Saturday, July 14, 2007

Erti Persahabatan


(Skip this entry if you hate reading long story)

Assalamualaikum wbt

Lega rasanya apabila Sabtu menjelma. Boleh berehat-rehat di rumah, membersihkan kawasan rumah dan keluar bersama adik-adik. Entry kali ini saya hendak bercerita tentang erti persahabatan. Kisahnya bukan tentang saya tetapi tentang ayah saya dan kawan-kawannya.

Genap seminggu yang lalu, pada tanggal 7 Julai 2007 (07/07/07), ayah saya dan kawan-kawan seangkatan dengannya (same batch) di Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang (SMSPP) yang kini telah bertukar nama menjadi Sekolah Menengah Sains Tun Shed Sheikh Shahabuddin, Pulau Pinang telah mengadakan perjumpaan atau gathering. Tempat berkumpul adalah di rumah saya sebagai pusat berkumpul kali ini. Untuk pengetahuan semua, mereka merupakan generasi pertama sekolah tersebut.

Kebetulan, pada hari tersebut, emak dan kakak saya perlu ke sekolah kerana ada gotong-royong peringkat daerah. Begitu juga Adam dan Adik Azizi yang ada sekolah ganti. Tinggallah saya bersama Adi dan Adik Aiman di rumah. Kebetulan, Adi tiba dari hostelnya pada hari sebelumnya. Dari awal pagi, saya ditugaskan untuk mengemas rumah, luar dan dalam. Penat tidak terkata. Belum sempat saya bersiap sekitar jam 11 pagi itu, sedikit demi sedikit kawan-kawan ayah telah mula tiba. Suasana meriah telah mula terasa. Ayah pada mulanya turut sama berada di situ tapi kemudian ayah terpaksa keluar untuk menjemput Adik Azizi di sekolah dan mengambil makanan yang ditempah daripada katering yang sudah keluarga kami kenali sejak dulu. Makanannya memang sedap!

Selepas bersiap ala kadar, saya menjenguk ke luar rumah melihat kawan-kawan ayah yang nekad mahu berkelah di bawah pokok manggis sementara menanti rombongan besar tiba. Masih ramai yang belum tiba. Angkatan pertama yang tiba ini bertolak dari Pulau Pinang pada awal pagi itu. Sebab itulah mereka tiba awal ke rumah saya. Juga sebuah keluarga dari Kuala Lumpur dan Seremban. Apabila saya menjenguk mereka di luar, kelihatan anak-anak mereka bersama emak ayahnya sedang menjolok buah manggis dan ada juga yang sedang online menggunakan wireless connection yang ada. Anak-anak zaman sekarang. Tidak boleh dipisahkan dengan internet walau di mana-manapun mereka berada. Kelihatan bekal yang sedang mereka jamah adalah Laksa Penang yang dimasak khas oleh isteri kawan ayah.
Sebaik ayah tiba bersama Adik Azizi dan makanan yang ditempah, beberapa buah kereta turut menyusul. Rupa-rupanya ayah menunggu beberapa orang kawan yang tidak tahu jalan menuju ke rumah kami sebelum pulang.

Bermula dengan itu, saya sibuk di dapur menyusun lauk-pauk ala buffet di ruang tengah dapur. Sofa di ruang dapur telah dikeluarkan dan disusun di ruang beratap di luar rumah. Jadi, ruang makan di dapur menjadi dua kali ganda lebih luas. Kerusi di ruang tamu juga telah diubah kedudukannya untuk menjadikan kawasannya lebih lapang.

Juadah pada hari tersebut adalah lauk ikan patin masak tempoyak, ikan kerai sungai, ikan tilapia bakar dengan air asam dan budu, udang galah masak tempoyak dan kerabu kacang botol. Apabila hampir 40 oang telah berkumpul, majlis makan pun bermula. Majlis baru saja bermula, mak dan Kak Long pun tiba. Alhamdulillah. Dah nak patah tulang saya dan dah keras muka saya tersenyum pada hari itu! Ish, kalaulah saya ada adik-beradik perempuan yang lain, kan senang.

Banyak aksi dapat saya saksikan ketika kawan-kawan ayah dan anak isteri mereka sedang makan. Ada yang tidak pernah makan ikan patin hingga tiga pinggan penuh dia menambah. Ada yang tidak suka budu tetapi disebabkan ikan tilapia yang sedap, budu yang tidak digemari pun menjadi sangat sedap pada hari itu. Kelakar juga saya melihat aksi kawan-kawan ayah ini.

Tambah meriah apabila si kecil anak-anak mereka yang bersusah-payah mengupas kulit udang galah. Kata mereka, mereka belum pernah makan udang galah sungai yang sangat besar dan sedap. Oh, saya rasa beruntung menjadi budak kampung. Jangankan udang, mandi sungai pun adalah aktiviti saya di hujung minggu sewaktu kecil dahulu. Tapi bertemankan ayah dan adik-adiklah.

