini kami berempat mempunyai tanggungjawab yang besar. Kami perlu membawa pulang pingat emas lagi kerana tiga tahun sebelum ini, kami merupakan johan berturut-turut. Dalam kejohanan kali ini, pasukan kami menyusun strategi baru. Sara diturunkan sebagai perseorangan pertama dan bergandingan bersama Jan Jan sebagai beregu pertama. Kemudian Jan Jan akan turun sebagai perseorangan kedua dan diikuti oleh saya dan Wani bergandingan sebagai beregu kedua. Perseorangan ketiga akan bergilir-gilir antara Wani dan saya.
Perlawanan pertama kami menentang pasukan dari Nizhny Novgorad State Medical Academy (NNSMA). Alhamdulillah. Kami menang. Tapi saya akui, dalam perlawanan pertama ini, saya agak panik dan permainan saya tidaklah sebaik ketika sesi latihan biasa. Ketika menentang Nizhny, saya berdepan dengan teman-teman lama seperti Mekla dan Nikki. Gamat juga suasana selepas pertandingan itu kerana semuanya rancak berborak itu dan ini.
Perlawanan kedua kami bertemu pasukan dari Kursk State Medical University (KSMU). Alhamdulillah. Kami menang lagi dan persembahan saya dan Wani kali ini jauh lebih baik berbanding perlawanan pertama tadi.
Perlawanan ketiga kami menentang pasukan dari Russian State Medical University (RSMU). Alhamdulillah. Kami menang lagi. Ini menjadikan kami mempunyai rekod 3 perlawanan tanpa kalah. Penat tidak terkata kerana kami bermain 3 perlawanan tanpa rehat yang telah mengambil masa hampir 3 jam. Perlawanan terakhir kami adalah menentang Volgograd State Medical University (VSMU). Setakat ini VSMU telah memenangi 2 perlawanan dan kini mereka sedang menentang pasukan dari NNSMA. Kami berdebar-debar kerana seandainya mereka berjaya menewaskan NNSMA, ini bermakna pasukan kami dan VSMU mempunyai mata terkumpul yang sama. Maka ini menjadikan, perlawanan terakhir kami yang bakal menentang VSMU adalah sangat penting buat pasukan kami.
Seperti yang diduga, VSMU berjaya menewaskan NNSMA. Dan sebaik bermulanya perlawanan Moscow Medical Academy (MMA) menentang VSMU, bilik pong-pong itu telah mula dipenuhi oleh para penyokong dari MMA.
Sara turun sebagai perseorangan pertama. Bukan nasib kami waktu itu, Sara tewas kepada perseorangan pertama VSMU. Agak gusar juga kami ketika itu. Namun kami tidak sekali-kali melemahkan semangat Sara untuk terus berjuang dalam beregu pertama. Bertemankan Jan Jan, Sara lebih yakin dan kemenangan milik MMA pula. Kini mata adalah sama. 1 mata buat VSMU. Begitu juga MMA. Kemudian Jan Jan meneruskan perjuangan sebagai perseorangan kedua. Tak dapat dinafikan lagi, Jan Jan memang dewa ping-pong yang hebat. Dengan mudah, Jan Jan menewaskan wakil dari VSMU itu. 2 mata telah dimiliki oleh MMA berbalas 1 milik VSMU. Kini, Beregu kedua menjadi sandaran MMA untuk mendapatkan mata ketiga bagi MMA sekali gus meletakkan MMA sebagai juara sekali lagi pada tahun ini.
Tekanan terasa datang menimpa-nimpa. Saya dan Wani sedar, seandainya kami kalah, VSMU bakal mengutip mata kedua dan perseorangan ketiga akan menjadi saksi penentuan. Taktik yang disusun oleh VSMU, mereka meletakkan perseorangan terhebat mereka sebagai pemain terakhir andai kata penentuan kemenangan perlu diteruskan oleh perseorangan ketiga. Sudah pasti kemenangan di pihak mereka kerana baik saya mahupun Wani bukanlah pemain pilihan perseorangan. Kami telah biasa bermain secara beregu sejak sekolah lagi.
Sebaik permainan bermula, saya dan Wani telah berjaya mengawal permainan. Kami bermain 11 mata saja. Jadi, masa dan peluang tidak boleh disia-siakan. Tambahan pula, bermain secara beregu ini memerlukan komunikasi yang baik, persefahaman dan ketangkasan bergerak. Ketiga-tiga aspek ini wajib dimiliki oleh pemain seandainya ingin membentuk pasukan regu yang baik.
Set pertama telah saya dan Wani sudahi dengan baik. Kami menang. Jan Jan tidak putus-putus menasihati agar tidak panik, 'cool', 'chill' dan dia tidak kisah andainya kami kalah kerana prestasi kami hari ini sangat baik. Namun bagi saya dan Wani, perkataan kekalahan itu sangat susah untuk kami terima kerana kemenangan ini menentukan maruah atau nama MMA. Tanggungjawab itu ada pada saya dan Wani. Kami sangat jelas akan hal itu. Saya dan Wani berpelukan. Pada ketika itu, mata saya hanya dapat menangkap wajah Jan Jan, Sara dan Fizal saja. Fizal merupakan pemain ping-pong lelaki universiti saya. Juga merangkap penasihat bagi kami semua.
