Showing posts with label Autumn. Show all posts
Showing posts with label Autumn. Show all posts

Monday, October 20, 2008

Penawar

Assalamualaikum wbt


Semalam saya memang buat kerja gila. Tanpa sebarang pengenalan diri (selain daripada student card), saya mengikut Fareena dan Farhan keluar untuk auntumn photo outing. Wanie pun ikut sama. Farhan handal mengambil gambar. Kamera gedabak-gedabak ni kan (Canon EOS 400D). Saya perlu juga keluar daripada rumah untuk melapangkan fikiran. Kami sepakat menuju ke Varabyovy Gory, Bukit Pipit. Lucu kan nama tempat ini? Letaknya hanya diseberang sungai kawasan kami tinggal ini. Tapi kami ke sana menaiki metro. Takkan nak merentas sungai melalui jambatan dengan berjalan kaki pula. Kawasan ini adalah kawasan ekologi burung. Letaknya di tepi Sungai Moscow (Moskva River). Di sepanjang sungai ini ada laluan pejalan kaki yang rapi dan kawasan ekologi burung di sebelah atasnya pula penuh dengan pokok maple. Suasana musim luruh yang semakin ke penghujungnya memang terasa kerana daun maple memang sudah bertukar warna menjadi kuning keperangan. Ada juga warna alam yang lain termasuk merah, hijau muda dan oren. Sangat cantik. Tidak lama kami melalui eco trail setelah puas berjalan dan bergambar kerana hari mulai hujan renyai.

Hari ini saya cuti sehari. Hari pelepasan untuk menyiapkan laporan autopsi. Selepas Zohor tadi saya terus ke Deans. Beratur dalam sejam, saya dapat memboloskan diri untuk masuk ke bilik tersebut. Sebelum itu, pegawai yang bertugas itu marah-marah kerana pelajar-pelajar yang datang semuanya punya masalah remeh-temeh yang tak sepatutnya terjadi. Tapi sebaik saja saya masuk, saya terangkan masalah saya, dia terus kasihankan saya dan dengan segera menyiapkan pengenalan diri sementara untuk saya. Sedikitpun dia tak marah-marah seperti yang dibuatnya pada orang lain sebelum saya. Sebaik selesai semuanya, saya ucapkan terima kasih dan terus balik. Saya maklumkan ayah tentang urusan di sini semua sudah selesai. Emak terus menelefon. Leganya mendengar suara emak. Suara terapi. Suara penawar kesedihan!

Monday, October 13, 2008

Saya Ghuraba'

Assalamualaikum wbt

Setiap kali ulang-alik menuju ke Oncology Center yang terletak di Kashirskoe Shosse, biasanya saya bersendirian sewaktu pergi dan hanya kadang-kala berteman sewaktu balik. Sejak pertama kali berada di sana, saya terpandangkan satu papan iklan besar di tepi jalan. Ada sesuatu yang menarik perhatian.

Pada papan tanda yang pertama, tertulis perkataan Bahasa Arab. Ghuraba' yang membawa maksud Orang Asing (The Strangers). Pada hari yang sama, dalam perjalanan pulang, saya menoleh melihat papan iklan itu lagi. Saya berseorangan ketika itu. Saya betul-betul merasakan erti keterasingan pada waktu itu. Sayalah salah seorang daripada ghuraba' yang ada di sini.

Saya cuba untuk bertanyakan pendapat orang lain kenapa papan tanda Ghuraba' itu diletakkan di sana tapi saya sentiasa berseorangan dalam perjalanan ke sana. Sehinggalah tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke stesyen metro, kami berjalan berlima. Saya bertanya kepada Azam tentang hal itu. Azam ini rakan sekumpulan saya yang juga punya asas Bahasa Arab. Dia tersentap bila saya menunjukkan papan iklan berbahasa Arab itu. Dia pun teruja. Apabila saya tanyakan pendapatnya, apakah makna yang dibawakan oleh iklan itu, Azam mengatakan bahawa mungkin tiada apa-apa. Sekadar hendak meraikan bahawa di kawasan ini, ramai orang asing yang tinggal, jawabnya. Saya sekadar mengangguk sebagai respon bahawa saya mendangar apa yang dikatakannya.

Kami meneruskan perjalanan masuk ke stesyen metro dan seterusnya sebaik metro sampai, kami semua masuk ke vagon-vagon yang ada. Nasib saya, saya terpisah 2 vagon daripada 4 yang lain. Dan kali ini, saya betul-betul merasakan papan iklan itu membawa maksud yang tersendiri untuk saya. Bagi saya, papan iklan Ghuraba' itu adalah satu pujukan semangat yang Allah 'berikan' kepada mereka yang selalu bersendirian agar kuat semangat dan tidak mudah putus asa. Iklan itu berlatarkan warna putih dan tulisannya hitam. Kosong begitu saja. Jadi saya menilai, setiap orang yang terasing itu sebenarnya mempunyai kekuatan dan signifikan yang tersendiri dalam dunia ini.

Kenapa saya selalu menilai sesuatu perkara itu sepelik dan serumit ini? Tapi sungguh. Bagi saya, papan iklan itu adalah satu pujukan dan semangat untuk saya supaya tak mudah mengalah dan...

Dan tak mudah menangis.


Nasyid ini nyanyian kawan saya, Ihab. Ghuraba'. Yang diberi nafas baru dan diberikan tajuk Beyond The Norm.

