Showing posts with label KISAS. Show all posts
Showing posts with label KISAS. Show all posts

Tuesday, November 27, 2007

Kembara Di Bumi Moscow


Assalamualaikum wbt

Mulai petang tadi, saya akan bercuti selama dua hari sehingga hari Khamis nanti. Sudah lama saya nanti-nantikan cuti ini. Saya sangat perlukan rehat. Tambahan pula, saya demam semula. Sudah ke klinik petang tadi dan kemudian ke farmasi untuk membeli ubat. Ini semua atas nasihat Dr. Lada Sergeevna, pensyarah Pediatrics saya, yang risau melihat demam dan batuk saya yang berpanjangan. ESR (erythrocyte sedimentation rate) saya masih tinggi di atas paras normal. Ini menunjukkan reaksi darah terhadap kuman masih berterusan. Begitu juga dengan darah putih saya. Sedikit leucocytosis. Tidak mengapa. Antibiotic dan ubat-ubat yang berkaitan berada dalam stok.

Sebelum pulang ke rumah, saya singgah di pasar. Membeli water heater yang baru untuk rumah dan sedikit barang dapur termasuk dua ekor ayam untuk dijadikan stok andai kata malas mahu ke pasar lagi. Hajat di hati hendak masak Kari Portugese dan pai makerel. Tapi apabila pulang ke bilik dan merehatkan diri, saya teringatkan niat saya dulu yang hendak membuat Laksa Penang yang masih belum tertunai-tunai hingga ke hari ini. Bukannya saya malas, tapi kekurangan bahan. Tiada daun kesom. Saya tidak berkesempatan untuk ke Pasar Vietnam yang jauh di timur laut Moscow untuk membelinya. Lalu saya menghubungi emak.

SMS berbunyi: Emak, kalau Ngah buat kuah laksa ni tak guna daun kesom, sedap ke? Nanti kurang pulak rasanya.

Emak membalas: Kurang sikitlah rasanya. Tapi boleh aje. Bunga kantan tu racik-racikkan. Baru terasa.

Lalu saya nekad. Menu hari ini adalah Laksa Penang. Ya. Ayah pasti kecur liur mendengarkan hal ini. Raya tahun lalu, saya ada membuat Laksa Penang juga. Lengkap segalanya termasuk nanas dan rencah-rencah yang lain. Tapi hari ini, ala kadar saja. Sekadar melepas hajat tekak dan perut.

Ketika sedang memasak sendirian di dapur, saya teringat semula kenangan-kenangan sejak kecil. Sejak sebelum tadika sehinggalah sudah besar panjang ini. Saya seorang yang takutkan kegagalan. Saya sanggup berusaha sekerasnya untuk mencapai kejayaan. Dan saya seorang yang sangat berdikari dalam hidup. Pesan emak suatu masa dulu, kitalah yang akan menentukan diri kita kuat atau tidak. Dan saya berpegang dengan kata-kaya itu. Seingat saya, sejak di bangku tadika sehinggalah ujian bulan Mac ketika di tingkatan empat di KISAS (2001), saya tidak pernah mendapat nombor lain kecuali satu. Dan saya teringat jawapan Nan ketika ditanya keputusan peperiksaanya yang bukan pertama tempatnya, dia menjawab: Oh, Nan tak stereotype macam Ngah.

Kali pertama saya jatuh adalah ketika peperiksaan pertengahan tahun tingkatan empat. Masih lagi nombor satu di dalam kelas dan keseluruhan perempuan (waktu itu tahun percubaan pengasingan kelas lelaki dan perempuan) tapi sudah jadi nombor dua dalam keseluruhan tingkatan. Saya sangat kecewa. Saya terasa saya tidak cukup bagus lagi. Sedangkan saya yang kononnya hendak masuk asrama penuh (hanya KISAS harapan saya) kerana hendak mendapatkan ilmu yang terbaik untuk jadi yang terbaik buat emak dan ayah. Saya masih ingat. Ketika Minggu Orientasi pelajar-pelajar tingkatan empat, saya dipilih menjadi Best Freshie. Sedangkan selang tiga minggu kemudian, sayalah yang menangis-nangis pada emak dan ayah untuk pulang bersekolah di Temerloh semula kerana tidak serasi dengan hostel dan sistemnya.

