Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Friday, October 03, 2008

Apakah Makna Ramadhan Pada Mereka?

Assalamualaikum wbt

Balik saja dari rumah Kak Zah petang semalam, saya memang terperuk dengan laptop ni je. Tak jamah nasi sikit pun. Macam biasa, selera tiada lagi. Dalam 4 hari ni, boleh kira apa sajalah yang saya jamah. Semalam saya layan movie konon-kononnya. A Lot Like Love. Bolehlah juga. Cerita lama tapi faham-faham sajalah saya ni macam mana. Memang tak tahu perkembangan terkini kalau tiada yang memberitahu. Tambah pula, saya takkan sentuh movie ke, series ke sepanjang cycle sedang berjalan. Hujung cycle baru saya melibur diri tengoklah apa saja yang hendak ditengok. Itupun tapis-tapis lagi mana yang nak tengok.

Alkisahnya, sementara saya biar movie tu buffer bagi penuh, saya (bak kata Yasir) beraya blog kawan-kawan. Saya pelik pun iya, terkilan pun iya juga. Saya tengok ramailah yang asyik kemaskinikan tiap-tiap hari pasal berbuka puasa kat sana-sini. Tu tak kisah pun. Dapat juga saya ni tahu menu-menu orang Malaya berbuka apa untuk Ramadhan kali ni. Ada yang ke hotel 5 bintanglah, bangga berbuka dengan artislah, berbuka dengan para blogger di restoran yang ditempah khaslah, cerita pergi shopping sakan tawaf satu Kuala Lumpurlah, sampai ada yang bersahur siap-siap lepas shopping sakan sebelum balik ke rumah.

Yang saya fikirkan tu ialah, kalau dah berbuka pun siapnya pukul 9 malam, termasuk berborak sakan, bergambar sakan dan macam-macam yang lain, tu belum masuk anyam ketupat semua tu, bila masa solat Maghribnya? Sadisnya saya tengok. Selama ni saya ingatkan sempena Ramadhan ni ramai yang menjaga bab-bab solat semua ni. Tapi silap la cik oi. Lepas dah beransur dari Secret Recipe, Marry Brown dan entah macam-macam tempat makan lagi, mereka ni pergi sambung shopping di jalan TAR lah pula, dekat kawasan Masjid India lah. Tarawikh pun lepas macam tu saja. Ruginya. Mereka ni tak fikir ke yang Ramadhan ni bulan rahmat yang Allah hadiahkan untuk kita mengumpul dan menternak pahala? Kalau tak nak bertadarus tu tak kisahlah. Itu terpulanglah pada masing-masing. Tapi kalau yang fardhu pun tak dijaga, dan tarawikh yang tiada pada bulan-bulan lain pun tak dikejar fadhilatnya, apakah makna Ramadhan pada mereka ye?

Bila saya tengok kehidupan yang sebegini, saya tahu, saya memang tak secocok dengan kehidupan yang begini. Tu sebab saya lagi rela tiada kawan yang jenis meriah-meriah begini daripada ada kawan tapi melalaikan. Gunanya kawan tu untuk saling mengingatkan dan tarik kita semula bila kita terleka. Leka sikit-sikit tu adatlah kan. Kita ni manusia. Tapi kalau ada kawan yang membawa kita lagi jauh, saya rasa tak rugi kalau kita jauhkan sikit daripada mereka tapi bukan melarikan diri terus daripada mereka. Kawan itu adalah sebahagian daripada tanggung jawab kita. Kalau kita lepas tangan begitu saja, bermakna kita meletakkan saham dalam apa yang mereka lakukan.

Ini cuma pandangan peribadi saya. Minta maaf kalau ada yang terasa. Saya bukan hendak mengecam sesiapa tapi jadikanlah ini sebagai muhasabah Ramadhan yang telah berlalu. Semoga Ramadhan yang akan datang, kita dapat mempertingkatkan amalan kita. Allah datangkan Ramadhan itu sebagai satu hadiah buat kita. Bulan ibadah. Bulan barakah. Madrasah untuk mendidik diri. Adalah kita ini orang yang tidak bersyukur jika kita tidak menerima hadiah daripada Allah ini dengan penuh gembira. Haa... Yang hujung ni analogi saya saja. Bukannya hadis atau apa. Nanti ada yang kata saya buat hadis baru pula. Naya lagi blog saya kena kecam tak pasal-pasal. Huhu.