Sunday, October 12, 2008

Hari Minggu

Assalamualaikum wbt

Kelmarin, saya hanya 2 jam sempat lelapkan mata. Itupun hanya setelah 25 jam tak tidur. Awal pagi semalam sudah bangun untuk menyiapkan kuah kacang. Menjelang tengahari semuanya selesai dan saya terus tidur. Bangun saja sudah Zohor. Mengemas rumah ala kadar, bersiap dan sudah mula ada tetamu datang ke rumah.

Untuk Rumah Terbuka universiti anjuran SMSA kali ini memang meriah. Yang datang terlalu ramai sehinggakan makanan tidak cukup. Saya kasihan melihat mereka yang datang di penghujung acara. Ada juadah yang mereka tak sempat rasa. Dapat saja makanan, saya jamah hujung-hujung jari saja. Terus saya ambil keputusan balik ke rumah. Makan di sana sajalah. Rumah pun di tingkat 2 saja. Angkat kaki.

Di rumah, baru makan sedikit, saya dah berhenti. Ada 3 sebab. Pertama, kalau saya dah terlalu lapar (tak makan apa-apa langsung sejak sehari sebelum itu), saya memang akan hilang selera untuk makan bila makanan sudah di depan mata. Kedua, kerana terlalu letih. Ketiga, kegelian melihat telatah beberapa orang yang membuatkan selera makan saya terbantut. Terus saya masuk dapur untuk mengemas. Dapat panggilan daripada junior. Mereka dalam perjalanan ke sini. 9 orang. Alamak. Makanan di rumah terbuka itupun dah habis, takkan nak biarkan mereka pulang begitu saja, kan. Terus saya keluarkan ayam dari peti. Sediakan bahan-bahan untuk buat rendang. Emy tanak nasi dan Fatt sediakan bahan-bahan untuk nasi goreng. Selesai menggoreng nasi, barulah saya dapat menyentuh air. Saya minta Pena belikan. Wajib air sejuk. Sebab berperang di dapur memang sangat panas rasanya. Selepas Maghrib, kami pun makan beramai-ramai.

Selepas tetamu beredar, ada Auyun dan Kreen di rumah saya. Ini rakan 1 batch. Kami pun apa lagi. Berbincang (baca: berborak kencang) tentang isu sejagat. Homoseksualism. Masalah besar ni. Tunggu entri seterusnya untuk kupasan lanjut. Menjelang 11 malam, rumah pun kosong. Saya dah tak larat nak mandi dah. Terus tidur. Sudah 2 malam saya tidur tanpa mandi terlebih dulu. Bau dapur sudah sebati dengan bilik.

Apa saya tunggu lagi merepek-repek di sini. Hari ini hari Ahad. Saya perlu membasuh baju yang sangat banyak. Hajat asal hendak ke Kedutaan hari ini. Ada program di sana. Tapi, malas lebih dominan dan badan lenguh-lenguh. Ate kalo udah maleh tu, maleh le jugak. Ye dak? Hehe. Keknye nok gonekan. Badan kome ni dah tak 'ghok' nak kulu-kilir. Terkohoit dah.

Nota: Siapa faham apa saya tulis di hujung tu, memang saya tabik springlah =)

Friday, October 10, 2008

Berebut Hati

Assalamualaikum wbt

Allahumma salli 'alaa saidina Muhammad wa'ala aalihi wa ashaabihi ajma'in.

Semalam di hospital segalanya kelam kabut. Dari A sampailah ke Z. Kalau wujud huruf lain selepas Z, pastinya kelam kabut juga keadaannya. Daripada 10 orang sekumpulan, hanya 5 orang yang datang. 5 lagi? Missing in action. Tapi memang rugi betul siapa yang terlepas sesi seminar semalam. Doktor yang mengajar itu kacak sungguh. Ini pendapat rakan-rakan sekumpulan sayalah. Mari kita lihat aksi mereka:

Ketika menganalisis CT Scan:
A: Mak aih. Wanginya doktor ni. Aku nak jadi isteri dialah.
B: Eh, mana boleh. Aku nak cop dulu. Kau lambat. Aku dah cop dalam hati dulu.
A: Shuh. Shuh. Aku yang duduk tepi dia ni.

Setelah selesai mendapat penerangan di meja:
C: Huih. Aku tengok A dengan B, korang memang teruja habis tengok doktor tu. Huyyo. Rebutlah korang ye.
A: Eh, mestilah. Kalau kita tak tunjuk, nanti dia tak sedar.
B: Aku blushing gila tadi. Kau sedar tak, doktor tu asyik tenung aku je.
(memang A dan B duduk bertentangan dengan doktor itu)
C: Ala. B, kau kantoi dengan aku tadi. Aku nampak apa kau tulis kat note kau. Kantoi!
B: Apa kau nampak?
C: Kau tulis yang pasal anastomosis tu jadi lain! Patutnya Gastroenteroanastomosis. Kau tulis shortform jadi pelik gila. Gastroentero then hujung tu gambar love (heart). Hahaha!
Kami: Ha?!! Huh. Direct flirting! Mak aih B.
S: Aik, kenapa kena ada love? (Biasanya kami gunakan simbol love sebagai pengganti perkataan heart)
C: Innocent gila kau ni S. Tu flirting la tu.
S: Perlu ke gitu sekali? Huhu.