Dalam set yang kedua, saya merasa agak tidak selesa ketika bermain. Kedudukan penonton yang agak rapat menyebabkan saya rasa sukar untuk bergerak bebas. Sehingga ada satu insiden ketika saya menyambut bola balas dari VSMU, saya hampir terjatuh menimpa seorang senior RSMU. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Mengapa kawasan untuk penonton tidak dihadkan dengan baik? Tepuk dada, tanyalah minda masing-masing. Set kedua ini, saya dan Wani tewas tipis kepada VSMU. Gemuruh di dada datang kembali.
Kami menghampiri Jan Jan dan Fizal. Mendengarkan sedikit kata-kata daripada mereka lebih memuncakkan keazaman 'KAMI MESTI MENANG' dalam hati saya dan Wani. Kami memulakan set ketiga dengan baik. Agak sengit namun selepas seketika kami berjaya mejarakkan diri 10-6. Namun atas kecuaian kecil, akhirnya mata menjadi seri 10-10. Mata tambahan diperlukan. Dues pertama menyaksikan mata saling berbalas menjadi 11-11.
Dues kedua juga begitu. Kini mata adalah 12-12. Sangat sengit. Kepala saya terasa berat kerana tekanan yang sedang saya rasai tidak terluah dengan kata-kata. Saya membuat servis dan pukulan balas daripada VSMU terlalu kuat dan bola melayang ke luar. Mata kini 13-12. Kami mendahului. Namun, sebaik selepas itu, mereka pula yang mendapat mata menjadikan mata kami 13-13. Saya dan Wani berbincang sebentar. Jan Jan selalu berkata. Rancang sebelum bermain dan ambil masa untuk berfikir. Inilah yang kami praktikkan. Namun begitu apabila servis yang dilakukan oleh VSMU tidak dapat saya sambut dengan baik, mata bertambah untuk VSMU menjadikan mereka mendahului 14-13. Saya rasa tertekan.
Kini giliran Wani membuat servis. Wani fokuskan betul-betul agar bola 'chop' laju yang dibuatnya dengan 'forehand' ini akan tepat ke bucu kanan meja, tempat yang sukar untuk membalas semula pukulan. Tepat! Alhamdulillah. VSMU berjaya menyambut servis itu tapi bolanya tersasar lagi. Kini mata menjadi 14-14. Kini giliran VSMU membawa servis. VSMU terkenal dengan servis 'screw ball' yang sangat laju dan tajam. Ketika itu, saya yang perlu menyambut bola tersebut. Hati rasa gementar. Pemain VSMU laju membuat hantaran.
Zuup! Bola itu melayang dalam keadaan menyerong hasil pukulan screw yang cukup baik. Tup. Bola menyuntuh meja namun keriuhan telah mula kedengaran kerana bola itu 'wrong code', memasuki petak yang salah dalam peraturan beregu. Alhamdulillah. Saya dan Wani telah mula berpelukan. Kami akan buat yang terbaik. Itu janji kami yang terakhir agar mata terkini yang terkumpul, 15-14, boleh kami sudahi dengan 16-14. Itu janji kami. Kini giliran saya membuat servis semula. Saya memberi isyarat tangan kepada Wani bahawa saya akan membawa bola biasa. Ini memberi peluang untuk Wani membuat 'smash' sebaik selepas bola disambut oleh lawan. Saya genggam bola di tangan dan memfokuskan ke sudut meja sebelah kanan. Saya perlu mencecah point itu. Saya mesti! Bola saya lambung sedikit dan terus membuat bola biasa yang laju. Matlamat saya tercapai. Bola laju itu mengenai sudut kanan meja. VSMU menyambut bola dan bolanya agak tinggi. Inilah peluang yang saya maksudkan tadi. Wani boleh terus membuat 'smash' dengan keadaan bola seperti itu. Kami melihat bola itu melayang. Memang tinggi dan 'sedap' untuk di'smash'. Tetapi bola itu tersasar sedikit dan tidak menyentuh meja.
ALHAMDULILLAH!!!!!!!!!!!!!!!
Saya dan Wani berpelukan. Kami menang! Kami menang! Kami menang! Terus saja saya dan Wani diserbu oleh Jan Jan dan Sara. Kami dipeluk dan dikerumuni oleh entah siapa lagi. Yang saya sedar, cermin mata saya bengkok sebaik pelukan dileraikan dan pin tudung Wani pula terbuka kerana tertarik ketika dipeluk-peluk tadi. Alhamdulillah. Saya dan Wani berpelukan lagi. Kami telah berjaya mengekalkan kemenangan pasukan MMA kerana kami telahpun mengutip 3 mata berbalas 1 daripada VSMU.
Inilah kisah terindah buat hari ini. Tidak sia-sia kami berkorban masa terpaksa berjalan jauh ke tempat latihan ping-pong sejak 2 minggu lepas kerana sememangnya usaha kami ini dibalas Allah dengan kemenangan yang bakal meninggalkan memori sepanjang hayat saya.
Terima kasih
Wani kerana menjadi partner terbaik untuk saya. Terima kasih juga buat
Jan Jan dan
Sara kerana sentiasa memberikan tunjuk ajar yang terbaik untuk saya dan Wani. Dan terima kasih buat Team Ping-pong Lelaki MMA,
Fizal, Ajed, Ron, Quack, Min Hwa dan
Jonathan yang sentiasa memberikan semangat. Terutamanya kepada
Min Hwa yang selalu menjadi partner saya ketika sesi latihan.
Terima kasih daun keladi.
Surah Al-Insyirah 94:5-6 --> Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.