Assalamualaikum wbt
Salam lebaran buat semua.
Ramadhan berlalu membawa seribu kenangan dan keinsafan. Bulan yang sepatutnya kita jadikan sebagai madrasah terbaik untuk membersihkan hati dan jiwa kini diganti oleh Syawal. Sejauh manakah tazkiyyatun nafs berjaya kita perolehi? Semakin tenangkah diri kita? Semakin tenteramkah hati kita? Dan Syawal yang datang terasa awal. Kerana indahnya beribadah di malam-malam Ramadhan masih belum puas dirasakan. Walau apapun yang dirasa, sebenarnya hakikat 1 Syawal juga boleh membawa keinsafan andai dihayati dan disambut dengan seadanya.
Entri sempena sambutan raya saya di Moscow buat kali ke-5 ini saya kira agak panjang. Saya sertakan gambar-gambar untuk saya kongsikan suasana dan kemeriahan kami semua di sini walaupun kami jauh di perantauan. Apatah lagi kemeriahan aidilfitri di tanah air. Klik gambar untuk imej yang lebih jelas.


Pada malam ke 29 Ramadhan (Rabu malam Khamis), kumpulan tadarus kami mengadakan
majlis khatam Al-Quran bersama-sama dan sedikit jamuan ringan. Semoga Al-Quran bukan sekadar amalan di bulan Ramadhan tetapi menjadi amalan harian kita semua. Pada hari terakhir Ramadhan, seperti yang dijanjikan, kami berbuka bersama
Faiz di Arbat Street (tempat kali pertama kami semua bertemu dulu). Lebih meriah, Faiz membawa bersama 2 orang pegawai Angkasa
(Kak Zahira) dan Nuklear
(Kak Hazfa).


Lebih memeranjatkan kami, ibu kepada Sheikh,
Auntie Zuraidah, dan abangnya,
Sheikh Ahmad Shukor, turut serta bersama kami. Suasana sangat meriah kerana keramahan mereka membuat kami terasa dekat dan sangat senang sekali. Di malam raya itu, kami sebilik bertungkus-lumus menyediakan
pelbagai juadah; kuah kacang, kuah lodeh, rendang ayam, 2 jenis kuih raya, ketupat dan lemang segara. Dan di pagi raya, inilah wajah-wajah gembira kami usai solat raya di Kedutaan Besar Malaysia.


Raya kali ini sangat meriah. Moscow dibanjiri oleh
pihak media yang membuat liputan keberangkatan angkasawan pertama negara dan juga
para saintis yang menjayakan program ini. Kami juga sempat bertemu
Shuhada pengacara Nona! Tidak boleh dilupakan, bertemu
Uncle Zul. Sangatlah meriah! Tanpa Uncle Zul, suasana pada hari semalam pasti kurang berseri. Dan buat kali kedua,
Faiz berhari raya di Moscow. Ibu bapanya baru bertolak pulang ke Malaysia pada pagi itu.


Gambar bertemakan ungu muda ini adalah
pelajar JPA tahun akhir universiti saya. Mereka mengambil kesempatan aidilfitri terakhir di Moscow ini untuk menggayakan warna baju raya yang sama. Dan lihatlah wajah-wajah anak dara
pelajar tahun 3 itu. Sangat manis! Saya rasa, saya masih belum pernah menceritakan tentang kewujudan kembar saya di sini. Sejak saya berada di tahun 2, ramai orang mengatakan wajah saya dan seorang junior di Russian State Medical Univ. (RSMU) kelihatan seiras. Itulah dia
Mazrin (Mayein). Selepas saya mengenalinya, saya pun bagaikan terlihat kelibat diri saya pada dirinya. Kata orang, kami punya bentuk muka dan senyuman yang sama! Yang berbaju biru itu adalah sahabat baik saya di sini.
Nadiah Hamimah. Oh, dia bakal dimiliki!


Mengikut perancangan awal, kami akan ke rumah Uncle Zul selepas majlis di kedutaan untuk
memasak nasi dagang bersama-sama. Tapi malangnya, rancangan perlu ditukar kerana Uncle Zul dan Faiz perlu bergegas ke Malaysian Control Center (MCC) pada jam 3pm. Jadi, memandangkan kami telah siap membawa juadah raya yang kami sediakan, Uncle Zul terus mengajak
kami balik ke hotelnya untuk makan-makan di sana kerana Uncle Zul dan Faiz akan bertolak ke MCC dari sana bersama Dato JJ. Gambar di atas adalah ketika kami berjalan keluar menuju ke jalan besar untuk mendapatkan teksi untuk ke Swiss Hotel di Paveletskaya.