Dalam perjalanan ke metro:
A: Aku tak boleh fokus waktu dia mengajar tadi. Aku duk asyik fikir ke lain.
B: Aku memang tak fokus langsung. Aku tengok je muka dia.
A: Korang nak tahu tak apa aku imagine? Aku terbayang, kalau aku dah duduk dengan dia, mesti aku hari-hari belajar Anat (Anatomy) balik semula. Sure aku jadi hebat gila macam dia tadi. Hahaha.
Kami: Euuuuwww. Jauh gila berangan!
F: Aku nampak satu je tadi. Muka dia macam Alex Grey's Anatomy tu. (Jujur ni, saya memang tak kenal dan tak tahu muka Alex dalam cerita Grey's Anatomy. Saya tak ikuti)
C: Eh korang, korang. S diam je. Takde bagi komen apa-apa pun pasal doktor tu. Entah-entah dia pun ada hati kat doktor tu.
S: Saya ni ada ke hati kat dalam ni? (Sinikal)
C: Ha! Kalau kau takde hati, kita tunggu esok. Kalau doktor tu bagi hati dia dekat kau, kau dapatlah satu hati! Seronok gila tengok cerita berebut 1 hati ni. Hahahaha! (Gelak sungguh-sungguh!)
S: Huh. Tak kuasa kome weh!

Erm. Hari ni Hari Jumaat. Penghulu segala hari. Banyakkan berselawat ye buat Rasul Junjungan kita. Setakat maklum balas yang saya dapat daripada kawan-kawan sekumpulan malam tadi, mereka semua akan hadir ke seminar hari ini awal-awal. Semuanya nak tengok muka doktor itu! Ha. Kita tengoklah ye apa akan jadi hari ini. Huhuhu. Sesi cop-mengecop akan bertambah dengan bertambahnya jumlah doktor dari kumpulan saya yang hadir. Hehe. Tambahan pula, hari ni kami akan bincangkan topik tentang Kanser Hati. Ha! Hati siapalah yang akan berkanser sebaik balik dari hospital petang nanti ye dan hati siapa pula akan berbunga-bunga =)

Monday, October 06, 2008

Gering

Assalamualaikum wbt

Selesai bersiap awal pagi tadi, saya ke dapur untuk menyediakan sedikit sarapan. Hajatnya sekadar mahu membancuh nestum. Sepanjang Ramadhan lepas, banyak kali saya bersahur dengan nestum yang saya masukkan ke dalam susu segar. Saya tak suka manis tapi saya suka susu segar. Jadi, terhasillah nestum mengikut selera kosong saya ni: Nestum dan susu segar yang tawar. Pastinya menjilat sudu di waktu sahur.

Pagi tadi, saya membancuh nestum ikut cara normal orang Malaya kita. Nestum dengan milo panas. Tapi saya takkan boleh minum milo begitu saja. Masih fobia (kisah lama di entri ini). Cika bak kata orang Temerloh. Loya tekaklah maksudnya tu. Jadi saya bancuhkan neslo. Milo campur nescafe. Wujud tak mana-mana orang Malaya yang bancuh nestum sebegini? Kalau ada, mari hantarkan resume. Nanti kita boleh berusaha sama membuka empayar rangkaian makanan segera yang menawarkan hidangan ni. Saya tak isi banyak nestum. 2 sudu besar saja ke dalam mug air tu. Sebab saya risau tekak saya akan loya juga di pagi-pagi hari ni. Mug air diusung ke dalam bilik dan sambil minum, saya membaca blog Wanie. Sekitar 7.15 pagi, air sudahpun habis dan mug juga sudah dibasuh. Tetapi, ada masalah pula muncul. Sedangkan mengikut plan, saya perlu meninggalkan rumah pada jam 7.30 pagi.

Saya loya dengan teruk. Rasa nak muntah, pahit tekak, badan rasa lembik dan seram sejuk tapak tangan. Ah sudah. Inilah penangan milo tadi. Saya tak faham-faham lagi kenapalah saya masih belum boleh dengan minuman yang sejenis ni. Itupun saya dah jadikan neslo tadi. Ada juga rasa nescafe. Tapi saya tetap tidak boleh. Tekak saya masih dapat mengesan rasa milo. Tak dapat nak tipu-tipu dengan tekak saya ni. Dia cekap. Sudahnya, saya terpaksa bergegas meninggalkan rumah pada pukul 7.45 pagi. Cemas lagi saya buat keputusan untuk tidak ke hospital saja pada hari ini tapi memandangkan hari ini hari pertama saya perlu melapor diri di Oncology Center, terpaksalah saya gagahkan diri. Sepanjang perjalanan ke hospital, tangan dan badan saya memang seram sejuk saja dan loya tetap tak hilang-hilang sehingga tengahari.

Pulang dari hospital petang tadi, saya perlu ke Pejabat Dekan. Saya bersama Meor. Dia mahu singgah makan alas perut sedikit. Jadi kami singgah di McDonald's. Saya terus ke McCafe. Wajib minum nescafe untuk hilangkan rasa loya yang berbaki. Hari ini rekod. Rekod loya terpanjang yang pernah saya lalui. Teruknya badan saya ni. Hmm. Allah dah tarik satu nikmat dari saya. Nikmat makan benda-benda bercoklat. Ini cuma kecil saja. Bagaimana pula dengan orang lain yang Allah tarik nikmat yang besar dan penting? Anggota badan contohnya. Sebab tu kerja kita sebagai hamba ialah mensyukuri apa yang ada. Setiap yang ada pada kita adalah nikmat daripada-Nya.

Nota: Tak sabar tunggu nasi siap. Tak sentuh nasi sejak Hari Raya lepas. Asyik tiada selera saja. Moknye, anok mok ni lapor bebenor. Degil sangat ikutkan amat takde selera tu. Atekan lagi! Huhu.