Ayah marah. Kata ayah, penat saja beli baldi dan segalanya untuk ke hostel. Sudah jadi Best Freshie lagi. Sekarang mahu pulang pula. Malu. Itu kata ayah. Ya. Saya pun malu juga kalau saya pulang ke sekolah lama di Temerloh. Lagi pula, sekolah lama itu tidak mempunyai aliran sains lagi (sekarang sudah ada). Saya tebalkan hati. Saya sebalkan hati. Hidup mesti diteruskan. Kata ayah, kita tunggu hingga keputusan ujian bulan Mac itu keluar. Oh, ayah! Anak ayah ini tidak pernahnya mengambil mudah tentang urusan pelajaran. Sudah pastilah saya akan buat yang terbaik. Tapi, kalau saya dapat buat dengan baik, nanti tidak ada alasan untuk saya pulang bersekolah di Temerloh. Dan seperti yang saya ceritakan tadi, keputusan ujian itu sangat baik walaupun saya rasa saya belum buat yang sehabis baik lagi. Sudah nasib. Saya perlu bertahan di KISAS.

Selesai peperiksaan pertengahan tahun dengan kedudukan saya yang mendapat nombor dua dalam keseluruhan tingkatan, saya jadikan ini sebagai isu untuk balik. Sekali lagi. Saya hampa. Waktu itu, saya sangat tertekan tinggal di Klang. Saya tahu keadaan kesihatan saya tidak berapa memuaskan dan saya menjadikan ini pula alasan untuk pulang. Tidak berjaya juga. Sehinggalah ketika saya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital selama hampir tiga minggu (tiga minggu ke emak?) (di Hopsital Ampuan Rahimah, Klang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Mentakab), saya lihat emak agak goyah dengan pujukan saya. Tapi saya tahu, ayah masih berkeras dan mahukan saya terus kekal di sana.

Banyak sebab yang menjadikan saya tidak boleh fokus ketika itu. Antaranya adalah suasana belajar yang saya lihat terlalu kompetatif sacara tidak sihat. Kau, kau. Aku, aku. Maklum sajalah. Semuanya pandai-pandai. Maka kuranglah istilah hendak mengajar dan diajar. Saya tidak suka suasana belajar yang sebegitu. Saya sukakan suasana yang saling menolong dan berkongsi ilmu. Faktor kedua, kerana ketika itu, pelajar-pelajar tingkatan empat diwajibkan mengikuti hampir semua aktiviti walaupun tanpa rela hati. Istilah wajib yang selalu digunakan membuatkan saya rasa otak saya terkedap dalam sebuah tempurung. Atau mungkin baik sedikit keadaannya. Kotak kristal. Dan faktor ketiga adalah kerana ketika itu saya berada di dalam pasukan bahas Bahasa Inggeris. Sedangkan hajat, minat dan jiwa saya mahu bersama pasukan bahas Bahasa Melayu.

Memang di sekolah lama dahulu, saya menjadi pembahas untuk kedua-dua bahasa ini tetapi entah kenapa, jiwa saya lebih cenderung kepada bahas Bahasa Melayu. Mungkin sebab saya cintakan bahasa. Lalu saya mohon diri keluar dari pasukan bahas Bahasa Inggeris. Walaupun sekejap cuma bersama mereka, namun guru-guru pengiring masih sangat mesra dengan saya.

Rupanya sakit itu pemurah rezeki daripada Allah. Ada hadiah yang Allah janjikan untuk saya selepas bersabar dengan ujian-Nya dan ditambah pula dengan keputusan yang sangat teruk dalam ujian Fizik sebaik sudah keluar daripada hospital. Pertamanya, saya dijemput untuk menyertai pasukan bahas Bahasa Melayu KISAS sebagai pembahas pelapis kerana sajak yang saya tulis ketika mewakili negeri Selangor ke Perkampungan Penulis Muda Peringkat Kebangsaan di Sutera Beach Resort, Kuala Terengganu, telah dipilih sebagai sajak terbaik kategori puisi. Dan lakonan kami sekumpulan (terdiri daripada 5 orang pelajar KISAS) telah memenangi kategori persembahan dengan pementasan drama Hang Tuah dan Hang Jebat versi moden yang kami pertaruhkan, menjadi titik tolak guru-guru pembimbing bahas KISAS menyemak semula borang aktiviti saya di sekolah lama. Dan dengan itu mereka mendapat tahu bahawa saya juga merupakan pembahas di sekolah lama. Murah rezeki, saya mula bersama keluarga kecil itu yang sangat bahagia.