Kami 9 orang semua. Seperti biasa, sayalah yang akan menjadi orang yang berkomunikasi dengan pakcik teksi untuk memberitahu destinasi (sebab paling senior! Oh, terasa tua!). Teksi pertama dinaiki oleh 4 orang termasuk Uncle Zul. Diikuti 3 orang dalam teksi kedua. Jadi, saya dan Faiz menaiki teksi ketiga untuk ke sana. Malangnya nasib kami, di pertengahan jalan, pemandu teksi mengatakan bahawa dia tidak tahu arah ke sana dengan setepatnya. Puas dia melihat-lihat peta Moscow.

Akhirnya Faiz mencadangkan agar dia menghantar kami ke stesyen metro yang terdekat. Dalam perjalanan menuju ke metro pula, kami tersekat dalam kesesakan lalu lintas lebih kurang setengah jam.Aaaaa tidak! Kami akhirnya menaiki metro menuju ke hotel dan lebih melucukan, pada waktu itu Faiz tidak mempunyai duit kerana belum mengeluarkan duit. Dan saya pula membawa duit yang sangat besar. Jadi, ketika membeli tiket metro, saya terpaksa membeli untuk 10 trip sedangkan yang diperlukan hanya 2 saja supaya boleh mendapat wang baki semula. Jika membeli 2 tiket saja dengan not 1000 ruble, adalah sangat mustahil. Lagi dimarah adalah kerana tidak menyediakan wang kecil!

Sewaktu di dalam metro, Faiz menunjukkan beg plastik yang dipegangnya dan baru saya sedar betapa pentingnya kami berdua di saat itu kerana ketupat dan lemang ada bersama kami! Kalaupun yang lain sudah sampai bersama lauk-pauk, mereka tetap tidak boleh makan kerana ketupatnya tiada! Gelak besar kami waktu itu. Dan yang lebih melucukan, kami berdua menjadi model pakaian tradisional Melayu di Kota Moscow pada hari semalam. Apa tidaknya. Saya yang berbaju kurung cantik-cantik dan Faiz yang berbaju Melayu lengkap bersampin menaiki metro untuk tempoh perjalanan yang agak lama dan sebaik tiba ke destinasi, kami berjalan kaki menuju ke hotel dari stesyen metro itu pada suhu 2'C! Wah! Tourism Malaysia Moscow patut membayar kami atas khidmat yang kami berikan ini.


Dan ini keadaannya
di bilik hotel. Semua sudah lapar dan sedang menunggu ketibaan kami. Pada mulanya, Mily menghidangkan makanan untuk Uncle Zul dan Faiz dulu. Ternyata kedua-duanya sangat lapar! Setelah Uncle Zul siap, Faiz masih belum berhenti makan!


Lihatlah aksi Uncle Zul dan Emy ini. Selesai makan, Uncle Zul berkata:
Eh, Uncle tak bergambar lagi dalam bilik ni. Uncle pun nak la jugak. Dan sudahnya, inilah aksi Uncle Zul yang gila-gila melayan kerena mereka yang lain. Di saat itu, Faiz masih tidak berhenti makan! Dan itu dia saya. Akhirnya saya sudah boleh menelan
solid food. Alhamdulillah. Sebaik Uncle Zul dan Faiz bertolak ke MCC, giliran kami semua pula untuk
mengisi perut. Lihatlah betapa laparnya kami semua di saat itu kerana hanya makan sedikit saja di kedutaan. Inilah ceritera raya saya dan rakan-rakan di sini. Ini versi raya pertama. Versi untuk raya kedua dan rumah-rumah terbuka yang kami kunjungi akan menyusul dalam entri berikutnya (jika ada kelapangan).


Sekali lagi, salam lebaran buat semua.
Maaf andai ada salah dan silap.
Salam penuh takzim dari Kota Moscow.
Nota:
- Mari kita sempurnakan puasa 6 pula ye lepas ni nanti :)
- Maaf sebab saya rasa gambar-gambar ni nampak tidak teratur dan comot kalau di'view' di monitor kamu semua. Saya malas nak buang masa menyusun atur gambar-gambar ini dengan baik kerana perlu bergegas menyediakan kuah kacang sebanyak 9 kg untuk Rumah Terbuka Hostel Spartiv pada hari esok. Sesiapa yang berada di Moscow, kamu semua dijemput hadir ye ;)