Friday, October 03, 2008

Berakit-Rakit Ke Hulu

Assalamualaikum wbt


Pagi tadi, group saya ada final presentation dengan para profesor. Kena bentangkan laporan kes kamilah kiranya. Sepanjang sebulan ini, kami semua melalui posting Internal Disease (Therapy) di sebuah hospital untuk veteran perang. Seronok ketika posting di sana. Jadi setelah tamat sebulan, kami perlu menjawab soalan-soalan daripada profesor hasil laporan daripada kes yang kami dipertanggungjawabkan.

Saya menjadi orang pertama mewakili kumpulan saya yang masuk menghadap profesor. Ada 2 orang profesor yang bertugas untuk menilai kami pelajar-pelajar English Medium. Kebetulan, profesor yang saya temui itu sebilik dengan Ketua Unit Kardiologi yang menjadi pemeriksa saya ketika final exam bulan Mei lalu. Terus Ketua Jabatan itu memberitahu profesor yang bertugas bahawa saya merupakan pelajar yang menjawab exam dulu dengannya. Hah. Saya cuak. Nanti mesti ditanya banyak-banyak. Alhamdulillah. Orang putih kata: Hard work pays well. Wendy pula menjadi orang pertama yang menjawab dengan profesor seorang lagi yang mana di dalam bilik yang sama, Ketua Jabatan Perubatan sedang berada. Sebaik selesai kesemua pelajar English dan Russian Medium menjawab soalan bersama para professor, kami semua dikumpulkan di bilik Ketua Jabatan untuk mendengar sedikit ucapan daripadanya.

Alhamdulillah! Beliau telah memberikan kredit yang tinggi kepada kami sekumpulan atas prestasi yang sangat bagus berbanding pelajar-pelajar tempatan dan kerja keras kami untuk membuktikan bahawa kami boleh mengatasi masalah bahasa yang kami hadapi. Secara keseluruhannya pula, beliau sangat kagum dengan prestasi pelajar-pelajar English Medium pada tahun ini berbanding tahun lalu. Alhamdulillah!

Selesai Medical Conference tengahari tadi, kami sekumpulan ke rumah Kak Zah mengikut Meor (Meor tinggal di sana) untuk makan tengahari bersama. Makan lauk-lauk raya yang masih sangat banyak berbaki. Ini aktiviti kami meraikan kejayaan kami hari ini. Tapi ini bukan penyudah. Bak kata Ketua Jabatan tadi: Teruskan belajar. Teruskan belajar.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau nak naik bot laju terus, boleh tak? Hehe.

Wednesday, October 01, 2008

Aidilfitri Terakhir Di Moscow 1429H

Assalamualaikum wbt


Salam Aidilfitri. Sekali lagi tahun ini kami di sini menyambut syawal sehari lebih awal dari Malaysia. Kisahnya malam raya, saya menghadiri jemaah takbir di dua buah rumah. Di rumah budak perempuan yang membuat takbir hanya sesama kami saja dan selepas itu di rumah budak lelaki batch saya. Lepas takbir, ada makan-makan. Tapi saya tak jamah. Masih terasa kenyang berbuka. Selesai semua, saya balik ke rumah dan melihat seisi rumah sudah bersiap-siap dengan baju yang dah digosok cantik.

Bangun awal pagi, kami bersiap dan bergegas ke Kedutaan Besar Malaysia di Moscow. Kami tak mahu lagi terlewat untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Fatt, Wanie dan Mily menaiki teksi yang berlainan dengan saya, Pena, Diba dan Emy. Rupa-rupanya merekalah orang pertama yang tiba! Rekod sungguh. Awal kami serumah sampai. Kami ingatkan kami sudah lambat. Dan kisahnya, ramai sangat yang turun untuk solat di kedutaan. Ramai yang ada kelas atau lecture sebenarnya tapi sebelah paginya mereka masih berkesempatan untuk solat raya terlebih dahulu. Mantap. Memang meriah. Selesai solat raya, semua berpusu-pusu hendak menjamu selera. Saya dan angkatan pelajar tahun akhir berlenggang saja dulu. Bagi peluang kepada adik-adik. Dan sudahnya kami semua tak dapat makan. Hidangan yang disediakan pada pagi semalam tak mencukupi kerana pihak kedutaan sangkakan tidak ramai yang dapat hadir untuk solat raya. Sebelum bertolak pagi semalam, saya hanya minum setengah gelas nescafe saja. Huhu. Lapar memang lapar. Tapi kami semua yang tak dapat makan tu redha je. Hampir kesemua pelajar tahun 6 tak dapat makan. Selepas itu, semua pelajar pun balik tapi sebelah petangnya mereka pasti akan datang lagi kerana Rumah Terbuka Kedutaan Malaysia akan bermula pada pukul 4 petang.

Kami pelajar tahun akhir semuanya ke laman belakang kedutaan. Sesi bergambar sakan. Maklum jelah. Ada ramai yang berkamera gedabak-gedabak kan. Kesemua pelajar tahun akhir universiti saya berbaju raya berona emas. Itu tema kami se-batch kali ini. Untuk pelajar tahun akhir RSMU pula mereka berona merah terang. Itu tema pilihan mereka. Maka berkumpullah kami di laman belakang dan kemudian ke dewan utama untuk sesi fotografi bersama Dato' Duta. Tepat jam 12 tengahari, sebuah bas khas pun tiba di laman kedutaan. Siapa boleh eka untuk apa?