Kisahnya, saya sudah meletakkan nama untuk menyertai pertandingan bahas di kalangan pelajar baru tetapi malangnya nasib, saya dipasangkan bersama dua orang pelajar putera. Di pagi hari sebelum pertandingan berlangsung pada sebelah malamnya, salah seorang daripada mereka menarik diri (dan pelajar ini di akhir permukiman kami di KISAS telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM, juga pelajar cemerlang Negeri Selangor dan kebangsaan, kini di Ireland menyambung pelajaran dalam bidang perubatan). Dan seorang lagi pula menarik diri pada sebelah petangnya yang mana sebelum itu dia mengatakan akan cuba mencai ganti untuk palajar yang manarik diri tadi (kini pelajar putera yang seorang lagi ini di New Zealand menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan). Saya terkontang-kanting ditinggalkan seorangan dan akhirnya kumpulan kami dibubarkan oleh pihak penganjur. Itulah kisah kenapa saya tidak dapat bersama pasukan bahas sejak dari awal lagi.

Walaupun titik permulaannya saya hanya bertindak sebagai seorang kuli kecil yang bertugas mencari fakta-fakta kes dan bahan-bahan sampingan termasuk menempah makanan di kantin untuk senior-senior bahas, namun saya tidak kisah itu semua. Yang pasti, bermula dari situ, saya sukakan kehidupan saya di KISAS walaupun sibuknya tidak terperi. Tapi kata-kata ayah selalu saya ingat: Orang yang sibuk lebih tahu mengurus masanya dengan baik. Ya. Ayah benar. Dan dari situ saya belajar menjadi seorang yang sangat berdisiplin dengan masa. Sebab itu saya tidak sukakan orang yang lewat dan mempersendakan waktu. Ingat selalu. Masa itu emas.

Perit jerih kehidupan di KISAS saya lalui dengan sabar. Terlalu banyak tekanan dan pengalaman pahit yang tidak mampu dan tidak mahu saya kongsikan di sini. Bagi sahabat terbaik saya, Faaiqah, saya yakin dia faham apa yang saya maksudkan. Kehidupan sebagai pelajar tingkatan lima sangat menyeksakan ditambah pula dengan kesibukan dengan pasukan bahas yang sentiasa saja perlu bersiap sedia untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang. Waktu itu, saya belajar suatu perkara. Tidak semua yang kita inginkan akan kita perolehi.

Apa yang saya maksudkan, saya akhirnya ditempatkan dalam pasukan utama bahas Bahasa Melayu Kolej tapi dari sudut yang lain, saya semakin merosot dalam pelajaran. Cuma ujian bulan Mac ketika di tingkatan lima saja yang saya masih berjaya mengekalkan keputusan cemerlang dengan 9A1 dan 2A2. Sebaliknya ketika peperiksaan pertengahan tahun, saya hanya mendapat 9A sahaja. Itupun bercampur A1 dan A2-nya. Saya malu dengan diri sendiri. Kerana janji pada diri tidak ditepati.

Tetapi setiap pengorbanan itu pasti ada ganjarannya. Saya teringat kata-kata Abang Fairuz, senior bahas dulu. Kita dapat PPM dan kita dapat SPM! (PPM - Piala Pedana Menteri. Sebuah liga berprestij di kalangan sekolah menengah dalam bahas Bahasa Melayu). Pada tahun 2002, pasukan bahas Bahasa Melayu KISAS menempuh zaman kegemilangan. Walaupun saya dan teman-teman sepasukan (Khaliz dan Naseem - dua orang lagi pembahas utama bersama saya) akan menduduki SPM di hujung tahun itu, kami tidak pernah merungut jika terpaksa berkorban masa mengikuti latihan dan persiapan pertandingan. Pada tahun itu, kami berjaya menjadi johan peringkat daerah dan naib johan di peringkat negeri untuk Piala Dato' Syukur, Johan Debat Piala Terbuka UIA dan kemuncaknya apabila kami berjaya membawa pulang Piala Perdana Menteri kembali ke Kolej setelah 19 tahun hilang entah ke mana. Tidak lengkap dengan itu saja, Khaliz pernah ditabalkan sebagai Pembahas Terbaik Peringkat Daerah, saya pernah ditabalkan Pembahas Terbaik Peringkat Negeri dan Naseem ditabalkan menjadi Pembahas Terbaik Peringkat Kebangsaan. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu.

