Showing posts with label Uncle Zul. Show all posts
Showing posts with label Uncle Zul. Show all posts

Sunday, November 11, 2007

Oh Nasi Dagang

Assalamualaikum wbt

Hari Khamis yang lalu, saya ke kelas Traumatology seperti biasa. Jam 7.30 pagi yang masih dalam rembang subuh itu saya redah untuk ke hospital. Tajuk pada hari itu ialah Back Pain Syndrome. Ada beberapa pergerakan yang Dr. Konstantin ajarkan untuk melihat keterhadan pergerakan dan kebolehan seseorang mengubah posisi vertebra (tulang belakang). Ketika membuat pergerakan-pergerakan itulah, saya dan Thines didapati mempunyai sedikit abnormaliti. Jadi kami berdua telah menjadi model ketika di dalam kelas. Apa yang telah Dr. Konstantin lakukan terhadap saya? Saya telah dipeluk dari arah belakang untuk membetulkan struktur tulang saya dan tangan kanan saya dikilas sedikit ke belakang (di bahu) sehingga berbunyi 'tak' yang agak kuat. Aduh. Sungguh sakit. Tapi selepas daripada itu, saya terasa sangat segar walaupun ada sedikit sengal masih berbaki.

Suasana hospital di sini. Bukan semua tapi inilah contohnya.

Setelah beberapa kali merancang, baru hari semalam (10 November) Allah mengizinkan rancangan kami untuk memasak nasi dagang bersama-sama Uncle Zul menjadi kenyataan. Ikutkan rancangan asal, Faiz dan Sheikh juga akan turut serta tapi lewat petang semalam mereka perlu berangkat ke Star City untuk mengemas barang-barang mereka kerana mereka akan pulang ke Malaysia pada hari Isnin ini. Jadi yang ada hanyalah Uncle Zul, Auntie Zaleha (isterinya) dan anak perempuan mereka, Zulaikha.

Saya sudah siap sedia memasak lauknya di rumah. Jadi selepas maghrib, kami serumah (berenam) dan juga Mily bertolak ke rumahnya. Rumah itu adalah tempat pegawai-pegawai ATSB menginap jika bertugas di Moscow. Serba ringkas. Pinggan-mangkuk juga tidak banyak. Sebaik tiba, kami mula memasak nasinya. Ups. Cuba lihat gambar di atas. Lebih tepat, hanya saya dan Uncle Zul saja yang menyingsing lengan di dapur :) Disebabkan beras baru saja direndam, kami punya banyak masa untuk membuat aktiviti lain.

Siti Sarah dan Siti Zulaikha. 3 pupulah rasanya pangkat yang paling tepat untuk kami berdua.

Auntie Zaleha. Dulu saya hanya kenal abangnya, Dr. Bahari sebagai ayah saudara saya (sebelah Tok Halimah di Temerloh). Dan baru kini saya bertemu dengan adiknya pula. Mengikut cerita Tok, ini 2 pupu emak. Jadi semalam kami bercerita perihal keluarga di sebelah Temerloh. Puas dikupas-kupas, akhirnya kami ketawa kerana baru kini kami tahu salasilah kami dengan jelas. Auntie juga masih mengingati Tok Halimah.

Disebabkan nasi baru saja dikukus, saya, Fatt dan Mily mengambil keputusan untuk ke Ramstore Capital, sebuah rangkaian supermarket, untuk mendapatkan makanan-makanan ringan dan air (juga Pampers buat Zulaikha). Maklum sajalah. Di rumah itu tidak ada bekalan makanan dan minuman langsung. Kami meminta pemandu membawa kami ke sana (berdekatan dengan kawasan itu). Tersenyum saya kerana sudahnya kami yang memberi tunjuk arah kepadanya sedangkan dialah orang tempatan. Bukannya kami :) Tapi dia sangat baik. Biarpun kami mengambil masa hampir 40 minit di dalam supermarket itu kerana barisan yang panjang di kaunter bayaran, dia tetap sabar menunggu. Gambar di atas adalah wajah-wajah kelaparan mereka sementara menanti nasi siap dikukus. Habis semua jenis Lays (seperti Mr. Potato) dan bun berkrim dimakan. (yang berbaju hitam berkaca mata dalam gambar di atas adalah Le'a. Pelajar tahun 2. Le'a merupakan anak saudara benar kepada Auntie Zaleha. Jadi secara tidak langsung, Le'a adalah 3 pupu saya (susahlah untuk saya sebut pangkat-pangkat ini semua). Jadi lengkaplah hari semalam ada 3 orang Siti. Termasuk Le'a, Siti Saleha)

Dan inilah nasi dagangnya. Ini keadaannya sebelum makan. Memang sangat wangi dan menyelerakan.