Haaa! Kami pelajar-pelajar tahun 6 telah menempah sebuah bas selama 4 jam untuk membawa kami ke 3 destinasi utama iaitu Kremlin, Victory Park dan Moscow State University untuk sesi fotografi! Yeay! Sangat meriah. Sangat menggembirakan. Sangat menarik perhatian juga. Hehe. Sebaik sampai saja di Kremlin, kami semua dikerumuni oleh pelbagai bangsa di kawasan lapang di depan St. Basil tu. Semua sibuk-sibuk nak ambil gambar kami semua. Yang menggeramkan, ramai yang mengerumi itu berbangsa Tan Tan Tan tu. Entah Tarjikistan, ada Uzbekistan dan macam-macam Tan yang lain. Serius saya cakap, mesti gambar-gambar hasil sesi di Kremlin kurang memuaskan hati. Jurugambar yang bertugas (Paan dan Hazwan - pelajar tahun 4) pun tak berpuas hati. Ada juga pelancong Itali dan Perancis yang menyapa dan bertanya tentang kami. Siap nak bergambar bagai dengan kami semua. Huhu. Eksotik sungguh terasa diri semalam. Yang jadi tumpuan semestinyalah pelajar-pelajar perempuan yang berkebaya asli dan nyonya yang ala-ala diva gitu. Hehe. Sungguh ni. K-run, K-reen, Rodo, Lisa dan Syima memang diva habis semalam!

Destinasi kedua ialah Victory Park (Park Pobedy). Kami keluar dari bas tanpa memakai jaket dan PADAN MUKA kami semua sebab kawasan lapang tu ternyata sangat sejuk! Tapi disebabkan nak mendapatkan gambar-gambar yang cantik dengan baju raya masing-masih yang pelbagai fesyen tu, sangguplah jua kami bersejuk-sejukan menggeletar tak ingat dunia. Siap berpelukan lagi saya dengan Dayah sebab sejuk sangat. Huhu. Destinasi terakhir ialah Moscow State University (MSU). Kami diturunkan di tepi Moscow River dan kemudiannya di depan bangunan MSU itu. MSU terletak berhampiran saja dengan kedutaan. Sesi di sini dipercepatkan kerana semuanya sudah tak tahan sejuk. Kami semua terus pulang ke kedutaan untuk solat Zohor dan seterusnya menjadi antara yang terawal menyerbu makanan di Rumah Terbuka kali ini!

Saya jamah sikit saja. Sangat sikit. Air pun setengah gelas je minumnya. Lepas tu kami semua pelajar tahun 6 ni duduk-duduk berborak dan bergambar jelah kerjanya. Pelajar lelaki batch saya memang kaki kamera. Hampir kesemuanya. Seronok bertukar-tukar idea tentang fotografi dan mencuba jaya pelbagai teknik baru. Merepek-repek pun iye juga. Hehe.

Pukul 6, kami bergerak bersama-sama menuju ke rumah Kak Zah, Pengarah Tourism Malaysia di Moscow. Dia menjemput semua pelajar tahun 6 ke rumah terbukanya. Memang kami rapat dengan Kak Zah ni. Sampai di sana, sudah ramai juga pelajar tahun 6 yang lain sudah tiba terutamanya pelajar Cina dari Hostel Kahovs. Makanan banyak sangat. Tapi, satu jenis pun saya tak jamah. Saya hanya menyudu sikit saja puding dari mangkuk Syima. Saya hanya minum air teh susu je. 2 kali pula tu. Huhu. Kat rumah Kak Zah ni tak sah kalau tiada yang berkaraoke. Gempita dibuatnya. Budak-budak rumah saya tak datang ke kedutaan waktu sesi Rumah Terbuka kerana mereka ada majlis makan-makan di rumah kawan mereka. Dan mereka tiba di rumah Kak Zah pun dah pukul 8 malam dah. Selesai Maghrib, saya dah mula rasa penat dah. Pandang kiri, pandang kanan, pakat-pakat dengan pelajar tahun 6 yang lain, maka sekitar 9.30 begitu kami pun berangkat pulang. Saya sampai di rumah lagi 5 minit ke pukul 10 malam.

Wah. Raya kali terakhir di Moscow inilah raya terpanjang yang pernah saya lalui. Dari awal pagi sehingga malam. Dan sepanjang 6 kali menyambut Aidilfitri di Moscow, raya kali terakhir inilah yang paling meriah, penuh kenangan dan menggembirakan. Semalam saya berkepit je dengan kawan baik saya, Nadia. Suaminya Alif ada kelas sehingga tengahari. Saya yakin, tiada seorang pun pelajar tahun 6 yang tidak gembira pada hari semalam. Serius, saya akan rindukan awak semua!


Nota 1: Farah, Faisal, Meor, Smoque, Fizi, Azam, Eza, Baiz, Dayah, Mus, Rodo, Syima, Auyun, K-run, K-reen, Aizat, Pil, Mubin, G-lid, Asrul, Faiz, Nazlin, Posto, Lutfi, Nadia, Lisa, Ain, Munir, Al, Zahir, Zharif, Jetman, Anip, Farid, Che' Din, Anul, Amin dan Jas,sengaja saya tulis nama awak semua supaya saya takkan melupakan awak semua sampai bila-bila =)

Nota 2: Semoga perjalanan keluarga saya pulang ke Penang baik-baik saja insya Allah.

p/s: Gambar-gambar yang ada ini dari kamera saya. Hasil sesi fotografi saya belum ada lagi. Nanti tengoklah kalau rajin saya kemaskinikan semula.