Solat Zohor hari itu, ayah dan kawan-kawannya berjemaah di ruang tamu bersama anak-anak mereka yang lelaki. Hampir 25 orang semuanya setelah saf diluruskan. Di dapur, terdengar suara Makcik Jah, kawan ayah sejak darjah 1 sehingga tamat tingkatan 5, berkata: Tu depa duk buat apa lagi tu. Dari tadi duk riuh nak semayang. Tu depa duk ingat zaman dalam surau kat hostel dulu la kot. Pecah hilai tawa kaum ibu di dapur.

Selepas solat zohor, bersambung pula dengan sesi makan durian. Semuanya berkumpul di ruang tamu rumah dan berkelah di bawah rimbunan pokok manggis di sebelah rumah. Berguni durian lesap sekelip mata. Teringat kata-kata Zharif, anak kepada Pakcik Faizal: Ada Durian? Wah! Bestnya! Saya bertanya: Zharif suka ke? Zharif membalas: Suka sangat tapi kat umah ayah jarang sangat beli. Kat rumah kita mahal sangat. Saya pun bertanya lagi: Rumah Zharif kat mana? Zharif menjawab: Kat Seri Damansara. Hanya ‘Oooo’ yang boleh saya balas semula. Maklum sajalah. Di Damansara, durian tak mungkin boleh diperolehi dengan harga yang murah. Lainlah kalau di pasar malam atau di pasar biasa. Petang itu, saya dapat lihat Zharif makan dengan banyaknya. Rezeki dia. Akhirnya dapat juga dia makan durian dengan sepuas-puasnya.

Sekitar jam empat, ayah dan kawan-kawannya mula bergerak menuju ke sungai, ke sangkar ikan patin dan tilapia milik Pakcik Syed, orang kampung saya yang terletak di bawah bukit rumah saya. Semua kawan-kawan ayah dan keluarga mereka mengambil peluang untuk turun ke sangkar ikan. Ayah turut menyewa bot andai ada antara mereka yang teringin untuk bersiar-siar menggunakan bot ke pulau di tengah lautan Sungai Pahang yang terbentang di bawah bukit rumah saya itu. Memang saya gembira melihat anak-anak kawan ayah saya yang masih kecil-kecil terlalu gembira kerana dapat melihat dan menyentuh air sungai dan dapat melihat proses menyiang ikan tilapia yang segar. Peluang ini tidak dilepaskan oleh mereka untuk bergambar dan bagi kaum ibu pula, mereka memborong ikan tilapia segar untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Semuanya telah jatuh cinta dengan rasa ikan tilapia bakar bercicahkan air asam dan budu.

Sekembali dari sungai, ada yang sudah mula hendak pulang. Kami semua berkumpul di halaman rumah. Sesi fotografi pula. Ucapan akhir dari ayah selaku tuan rumah gathering kali ini, ayah menyebut agar ukhwah mereka yang telah lama terjalin ini tidak hanya setakat mereka saja. Harapan mereka semua agar kami generasi anak-anak pula akan menyambung ukhwah mereka dan membina network sesama kami. Inysa Allah.

Sebelah petang itu, masih ada beberapa keluarga yang belum pulang. Antaranya keluarga Pakcik Taufiq, Pakcik Zaid, Pakcik Zairi dan Uncle Arju. Pakcik Zairi dan Zaid adalah kawan baik ayah. Hampir setiap hari mereka akan saling berhubungan. Tak sah kalau sehari ayah tidak menerima panggilan daripada Pakcik Zairi. Pakcik Zairi juga sangat mempercayai adik saya, Adnan, untuk membantunya dalam urusan kerjanya yang pastinya ada hubung kait dengan komputer dan perisian. Apa-apa sajalah mereka ini.

Lewat petang itu, kami menjamah keropok lekor goreng dan juga popia berintikan otak-otak. Lima sekawan yang masih tinggal tak henti-henti berborak sambil saling mengenakan di antara satu sama lain. Kadang-kala, ada lawak yang mereka buat, hanya mereka saja yang memahaminya. Oh, terasa betapa kukuhnya persahabatan mereka apabila mereka saling menceritakan kisah kawan yang seorang lagi ketika sekolah dahulu. Sekitar jam 7.10 malam, barulah rumah kembali kosong setelah Pakcik Zairi dan Zaid bertolak pulang.

Hari ini menjadi sejarah perjumpaan semula ex-SMSPP di luar Majlis Alumni.Hampir 47 orang semuanya yang berkumpul pada hari ini termasuk ahli keluarga masing-masing. Ayah juga kelihatan sangat gembira kerana hajatnya untuk menjemput kawan-kawannya datang menikmati makanan orang Pahang telah tercapai. Walaupun kami sekeluarga penat, namun rasa puas yang dirasai telah mengatasi segalanya.