Tup! Dalam sekelip mata periuk kukus itu licin selicin-licinnya!

Wajah-wajah kekenyangan terduduk selepas makan. Rasa malas hendak balik rumah saja rasanya. Tapi tetap wajib balik. Ada sesuatu menunggu kami di rumah.

Sebelum balik, sempat pula kami bergambar di hadapan lif. Tak tahan sungguh. Dengan mereka semua ini, di mana-mana pun boleh saja.

Dan inilah yang menanti kami di rumah. Sebenarnya saya ada menempah home bake chocolate chips walnut butter cake yang dijual untuk mengutip dana sempena Sechenov Games pada minggu depan. Dan tempahan itu dihantar ketika kami semua tiada di rumah. Jadi sebaik sampai, saya pergi mengambilnya di bilik kawan yang menjual. Masih panas. Jadi, secara peribadi, saya tujukan kek ini buat seorang kawan yang menyambut hari lahir pada hari semalam (10 November). Sambil makan, kami berborak dan isu Faiz yang dikatakan mempunyai buah hati di Moscow diungkit-unkit lagi. Juga isu Sheikh. Oh kamu semua. Hentikan isu itu!

Lebih gamat apabila masing-masing membayangkan keadaan apabila telah berada di tahun akhir nanti. Bagi mereka ada 3 tahun lagi. Tapi bagi saya, hanya setahun lebih saja lagi. Sungguh lucu. Sehingga berair mata Fatt dan geli-geleman Pena mendengarkan perumpamaan yang kami berikan padanya (kakak angkat Nadia Elayza lah kononnya) :)

Dan di saat ini mereka semua sedang menonton movie di katil Pena. Dan saya duduk sendirian di tengah rumah mengemaskinikan blog bertemankan bunyi printer Diba yang sedang membuat salinan kerja.

Badan sudah penat. Mata sudah mengatuk. Sebelum berundur, Selamat Hari Lahir ke-23 buat Orang Jerantut itu (10 November). Semoga dipermudahkan segalanya. Sila pulang ke Malaysia dengan selamat. Jangan terus tinggal di sana ye. Juga Selamat Hari Lahir ke-19 (11 November) buat sepupu saya, Nur Shazlinda Hanif. Kak Ngah sayang awak. Semoga Allah berkati kalian.

Saturday, October 13, 2007

Ceritera Raya Di Moscow 2007/1428H

Assalamualaikum wbt

Salam lebaran buat semua.

Ramadhan berlalu membawa seribu kenangan dan keinsafan. Bulan yang sepatutnya kita jadikan sebagai madrasah terbaik untuk membersihkan hati dan jiwa kini diganti oleh Syawal. Sejauh manakah tazkiyyatun nafs berjaya kita perolehi? Semakin tenangkah diri kita? Semakin tenteramkah hati kita? Dan Syawal yang datang terasa awal. Kerana indahnya beribadah di malam-malam Ramadhan masih belum puas dirasakan. Walau apapun yang dirasa, sebenarnya hakikat 1 Syawal juga boleh membawa keinsafan andai dihayati dan disambut dengan seadanya.

Entri sempena sambutan raya saya di Moscow buat kali ke-5 ini saya kira agak panjang. Saya sertakan gambar-gambar untuk saya kongsikan suasana dan kemeriahan kami semua di sini walaupun kami jauh di perantauan. Apatah lagi kemeriahan aidilfitri di tanah air. Klik gambar untuk imej yang lebih jelas.

Pada malam ke 29 Ramadhan (Rabu malam Khamis), kumpulan tadarus kami mengadakan majlis khatam Al-Quran bersama-sama dan sedikit jamuan ringan. Semoga Al-Quran bukan sekadar amalan di bulan Ramadhan tetapi menjadi amalan harian kita semua. Pada hari terakhir Ramadhan, seperti yang dijanjikan, kami berbuka bersama Faiz di Arbat Street (tempat kali pertama kami semua bertemu dulu). Lebih meriah, Faiz membawa bersama 2 orang pegawai Angkasa (Kak Zahira) dan Nuklear (Kak Hazfa).