Saturday, September 27, 2008

Team Kuih Pushkin

Assalamualaikum wbt

Meriah sungguh majlis berbuka puasa di kedutaan hari ini. Semua pelajar perempuan batch saya, kecuali Farah dan Syima, berkumpul dan berbuka bersama. Pasti nanti kami akan rindukan kenangan bersama seperti hari ini.

Teringat dulu sewaktu tahun 1 dan 2, kami semua tinggal di Pushkin Hostel. Pelajar perempuan batch saya digelar sebagai Team Kuih Pushkin. Mana taknya. Setiap kali ada majlis berbuka puasa di kedutaan, kami semualah yang bertanggung jawab menyediakan kuih-muih tradisional. Dulu, saya terkenal dengan karipap dan cek mek molek. Eza pula popular dengan triffle buahnya. Dayah, Baiz dan Farah pula terkenal dengan buah melaka dan donut. K-run, K-reen, Auyun, Syima dan Rodo pula terkenal dengan segala jenis agar-agar, kek batik dan puding. Inilah pasukan kami. Semua kenal pada waktu itu. Hehe.

Dulu, kami juga pernah bergotong-royong membuat roti canai. Ini gara-gara semuanya teringin hendak makan roti canai. Sudahnya, kami bersama-sama membuat rotinya dan Meor diimport untuk menyediakan kuah dal. Dia memang terkenal dengan kuah dal yang sedap sehingga licin periuk!

Dan pada hari ini, kami bersama-sama menunaikan Solat Tarawikh dan Witir berjemaah bersama-sama rakyat Malaysia yang lain. Dan ini merupakan kali yang terakhir kami dapat berjemaah begini di bumi Moscow.

Kenangan ini akan saya, secara peribadi, kenang selamanya.

Nota: Selamat khatam Al-Quran untuk muslimat di Spartivnaya Hostel. Semoga usaha kita mengimarahkan Ramadhan diterima Allah sebagai amal soleh insya Allah.

Iftar

Assalamualaikum wbt


Semalam, kami berbuka dalam sebuah majlis berbuka puasa antara pelajar-pelajar JPA tahun 4 dan 2. Saya seorang saja pelajar tahun akhir yang tersesat. Nasib badanlah kalau dah namanya tinggal serumah dengan junior. Hanya sekitar 30 orang yang turut serta. Saya diberikan tugas untuk memasak lauk utama: Kari Portugis. Budak-budak rumah saya yang mencadangkan lauk itu ketika mereka merancang majlis iftar itu. Maka, semalam selepas Zohor, berperanglah saya di dapur mula menyediakan bahan-bahan untuk memasak. 4 ekor ayam saja kami gunakan sebab ada beberapa menu sampingan yang lain. Kalau berlebihan nanti membazir pula.

Mungkin ada yang tidak pernah tahu apa itu Kari Portugis, kan? Kari Portugis ini ialah sejenis lauk kari yang tidak menggunakan santan, menggunakan halia yang agak banyak dan kuahnya pekat. Untuk resepi Kari Ayam Portugis ini sebenarnya resepi emak saya. Kata emak, asalnya ialah Ikan portugis tapi emak sudah ubah suai menjadikannya ayam. Biasanya saya masak hanya untuk 6-7 orang makan tapi semalam disebabkan perlu memasak untuk 30 orang, saya menelefon Chef Noor (emak le tu) untuk memastikan kualiti dan ketulenan rasa terpelihara. Emak ingatkan langkah-langkahnya saja. Bila ada mana-mana yang emak terlupa, haruslah si anak bertuah ini yang mengingatkan emak semula. Hehe. Saya kata pada emak: Ni nak masak untuk banyak-banyak ni takut rasa lari je. Jawab emak: Alah, masak je macam biasa. Baca bismillah dan masak dengan aura. Huhu. Auralah sangat ye mak.