Bagi saya sendiri, saya gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan ayah yang lain selain Pakcik Zairi dan Zaid. Dan antara yang menjadi tumpuan saya pada hari itu adalah Azim, anak kawan ayah saya yang sangat comel. Umurnya 6 tahun tetapi sangat petah dan sopan.

Dan bagi emak saudara saya yang dapat melihat betapa meriahnya rumah saya pada hari tersebut, majlis itu ibarat majlis pameran kereta-kereta mewah! Mana tidaknya, setiap yang datang membawa kereta yang berjenama. Halaman rumah dan bukit rumah saya dipenuhi hampir 20 buah kereta tidak termasuk 2 buah kereta kami sendiri.

Kesimpulannya, 070707 memang penuh ria-ria. Bagi sesiapa yang teringin makan lauk-pauk orang Pahang, jemputlah ke rumah saya!

____________________________________________________________________

Hari buat dia:

30) Orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati dan membuat persiapan untuk bertemu Allah. Sudah bersediakah kita?

13 comments:

Shazwani Adnan said...

salam..
alahai ks!! 1st batch of SMSPP dah sampai temerloh.. bile nak buat gathering warga MMA?? :P

xsaba nak jumpa ks kt KB!!

MakcikMuda said...

assalamualaikum,sarah.

sonoknyer !

sonok sgt2.

ryn lakk yg excited.hoho!

ikan patin masak tempoyak itu mengujakan =p~

Anonymous said...

Salam Sarah. Sudah kembali sihat walafiat nampaknya. Syafakallah.

Seronok baca, lagi-lagi kalau masih contact rakan rakan sekolah lama ni. Batch saya kat Maahad Hamidiah semua dah hilang entah kemana. Nak buat gath pun toksah mimpi la. Kawin pun x sampai kad jemputan, tau2 je dah sanding.

Wah, mari serbu rumah Sarah. Saya nak sushi. Bersushirama. Ehek ehek.

Da' gReaT said...

Bestnyer wat gathering gtu.. teringt family msia. kami slalu gak wat gather gtu.but now i can't involve as im currently studying here =(

p/s 'dah keras muka saya tersenyum...'
Hehe..kesiannya :P

shukor said...

Assalamualakum,
mana tau ada yang saja-saja nak tengok gambar pada hari tu...

kebanyakkan kami adalah dari Kepala Batas primary school, batch 1967.We moved on together to SMSPP pada 1973.Alhamdulillah sehingga kini, kami masih berhubung dan saling bantu membantu.
http://www.flickr.com/photos/7934035@N04/

Anonymous said...

Salam,dr..kecur ni,baru je makan berbiji2 durian(a week ago, from Perak)pulut durian,budu durian, cuma patin tempoyak blum lagi..duk kje ni,alamak lapa nyo...

Ibn Salim said...

wah...what a nice reunion :-)

kecur air liur saya membaca santapan2 tu..hoho..

Anonymous said...

salam sarah,
saje nak menyampuk.Sebagai product SMSPP ,sudah STSSS/SMSTSSS semasa zaman saya.Rasa bangga benar!! Semangat 'adik-beradik' mereka masih kuat. Kami juga macam itu :)...seronoklah..

Teringat kenangan di skolah.Indah!
p/s - sarah tak kenal saya sbb saya "silentreader"

so'od said...

seronoknya!
belum ade kesempatan nak bergathering dgn batchmates lg..
sekadar terserempak di majlis2 kawin je.. :)

Sunan_Jati said...

oo ada perjumpaan yer...!

Sunan_Jati said...

oo ada perjumpaan yer...!

kyazz said...

aduhhh.. rindunya nak makan masakan malaysia. kecur air liur baca entry nie. hee hee

Aizuddeen Ahmad Zabidi said...

reunion yg sgt menarik..
spanjang idup sy..seingat sy, reunion yg penah ade mase raye 2002 after spm utk budak2 kelas saye dr djh 1-5.buat kat umah sy.
then, reunion smap..2 kali sy melepas..reunion smakl, hampir dapat pegi tp tetibe kene g ofis mase kejer ngan mesiniaga.
mmg takde luck sungguh..heish..

nak makan lauk-pauk orang pahang dijemput ke rumah sarah eh..
kalo delivery je takleh ke? sy nak ikan patin masak tempoyak..since ade durian kat sane, tolong buatkan sambal tempoyak,tp sambal nye sket jer tau..tempoyak nye yg byk...sbb kalo pedas2 tak best..
kenangan pahit sy kene tido kat dewan tun razak mmbuatkan sy tanak ke temerloh..ahahahah...sy terer jalan temerloh mentakab tau..arif lagi..cewah..