Lebih memeranjatkan kami, ibu kepada Sheikh, Auntie Zuraidah, dan abangnya, Sheikh Ahmad Shukor, turut serta bersama kami. Suasana sangat meriah kerana keramahan mereka membuat kami terasa dekat dan sangat senang sekali. Di malam raya itu, kami sebilik bertungkus-lumus menyediakan pelbagai juadah; kuah kacang, kuah lodeh, rendang ayam, 2 jenis kuih raya, ketupat dan lemang segara. Dan di pagi raya, inilah wajah-wajah gembira kami usai solat raya di Kedutaan Besar Malaysia.

Raya kali ini sangat meriah. Moscow dibanjiri oleh pihak media yang membuat liputan keberangkatan angkasawan pertama negara dan juga para saintis yang menjayakan program ini. Kami juga sempat bertemu Shuhada pengacara Nona! Tidak boleh dilupakan, bertemu Uncle Zul. Sangatlah meriah! Tanpa Uncle Zul, suasana pada hari semalam pasti kurang berseri. Dan buat kali kedua, Faiz berhari raya di Moscow. Ibu bapanya baru bertolak pulang ke Malaysia pada pagi itu.

Gambar bertemakan ungu muda ini adalah pelajar JPA tahun akhir universiti saya. Mereka mengambil kesempatan aidilfitri terakhir di Moscow ini untuk menggayakan warna baju raya yang sama. Dan lihatlah wajah-wajah anak dara pelajar tahun 3 itu. Sangat manis! Saya rasa, saya masih belum pernah menceritakan tentang kewujudan kembar saya di sini. Sejak saya berada di tahun 2, ramai orang mengatakan wajah saya dan seorang junior di Russian State Medical Univ. (RSMU) kelihatan seiras. Itulah dia Mazrin (Mayein). Selepas saya mengenalinya, saya pun bagaikan terlihat kelibat diri saya pada dirinya. Kata orang, kami punya bentuk muka dan senyuman yang sama! Yang berbaju biru itu adalah sahabat baik saya di sini. Nadiah Hamimah. Oh, dia bakal dimiliki!

Mengikut perancangan awal, kami akan ke rumah Uncle Zul selepas majlis di kedutaan untuk memasak nasi dagang bersama-sama. Tapi malangnya, rancangan perlu ditukar kerana Uncle Zul dan Faiz perlu bergegas ke Malaysian Control Center (MCC) pada jam 3pm. Jadi, memandangkan kami telah siap membawa juadah raya yang kami sediakan, Uncle Zul terus mengajak kami balik ke hotelnya untuk makan-makan di sana kerana Uncle Zul dan Faiz akan bertolak ke MCC dari sana bersama Dato JJ. Gambar di atas adalah ketika kami berjalan keluar menuju ke jalan besar untuk mendapatkan teksi untuk ke Swiss Hotel di Paveletskaya.

Kami 9 orang semua. Seperti biasa, sayalah yang akan menjadi orang yang berkomunikasi dengan pakcik teksi untuk memberitahu destinasi (sebab paling senior! Oh, terasa tua!). Teksi pertama dinaiki oleh 4 orang termasuk Uncle Zul. Diikuti 3 orang dalam teksi kedua. Jadi, saya dan Faiz menaiki teksi ketiga untuk ke sana. Malangnya nasib kami, di pertengahan jalan, pemandu teksi mengatakan bahawa dia tidak tahu arah ke sana dengan setepatnya. Puas dia melihat-lihat peta Moscow.

Akhirnya Faiz mencadangkan agar dia menghantar kami ke stesyen metro yang terdekat. Dalam perjalanan menuju ke metro pula, kami tersekat dalam kesesakan lalu lintas lebih kurang setengah jam.Aaaaa tidak! Kami akhirnya menaiki metro menuju ke hotel dan lebih melucukan, pada waktu itu Faiz tidak mempunyai duit kerana belum mengeluarkan duit. Dan saya pula membawa duit yang sangat besar. Jadi, ketika membeli tiket metro, saya terpaksa membeli untuk 10 trip sedangkan yang diperlukan hanya 2 saja supaya boleh mendapat wang baki semula. Jika membeli 2 tiket saja dengan not 1000 ruble, adalah sangat mustahil. Lagi dimarah adalah kerana tidak menyediakan wang kecil!