Jadi hari ini saya terasa hendak berkongsi resepi emak saya ni. Kari Ayam Portugis. Semalam saya dah perturunkan kepada budak-budak rumah ni (Fatt) tapi saya tuliskan di sini untuk mereka jadikan rujukan bila saya sudah tiada nanti.

Bahan-bahan (untuk seekor ayam):

15 biji bawang kecil
5 biji bawang putih
halia
2-3 batang serai
6-7 sudu cili boh
Rempah 4 beradik (kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, buah pelaga)
Daun kari
3-4 sudu serbuk kari daging (saya guna Adabi, rasa asli gitu)
1 ekor ayam yang dipotong ikut suka
Kentang (jika mahu)
Asam jawa
Kunyit
Garam
Gula

Cara-cara memasak:

Kisar bawang kecil, bawang putih, halia dan serai (serai ni kalau dititikkan saja tak terasa, jadi baik kisar kesemuanya, nanti kuah pun pekat). Sementara itu, gaulkan ayam yang telah dibersihkan dengan kunyit dan garam. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 beradik dan daun kari. Bila baunya sudah wangi, masukkan semua bahan yang telah dikisar tadi. Bila aroma wangi bawang sudah naik dan pecah minyak, masukkan serbuk kari dan cili boh yang sudah dibancuhkan. Tumis lagi. Bila sudah naik bau, masukkan ayam yang dikunyitkan tadi dan air asam jawa. Masukkan air sehingga ayam tenggelam dan garam-gulakan secukupnya. Hati-hati jangan sampai terlebih garam kerana tadi ayam sudah digaul garam. Masukkan kentang jika mahu. Tunggu sehingga air mengering dan kuah memekat, maka siaplah Kari Ayam Portugis.

Errr... Kalau saya dan adik-beradik, wajiblah ada kicap waktu makan. Kalau tak, memang tak lengkap. Macam malam tadi, waktu berangkat untuk iftar tu (buat di rumah pelajar lelaki), saya bawa bekal kicap dalam tupperware kecil. Huhuhu. Saya seorang saja yang makan berkicap ;)

Nota: Semalam saya berbual dengan jiran saya, Aida, orang Khazastan. Kami berbual tentang Lailatul Qadar. Untuk saling memahami, kami menyebutnya sebagai Noch Qadra (noch=malam). Menurutnya, mengikut budaya orang Khazastan, pada malam-malam terakhir ini, mereka membuka tingkap pada waktu malam dan menjamu tetamu makan. Motif? Boleh fikir sendiri rasanya kan =) Dan untuk seorang junior, Muhammad Khairul Asraf, selamat berangkat ke Ireland. Jangan lupakan kami semua di Moscow yang cantik ni =)

Friday, September 26, 2008

Mimpi

Assalamualaikum wbt


Allahumma salli 'alaa sayyidina Muhammad wa'alaa aali Muhammad.

Hari ini hari Jumaat. Penghulu segala hari. Sepanjang Ramadhan ini, saya banyak kali didatangi mimpi yang jarang-jarang saya alami ketika bulan biasa. Dalam banyak-banyak mimpi, mimpi malam tadi paling terkesan. Entah kenapa, saya terasa seperti bukan mimpi. Terasa dekat dengan kehidupan harian dan semua yang terlibat sangat saya kenali.

Walaupun mimpi bukanlah sesuatu yang boleh kita percayai, tapi jauh di sudut hati, saya sentiasa mendoakan yang baik-baik saja untuk kesemua yang muncul di dalam mimpi saya sepanjang Ramadhan ini. Lebih terkesan, malam tadi, arwah Chik Joe saya datang bertemu saya dan berbual panjang dengannya. Semoga Chik tenang saja di sana.

Juga, saya bermimpi tentang saya di masa depan. Tak salah jika saya mendoakan begitu kesudahannya tapi saya ini cuma orang biasa yang tak punya apa-apa. Tak layak untuk saya meminta-minta kepada Allah.