Genap 40 hari selepas peringkat akhir PPM, kami menduduki SPM pula. Alhamdulillah. Inilah ganjaran yang Allah berikan buat pengorbanan kami untuk Kolej. Ketiga-tiga kami mendapat keputusan cemerlang. Saya masih ingat, ketika mengambil keputusan SPM di Kolej, orang pertama yang datang mengucapkan tahniah buat saya adalah Ummi Ida, guru pembimbing bahas saya. Saya dikucupnya tiga kali di pipi. Basah muka saya dengan air mata Ummi. Terima kasih Ummi Ida, Ummi Jam dan Ummi Siti. Inilah Cikgu Trio yang sangat banyak berjasa dalam hidup saya.

Kini Naseem di Indonesia. Juga dalam bidang perubatan. Khaliz pula di United Kingdom. Dalam bidang perakaunan dan ekonomi. Husna, adik kecil kami yang ketika itu menjadi pembahas simpanan, kini berada di USM kampus Kubang Kerian, juga mengambil bidang perubatan. Tidak ketinggalan Syafie yang juga di UK bersama Khaliz, Anas di Ireland dan Mursyida di Egypt yang turut mengambil bidang perubatan. Tidak ketinggalan Abang Wan Zukhri yang dulu menuntut di UK dalam bidang perundangan dan kini berkhidmat di Kuala Lumpur, Kak Anisa yang kini bersama Petronas di Kerteh sebagai Penasihat Perundangan, Kak Zahar si doktor gigi yang manis di Hospital Serdang, Faisal atau lebih terkenal dengan nama Pacel yang kini bertugas sebagai jurutera di Petronas KLCC dan Abang Khairil yang kini bersama saya di Moscow. Inilah keluarga kecil kami. Kecil yang sangat bahagia. Didoakan semoga semuanya berada dalam kehidupan yang diredhai-Nya dan sejahtera.

Selepas SPM, hidup saya berubah. Lebih-lebih lagi setelah saya memilih Russia sebagai destinasi pencarian ilmu. Bukan mudah untuk saya membuat keputusan untuk ke sini. Segenap hati dan kekuatan diperlukan. Terlalu banyak pandangan yang perlu saya ambil kira daripada emak-emak dan ayah-ayah saudara. Tapi akhirnya saya nekad dengan pilihan yang saya buat ini dan di sinilah saya tersadai menghabiskan perjuangan enam tahun. Sejak tahun pertama lagi, saya mula sedar. Kehidupan saya di sini akan menjadi lebih baik jika saya berkerja di bawah tekanan. Saya akan lebih memberikan tumpuan dan tidak akan menghindarkan segala yang lain jika saya kata saya mahu selesaikan mana yang perlu dahulu.

Sungguh. Terlalu banyak ujian yang saya lalui sepanjang bermukim di bumi ini. Terutamanya ketika di tahun ketiga pengajian. Hidup dalam tekanan. Tapi saya ingat pesan Dr. Rama, seorang doktor yang rapat dengan keluarga saya. Katanya, tahun tiga adalah penentu segalanya. Be on track and you will happily pass it through. Alhamdulillah. Peperiksaan di hujung semester dua ketika tahun tiga, ada 5 subjek kesemuanya. Markah yang cemerlang berjaya saya nukil untuk kelima-lima subjek tersebut.

Sistem di sini lain. Serba-serbi lain. Orang di sini ganjil. Serba-serbi ganjil. Bahasa di sini pelik. Seratus peratus pelik. Cuaca di sini aneh. 360 darjah berbeza dengan Malaysia. Dan semua ini merupakan halangan untuk saya.

Siapa kata saya kuat menghadapi beribu-ribu masalah di sini? Saya lemah sebenarnya. Cuma satu yang membuatkan saya kuat. Keluarga. Memikirkan emak dan ayah, saya akan gagahkan diri meneruskan pengembaraan yang tinggal sedikit cuma. Memikirkan emak dan ayah, buat saya sentiasa tidak lari dari landasan yang ada, tujuan yang dicari. Emak dan ayah sudah cukup memberikan saya didikan agama. Dan itu menjadi pegangan saya sepanjang di sini. Supaya tidak lemas dan sesat dengan dunia baru yang saya jumpa di sini. Solat tepati masa. Al-Quran amalan harian. Ma'thurat tidak sekali ditinggalkan. Juga sedikit pesan emak, pandai-pandailah dalam berkawan supaya tidak lupa daratan.

