Wednesday, November 14, 2007

Maafkan Saya Wahai Jejaka Russia...

Assalamualaikum wbt

Semalam, di pagi-pagi buta, saya bermesejan dengan ayah. Beberapa siri mesej berlalu. Semangat yang saya terima. Dalam perjalanan ke hospital, saya bermesejan pula dengan emak. Emak di Kuantan kini. Ada Mesyuarat Penyelarasan HEM. Emak sedang rehat waktu itu. Emak melayan saya yang sedang mengantuk berada di dalam metro. Semangat juga yang saya dapat daripada emak. Konklusinya, pagi saya meriah dengan semangat-semangat yang dapat saya kutip buat bekalan hidup.

Sebaik tamat kelas, kami berbupu-pusu mengambil kot di cloakroom. Tiba-tiba mendapat mesej lagi daripada emak. Saya kira tamat sudah siri-siri SMS untuk hari ini. Mesej emak serius bunyinya. Emak menyuruh saya mempertimbangkan semula entry saya yang terkini. Kata emak, lebih baik berhati-hati. Saya sudah 5 tahun di sini. Jangan biar ia sia-sia. Tunggu sedikit saja lagi. Tunggu hingga saya mula bekerja. Saya terfikir, emak sudah bacakah entry terkini atau ada sesiapa yang menyampaikan kepada emak?

Saya mula tidak sedap hati. Serius sangatkah apa yang telah saya utarakan dalam entry itu? Bahaya sangatkah? Saya rasa, luahan saya itu benar-benar berbentuk peribadi untuk tatapan sesiapan yang hendak membaca. Tiada paksaan dan yang lebih utama saya tidak maksudkan pun untuk melibatkan diri dalam politik. Saya tidak suka dunia politik. Persoalan inilah yang bermain-main di benak sepanjang perjalanan pulang. Tambahan, saya pulang sendirian dan hanya bertembung dengan kawan-kawan sebaik keluar dari stesyen metro bawah tanah berhampiran hostel.

Saya berniat ke pasar sebelum pulang. Berdekatan dengan hostel, terdapat sebuah pasar yang besar dan terletak berhampiran dengan beberapa buah simpat tiga dan empat yang kadang-kala agak sibuk walaupun jalannya kecil saja. Saya berjalan sambil otak terus berfikir dan berfikir.

Tiba-tiba, saya terdengar hon kereta. Ya Allah! Saya hampir dilanggar kereta di simpang empat berdekatan dengan kawasan pasar! Kurang 1.5 meter jaraknya. Kronik betul otak saya melayang entah ke mana-mana. Saya tunduk dan mengangkat tangan kepada pemandunya tanda meminta maaf atas kecuaian saya itu. Saya berlarian ke tepi jalan dengan segera. Buat seketika, saya dapat rasakan jantung saya sangat laju berdegup. Ya. Saya masih hidup. Alhamdulillah.

Apabila kereta itu berlalu di sebelah saya, saya tertanya-tanya. Kenapa perlahan sungguh kereta itu berlalu pergi? Adakah tadi juga kereta itu telah sedia ada di simpang itu sebelum saya melintas dan maksudnya ketika saya melintas itu, dia membunyikan hon supaya saya melintas dengan lebih pantas? Atau memang kereta itu baru tiba dengan agak laju dan membunyikan hon untuk memberi amaran kepada saya supaya ke tepi dengan segera? Saya tidak dapat menyatakan mana satukah jawapannya.

Saya menoleh sekali lagi ke arah kereta tadi. Ya Allah! Baru saya sedar. Itu kereta orang yang sedang mengambil ujian memandu! Patutlah panduannya perlahan saja. Dan saya rasa, di simpang itu tadi, kereta itu jauh lebih perlahan daripada apa yang saya lihat pada waktu itu. Dan kini saya rasa bersalah. Atas kecuaian saya, saya telah dan pasti akan membawa susah kepada jejaka Russia yang memandu itu. Jika insiden hampir melanggar pejalan kaki di Malaysia, tiada kata rayuan lagi boleh dibuat pada pihak JPJ. Pasti keputusan ujian itu adalah gagal.

Wahai jejaka Russia, saya pohon maaf. Semoga kamu lulus ujian siang tadi. Itu bukan salah kamu. Itu salah saya yang sedang bercelaru. Maafkan saya wahai jejaka Russia...

________________________________________________________

Hari buat dia:

67) Pemberi rezeki itu adalah Allah. Kenapa masih ada manusia yang mengadu domba dengan manusia lain dengan niat untuk mendapatkan rezeki sesama manusia pula.

7 comments:

Anonymous said...

dah lama x komen kat blog kak sarah..tp x efek ape pun..ramai je org bg komen kan..haha saya pun faham dgn situasi mak akak yg risau tu..mak mana yg x risau kalau kemungkinan jd apa2 yg buruk kat anak dia..yg penting, amik yang jernih buang yang keruh..n kepada jejaka rusia itu, moga dia lulus ujian itu, kalau tak yg td, mungkin yg lepas ini..

Girl A said...

sekarang kerajaan melancarkan kempen ops jejantas :D oleh itu, marilah kita menggunakan jejantas beramai-ramai :P

sarah, jalan elok2....tumpukan perhatian tau!

MakcikMuda said...

sarah shayang.

adehhla !

berbahaye sunggo.

hati2 oke.

xmo ahh gini.

one said...

wah layan punya layan...just,TAKE CARE

Sarah Mohd Shukor said...

Shafiq:
hmm.. no comment.. ntah bila dunia ni nak betul.

Azah:
Insya Allah Azah..

Ryn:
nak buat mcm mana. otak distracted wkt tu.. :(

Oneib:
Insya Allah..

Entry ni pun rasa nak delete jugak la..nk buat habit baru..lepas update, delete. ye la kan. banyak sgt mata2 yg dtg baca..cerita pasal idea pun dia kata kita lantang bersuara.. ntah apa2 je..

akirasuri said...

Uit!
Awat nak delete pulak :)

He he he.
Sarah sayang..
hati-hati ek..
hati tengah panasaran ek :P

*larikkk!!

LadyTiz said...

berhati-hati.

tak sempat baca entry lepas. sedihnya!. huhu