Kuih yang berjaya dibuat malam tadi ialah biskut coklat chip. Tapi saya selalu panggil biskut chipsmore je. Bukannya kami semua tak ada kuih yang dibawa dari Malaysia tapi sengaja hendak merasakan suasana meriah bergotong-royong menyediakan kuih-muih. Hehe. Tapi sebenarnya saya seorang saja yang membuat kuih malam tadi. Si Fatt datang mengempeng menjadi jurugambar. Sekarang ni dia tengah obses dengan jurnal bergambar (photojournalism). Silalah raya nanti ambil gambar banyak-banyak ye Fatt =) Kami serumah ada agenda pada petang ini. Nanti kisahnya pada malam ini insya Allah.

Nota: Setiap kali Jumaat tiba, hati saya menjadi wardah gitu. Hehe.

Thursday, September 25, 2008

Gian

Assalamualaikum wbt

Saya rasa sekarang saya gian. Gian hendak membaca novel-novel karya Hlovate. Walaupun di dalam novelnya mempunyai unsur-unsur pencemaran bahasa sedikit (saya ni pencinta Bahasa Melayu yang tegar), namun teknik penceritaan, susunan plot yang menarik dan selitan tazkirah-tazkirah yang boleh menyedarkan kita perkara-perkara asas sebagai Muslim betul-betul membuatkan saya tertarik dengan novelnya. Hlovate bermula dengan menulis e-novel dan kini novel-novelnya dibukukan. Tunas telah saya tamatkan. Dan oh! Saya tak sabar hendak membaca aA+bB pula.

Eh, Cik Sarah. Awak tu ada masa sangat ke bulan depan nak membaca segala benda alah ni? Hehe. Hobi tetap hobi.

Hari ni saya dapat pelepasan. Tak perlu ke hospital. Maka saya umumkan hari ni sebagai hari operasi membuat kuih raya. Yeay! Erm, boleh saya bersuasana raya dah? Teringinlah nak dengar lagu raya dah. Hehe =)

Nota untuk emak: Mak, mee hailam beres! Warna je tak cukup hitam. Kedekut kicap punya pasal. Kena berjimat. Kekekeke =p

Wednesday, September 24, 2008

Kenangan Ramadhan Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Ketika tiba di sini pada Oktober 2003, saya merasakan Moscow ini kusam. Daun kekuningan saja. Kereta pun macam berdebu je. Saya tersilap tafsir sebenarnya. Rupanya, begitulah keadaan lazim di musim luruh. Bukannya pokok-pokoknya tak cukup zat, tapi musim luruh sudah bermula. Kereta pula macam berdebu kerana di penghujung musim panas, memang banyak debu.

Di penghujung November, Ramadhan bermula. Kebetulan hari pertama berpuasa adalah hari yang mempunyai kelas sehingga petang. Waktu itu, jarak di antara hostel dan bangunan akademik pelajar tahun satu adalah sekitar 1 jam setengah perjalanan menggunakan bas dan metro.

Pada sebelah petang, saya mempunyai kelas Biologi. Waktu itu musim sejuk sudahpun bermula. Waktu berbuka ketika itu ialah jam 4.33 petang. Saya masih ingat akan hal ini. Kelas tamat pada jam 4.30 sepatutnya tapi kami dilepaskan sedikit awal sekitar 3.50 petang. Maka saya dan kawan-kawan sekumpulan berangkat balik ke hostel terus. Sampai saja di Stesyen Bibliateka Imini Lenina, stesyen di tengah-tengah Moscow yang menghubungkan 4 laluan utama metro yang menjadi tempat pertukaran utama, jam telah menunjukkan pukul 4.25. Di dalam stesyen itu terdapat sebuah kafe kecil yang menjual makanan segera. Saya memnag tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan seperti coklat atau apa-apapun kecuali setengah botol air mineral yang dibawa untuk buat syarat saja bila berbuka. Tapi kesemua ahli kumpulan saya yang lain tidak mempunyai apa-apa bekalan. Jadi mereka ke kafe itu dan membeli 3 cawan besar coke dan kami menunggu saja di tepi jam dinding dalam stesyen itu sehingga tepat jam 4.33. Kami 11 orang berbuka bersama dengan berkongsi 3 cawan air coke (o.5 liter secawan) termasuklah 3 orang rakan group kami yang berbangsa Cina dan India. Setelah kosong ketiga-tiga cawan, barulah kami menyambung perjalanan.