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H

Assalamualaikum wbt

Selamat Datang Warga Baru Sechenov

Assalamualaikum wbt

Semalam dari pagi saya keluar rumah. Bersama Aizat, Jimi dan Zai. Menuju ke Hostel Pushkin (dulu saya tinggal di sini sewaktu tahun 1 dan 2). Kami ke sana kerana kami merupakan antara fasilitator program Induction Day untuk ke semua pelajar pre-medic dan tahun 1 di akademi saya. Ada 200 orang pelajar semuanya. Program diadakan di Kedutaan Besar Malaysia. Kami terpaksa ke Hostel Pushkin dahulu untuk membawa adik-adik ini ke sana. Mereka masih tidak tahu jalan. Ada lebih kurang 30 orang fasilitator pada hari semalam.

Teringat sewaktu saya mula-mula datang dulu. Mana ada semua program ini. Semuanya cuba-jaya sendiri. Semuanya pakai redah sendiri. Semuanya hentam ikut kata hati. Hentam sajalah cakap Rusia yang memang tak fasih lagi waktu tu. Inilah kisahnya untuk 3 batch yang pertama. Alhamdulillah kami telah lalui semua itu dengan baik.

Saya gembira dapat bertemu mereka semua semalam. Walaupun hujung minggu saya (yang sepatutnya wardah gitu :p) dihabiskan di kedutaan dari pagi sehingga petang, tapi kepuasan dapat melihat komitmen penuh yang diberikan oleh komiti Sechenov Malaysian Student Association (SMSA) betul-betul buat saya kagum. Ehem, buat ahli majlis tertinggi SMSA sesi 2008-2010, KS ucapkan tahniah atas menifesto yang kalian canangkan yang telah betul-betul dilaksanakan. Juga atas usaha kalian mendekatkan jurang yang ada antara segala jenis tajaan yang ada untuk pelajar-pelajar baru kali ni. Mantap! Terutamanya Faiz, Dalvin, Maryam, Tiha dan Jimmy Lim. Senyum seorang KS semalam bila melihat kamu semua bertungkus-lumus memastikan majlis berjalan lancar.

Buat pelajar-pelajar yang baru tiba, jangan rasa kurang sedikit pun dengan keberadaan kamu semua di sini. Moscow adalah sebuah kota yang cantik dan seronok tapi pandai-pandailah kamu semua mengurus diri, pelajaran, perbelanjaan dan jangan sampai tersalah pilih kawan. Tak dinafikan, di mana-manapun akan ada masalah yang menanti. Jadikan ini cabaran. Apa-apapun, Selamat Datang ke Sechenov Moscow Medical Academy =)

Kalau kena kacau ke, tolak-tolak dalam metro ke, pukul sikit-sikit ke dek orang Rusia tu, adatlah tu. Upsss :p

Nota: Jangan risau. Moscow ni bandar yang selamat. Akan jadi tidak selamat jika kita sendiri yang menempah nahas. Siapa suruh keluar malam-malam ke, ke kelab-kelab ke. Memanglah akan bertemu benda yang bukan-bukan. Malang terjadi di mana-mana. Sedangkan di Malaysia pun ada banyak benda buruk terjadi. Kan? =) Di mana-mana sajalah. Pokok pangkalnya balik pada diri kita ni.

Nota muhasabah: Saya tak pernah lupa untuk membaca doa keluar rumah sebaik melangkah keluar dari pintu rumah, doa naik kenderaan, istighfar dan disudahi dengan lafaz syahadah. Takut-takut ajal tiba dipertengahan jalan, kan.

Saturday, September 27, 2008

Iftar

Assalamualaikum wbt


Semalam, kami berbuka dalam sebuah majlis berbuka puasa antara pelajar-pelajar JPA tahun 4 dan 2. Saya seorang saja pelajar tahun akhir yang tersesat. Nasib badanlah kalau dah namanya tinggal serumah dengan junior. Hanya sekitar 30 orang yang turut serta. Saya diberikan tugas untuk memasak lauk utama: Kari Portugis. Budak-budak rumah saya yang mencadangkan lauk itu ketika mereka merancang majlis iftar itu. Maka, semalam selepas Zohor, berperanglah saya di dapur mula menyediakan bahan-bahan untuk memasak. 4 ekor ayam saja kami gunakan sebab ada beberapa menu sampingan yang lain. Kalau berlebihan nanti membazir pula.

Mungkin ada yang tidak pernah tahu apa itu Kari Portugis, kan? Kari Portugis ini ialah sejenis lauk kari yang tidak menggunakan santan, menggunakan halia yang agak banyak dan kuahnya pekat. Untuk resepi Kari Ayam Portugis ini sebenarnya resepi emak saya. Kata emak, asalnya ialah Ikan portugis tapi emak sudah ubah suai menjadikannya ayam. Biasanya saya masak hanya untuk 6-7 orang makan tapi semalam disebabkan perlu memasak untuk 30 orang, saya menelefon Chef Noor (emak le tu) untuk memastikan kualiti dan ketulenan rasa terpelihara. Emak ingatkan langkah-langkahnya saja. Bila ada mana-mana yang emak terlupa, haruslah si anak bertuah ini yang mengingatkan emak semula. Hehe. Saya kata pada emak: Ni nak masak untuk banyak-banyak ni takut rasa lari je. Jawab emak: Alah, masak je macam biasa. Baca bismillah dan masak dengan aura. Huhu. Auralah sangat ye mak.