Kembara di bumi Moscow ini sangat banyak kenangannya dalam mengajar saya menjadi saya yang sekarang. Di tahun pertama, masih keanak-anakan. Baru menginjak 18 tahun umur saya ketika itu. Sudah tercampak jauh dan semuanya diuruskan sendiri. Masih ingat lagi bungkusan yang dikirim emak menerusi emak Rina yang datang ke sini. Bungkusan berisi kuih raya dan hadiah sempena ulang tahun saya yang ke-19. Emak, baju itu masih ada. Kerana terlalu banyak maknanya baju hadiah daripada emak itu.

Tahun kedua menyaksikan saya terkontang-kanting dengan masalah peribadi yang meruncing. Terlalu sakit bila dikenangkan. Sekarang, jika ditanya, saya rasa saya sudah lupa apa peristiwa itu kerana saya sudah tidak mahu mengingati sesuatu yang telah merubah saya daripada saya yang asal. Sungguh. Waktu itu, saya sangat tidak boleh fokus. Segala yang berlaku dalam hidup pada waktu itu saya jadikan alasan untuk bersedih. Tapi Allah masih sayangkan saya. Walaupun saya hidup dalam tekanan yang mengelilingi, saya masih boleh belajar dengan baik. Lagi saya tertekan, lagi saya belajar di malam hari. Pulangannya lumayan. Peperiksaan akhir semester dua saya bawa pulang markah kecemerlangan ke Malaysia.

Tahun tiga seperti yang saya ceritakan tadi. Dan terbukti benar kata Dr. Rama. Sebaik menginjakkan kaki ke tahun empat, segalanya berubah. Kehidupan saya jauh lebih teratur dengan kematangan yang lebih terserlah. Segala-galanya berubah 360 darjah. Sungguh. Tahun klinikal yang sibuk membuatkan saya lebih peka diri dan malas hendak mengendahkan perihal manusia yang takkan sudah-sudah berfalsafah tentang kehidupan. Dan yang lebih membantu, saya dengan rasminya sudah punya dunia saya ini, tempat untuk saya berkomunikasi dengan dunia luar dan tempat untuk saya mencurah rasa. Segala yang tercatit datangnya dari rasa dan jiwa. Dan dunia saya inilah terapi terbaik untuk diri saya. Baik ketika kerinduan memuncak terhadap keluarga, baik ketika tertekan dengan masalah yang melanda, baik ketika tanggungjawab bederet menanti dengan siap siaga, baik ketika gembira suka ria, baik ketika bersedih dengan keseorang hidup yang terasing bagaikan bersendirian saja di dunia dan baik ketika merindui kawan-kawan jauh yang sentiasa ada.

Dan menginjak ke tahun lima, hidup bertambah matang. Semuanya bertambang matang. Juga tersusun dan teratur. Dan tanpa disedari, ada hadiah yang Allah datangkan untuk menemani. Sungguh di luar jangkaan dan sungguh istimewa. Walaupun jauh tak terjangkau, tapi dalam doa dan hati, hadiah ini sentiasa ada dan dapat dirasai.

Ya. Inilah kembara hidup saya di bumi Moscow. Kembara di bumi Allah yang saya ini ibaratnya habuk di padang pasir saja. Kembara yang saya mulakan dulu, kini tinggal setahun lebih cuma. Moga kekuatan terus ada. Terus bersama. Dan semoga sumber kekuatan daripada Al-Qayyum itu disebarluaskan bukan untuk saya saja malah didoakan buat keluarga, kawan-kawan dan pembaca semua.

Yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang lemah itu juga datangnya daripada Allah tapi telah disandarkan atas kelemahan saya ini. Semoga apa yang baik dapat dikongsi bersama dan yang kurang baik itu dapat diteladani.

Ya Hannan, Ya Mannan. Ya zal jalaali wal ikram.
Ya Fatah Ya Alim. Iftah qulubana futuhal arifin.
Allahumma takhtimna bihusnil khatimah, wa la takhtim 'alaina bisuil khatimah.

Saya hendak berehat sepuas-puasnya sepanjang dua hari ini :)