Dan pernah juga saya hanya berbuka dengan coklat Snikers (kecil) ketika berada di dalam kelas General Chemistry. Disebabkan saya bukan penggemar coklat, kebiasaannya sebatang coklat itu akan saya kongsi bersama Meor, lab partner saya. Mula-mula dulu, cikgu kami pun tak faham. Jadi kami makan curi-curi saja. Tapi setelah dia faham, dia memberikan masa rehat yang fleksibel mengikut waktu berbuka. Dan namanya adalah Fetisova, seorang cikgu yang sangat baik hati dan keibuan.

Pernah juga berbuka hanya setelah 1 jam waktu berbuka berlalu. Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan menuju ke hostel. Dan lazimnya, kami di sini tidaklah berbuka dengan lauk-pauk dan hidangan mewah yang lengkap dengan kuih dan sebagainya. Ada 2 benda wajib untuk menu berbuka. Lauk utama, ayam, daging atau ikan, dan sejenis sayur. Kuih hanya bergantung kepada kelapangan masa. Sewaktu tahun satu dan dua dahulu, hanya di hujung minggu saja barulah sempat hendak menyediakan manisan mulut yang semestinya adalah kuih-muih tradisional.

Saya akui, hidup di luar ni lebih mengajar untuk menghayati erti Ramadhan yang sebenar. Apabila terpaksa bersusah-payah memasak sendiri segala juadah yang kita hajatkan dan berpenat-penat memasak beramai-ramai untuk majlis berbuka puasa di kedutaan, inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Nota: Saya rasa satu hari nanti saya boleh buka katering saya sendiri dah kot. Kalau memasak untuk 400 orang makan, tu rasanya dah tak jadi masalah dah. Hehe.

Friday, October 05, 2007

Selamat Hari Lahir Lan


Assalamualaikum wbt


Khas buat adikku

Adlan Mohd Shukor

Selamat hari lahir yang ke-18

Semoga Lan menjadi anak yang soleh,

mendengar kata,

dihiasi akhlak terpuji

dan tamat belajar dengan jayanya.



Adlan merupakan anak keempat daripada kami berlapan. Dia kini sedang berada di Terengganu menghabiskan kursusnya. Semalam saya menelefonnya untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir. Rupa-rupanya saya tersilap waktu! Di Malaysia baru pukul 11 malam!
Reminder yang saya setkan di handphone adalah mengikut saving time di sini. Jadi beza waktu adalah 5 jam. Sedangkan beza waktu Moscow-Malaysia masih lagi 4 jam sahaja.

Sedari kecil sehinggalah dewasa, inilah teman bergaduh saya ketika di rumah mahupun di dalam kereta. Tidak sah jika kami tidak mempersoalkan perkara-perkara remeh. Naluri seorang kakak. Siapa yang tidak sayangkan adiknya. Marah-marah pun, tanda sayang sebenarnya.

Semoga Lan berjaya di dunia dan akhirat. Ngah sayang Lan.

Nota:

Gambar di atas diambil ketika di KLIA. Sesungguhnya di KLIA itulah satu-satunya saat kami sekeluarga sempat berkumpul bersama kerana sepanjang cuti lepas, adik-adik saya tidak dapat pulang bercuti pada masa yang sama. Seorang di Bukit Jalil, seorang di Dungun dan seorang di hostelnya. Dan mereka itulah askar-askar keluarga saya! Selepas ini, tiada lagi sambutan ulangtahun dalam keluarga saya :)
(Adlan - berkemeja-T biru muda di belakang)

Update yang ringkas saja untuk kali ini. Bila saya sudah sihat dan punya masa, saya akan update lagi, Insya Allah. Bagaimana dengan tadarus di bulan Ramadhan ini? Sudah khatam? Alhamdulillah, saya telah khatam 3 hari yang lalu. Tahniah buat sesiapa yang telah khatam (Acai) dan selamat membuat pecutan terakhir bagi yang belum khatam lagi (pecut Dayat, pecut).