Sewaktu di dalam metro, Faiz menunjukkan beg plastik yang dipegangnya dan baru saya sedar betapa pentingnya kami berdua di saat itu kerana ketupat dan lemang ada bersama kami! Kalaupun yang lain sudah sampai bersama lauk-pauk, mereka tetap tidak boleh makan kerana ketupatnya tiada! Gelak besar kami waktu itu. Dan yang lebih melucukan, kami berdua menjadi model pakaian tradisional Melayu di Kota Moscow pada hari semalam. Apa tidaknya. Saya yang berbaju kurung cantik-cantik dan Faiz yang berbaju Melayu lengkap bersampin menaiki metro untuk tempoh perjalanan yang agak lama dan sebaik tiba ke destinasi, kami berjalan kaki menuju ke hotel dari stesyen metro itu pada suhu 2'C! Wah! Tourism Malaysia Moscow patut membayar kami atas khidmat yang kami berikan ini.

Dan ini keadaannya di bilik hotel. Semua sudah lapar dan sedang menunggu ketibaan kami. Pada mulanya, Mily menghidangkan makanan untuk Uncle Zul dan Faiz dulu. Ternyata kedua-duanya sangat lapar! Setelah Uncle Zul siap, Faiz masih belum berhenti makan!
Lihatlah aksi Uncle Zul dan Emy ini. Selesai makan, Uncle Zul berkata: Eh, Uncle tak bergambar lagi dalam bilik ni. Uncle pun nak la jugak. Dan sudahnya, inilah aksi Uncle Zul yang gila-gila melayan kerena mereka yang lain. Di saat itu, Faiz masih tidak berhenti makan! Dan itu dia saya. Akhirnya saya sudah boleh menelan solid food. Alhamdulillah. Sebaik Uncle Zul dan Faiz bertolak ke MCC, giliran kami semua pula untuk mengisi perut. Lihatlah betapa laparnya kami semua di saat itu kerana hanya makan sedikit saja di kedutaan. Inilah ceritera raya saya dan rakan-rakan di sini. Ini versi raya pertama. Versi untuk raya kedua dan rumah-rumah terbuka yang kami kunjungi akan menyusul dalam entri berikutnya (jika ada kelapangan).


























Sekali lagi, salam lebaran buat semua.
Maaf andai ada salah dan silap.
Salam penuh takzim dari Kota Moscow.

Nota:
- Mari kita sempurnakan puasa 6 pula ye lepas ni nanti :)
- Maaf sebab saya rasa gambar-gambar ni nampak tidak teratur dan comot kalau di'view' di monitor kamu semua. Saya malas nak buang masa menyusun atur gambar-gambar ini dengan baik kerana perlu bergegas menyediakan kuah kacang sebanyak 9 kg untuk Rumah Terbuka Hostel Spartiv pada hari esok. Sesiapa yang berada di Moscow, kamu semua dijemput hadir ye ;)

Wednesday, December 27, 2006

Cebisan Kenangan



Tak pernah terbayang akan menjadi rapat dengan bakal angkasawan negara ini.
Tak pernah terjangka pertemuan pertama membawa siri pertemuan yang seterusnya.
Tak pernah terjangkau akan sentiasa berpeluang mengetahui perkembangan terkini mereka.

Tak pernah terfikir akan keluar berjalan-jalan dengan mereka.

Tak pernah terlintas akan menemani mereka berlibur dan berhibur.

Tak pernah terhitung apa pula yang menanti apabila mereka telah benar-benar bergelar ANGKASAWAN NEGARA.



Assalamualaikum wbt,

Sekadar coretan ketika termenung di malam hari menyudahkan patient's case history on surgery. Apapun yang menanti di masa depan, walaupun tidak lagi rapat seperti kini, pasti akan ada juga cebisan kenangan di dalam hati dan minda mereka, harapnya...

http://www.youtube.com/watch?v=CazUpDXzhs4


(credit to KI for the photo)