Jadi hari ini saya terasa hendak berkongsi resepi emak saya ni. Kari Ayam Portugis. Semalam saya dah perturunkan kepada budak-budak rumah ni (Fatt) tapi saya tuliskan di sini untuk mereka jadikan rujukan bila saya sudah tiada nanti.

Bahan-bahan (untuk seekor ayam):

15 biji bawang kecil
5 biji bawang putih
halia
2-3 batang serai
6-7 sudu cili boh
Rempah 4 beradik (kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, buah pelaga)
Daun kari
3-4 sudu serbuk kari daging (saya guna Adabi, rasa asli gitu)
1 ekor ayam yang dipotong ikut suka
Kentang (jika mahu)
Asam jawa
Kunyit
Garam
Gula

Cara-cara memasak:

Kisar bawang kecil, bawang putih, halia dan serai (serai ni kalau dititikkan saja tak terasa, jadi baik kisar kesemuanya, nanti kuah pun pekat). Sementara itu, gaulkan ayam yang telah dibersihkan dengan kunyit dan garam. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 beradik dan daun kari. Bila baunya sudah wangi, masukkan semua bahan yang telah dikisar tadi. Bila aroma wangi bawang sudah naik dan pecah minyak, masukkan serbuk kari dan cili boh yang sudah dibancuhkan. Tumis lagi. Bila sudah naik bau, masukkan ayam yang dikunyitkan tadi dan air asam jawa. Masukkan air sehingga ayam tenggelam dan garam-gulakan secukupnya. Hati-hati jangan sampai terlebih garam kerana tadi ayam sudah digaul garam. Masukkan kentang jika mahu. Tunggu sehingga air mengering dan kuah memekat, maka siaplah Kari Ayam Portugis.

Errr... Kalau saya dan adik-beradik, wajiblah ada kicap waktu makan. Kalau tak, memang tak lengkap. Macam malam tadi, waktu berangkat untuk iftar tu (buat di rumah pelajar lelaki), saya bawa bekal kicap dalam tupperware kecil. Huhuhu. Saya seorang saja yang makan berkicap ;)

Nota: Semalam saya berbual dengan jiran saya, Aida, orang Khazastan. Kami berbual tentang Lailatul Qadar. Untuk saling memahami, kami menyebutnya sebagai Noch Qadra (noch=malam). Menurutnya, mengikut budaya orang Khazastan, pada malam-malam terakhir ini, mereka membuka tingkap pada waktu malam dan menjamu tetamu makan. Motif? Boleh fikir sendiri rasanya kan =) Dan untuk seorang junior, Muhammad Khairul Asraf, selamat berangkat ke Ireland. Jangan lupakan kami semua di Moscow yang cantik ni =)

Friday, September 26, 2008

Mimpi

Assalamualaikum wbt


Allahumma salli 'alaa sayyidina Muhammad wa'alaa aali Muhammad.

Hari ini hari Jumaat. Penghulu segala hari. Sepanjang Ramadhan ini, saya banyak kali didatangi mimpi yang jarang-jarang saya alami ketika bulan biasa. Dalam banyak-banyak mimpi, mimpi malam tadi paling terkesan. Entah kenapa, saya terasa seperti bukan mimpi. Terasa dekat dengan kehidupan harian dan semua yang terlibat sangat saya kenali.

Walaupun mimpi bukanlah sesuatu yang boleh kita percayai, tapi jauh di sudut hati, saya sentiasa mendoakan yang baik-baik saja untuk kesemua yang muncul di dalam mimpi saya sepanjang Ramadhan ini. Lebih terkesan, malam tadi, arwah Chik Joe saya datang bertemu saya dan berbual panjang dengannya. Semoga Chik tenang saja di sana.

Juga, saya bermimpi tentang saya di masa depan. Tak salah jika saya mendoakan begitu kesudahannya tapi saya ini cuma orang biasa yang tak punya apa-apa. Tak layak untuk saya meminta-minta kepada Allah.

Kuih yang berjaya dibuat malam tadi ialah biskut coklat chip. Tapi saya selalu panggil biskut chipsmore je. Bukannya kami semua tak ada kuih yang dibawa dari Malaysia tapi sengaja hendak merasakan suasana meriah bergotong-royong menyediakan kuih-muih. Hehe. Tapi sebenarnya saya seorang saja yang membuat kuih malam tadi. Si Fatt datang mengempeng menjadi jurugambar. Sekarang ni dia tengah obses dengan jurnal bergambar (photojournalism). Silalah raya nanti ambil gambar banyak-banyak ye Fatt =) Kami serumah ada agenda pada petang ini. Nanti kisahnya pada malam ini insya Allah.

Nota: Setiap kali Jumaat tiba, hati saya menjadi wardah gitu. Hehe.

Thursday, September 25, 2008

Gian

Assalamualaikum wbt

Saya rasa sekarang saya gian. Gian hendak membaca novel-novel karya Hlovate. Walaupun di dalam novelnya mempunyai unsur-unsur pencemaran bahasa sedikit (saya ni pencinta Bahasa Melayu yang tegar), namun teknik penceritaan, susunan plot yang menarik dan selitan tazkirah-tazkirah yang boleh menyedarkan kita perkara-perkara asas sebagai Muslim betul-betul membuatkan saya tertarik dengan novelnya. Hlovate bermula dengan menulis e-novel dan kini novel-novelnya dibukukan. Tunas telah saya tamatkan. Dan oh! Saya tak sabar hendak membaca aA+bB pula.