Mari mengimarahkan malam-malam terakhir Ramadhan!
____________________________________________________________________________

Hari buat dia:

57) Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Malam ke-21:
Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang dibuat dari Nur.

Malam ke-22:
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman daripada duka cita dan kerisauan (di Padang Mahsyar).

Malam ke-23:
Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga yang dibuat dari Nur.

Malam ke-24:
Allah bukakan perluang 24 doa yang mustajab bagi orang yang bertarawih pada malam ini (lebih elok dikerjakan ketika sujud).

Malam ke-25:
Allah akan mengangkat seksa kubur darinya.

Malam ke-26:
Allah akan mengurniakan pahala 40 tahun ibadah.

Malam ke-27:
Allah akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian Siratal Mustaqim seperti kilat yang menyambar.

Malam ke-28:
Allah akan menaikkan kedudukannya 1000 darjat di akhirat nanti.

Malam ke-29:
Allah akan mengurniakan pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam ke-30:
Allah akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya: "Wahai hamba-Ku, makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama Salsabila, serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad saw yang bernama Al-Kautsar."


Thursday, September 27, 2007

Kenangan Terindah

Assalamualaikum wbt

Kelmarin, sewaktu menghadiri majlis orientasi pelajar-pelajar baru yang tiba 3 hari yang lalu di Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, Dr. Zulkifli (Pegawai Perubatan Pengiring untuk dua orang bakal angkasawan negara - saya menggelarnya Uncle Zul) telah tiba di Kedutaan. Ini bukanlah kali pertama Uncle Zul datang ke Moscow. Telah berbelas-belas kali Uncle Zul berulang-alik Kuala Lumpur-Moscow. Kebetulan, saya dan Uncle Zul mempunyai talian persaudaraan (sebelah emak di Temerloh).

Ketika bertemu di Kedutaan, Uncle Zul telah menyatakan hasratnya untuk datang berbuka di rumah kami seperti tahun lalu (kami = housemates). Lebih melucukan, Uncle Zul telah 'merequest' Nasi Tomato sebagai menu berbuka. Kebetulan pada waktu itu, Nizal Muhammad (pesonaliti TV3) dan Team Penggambaran Astro turut berada di situ. Maka mereka juga menyatakan persetujuan untuk bertandang ke rumah kami untuk berbuka puasa.

Semalam petang, sebaik tiba dari hospital, Uncle Zul menelefon dan memberitahu bahawa dia akan datang bersama Pasukan Saintis Negara yang turut berada di Moscow kini. Juga Sheikh dan Faiz yang turut akan berbuka di rumah kami selepas selesai urusan visa di Kedutaan. Oh! Saya sangat terkejut kerana jumlah kesemuanya adalah 14 orang!

Sebaik selepas menjawab panggilan, kami serumah mula menyediakan juadah berbuka. Sebenarnya Wanie yang bertugas memasak pada hari semalam tapi dia mempunyai test hingga lewat petang jadi saya menggantikan Wanie untuk memasak pada hari semalam. Juadahnya adalah: Nasi tomato, ayam masak merah, trifle buah, keropok, popedam, buah-buahan (yang sangat banyak), jus buah dan teh tarik.

Pada awalnya, hanya Pasukan Saintis Negara yang terdiri daripada 7 orang; 3 orang profesor daripada HUKM dan UPM serta 4 orang saintis muda dan researcher. Kami telah berbuka dahulu kerana Uncle Zul berserta Team Penggambaran Astro, Sheikh dan Faiz tiba lewat sedikit. Sebaik kesemuanya telah tiba, suasana menjadi lebih gamat kerana ibaratnya kami bertemu kembali di rumah ini setelah hampir setahun mereka (Sheikh dan Faiz) tidak ke mari (kali terakhir adalah pada Ramadhan yang lalu untuk berbuka dan tarawikh bersama-sama).

Selesai makan, ada sesi temuramah khas oleh Nizal untuk edisi ucapan di Radio 24.fm (sungguh saya tidak pernah dengar tentang radio ini). Juga sesi penggambaran oleh Team Penggabaran Astro untuk edisi khas Diari Seorang Angkasawan sewaktu kami semua sedang berkenal-kenalan antara satu sama lain (sesi-sesi yang lain tu off record lah).

Saya malas untuk menulis dengan lebih panjang. Gambar-gambar di bawah ini adalah suasana di rumah kami sejak jam 7.30pm hingga ke 11pm. Semalam adalah hari yang sangat meletihkan tetapi sangat penuh nostalgia yang tidak semua dapat rasakan.


Yang bertudung merah jambu (Sheila), tudung hitam putih (Kak Lyn) dan 2 orang Chinese (Siew Ping dan Sue Men) adalah saintis muda yang datang bersama-sama Prof. Rahman (HUKM), Prof. Ramlah (HUKM) dan Prof. Raja (UPM).

Prof. Rahman dan Prof. Ramlah (gambar separuh: Prof. Raja).

Makan Nizal. Sila sila.

Selepas sesi recording utntuk ucapan di Radio 24.fm (Wanie bersama Team Penggambaran Astro).

Faiz yang datang dengan sut lengkap sesi latihan sebab tak berkesempatan balik ke rumah sebelum ke Kedutaan untuk menyelesaikan urusan visa.

Kak Lyn (Saintis - PhD Student) dan Sue Men (Saintis - PhD holder) yang sangat banyak bercerita.

Inilah hero kami. Uncle Zul yang sentiasa cool dan best.

Juadah berbuka. Dah nak habis dah.

Semuanya sedang mendengar cerita dan jenaka Uncle Zul.

Semua asyik sedang menjamah kuih raya yang dibawa oleh prof. Raja. Bak kata Sheikh, majlis berbuka semalam adalah seperti Pre-Raya meriahnya!

The black and white team.

Mendengar celoteh Nizal yang tidak ubah langsung baik di kaca TV mahupun dalam dunia realiti. Tak letih ke Nizal bercakap ye :)

Saintis-saintis yang best!

Sedang asyik berborak tentang plan kami bulan Oktober ini, Wanie ambilkan gambar ini.

Sheikh di meja saya sedang menggunakan laptop saya untuk mengakses internet. Nizal pun sempat menggunakannya atas urusan kerja semalam. Begitu juga Prof. Raja. Bertuah laptop ni. Semua orang penting penah menggunakannya.

Prof. Rahman dan Prof. Raja yang sangat comel.

Jaket Faiz. Huhu..~

Faiz sedang menulis sesuatu untuk kami serumah sebagai hadiah atas persahabatan daripada kami berenam sebelum bertolak pulang. Ups.. Ini gambar kedua yang kami pernah terima secara peribadi dari mereka berdua.

Dan inilah kami berenam yang sangat best! Girls of 205, you girls rulesss! :) (Dari kiri: Emy, Wanie, Diba, saya, Fatt dan Pena. Lokasi: Di luar hostel compound)


Nota:
Sebol - Saya baca komen awak tu selepas Nizal dah balik. Saya tak sempat nak tanyakan soalan tu. Maaf.
Alia Comey - Salam secara umum telah disampaikan untuk mereka semua :)
UNTUK SEMUA - Oh, kalau ada sesiapa yang terdengar dan terlihat ucapan saya di Astro mahupun TV1, anggaplah ucapan raya tu saya tujukan untuk kalian semua di Malaysia~

____________________________________________________________________

Hari buat dia:

56) Ajarkan aku menari pada hari ini agar aku boleh memimpin tanganmu bergandingan pada hari esok. Ajarkan aku senyum pada hari ini agar aku boleh membuat kau tersenyum pula pada hari esok. Ajarkan aku ketawa pada hari ini agar aku boleh berkata-kata yang bisa buat kau ketawa pula esok. Ajarkan aku rindu pada hari ini kerana rindu pada engkaulah yang membuatkan aku kuat untuk terus menempuh hari esok. (boleh challenge ayat Dayat nun di Sarawak ni. Ngeehee~)

Wednesday, December 20, 2006

Perkara Yang Tidak dan Membatalkan Puasa



Terlalu ramai umat Islam yg keliru dengan perkara-perkara ibadah, lebih-lebih lagi bab ibadah puasa. Bukankah sudah jelas melalui dari Al-Quran dan Sunnah yg sahih, perkara-perkara yg membatalkan puasa seperti penerangan di bawah ini.