Eh, Cik Sarah. Awak tu ada masa sangat ke bulan depan nak membaca segala benda alah ni? Hehe. Hobi tetap hobi.

Hari ni saya dapat pelepasan. Tak perlu ke hospital. Maka saya umumkan hari ni sebagai hari operasi membuat kuih raya. Yeay! Erm, boleh saya bersuasana raya dah? Teringinlah nak dengar lagu raya dah. Hehe =)

Nota untuk emak: Mak, mee hailam beres! Warna je tak cukup hitam. Kedekut kicap punya pasal. Kena berjimat. Kekekeke =p

Wednesday, September 24, 2008

Kenangan Ramadhan Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Ketika tiba di sini pada Oktober 2003, saya merasakan Moscow ini kusam. Daun kekuningan saja. Kereta pun macam berdebu je. Saya tersilap tafsir sebenarnya. Rupanya, begitulah keadaan lazim di musim luruh. Bukannya pokok-pokoknya tak cukup zat, tapi musim luruh sudah bermula. Kereta pula macam berdebu kerana di penghujung musim panas, memang banyak debu.

Di penghujung November, Ramadhan bermula. Kebetulan hari pertama berpuasa adalah hari yang mempunyai kelas sehingga petang. Waktu itu, jarak di antara hostel dan bangunan akademik pelajar tahun satu adalah sekitar 1 jam setengah perjalanan menggunakan bas dan metro.

Pada sebelah petang, saya mempunyai kelas Biologi. Waktu itu musim sejuk sudahpun bermula. Waktu berbuka ketika itu ialah jam 4.33 petang. Saya masih ingat akan hal ini. Kelas tamat pada jam 4.30 sepatutnya tapi kami dilepaskan sedikit awal sekitar 3.50 petang. Maka saya dan kawan-kawan sekumpulan berangkat balik ke hostel terus. Sampai saja di Stesyen Bibliateka Imini Lenina, stesyen di tengah-tengah Moscow yang menghubungkan 4 laluan utama metro yang menjadi tempat pertukaran utama, jam telah menunjukkan pukul 4.25. Di dalam stesyen itu terdapat sebuah kafe kecil yang menjual makanan segera. Saya memnag tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan seperti coklat atau apa-apapun kecuali setengah botol air mineral yang dibawa untuk buat syarat saja bila berbuka. Tapi kesemua ahli kumpulan saya yang lain tidak mempunyai apa-apa bekalan. Jadi mereka ke kafe itu dan membeli 3 cawan besar coke dan kami menunggu saja di tepi jam dinding dalam stesyen itu sehingga tepat jam 4.33. Kami 11 orang berbuka bersama dengan berkongsi 3 cawan air coke (o.5 liter secawan) termasuklah 3 orang rakan group kami yang berbangsa Cina dan India. Setelah kosong ketiga-tiga cawan, barulah kami menyambung perjalanan.

Dan pernah juga saya hanya berbuka dengan coklat Snikers (kecil) ketika berada di dalam kelas General Chemistry. Disebabkan saya bukan penggemar coklat, kebiasaannya sebatang coklat itu akan saya kongsi bersama Meor, lab partner saya. Mula-mula dulu, cikgu kami pun tak faham. Jadi kami makan curi-curi saja. Tapi setelah dia faham, dia memberikan masa rehat yang fleksibel mengikut waktu berbuka. Dan namanya adalah Fetisova, seorang cikgu yang sangat baik hati dan keibuan.

Pernah juga berbuka hanya setelah 1 jam waktu berbuka berlalu. Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan menuju ke hostel. Dan lazimnya, kami di sini tidaklah berbuka dengan lauk-pauk dan hidangan mewah yang lengkap dengan kuih dan sebagainya. Ada 2 benda wajib untuk menu berbuka. Lauk utama, ayam, daging atau ikan, dan sejenis sayur. Kuih hanya bergantung kepada kelapangan masa. Sewaktu tahun satu dan dua dahulu, hanya di hujung minggu saja barulah sempat hendak menyediakan manisan mulut yang semestinya adalah kuih-muih tradisional.

Saya akui, hidup di luar ni lebih mengajar untuk menghayati erti Ramadhan yang sebenar. Apabila terpaksa bersusah-payah memasak sendiri segala juadah yang kita hajatkan dan berpenat-penat memasak beramai-ramai untuk majlis berbuka puasa di kedutaan, inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Nota: Saya rasa satu hari nanti saya boleh buka katering saya sendiri dah kot. Kalau memasak untuk 400 orang makan, tu rasanya dah tak jadi masalah dah. Hehe.

Tuesday, September 23, 2008

Season Finale Bermula

Assalamualaikum wbt

Jangan terkejut. Saya berniat untuk menyambung coret-coret saya kembali. Mempertimbangkan ini adalah tahun terakhir saya di sini yang pastinya akan menjadi satu memori yang hendak saya kenang selamanya.

Season finale kisah pengembaraan hidup di Moscow pastinya penuh suka-duka yang menjanjikan saya menjadi lebih matang dalam membina diri dan masa depan.

Nota peribadi untuk dikenang, saya di sini sedang berpuasa hari yang ke-23 di musim luruh yang sangat sejuk suhunya. Dan ini merupakan Ramadhan dan murim luruh terakhir saya untuk tempoh 6 tahun permukiman saya di sini.

Dan dalam entri ke-333 pada tanggal ke-23 Ramadhan yang jatuh pada 23 September ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-23 buat sahabat baik saya Nurul Faaiqah Jainuddin =)

Daa~