( From the 9th Fiqh-Medical Seminar, convened at Casablanca, Morocco, during 8-11 Safar 1418, corresponding to 14-17 June 1997, under the eminent auspices of the Commander of the Faith- ful, His Majesty King Hassan II. The theme of the seminar was “An Islamic View of Certain Contemporary Medical Issues”, and it was held jointly with the Hassan II Institute for Scientific and Medical Research on Ramadhan, the ISESCO, the Islamic Fiqh Academy, and the World Health Organisation Regional Office.) [Artikel diambil dari Seminar Fekah Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997.] (Substances and actions that nullify the fasting)


Bahan-bahan yang boleh membatalkan Puasa

(According to the Quran and the authentic Sunnah of The Prophet (pbuh) three actions nullify fasting: eating, drinking and sexual intercourse. Therefore, the passing of any solid or liquid sybstance that can be described as food or drink, in any quantity through the gullet would nullify fasting. [Menurut Al Quran dan Hadis yang sahih dari Nabi Muhammad SAW, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa: Makan, minum, dan melakukan hubungan seks. Oleh yang sedemikian, apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh membatalkan puasa.]

Accordingly, the participants agreed unanimously that the following do not nulIify fasting).
Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut dan telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut
TIDAK MEMBATALKAN PUASA

  1. Eye and ear drops, and ear wash.
    Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga
  2. Nitroglycerine tablets placed under the tongue for the treatment of angina.
    Ubat tablet Bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung).
  3. Insertion into the vagina of pessaries, medical ovules, vaginal washes, vaginal speculum, and doctor’s or midwife’s fingers during pelvic examination.
    Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
  4. Insertion of the urethroscope into man or woman radio-opaque media for X-ray diagnosis or bladder irrigation.
    Memasukkan teropong kesalur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan xray.
  5. Tooth drilling, extraction, cleaning or the use of mis-~ and toothbursh, provided nothing is swallowed into the stomach, do not nullify fasting.
    Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
  6. Injections through the skin or muscle or joints or veins, with the exception of intravenous feeding.
    Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah.
  7. Blood donation or receiving blood transfusion.
    Penderma atau menerima pemindahan darah.
  8. Oxygen and anaesthetic gases.
    Oksigen dan Gas Bius.
  9. All substances absorbed into the body through the skin, such as creams, ointments, and medicated plaster.
    Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
  10. Drawing blood samples for laboratory testing.
    Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
  11. Catheter and media for arteriography of heart or other organs.
    Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan xray khas jantung) atau organ lain.
  12. Endoscopy for diagnostic or intervention purposes.
    Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.
  13. Mouth wash, gargle or oral spray, provided nothing is swallowed into the stomach.
    Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.
  14. Hysteroscopy or insertion of an intrauterine device.
    Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya. (ie. UICD)
  15. Biopsy of the liver or other organs.
    Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.

A majority of participants added the following:
Majority peserta menambah perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA

  1. Nose drops, nose sprays, and inhalers.
    Ubat titis hidung, semburan hidung and ubat sedut.
  2. Anal injections, anoscopes, or digital rectal examination.
    Suntikan kedalm dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.
  3. Surgery involving general anaesthetic, if the patient decided to fast.
    Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan untuk berpuasa.
  4. Machine or intraperitoneal renal dialysis.
    Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut
  5. Use of gastroscope, provided it does not entail the introduction of liquids or other substances into the stomach.[Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut.]
Wallahu a'lam bissawab...


(October 7, 2006)